Selamat membaca..........
Berita Harian Online
Al-Kiswah Kaabah
Oleh Minarni Mat Saad
Raja Mesir beli 10 kampung untuk dapat hasil tenunan bagi dihantar ke Makkah
SELAIN hitam, pernahkah anda melihat kelambu Kaabah atau Al-Kiswah berwarna merah, hijau, kuning dan putih? Sebenarnya, sebelum kelambu Kaabah dilitupi kain sutera berwarna hitam, ia juga melalui zaman evolusi serta berubah warna mengikut perkembangan Islam dan kehendak pemerintah ketika itu.
Sejarah kelambu Kaabah boleh diikuti di Muzium Dua Masjid Suci yang menyimpan pelbagai kisah dan perkembangan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Jika selama ini penulis kurang mengambil berat mengenai sejarah kelambu Kaabah, namun kunjungan ke Muzium Dua Masjid Suci ketika menziarahi tanah suci Makkah, Ogos lalu, membolehkan penulis menghayati sejarah kelambu Kaabah serta peristiwa lain berkaitan perkembangan Islam.
Muzium yang dibina berhampiran kilang menenun Al-Kiswah itu turut memaparkan kegigihan umat Islam dalam memulihara kesucian Masjidil Haram serta usaha keluarga diraja dan Kerajaan Arab Saudi menjaga keutuhan masjid berkenaan.
Selain itu, pelbagai peralatan yang berkaitan Kaabah disimpan di sini, antaranya pintu Kaabah, tangga, peralatan menenun Al-Kiswah, penutup Hajar Aswad, al-Quran tanpa baris yang mula-mula ditulis oleh sahabat nabi, replika pancur emas dan penutup telaga zam zam.
Ada perselisihan pendapat di kalangan sejarawan mengenai siapa yang mula-mula memasang Al-Kiswah. Ada mengatakan Nabi Ismail yang menggunakan kain diperbuat daripada kulit haiwan.
Satu pendapat lain pula mengatakan orang pertama memasang kelambu Kaabah ialah Raja Yaman, Tubba Abu Karb As'ad, kira-kira 220 tahun sebelum Hijrah yang menggunakan kain buatan Yaman ditenun benang perak.
Tradisi itu diteruskan oleh raja dan pembesar Arab yang menyediakan kelambu Kaabah daripada pelbagai warna antaranya putih, kuning, hijau dan hitam menggunakan kain sutera kasar.
Bagaimanapun, ketika itu mereka tidak membuka kelambu Kaabah yang lama sebaliknya terus meletakkan yang baru di atas dan membiarkan kelambu lama hancur sendiri.
Sebelum kedatangan Islam, iaitu ketika Kaabah di bawah penguasaan kaum Quraisy, mereka menggunakan kain sutera sebagai Al-Kiswah.
Selepas penaklukan kota Makkah oleh orang Islam pada tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW memasang Al-Kiswah menggunakan kain tenunan Yaman, diikuti Khalifah Abu Bakar dan Umar Ibn Khattab. Bagaimanapun, Saidina Uthman menggunakan kain Qibti ketika pemerintahannya.
Kain sutera digunakan semula untuk Al-Kiswah pada pemerintahan Khalifah Abdul Malik Marwan.
Pada 1342 Masihi, Raja Mesir, Sultan al-Malik as-Saleh Ismail yang prihatin dengan penyediaan Al-Kiswah membeli tiga kampung, Basus, Sandabis dan Abil Ghit di daerah Qalyub untuk dijadikan wakaf bagi mendapatkan hasil tenunan membuat Al-Kiswah.
Kemudian Sultan Salim Al Usmani membeli pula tujuh kampung bagi tujuan sama.
Sewaktu Mesir diperintah oleh Mohammad Ali Basya, diwujudkan pula jawatan khusus bagi urusan pembuatan Al-Kiswah. Kelambu Kaabah yang dihasilkan di Mesir itu akan dikirim ke Makkah melalui Sinai menjelang musim haji setiap tahun.
Bagaimanapun, apabila berlaku peperangan, pemerintah Mesir tidak menghantar kelambu Kaabah pada saat tibanya musim haji seperti lazimnya pada 1924 dan 1925.
Tindakan itu mengejutkan Raja Abdul Aziz kerana Arab Saudi sudah bersedia untuk menyambut tetamu Allah menunaikan haji. Bagaimanapun, mujur ada satu kelambu Kaabah buatan Iraq yang sudah siap, masih belum dipakai dan disimpan dalam gudang. Raja Abdul Aziz segera memerintahkan kelambu itu dikeluarkan dan diletakkan pada Kaabah.
Peristiwa itu menghairankan pihak Mesir kerana Raja Abdul Aziz dapat menyiapkan kelambu Kaabah yang cukup lengkap dalam tempoh 10 hari saja. Berikutan peristiwa itu juga, Raja Abdul Aziz mengambil keputusan mendirikan sebuah kilang khusus untuk membuat Al-Kiswah.
Pada 1926, Kerajaan Mesir mengeluarkan larangan penghantaran Al-Kiswah ke Makkah membuatkan Raja Abdul Aziz segera mengumpulkan pakar kaligrafi, tukang tenun, tukang jahit dan pakar pencelup yang bertungkus lumus menyiapkan kelambu Kaabah dalam tempoh beberapa hari saja.
Raja Abdul Aziz amat berpuas hati dengan hasil kerja tangan Al-Kiswah buatan anak tempatan yang siap pada 1927 itu kerana selain diperbuat daripada kain tebal bermutu tinggi, ia diperindahkan lagi dengan tulisan kaligrafi daripada benang perak bersadur emas manakala tabir pintu Kaabah diperbuat daripada sutera asli bersulamkan benang perak bersadur emas.
Pada musim haji tahun itu dan tahun seterusnya Kaabah dipasang dengan Al-Kiswah buatan Arab Saudi.
Bagaimana pula dengan Al-Kiswah yang terpakai?
Sebelum kedatangan Islam, kelambu Kaabah ditinggalkan berlapis-lapis dan bertompok-tompok hingga buruk dan hancur sendiri sehingga timbul kebimbangan akan membebankan dan lama kelamaan berkemungkinan meruntuhkan Kaabah.
Akhirnya kelambu itu ditanggalkan dan disimpan di rumah penjaga Kaabah iaitu orang Bani Syaibah.
Sementara ada pula riwayat menyatakan pada permulaan zaman Islam, pemegang anak kunci Kaabah ketika itu, Syaibah bin Othman al-Hujubi bertanya kepada Saidatina Aisyah mengenai Al-Kiswah yang bertimbun-timbun di atas Kaabah sama ada hendak ditanggalkan dan ditanam di satu tempat supaya tidak digunakan oleh orang yang berjunub dan haid.
Aisyah menjawab: "Tidak baik dilakukan demikian, bahkan hendaklah dijualkan dan harganya itu dibelanjakan kepada jalan kebajikan dan disedekahkan kepada fakir miskin."
Ketika pemerintahan Raja Abdul Aziz as-Saud, kelambu itu diserahkan semuanya kepada Bani Syaibah dan dijual menurut budi bicaranya sendiri.
Bagaimanapun, pada awal 1960, Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah menegah jualan kelambu Kaabah bagi menjaga kesucian Islam.
FAKTA: Kelambu Kaabah
# Ditenun daripada 670 kilogram sutera putih asli dan dicelup dengan warna hitam. Luas keseluruhannya adalah 2,650 meter persegi.
# Mengandungi 47 kepingan empat segi bujur berukuran 14 meter kali 95 sentimeter.
# Sulamannya pula menggunakan 120 kilogram benang perak bersadur emas.
# Kelambu Kaabah pertama buatan anak tempatan dipasang pada 10 Zulhijjah dan padanya tertulis perkataan, “Kelambu ini yang pertama kali dibuat di Arab Saudi atas perintah Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman as-Saud”.
# Raja Fahd bin Abdul Aziz as-Saud yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Kedua merangkap Menteri Dalam Negeri Arab Saudi meletakkan batu asas pembinaan kilang baru Al-Kiswah pada 1972.
# Perasmian kilang kelambu Kaabah oleh Raja Fahd yang ketika itu Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri Pertama Arab Saudi pada 26 Mac 1977.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
No comments:
Post a Comment