Selamat membaca..........
Berita Harian Online
Meniti Arus: Dasar ambil buruh asing wajar diubah
Bersama Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com
Lambakan pendatang tanpa izin mampu jejas 'lubuk rezeki' rakyat sendiri
DIN (nama penuh tidak diketahui), berusia sekitar 40-an, sudah beristeri dan mempunyai tiga anak. Dia adalah pendatang asing (statusnya juga tidak diketahui) yang berasal dari Kalimantan. Beliau datang ke Malaysia sendirian, meninggalkan anak isteri. Anak sulungnya, gadis berusia 20-an, sudah pun bekerja di sebuah bank di Jakarta.
Menurut Din, beliau mempunyai tauliah sebagai kapten kapal dari Akademi Laut di Jakarta, pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat perkapalan asing dan biasa menghadapi saat-saat cemas yang hampir meragut nyawanya apabila kapal beliau karam di tengah lautan.
Beliau datang ke Malaysia untuk bertukar angin beberapa tahun lalu. Mula-mula bekerja sebagai pekerja kontrak dengan beberapa firma pembinaan ternama. Kemudian berhenti dan membuat keputusan bekerja sendiri dengan mengambil upah membuat sebarang kerja menggunakan tulang empat kerat.
Din diperkenalkan kepada penulis oleh seorang jiran bergelar Datin. Menurut Datin yang cukup tertarik dengan peribadi warga asing itu yang warak, berbudi bahasa, kuat bekerja dan pandai menghormati orang, Din boleh diminta khidmatnya untuk sebarang odd jobs.
Secara kebetulan Din bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan tidak rasmi di banglo milik bekas seorang duta yang ditinggalkan kosong berhampiran rumah penulis.
Penulis bertanya kepada Din apa yang beliau boleh buat. Katanya, dia boleh mengubahsuai rumah, membersihkan longkang tersumbat, memperbaiki bumbung bocor, menebang pokok, menebas atau apa saja tugas yang dikehendaki.
Penulis minta beliau membersihkan semak samun sebuah lot banglo kosong di belakang rumah. Lot terbiar yang dulunya lapang dan bersih serta menjadi tempat permainan anak kini menjadi belukar tempat bersarang pelbagai jenis ular, biawak dan bermacam spesies burung serta unggas.
Din bersetuju melaksanakan tugas itu dengan upah RM70 sehari. Mulanya penulis menjangkakan tugas itu boleh dibereskan dalam tempoh lima enam hari saja, tetapi beliau mengambil masa lebih 20 hari untuk membersihkan kawasan dimaksudkan. Itu pun dengan bantuan seorang pekerja lain. Masa yang begitu panjang diambil kerana Din dan rakannya tidak bekerja sepenuh hari, atau sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Apabila hujan turun, beliau pulang dan tidak muncul-muncul lagi.
Akhirnya penulis terpaksa mengeluarkan hampir RM2,000 untuk membersihkan kawasan milik orang lain.
Apabila wang upah itu diserahkan, Din tersenyum puas sambil berkata, "Malaysia sebenarnya negara yang cukup bertuah. Banyak rezeki di sini jika kita rajin".
Penulis angguk saja. Terfikir dalam hati, "aku juga yang tersilap kerana bersetuju dengan upah harian dan bukan dengan secara borong."
Apa pun, Din mungkin benar-benar berasakan beliau dan rakannya cukup rajin sedangkan rakyat Malaysia tidak serajin beliau, jika tidak malas.
Walaupun pendapat Din ini mungkin suara hati terpencil seorang rakyat Indonesia, sedikit sebanyak ia membayangkan persepsi warga asing terhadap sikap pekerja tempatan.
Sekurang-kurangnya inilah yang sering digembar-gemburkan oleh majikan tempatan yang nampaknya berlumba-lumba mengaji pekerja asing dengan alasan kononnya pekerja tempatan tidak berminat.
Pendapat ini sedikit sebanyak mempengaruhi kerajaan yang terpaksa membuat penyesuaian dasar berhubung pengambilan pekerja asing untuk memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi negara.
Jika pada mula-mula dulu pengambilan pekerja asing dihadkan kepada sektor pembantu rumah, kerajaan terpaksa membukanya kepada sektor lain seperti perladangan, runcit dan perkilangan pada pertengahan era 80-an di atas desakan majikan.
Jika dulunya sumber pembekal pekerja asing cuma terhad kepada beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, pinta Malaysia kini terbuka kepada pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Thailand, India, Vietnam, Kemboja dan lain-lain.
Kini negara dikatakan menjadi syurga kepada kira-kira 2.5 juta pekerja asing, termasuk yang datang tanpa izin dengan kadar kemasukan 1,600 orang sehari.
Kebanjiran pekerja asing ini pada akhir-akhir menarik perhatian rakyat apabila akhbar melaporkan beberapa kejadian membabitkan mereka.
Di sana sini orang ramai yang mula berasa rimas dan terancam dengan kehadiran terlalu ramai pendatang asing di kawasan tertentu mula menuding jari kepada pihak terbabit. Mereka mahukan langkah sewajarnya diambil untuk mengurangkan masalah ini sebelum terlambat dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Seorang guru dari Perak yang menghadiri kursus di sebuah hotel di kawasan Chow Kit, baru-baru ini memberitahu penulis bahawa beliau terpaksa berkurung di bilik hotel di sepanjang kursus kerana takut keluar, walaupun beliau terlalu ingin bersiar-siar di kawasan yang pada satu masa dulu menjadi tumpuan pelancong tempatan.
Guru itu yang sudah lama tidak turun ke Kuala Lumpur sebenarnya tidak mengetahui bahawa kawasan Chow Kit sudah lama menjadi 'kawasan larangan' bagi penduduk tempatan kerana diambil alih pendatang asing.
Dari segi maruah, kebanjiran pekerja asing, terutama daripada satu-satu negara sumber, menjejaskan negara. Sebagai contoh, baru-baru ini apabila hubungan Malaysia-Indonesia menghadapi ketegangan akibat tindakan polis terhadap seorang jurulatih karate dari Indonesia, akhbar dan beberapa orang aktivis anti-Malaysia di negara sahabat itu mempersendakan pencapaian Malaysia yang secara kebetulan ketika itu sedang sibuk merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan. Kononnya Malaysia tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sumbangan pekerja dari Indonesia.
Pesanan ringkas dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta e-mel yang disebarkan pihak tertentu di Indonesia ke seluruh negara itu, yang secara kebetulan dikesan oleh penulis antara lain mengingatkan rakyat mereka supaya jangan terlalu kagum dengan pencapaian Malaysia.
Menurut mesej itu, Malaysia tidak mempunyai apa-apa. Di samping lagu Rasa Sayang yang dicuri dari Indonesia, Malaysia juga mencuri batik dan alat muzik angklong dari negara jiran itu.
Mesej itu juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ketika mereka enak menikmati juadah ketupat dengan rendang ketika menyambut Aidilfitri, mereka jangan lupa bahawa rendang itu dicuri dari Indonesia.
Ada juga yang tergamak mengakui bahawa Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertamanya ke angkasa lepas kerana angkasawan itu berjaya hasil didikan awal ketika zaman kanak-kanannya oleh pembantu rumah Indonesia.
Begitulah hinanya Malaysia pada pandangan sesetengah orang asing. Namun, dari segi yang lebih serius, kebanjiran pekerja asing di Malaysia kini dikatakan bukan saja menjejaskan peluang rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan, tetapi juga mencetuskan pelbagai masalah lain kerana ramai antara mereka masuk ke negara ini tanpa mengikut saluran sah.
Ada juga mengaitkan mereka dengan peningkatan kadar jenayah sekarang, terutama jenayah berat.
Apa pun, sebelum tuduh menuduh di antara kesatuan sekerja, majikan atau jabatan kerajaan berlarutan untuk mencari siapa bersalah dan bertanggungjawab terhadap masalah kebanjiran pekerja asing ini, ada baiknya jika semua pihak secara ikhlas dan jujur merenung kembali peranan serta keperluan masing-masing tanpa membelakangkan kepentingan jangka panjang negara.
Satu hakikat yang harus diakui ialah peranan kerajaan berhubung pekerja asing ini terhad kepada pembentukan dasar. Dasar kerajaan dirumus berpandukan kepada keperluan dan permintaan dan ia boleh dipinda dari semasa ke semasa.
Jika dasar yang ada sekarang dikatakan liberal, ia menjadi begitu kerana sikap majikan dan keperluan pasaran yang juga liberal. Perlu diingat bahawa orang asing tidak akan berlumba-lumba datang ke negara ini hanya kerana adanya faktor penolak di negara asal mereka. Mereka datang kerana faktor penarik yang ada di sini.
Jika Malaysia dianggap lombong emas menjadi faktor penarik kepada pendatang asing, sudah sampai masanya emas itu dikongsi bersama oleh rakyat tempatan. Adalah tidak adil membiarkan Din dan rakannya membolot emas itu sendirian.
Datuk Abdul Rahman Sulaiman,
bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Pengarah Komunikasi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
No comments:
Post a Comment