Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

21 October 2007

Pendatang Asing: Apa dasar kita?

Selamat membaca..........

Apa dasar kita?

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Apa sudah jadi dengan dasar pengambil pekerja asing ke negara ini? Pertanyaan ini adalah inti pati daripada keresahan dan kebimbangan rakyat terhadap kemasukan pekerja asing yang mencatatkan angka 2.5 juta orang. Dalam negara yang populasi 26 juta orang, jumlah 2.5 juta pekerja asing adalah isu yang cukup serius.

Satu pertanyaan lagi, adakah negara ini menghadapi krisis guna tenaga yang kritikal hingga terpaksa mengambil 2.5 juta pekerja asing di pelbagai sektor? Belum ada bukti atau dibuktikan keperluan yang begitu kritikal hingga 2.5 juta pekerja asing berada di sini.

Secara mudah ini membuktikan sebanyak 2.5 juta peluang pekerjaan telah diisi oleh pekerja asing. Jumlah ini bukan pendatang tanpa izin tetapi masuk melalui saluran yang sah. Ini menggambarkan seolah-olah negara kekurangan 2.5 juta tenaga kerja. Tetapi benarkah negara kekurangan tenaga kerja? Hujahnya kadar pengangguran berada pada tahap 3.3 peratus daripada 11.8 juta tenaga kerja.

Kemasukan pekerja asing di sektor pembinaan dan perladangan bermula kira-kira dua dekad lalu. Rasional pengambilan pekerja asing waktu itu ialah mengisi keperluan mendadak apabila sektor pembinaan yang tumbuh dengan pantas. Tetapi kini kebanjiran pekerja asing menjangkau sektor-sektor yang sepatutnya diisi oleh orang tempatan. Misalnya di restoran, stesen minyak, pusat membeli-belah, agensi kawalan keselamatan selain pembantu rumah.

Barangkali kita boleh toleran pekerja asing diperlukan di sektor tertentu seperti pembinaan dan perladangan. Tetapi yang menyebabkan jumlah menjadi 2.5 juta atau mungkin lebih apabila pihak majikan di sektor lain sengaja mengambil pekerja asing. Salah satu sebabnya untuk mengaut keuntungan berlipat ganda apabila pekerja asing dibayar upah yang murah berbanding orang tempatan.

“Bagi saya mereka yang bersikap mengejar untung tanpa mengagihkan hasil kepesatan ekonomi kepada orang tempatan adalah tidak patriotik,” demikian tegas Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff.

Beliau melihat kemasukan pekerja asing hanya menyelesaikan masalah tenaga kerja tetapi memberikan implikasi dari segi politik dan keselamatan negara. Hakikatnya dasar kemasukan pekerja asing tidak boleh terlalu liberal seperti yang berlaku sekarang ini.

Kerana itu tidak hairanlah kalau dasar pengambilan pekerja asing kelihatan terlalu longgar. Malah lebih membimbangkan apabila kemasukan pekerja asing yang melampau tidak dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan politik dan keselamatan negara. Sosiobudaya negara sumber banyak mempengaruhi pekerja asing apabila berada di luar negara. Maka kita perlu melihat implikasi daripada kemasukan yang tidak dikawal ini sebagai menggugat kestabilan rakyat negara ini.

Implikasi politik daripada kebanjiran pekerja asing ternyata apabila tercetus isu anggota polis kita memukul jurulatih tae kwan do Indonesia tidak lama dulu. Di Indonesia, rakyatnya menyalakan sentimen politik apabila menuduh Malaysia membangun kerana pekerja Indonesia. Begitu juga dengan isu lagu Rasa Sayang, sekali lagi pekerja asing Indonesia menjadi modal ekstremis politik di Indonesia memperkecilkan Malaysia. Negara sumber menganggap tanpa pekerja mereka, Malaysia tidak mampu membina Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dakwaan ini berbaur sentimen politik yang tidak sihat bagi kedua-dua negara.

“Daripada pemerhatian saya, apabila jumlah pekerja asing semakin besar, mereka dipergunakan untuk demonstrasi jalanan di negara ini. Kerana itu tidak hairanlah kalau masyarakat tempatan tertekan dengan pekerja asing ini,’’ tegas Dr. Mohamad Agus lagi.

Mengikut statistik, jumlah pencari kerja pada enam bulan pertama tahun ini ialah 93,314 orang. Sementara sektor perkhidmatan mencatatkan peluang 51.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga pada tempoh yang sama.

Kemasukan pekerja asing secara tidak langsung telah menyekat penglibatan orang-orang Melayu dalam sektor pekerjaan. Ini kerana hampir semua sektor yang diterokai oleh pekerja asing adalah yang biasanya dilakukan oleh pekerja Melayu tempatan. Ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran kalangan orang Melayu khususnya wanita apabila sektor perkhidmatan diisi oleh pekerja asing.

Pihak yang diberi tanggungjawab melaksanakan dasar pengambilan pekerja asing perlu melihat implikasi yang menjurus kepada sosiopolitik dan keselamatan melampaui melayan kerenah majikan yang pelahap.

Kita sebenarnya sangat sangsi dengan alasan majikan bahawa orang tempatan tidak berminat bekerja di sektor-sektor yang sekarang didominasi oleh pekerja asing. Barangkali orang tempatan tidak mahu bekerja kerana upahnya tidak munasabah. Maka dasar kita membuka kepada pekerja asing bukanlah satu langkah yang bertanggungjawab khususnya kepada orang tempatan.

Kalau melihat kembali matlamat membawa pekerja asing ialah kerana orang tempatan tidak mencukupi untuk mengisi keperluan guna tenaga. Matlamat kita bukan kerana untuk menjaga majikan supaya membayar upah murah dan mengaut keuntungan yang besar. Tetapi sekarang sudah terbalik, majikan menggunakan pekerja asing untuk kaut untung tanpa memberi peluang kepada orang tempatan.

Majikan bersikap demikian kerana dasar pengambilan pekerja asing kita tidak berfungsi dengan betul. Ia membuka peluang untuk majikan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kepentingan peribadi, bukan negara. Maka sikap majikan yang tidak patriotik ini sepatutnya dikesan oleh pihak yang bertanggungjawab atas dasar tersebut.

Apalah ertinya kerancakan ekonomi negara ini yang dianggar menyediakan pertambahan 2.1 peratus guna tenaga kalau tidak dinikmati oleh orang tempatan? Pertambahan 2.1 peratus atau 2.32 juta peluang pekerjaan tentunya akan diisi oleh pekerja asing yang mencatatkan kemasukan 1,600 orang sehari. Tanyalah majikan yang tamak ini, kepada siapakah mereka agihkan kemakmuran negara hasil kestabilan politik negara ini?

Maka sudah sampai masanya untuk kita mengejutkan “perlaksana” dasar pengambilan pekerja asing yang lena sekarang ini. Dasar boleh diubah mengikut kesesuaian masa dan ternyata liberalisasi melampau dalam konteks kemasukan pekerja asing perlu diperbetulkan segera.

Malah dasar itu juga perlu ada pelan jangka pendek dan jangka panjang yang matlamatnya sifar pekerja asing. Tetapi malangnya jumlah pekerja asing semakin meningkat dalam keadaan kadar pengangguran orang tempatan juga meningkat. Tentu ada yang tidak kena dengan dasar kemasukan pekerja asing yang dilaksanakan selama ini. Baik pulih segera, jangan tunggu lagi.

Fakta

* Pekerja asing di negara ini dianggarkan 2.5 juta (populasi Malaysia 26 juta orang).

* Tahun ini guna tenaga dianggarkan meningkat 2.1 peratus atau 2.32 juta peluang pekerjaan.

* Kadar pengangguran rakyat tempatan dijangka kekal 3.3 peratus daripada jumlah 11.8 juta tenaga kerja.

* Jumlah pencari kerja meningkat 32 peratus menjadikan 93,314 orang pada enam bulan pertama tahun ini.

* Sehingga Mei lalu ada 1.91 juta pekerja asing atau 16.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga tempatan

2 comments:

Jessica Lee said...

Terima kasih atas rencana ini.
Ini telah menolong saya menulis karangan saya dengan lebih baik lebih isi..=)

penuntut_keadilan said...

tul la tu apa yg ditulis kat cni, pengalaman aku kerja dlu pun, berlambak pekerja dari indon gan vietnam, time rehat penuh gn puak dorg kat toilet, dah jadi port dorg dah..nk guna toilet pun jijik kotor sgt..pekehal la majikan skrg suma nak amik owg luar tau la nk untg,abih mana hak kitaowg sebgai pemegang IC,rakyat malaysia.. aku nk kerja kilang dlu bkn main punyer susah 1 hari nk setle kena interview la dlu,buat tu buat ni,pekejadah tu, ni puak2 luar ni, membaca pun xpandai, cmne leh ambik gak,pelik tul.ni bru kerja kilang belum lgi tgk kat sector lain,bengang tul aku.sakit ati sakit mata tengok ketidakadilan dpan mata ni..xpk kew dorg seseng jew anta duit kat kg halaman.. kerja 2,3 taun kat cni,blik kg dah jdi jutawan muda tu..abih kami ni xnk idup kew,xkn nk harapkan org tua bgi makan sampai beranak-pinak kot,jasa org tua pun perlu balas gak..hak kami generasi muda tuk dapat kerja..bukan buang duit kepada negara luar, malaysia jgk yg rugi!!!!