Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

08 October 2007

Monumen buatan di dasar laut

Selamat membaca..........

Monumen buatan di dasar laut
Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

Teori awal pengkaji mendapati piramid dibina di daratan Jepun dipercayai tenggelam akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu

KETIKA pelbagai misteri membabitkan piramid di Mesir dan piramid kaum Maya di Amerika Selatan masih membingungkan penyelidik, satu lagi lokasi piramid ditemui di Jepun sekitar 1990-an malah lebih pelik ia dijumpai di dasar lautan.

Pelbagai persoalan tercetus tatkala melihat piramid berkenaan terus berdiri kukuh di dalam laut melewati masa - siapa yang membina piramid di dalam laut, untuk apa dan bila ia dibina? Mengapa tidak bina saja di atas darat?

Bingung dengan pelbagai persoalan itu, penyelidik mula melakukan kajian bagi membongkar teka-teki yang menyelubungi piramid misteri berkenaan.

Sebelum itu, piramid pertama mula dijumpai di pelbagai wilayah di negara matahari terbit itu sejak 1950-an sekali gus meninggalkan persoalan mengenai hubungan bangunan berbentuk itu dengan tamadun purbakala setempat.

Sejak itu, beberapa lagi piramid purba ditemui ditinggalkan dengan permukaannya tertutup debu dan tanah, dipenuhi pelbagai macam tumbuhan liar sehingga bahagian luarnya tampak seperti sebuah gunung yang tinggi.

Bagaimanapun, sejak Mac 1995, sesuatu yang mengejutkan turut ditemui - penyelam yang menyelam di laut negara itu mendapati piramid tidak saja ada di atas daratan tetapi juga di dalam laut. Mereka menemui lapan lokasi peninggalan piramid sekitar Hiroshima hingga di laut Pulau Yonaguni.

Tapak tinggalan pertama adalah sebuah bangunan empat segi yang tidak begitu jelas bentuk binaannya kerana ditutupi karang sehingga bahagian buatan manusianya tidak dapat dipastikan.

Selepas itu seorang penyelam lain turut menemui sebuah piramid di kedalaman kira-kira 13 meter di bawah permukaan laut Oklahoma Selatan pada musim panas 1996.

Penemuan itu semakin menaikkan semangat pasukan penyelidik untuk membongkar rahsia yang tersembunyi di dalam laut Jepun. Gerakan mencari diperhebat dan kumpulan penyelam kemudian menemui lebih banyak monumen dan bangunan buatan manusia di dalam laut.

Mereka turut menemui kesan jalan yang panjang dan luas, tangga dan pintu melengkung yang tinggi dan megah serta batu raksasa yang dipotong dengan sempurna seolah-olah kawasan itu pernah didiami manusia suatu ketika dulu.

Beberapa bulan kemudian, kalangan arkeologi Jepun sekali lagi menemui bangunan berbentuk piramid yang sangat besar di kedalaman 33 meter di bawah permukaan laut, tidak jauh dari pergunungan Sinaguni yang terletak kira-kira 450 meter dari Hiroshima.

Bangunan raksasa berukuran 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter tinggi itu terletak di sebuah kawasan luas yang kelihatannya digunakan untuk menjalankan upacara tertentu dengan kedua sisinya terdapat pintu menara raksasa.

Pelbagai penemuan itu semakin membingungkan penyelidik - masakan terdapat manusia yang hidup di dalam lautan dan ke mana menghilangnya manusia itu ketika ini?

Ahli arkeologi berpendapat bahawa kewujudan piramid di bawah laut itu mungkin bukti awal adanya peradaban zaman batu di Jepun yang masih belum diketahui sesiapa.

Ahli geologi, Profesor Masaki Kimura yang menjadi pengkaji pertama meneliti misteri itu menyimpulkan bahawa bangunan lima tingkat itu adalah buatan manusia.

"Bangunan ini bukan binaan yang wujud akibat alam semula jadi. Di sekeliling bangunan ada yang mirip seperti jalan dan ini semakin membuktikan bahawa ia adalah buatan manusia," katanya ketika mula mengulas penemuan itu lebih 10 tahun lalu.

Profesor Kimura percaya bangunan itu berusia lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan stalaktit yang ditemui gua dalam lautan itu.

Beliau juga berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui siapa yang membina monumen berkenaan atau apa tujuannya.

"Bangunan ini mungkin istana dewa daripada agama zaman dulu dan digunakan untuk memuja dewa tertentu, sama seperti penduduk Hiroshima yang percaya pada dewa Nirai-Kanai yang dapat mendatangkan kesejahteraan dari laut kepada mereka.

"Berdasarkan catatan, pada 10,000 tahun silam, tidak ada manusia yang mampu membuat monumen seperti ini tetapi kini mungkin ada bukti peradaban manusia yang sebaliknya.

"Hanya manusia yang memiliki teknologi peringkat tinggi baru mampu menyelesaikan projek seperti ini, bangunan yang sebegini raksasa harus menggunakan mesin tertentu baru dapat membinanya," katanya.

Terbaru, profesor itu menampilkan teori terkini selepas meneliti dan menjalankan kajian lebih 10 tahun terhadap piramid berkenaan.

Beliau mengatakan bahawa piramid itu sebenarnya bukan dibina di dalam laut tetapi ia sebenarnya berada di darat tetapi tenggelam di dalam laut akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu.

Bagaimanapun, teori itu masih dipertikaikan penyelidik lain. Rekod menunjukkan tsunami terbesar menghempas Yonaguni pada April 1771 dan ia dianggarkan setinggi 40 meter dan dipercayai mampu menenggelam serta memusnahkan peradaban tepi pantai itu.

sumber: www.nationalgeographic.com, www.erabaru.or.id

FAKTA: Piramid di Jepun

# Dipercayai berusia lebih 5,000 tahun lalu.

# Satu daripada piramid itu berukuran 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter tinggi.

# Selain di Jepun, piramid turut dikesan wujud di Mesir dan Amerika Selatan.

# Teori mengatakan piramid itu sebenarnya dibina di darat tetapi tenggelam di dalam laut akibat dihempas tsunami ribuan tahun lalu.

No comments: