Selamat membaca..........
Tip menjaga jantung Petikan Utusan Malaysia 6/10/2007
KAJIAN telah membuktikan bahawa kejayaan lebih mudah dicapai melalui sokongan rakan-rakan serta ahli keluarga.
Individu yang mengamalkan gaya hidup sihat semasa kecil mereka didapati cenderung mengekalkan tabiat yang sama sepanjang hidup mereka.
Sekeluarga yang makan makanan berzat bersama-sama, tinggal dalam persekitaran bebas rokok dan aktif secara fizikalnya, berada dalam landasan yang betul untuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.
Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh anda ikut bagi membantu melindungi keluarga anda daripada penyakit jantung dan strok. Berubahlah mulai hari ini!
1. Galakkan setiap orang untuk makan hidangan yang sihat dan seimbang. Ini termasuklah daging tanpa lemak sama ada dikukus, rebus, panggang atau bakar), ikan, sayur-sayuran, kekacang, buah-buahan dan produk rendah lemak
2. Sediakan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan, sehari
3. Minum air putih, susu segar atau rendah lemak, jus buah-buahan tanpa pemanis berbanding minuman ringan
4. Masukkan sayur-sayuran atau buah-buahan dalam makanan tengah hari atau snek/kudapan anak-anak anda di sekolah. Pujuk dan yakinkan ibu bapa kepada kawan-kawan anak anda agar melakukan perkara yang sama. Dapatkan juga sokongan daripada guru-guru mereka untuk menjadikan pemakanan sihat sebagai agenda sekelas
5. Pastikan anda tidak menggunakan garam yang berlebihan terutamanya yang didapati di dalam makanan diproses
6. Rancang lebih banyak aktiviti bersama keluarga di luar rumah. Bersenamlah 30 minit setiap hari dan terapkan rutin kerja seharian anda sebagai aktiviti fizikal. Misalnya, gunakan tangga berbanding menaiki lif
7. Jadikan rumah anda bebas rokok dan cubalah untuk memastikan yang anak-anak anda tidak merokok atau menghisap tembakau walaupun jauh dari pandangan anda
8. Hadkan masa melihat skrin - baik televisyen atau komputer, tutup suisnya sebanyak masa yang mungkin. Pastikan masa-masa terluang anak anda dipenuhi dengan aktiviti fizikal. Kenapa anda tidak berjalan kaki atau berbasikal sahaja dengan anak- anak ke sekolah?
9. Sebagai salah seorang ahli keluarga, tunjukkan contoh yang baik dengan makan secara sihat, aktif secara fizikal dan tidak merokok
10. Jika anda rasa sesiapa sahaja di dalam ahli keluarga anda berisiko mendapat penyakit jantung, dapatkan pemeriksaan lanjut dengan doktor.
No comments:
Post a Comment