Selamat membaca..........
Oleh HASSAN AHMAD
BLAST-off atau lift-off adalah perkataan paling keramat dalam sains penerokaan angkasa. Inilah saat yang paling penting dan kritikal bagi menandakan bermulanya pelepasan sebuah kapal angkasa ke angkasa lepas.
Senario terkini ialah pelepasan Soyuz TMA-11 pada 10/10/07 pukul 9.21 malam menuju ke destinasi paling unik dan ulung di orbit yang didiami manusia iaitu Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Dan apa yang lebih penting ialah penyertaan seorang angkasawan Malaysia iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang membawa misi Malaysia dan aspirasi negara ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sama ada kapal angkasa itu milik Rusia, China, Eropah atau Amerika, keberangkatannya ke angkasa lepas bukanlah sesuatu yang mudah dan murah untuk dilaksanakan. Ia menuntut pengorbanan manusia memahami seribu satu macam ilmu sebelum boleh berada di angkasa lepas di samping pengorbanan masa dan wang ringgit yang bukan sedikit.
Bagi masyarakat Islam, memiliki teknologi penerokaan angkasa lepas adalah sesuatu yang jauh panggang dari api, sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad akan datang. Tiada negara Islam pada masa ini yang mempunyai kemampuan teknologi yang membolehkan mereka menerobos angkasa dan berbuat sesuatu untuk mengimarahkan Bumi walaupun Allah menyuruh umat Islam mendalami semua ilmu yang bermanfaat termasuklah ilmu angkasa lepas.
Namun begitu, dari segi sejarah, orang yang pertama mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukan di kalangan bangsa Eropah atau Amerika. Abbas Ibn Firnas (888M), ahli fizik dan astronomi Islam, merupakan “manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah” sebagaimana disebut oleh sejarawan Barat K. Phillip Hitti.
Diterbangkan
Ia berlaku pada tahun 875M di Cordoba, Sepanyol. Percubaan selanjutnya hanya berlaku pada abad ke-20 di mana mesin penerbangan pertama di dunia mula diterbangkan oleh Wright bersaudara pada 17 Disember 1903 di Kity Hawk Amerika Syarikat. Lebih awal dari itu, mauduk naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Rasulullah lagi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah ‘angkasawan’ pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari ‘stesen pelancarannya’ di Masjid al- Aqsa Baitulmaqdis. Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas (diriwayatkan bernama “Buraaq”) hingga ke Langit Ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.
Justeru, umat Islam tidak perlu menganggap penerokaan ke angkasa adalah asing dan baru kepada mereka. Sebagai peneroka dan pelopor pertama melepasi frontier Bumi, kita perlu mengetahui, mendalami, mempersiap dan memajukan teknologi angkasa supaya ia dapat dimanfaatkan oleh manusia sejagat. Khazanah yang telah ditinggalkan oleh Ibn Firnas tidak harus dibiarkan begitu sahaja sebaliknya hendaklah diselidiki dan dikaji oleh cendekiawan Islam. Inisiatif ini mestilah dimulakan sekarang dan satu platform dan bajet khas hendaklah diasaskan bagi mencapai wawasan negara maju menjelang 2020.
Jika ditinjau daripada apa yang dipaparkan dalam 30 juzuk al-Quran, maka terlalu banyak perkataan dan ayat yang menyentuh tentang keluasan alam Allah termasuk apa yang ada di langit atau angkasa lepas. Secara tidak langsung, ini memberi erti bahawa kehidupan dan pengurusan manusia tidak terhad kepada Bumi yang didiami manusia tetapi meliputi apa yang ada di luar atmosfera Bumi. Perkataan al-Samawat di dalam majoriti ayat al-Quran sentiasa mendahului al- 'Ardh juga menunjukkan ukuran kebesaran subjek, penegasan dan keutamaan.
Justeru, usaha Malaysia menghantar angkasawan adalah satu tindakan yang terkehadapan dan selari dengan aspirasi agama yang sentiasa menuntut untuk perkembangan ilmu bagi tujuan imarah dan keamanan dunia
No comments:
Post a Comment