Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

20 October 2007

Jual negara kaut kekayaan

Selamat membaca..........

Jual negara kaut kekayaan

Oleh: DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEHADIRAN pendatang asing ke negara ini semakin hari kian bertambah. Ini menunjukkan sumber rezeki yang terdapat dalam negara ini dikongsi bersama oleh penduduk dari negara lain. Pembangunan dan kemajuan dalam negara jika tidak dirancang secara teratur boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat di negara ini. Kesedaran terhadap tanggungjawab kepada negara dan masyarakat perlu disemat dalam sanubari pihak yang berwibawa di negara ini.

Persoalannya ialah kenapa begitu mudah bagi pihak berkuasa mengeluarkan lesen kepada ejen-ejen buruh asing tanpa meneliti kemampuan mereka mengendalikan urusan kemasukan buruh asing?

Pengesahan daripada pihak berkuasa adalah penting untuk menentukan sama ada buruh asing tersebut boleh memasuki negara ini. Kenapa begitu ramai buruh asing yang berada dalam negara ini diberi pekerjaan yang mampu dilakukan oleh penduduk tempatan?

Sepatutnya pihak berkuasa perlu meneliti secara terperinci jenis pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada buruh asing. Kenapa urusan begini tidak dikaji demi kepentingan negara dan rakyat?

Pihak berkuasa perlu tegas dalam urusan kemasukan buruh asing sama ada melalui ejen atau datang secara haram. Kecuaian pihak berwibawa dalam pemantauan terhadap agen- agen kemasukan buruh asing adalah faktor utama yang menyebabkan kebanjiran buruh asing sehingga penduduk tempatan menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan dalam negara mereka sendiri.

Sikap begini juga mengheret maruah negara kerana tekanan yang dihadapi oleh buruh asing yang dikenakan oleh pihak majikan terhadap mereka terkeluar daripada konsep kemanusiaan yang digariskan oleh Islam.

Kesedaran terhadap konsep kemanusiaan di kalangan orang yang bertanggungjawab terhadap kemasukan buruh asing dalam negara perlu disemat dalam sanubari mereka supaya wang yang diragut daripada titik peluh manusia yang miskin dan kesempitan hidup itu tidak dijadikan darah daging ahli keluarga yang boleh menghumban mereka ke dalam neraka. Doa manusia yang teraniaya sama ada Islam dan bukan Islam dimakbulkan oleh Allah.

Sikap terlalu tamak kekayaan dan terlalu gemar mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri perlu dikikis dalam sanubari umat Islam supaya tatacara mereka memimpin, mentadbir dan menguruskan hal ehwal kemanusiaan sejajar dengan kehendak Ilahi dan syariah Islam.

No comments: