Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.
Showing posts with label ISLAMKINI. Show all posts
Showing posts with label ISLAMKINI. Show all posts

17 October 2014

KDN haramkan tiga buku ajaran Syiah

Selamat membaca..........

KDN haramkan tiga buku ajaran Syiah dari Indonesia: Jamil


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Tiga buah buku iaitu Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syi'ah dan Tafsir Sufi Al-Fatihah terbitan Indonesia yang menyebarkan fahaman Syiah diharamkan penjualannya kerana bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.
Beliau berkata buku-buku itu akan dibawa kepada Seksyen Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan sebelum diserahkan kepada KDN untuk diwartakan.

"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius berhubung penyebaran ajaran berkenaan di mana pada 25 Ogos tahun lepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas 35,000 buku dan risalah mengenainya yang diharamkan KDN setelah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman itu.

Jamil Khir berkata pelbagai langkah diambil pihak berkuasa bagi membendung penyebaran fahaman itu termasuk menyebarluaskan fatwa berhubung pengharaman syiah kepada masyarakat melalui ceramah serta media cetak dan elektronik.

"Kerajaan juga turut memantau penyebaran ajaran sesat di negara ini termasuk yang sudah diharamkan dan akan mengambil tindakan sekiranya kembali aktif," katanya.

Menyentuh mengenai isu murtad, Jamil Khir berkata kerajaan telah dan sentiasa menangani isu murtad menerusi mekanisme perundangan yang sedia ada dan akan diperkukuhkan termasuk mengambil kira untuk mewujudkan Akta Murtad.

Katanya, salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu murtad khususnya mengawal perkembangan ajaran bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia dari segi perundangan ialah melalui penggubalan undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

"Tindakan ini adalah berdasarkan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, " katanya.

Selain itu, beliau berkata beberapa negeri telah mempunyai undang-undang yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang diwujudkan untuk mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam.

"Negeri-negeri yang telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.

Jamil Khir juga berkata Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan membenarkan sebarang iklan yang tidak mempunyai sijil halal disiarkan dengan menggunakan logo halal, dan badan itu sentiasa membuat pemeriksaan ke atas semua iklan yang menggunakan logo halal.

"Jika terdapat iklan yang menggunakan selain logo Halal Malaysia atau logo halal Malaysia tanpa pengesahan sijil pengesahan dari Jakim atau Main (majlis agama islam negeri), maka ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan logo halal adalah berdasarkan kepada Perintah Perihal Dagangan 'Penandaan dan Perakuan Halal' 2011 dan Perintah Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

Persidangan dewan bersambung Isnin. - BERNAMA

28 August 2010

Syor gubal undang-undang syarak berkaitan mercun

Selamat membaca..........


Syor gubal undang-undang syarak berkaitan mercun
Oleh Mohd Shukri Hanapi2010/08/28

MERCUN sudah sinonim dengan musim perayaan kerana setiap kali tiba Ramadan atau musim perayaan, akan ada laporan mengenai kesalahan penyeludupan serta kes kecederaan disebabkan mercun.Cuma, kesalahan berkaitan mercun tidak dikaitkan dengan hukum agama sebaliknya dilihat sebagai jenayah yang perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada. Salah faham ini perlu diperbetulkan kerana apa juga berkaitan dengan kehidupan, ada tanggungjawabnya di sisi agama.Tangkapan dan denda saja bukan penyelesai kepada penjualan mercun yang akibatnya apabila mendatangkan bahaya kepada masyarakat adalah menyalahi hukum agama. Apatah lagi jika mercun menjadi penyebab kepada kematian.Kepentingan atau keperluan umum menjadi keutamaan dalam aspek penggubalan undang-undang sama ada sivil atau syariah kerana matlamat diwujudkan hukuman adalah sebagai garis panduan untuk mengelak daripada terjebak perkara membawa kemudaratan.Walaupun hukum jelas berkaitan bahaya mercun tidak diperuntukkan secara langsung dalam nas, tetapi kepentingan dan keperluan undang-undang perlu selari dengan kehendak ajaran Islam supaya manusia sentiasa terselamat daripada segala bentuk kecederaan atau penderitaan. Jadi, undang-undang mengenai mercun adalah kewajipan syarak yang wajib dipatuhi oleh semua umat Islam. Kewajipan syarak ini membawa maksud sesuatu perintah yang apabila dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan mendapat dosa.Menjadi satu prinsip penting dalam Islam bahawa sebarang perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah satu dosa. Firman Allah yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 195)Allah melarang kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan, kemusnahan dan penderitaan. Maka, begitu juga dengan bermain mercun boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan mercun difikirkan mampu menolak kemudaratan yang timbul akibat bermain mercun. Apabila kerajaan menunaikan tanggungjawabnya dalam perkara ini maka kerajaan mempunyai hak untuk ditaati (khususnya dalam perkara ini) dan menjadi tanggungjawab rakyat pula dari segi syarak mentaatinya. Diriwayatkan daripada Ibn Umar yang bermaksud: “Wajib ke atas orang Muslim mendengar serta taat kepada perintah sama ada dalam perkara yang disukai atau dibenci selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dengar dan mentaatinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Bagi mengatasi masalah ini, usaha perlu dilakukan untuk memperbetulkan pandangan masyarakat mengenai kehidupan menurut pandangan Islam iaitu mercun bukan saja salah di sisi undang-undang negara tetapi juga melanggar hukum syarak.Pendekatan keagamaan wajar digunakan bagi menyedarkan umat Islam kesan mercun yang hanya menjurus kepada keburukan seperti boleh mendatangkan kecederaan selain menyebabkan pembaziran.Seseorang yang melakukan kesalahan dengan menjual dan memiliki mercun mungkin berjaya melepaskan diri daripada tindakan pihak berkuasa dan pembalasan dunia, tetapi ia sentiasa berada alam pengetahuan Allah.Penerapan nilai baik termasuk mengelak daripada bermain mercun boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan tidak membeli mercun untuk anak mereka sementara guru juga berperanan memberi peringatan serta nasihat kepada pelajar.Dalam banyak hal membabitkan kepentingan umum, pendekatan agama yang memberi panduan untuk menjalani kehidupan lebih baik berpandukan nilai murni diambil daripada nas al-Quran dan sunnah perlu diberi penekanan.Mercun bukan permasalahan dunia semata-mata kerana umat Islam akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa dilakukan termasuk jika melakukan pembaziran dengan membeli mercun dan lebih teruk jika mendatangkan akibat buruk kepada diri atau orang lain.Semoga insiden letupan mercun yang meragut nyawa kanak-kanak berusia enam tahun menjadi pengajaran kepada penyeludup, penjual dan pembeli mercun. Kata pepatah, jangan sudah terhantu baru nak terngadah.Tambahan pada Ramadan digalakkan memperbanyakkan amalan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah, jangan dicemari ibadat puasa dengan perkara yang boleh mengurangkan ganjaran pahala.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.


Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!

19 August 2010

Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa

Selamat membaca..........


Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa
Oleh Dr Zainur Rashid Zainuddin2010/08/19

TARIKH 21 Ogos adalah detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam tercalar dengan penghinaan apabila Masjid Al-Aqsa dibakar pelampau Yahudi yang disokong kuat Kristian Zionis. Usaha terkutuk ini dilakukan penjenayah dari Australia, Michael Dennis Rohan. Rohan menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekali gus memusnahkannya. Api marak hampir saja memusnahkan keseluruhan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitulmaqdis selama sehari suntuk mengizinkan mereka memadamkan api berkenaan.Rohan sebenarnya tidak bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Dia mendapat sokongan rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa lenyap daripada muka bumi bagi meneruskan projek membina Yahudi, Solomon Temple atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis.Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran itu ditangkap, namun dibebaskan tanpa hukuman. Mahkamah Israel sentiasa bersandiwara apabila memutuskan Rohan, seorang doktor perubatan sebagai tidak siuman dan hanya dihantar pulang ke Australia. Rohan pula dengan bongkaknya berkata, apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab agama seperti dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa berjaya melaksanakan misi diperintahkan tuhan. Pihak Zionis memulakan perancangan dengan menutup saluran paip ke Masjid Al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasil maksimum. Tentera Israel juga menghalang pasukan bomba dan warga Arab memasuki kawasan masjid pada hari berkenaan.Tindakan biadab ini menyebabkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa rosak dan menjadi arang. Kemusnahan itu melebihi sepertiga kawasan iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid. Mimbar Salahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar serambi masjid juga hangus. Turut musnah atap masjid serta tiang indah dihiasi ayat al-Quran. Pembakaran Al-Aqsa mengundang protes seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di Barat hingga ke Indonesia di Timur. Banyak pertemuan dan perundingan peringkat serantau dan antarabangsa diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru agar menghentikan segala usaha yang bertujuan merubah status Baitulmaqdis dan pengyahudian Masjid Al-Aqsa.Pemimpin negara Islam pula bergabung dan bersetuju menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berikutan pembakaran Masjid Al-Aqsa. Mereka mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta menghasilkan resolusi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu hanya tinggal resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya terbukti gagal dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid Al-Aqsa.Kesan pahit daripada pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 1969 terus dirasai dunia Islam hingga ke saat ini. Banyak lagi jenayah yang dilakukan terhadap Al-Aqsa.Kini, selepas 41 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkannya. Zionis sebenarnya bertungkus-lumus untuk mengyahudikan Masjid Al-Aqsa sejak peristiwa An Naksah (malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa pada 1967. Banyak lagi jenayah projek pengyahudian Al-Aqsa dilakukan, termasuk menghalang umat Islam menziarahi masjid ini dan memakmurkannya, menghalang usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak, merampas Tembok Buraq yang menjadi sebahagian Al-Aqsa, mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid Al-Aqsa, siri pengeboman secara terancang ke atas masjid, siri pembunuhan umat Islam di Masjid Al-Aqsa, penggalian terowong besar dan panjang di bawah masjid ini, mengubah identiti Islam dan Arab kepada Yahudi di Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta pembinaan Sinagog Hover bersebelahan Al-Aqsa.Terlalu banyak jenayah dilakukan Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah kiblat pertama, masjid ketiga suci serta bumi Israk dan Mikraj. Masjid Al-Aqsa mesti diselamatkan daripada kemusnahan Zionis. Apa yang sudah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa patut menyedarkan umat Islam daripada terus lena di buaian mimpi. Penulis ialah Perunding Aman Palestin
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

16 May 2010

Kezaliman manusia punca masalah ekonomi

Selamat membaca..........

Ulul Albab: Kezaliman manusia punca masalah ekonomi

2010/05/16

Ekonomi Islam memerangi penganiayaan segelintir masyarakat dalam pengurusan harta

SELASA ini Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah untuk kali kedua Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang mana forum kali ini adalah yang keenam selepas yang kelima tahun lalu di Jakarta. Forum yang akan berlangsung selama tiga hari ini dijangka dihadiri 2,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk beberapa ketua negara Islam.

Forum ini bertujuan untuk dijadikan satu platform tunggal bagi pengumpulan bersama ekonomi Islam dan bukan Islam global menerusi perniagaan. Beberapa isu yang akan disentuh pada forum kali ini, antaranya mengenai penyediaan air bersih, perubahan iklim dan pendidikan orang ramai.

Sudah banyak perbincangan mengenai ekonomi Islam dan sudah banyak pula teori yang dihasilkan ahli ekonomi Islam moden. Permasalahan yang dihadapi sekarang ialah bagaimana mengaplikasikan teori yang berlandaskan wahyu ini dalam kehidupan umat.

Kita mengimani jika teori ekonomi Islam yang diambil dari ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi dilaksanakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh sudah pasti umat Islam tidak akan diketepikan oleh masyarakat antarabangsa. Justeru, yang membezakan perekonomian mereka ialah ekonomi Islam di bawah panduan wahyu Ilahi, manakala ekonomi bukan Islam di bawah panduan hawa nafsu insani.

Konsep asas ekonomi Islam adalah memerangi kezaliman atau sikap aniaya sekelompok manusia ke atas kelompok yang lain dalam mengelola dan mengurus harta, bukan pada kemiskinan, kekurangan material dan pertentangan antara kuasa pengeluaran dengan sistem pengagihan.

Konsep ini berlandaskan firman Allah yang bermaksud: “(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya.” (Surah al-Hasyr: 7)

Kita perhatikan sangat jelas dalam ayat di atas disebut ‘supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya’ kerana ekonomi dunia hari ini tidak menerima konsep ekonomi rabbani ini makin kita menghadapi masalah serius ketidakadilan ekonomi yang mana yang kaya bertambah kaya, yang miskin hampir mendekati kekufuruan, seterusnya mendekati kekafiran.

Prof Muhammad Abdul Mun’im al-Jammal (1980) dalam Mausu’at al-Iqtisad al-Islami atau Ensiklopedia Ekonomi Islam menulis: “Menurut pandangan Islam masalah ekonomi bukanlah berpunca daripada kekurangan sumber alam yang kadang-kadang tidak mampu diterokai. Pandangan kapitalisme pula ialah tidak timbul hasil daripada berkurangnya kemampuan untuk mencapai matlamatnya yang mungkin juga menyebabkan berlaku keadaan sosial yang tidak adil di sepanjang rentetan sejarah (Marxisme).

Menurut pandangan Islam, masalah itu berpunca daripada kezaliman umat manusia sendiri bersikap tidak adil dalam pengagihan kekayaan (harta), serta tidak menghargai nikmat Allah dan cuai dalam menerokai alam serta sikap negatifnya terhadap nikmat itu ataupun tidak mampu menggunakan semua sumber yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dengan cekap.

Islam sudah pun menyelesaikan masalah sikap tidak menghargai nikmat Allah melalui peraturan yang telah ditetapkannya dalam bidang pengeluaran dan pertukaran barangan. Islam juga dapat membasmi kezaliman melalui peraturan digariskan dalam bidang pengagihan dan penggunaan.

Islam tidak mengenal apa yang disebut dalam ekonomi moden kekurangan sumber untuk memenuhi keperluan seluruh manusia, bukan hanya satu golongan. Anggapan yang menyatakan demikian akan dipatahkan hujahnya oleh firman Allah yang mencipta langit dan bumi di mana manusia adalah sebahagian daripadanya.

Bagaimana kita mengatakan kita kekurangan sumber kemudian kita ditakutkan dengan kemiskinan yang disebabkan olehnya, sedangkan Allah Pencipta seluruh alam berfirman bermaksud: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga memudahkan sungai untuk kamu (mengambil manfaat daripadanya). Dan Dia juga menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu tiap-tiap apa yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, dan tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 32-34)

Sumber tidak akan habis seperti dalam ayat di atas ‘Dan Dia telah memberi kepada kamu tiap-tiap apa yang kamu hajati’. Begitu pula nikmat Allah tidak akan boleh dikira ‘dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya’. Bukankah ini ketetapan Ilahi untuk keperluan hidup makhluk-Nya?

Malangnya, propaganda segelintir manusia menakutkan sebahagian besar manusia yang lain kerana mereka sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya dan yang lebih malang lagi, sebahagian besar manusia ini tidak menyedari propaganda segelintir manusia berkenaan adalah satu kebohongan kerana mereka tidak mengimani ajaran Allah SWT.

Seandainya umat Islam benar-benar melaksanakan ekonomi rabbani, mereka dengan sendirinya membuktikan agama mereka meraikan rahmatan lil’alamin, rahmat untuk seluruh alam. Tetapi sebaliknya, kerana mereka menjauhi ekonomi rabbani akhirnya mereka dianggap beban bagi manusia selain mereka. Wallahualam.

Kita tidak takut kepada kemiskinan tetapi yang kita khuatiri adalah kezaliman segelintir manusia yang memaksa kita menjadi miskin kerana mereka disifatkan al-Quran sebagai ‘zalumun kaffar’. Wallahualam.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

17 April 2010

Kisah syahid si cilik Palestin

Selamat membaca..........


Kisah syahid si cilik Palestin jadikan iktibar
Oleh Al Amin Mohamed Sultan2010/04/17

Remaja di negara berkonflik dahaga ilmu tetapi generasi muda kita hanyut dengan kemewahanBUKAN setahun dua tetapi pencerobohan haram Yahudi ke atas tanah orang Islam Palestin berlaku sejak 1948 lagi. Kejadian itu mengubah keseluruhan landskap negara berdaulat yang disemai dengan kasih sayang serta menyimpan pelbagai nostalgia silam sehingga terdedah kezaliman dan penindasan berterusan.Sudah sekian lama tidak kelihatan ketenangan dan kedamaian tetapi dipenuhi tangisan dan darah.

Malaysia, antara negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, semakin peka dengan isu kemanusiaan di Palestin kerana dasar akidah dan tanggungjawab sebagai saudara seagama.Tiada yang dapat menafikan tunjang kebangkitan dan kekuatan kedua-dua negara ini adalah remaja serta belia yang akan menjadi pelapis, pelindung dan penerus amanah dakwah dan kepemimpinan. Mereka inilah yang akan meneruskan ‘baton’ kepemimpinan mahupun perjuangan menentang kezaliman yang menjadi lubuk serangan pihak musuh.

Berbicara mengenai remaja dan belia, umum mengetahui lebih separuh rakyat Malaysia adalah belia sekali gus meletakkan negara cukup hebat dari segi simpanan aset remaja dan pemuda yang diidam-idamkan kerana potensi yang ada pada diri mereka ini.Mari kita renungkan cerita yang membuka mata seluruh dunia dengan tindakan cekal seorang remaja dalam membuktikan semangat orang muda iaitu kisah syahidnya Fares Audah, 12, si cilik dari kem pelarian Jabalia di Palestin.Kisah bagaimana keberanian seorang remaja menyahut panggilan intifada dengan hanya menggunakan batu sebagai senjata untuk mempertahankan bumi anbia dan tempat kiblat pertama umat Islam.

Serangan ditujukan bukan kepada burung atau kucing tetapi kereta kebal Yahudi yang menyerang dan menghancurkan tanah lahirnya. Itulah rutin harian Fares Audah selepas balik sekolah bersama rakan sebaya. Walaupun ibunya sering kali risau tindakannya, tetapi dia menjawab: “Kenapa kita tidak boleh menyerang mereka, sedangkan mereka menyerang kita.”Malah tindakan itu menyebabkan Yahudi takut dan berundur akibat balingan batu ini. Selepas 40 hari bertempur dengan kereta kebal Yahudi menjadikan Fares Audah sebagai ancaman kepada Yahudi. Ketika tangan kanan kuat menggenggam batu berdepan muncung kereta kebal Yahudi Laknatullah, tentera Yahudi menggunakan ‘penembak curi’ yang menembaknya tepat di kepala.Kematian Fares Audah disambut dengan parti memabukkan oleh tentera Yahudi bagi meraikan kemenangan ke atas si cilik bertuah yang bergelar as-Syahid.

Itulah kisah pengorbanan agung seorang remaja hasil didikan dan pemahaman yang betul.Itu kisah terpuji di negara perang yang sudah lama tidak kenal erti kedamaian, kesejahteraan serta kasih sayang keluarga yang kurang akibat kematian orang tersayang. Di sana tiada sistem persekolahan teratur dan seribu macam masalah lagi. Jadi, bagaimana pula remaja kita yang sepatutnya lebih hebat daripada yang diceritakan kerana kita sentiasa dalam keamanan, kesenangan dan kesejahteraan serta penuh teknologi dan seribu macam lagi keselesaan.

Bagaimana dengan isu remaja tonggak pelapis di Malaysia? Jika hanya satu kisah Fares Audah yang dipersembahkan, apakah ada yang setandingnya dalam mempertahankan Islam dan perjuangan di bumi Malaysia tercinta ini?Semua pihak perlu jelas dengan realiti remaja kita ketika ini yang terlalu dimanjakan. Kita juga kurang fokus terhadap mereka berhubung sistem atau acuan yang benar-benar mantap untuk membentuk pemahaman, jati diri dan rasa tanggungjawab. Kita lihat pengaruh hedonisme atau menjadikan falsafah keseronokan dan hiburan sebagai matlamat hidup. Ini menjadikan hilangnya nilai ketimuran dalam tindak-tanduk remaja. Ini belum lagi kisah remaja semuda 12 tahun menubuhkan kumpulan black metal dianggotai rakan sebaya seperti pernah dilaporkan berlaku di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimana perbandingan antara semangat, wawasan dan ketaatan Fares Audah dengan remaja di Malaysia pada usia mereka yang sebaya? Satu persatu boleh dirungkai. Jika di Palestin, menuntut ilmu sangat dititikberatkan sehingga batu dijadikan pensil manakala tanah dijadikan kertas dalam kesungguhan anak kecil di sana menuntut ilmu walaupun dalam keadaan perang. Yang menjadi dinding bukan binaan indah tetapi khemah pelarian tidak beratap. Kawasannya penuh habuk dan kesan kimia daripada penggunaan senjata Yahudi, bukannya selesa dengan keadaan berhawa dingin. Mereka mendesak pengganas, ti dak dihiraukan perkara lain sehingga belajar di bawah muncung senapang yang sentiasa diacukan kepada mereka.

Lain kisahnya di negara kita. Walaupun disediakan sistem yang tersusun, guru yang ramai dan berkelayakan, sumber dan bahan rujukan lebih daripada mencukupi, kemudahan internet, kawasan pembelajaran yang efektif dan kondusif serta pelbagai kemudahan terus meletakkan remaja di zon selesa tetapi apa yang terjadi pada mereka?Gejala lepak berterusan tanpa sebarang rasa tanggungjawab terhadap ilmu dan masa depan. Ini ditambah pembabitan dalam gangsterisme, berjudi, melawan guru, penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan pelbagai lagi. Jika ditunjukkan statistik, pasti semua pihak akan terus menuding jari dan menggeleng kepala melihat teruknya tahap pemikiran, pemahaman dan perlakuan sebahagian besar remaja kita. Adakah kita tidak mengambil iktibar bagaimana dalam keadaan perang yang sangat dahsyat, Palestin bersungguh-sunguh menerapkan ilmu agama dan berjaya melahirkan 15,000 anak Palestin yang hafiz al-Quran. “Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafiz al-Quran.” Demikian antara petikan kata pemimpin Hamas, Sami Abu Zuhri, yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia daripada rejim Zionis Israel.Di mana kita dan di mana mereka? Banyak lagi perkara memalukan yang tidak mampu kita tempuh dan remaja terus dilalaikan dengan pelbagai perkara lagi.

Penulis ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM), kini tutor di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, UTeM.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

17 November 2009

Perbezaan pendapat

Selamat membaca..........

Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah

TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam. Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain. "Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini. Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara. Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan. Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah. Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.
"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran. "Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya. Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat. Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat. "Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka. "Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang. Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana. Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie. Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie. "Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya. "Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan. "Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya. Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat. Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.

INFO:

Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.
Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.

10 October 2009

Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran

Selamat membaca..........


Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran
Oleh Ibrahim Abdullah

Kejadian suatu kebetulan yang perlu direnungi, insafkan umat ingkar suruhan IlahiSEGALA kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci al-Quran al Karim. Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa). Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz). Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya. Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka. Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita. Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkin kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada kita.Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia. Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah. Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan. Antara yang perlu kita perhatikan disebut al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya. Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya. Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih. Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: Tahukah kamu beritanya? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Baginda berkata: Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu. (Riwayat at-Tirmizi). Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT. Bumi menyucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah. Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa. Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.Firman Allah bermaksud: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini?) (Surah al-Zalzalah : 1-3)

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.

09 October 2009

Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam

Selamat membaca..........


Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam
Okt 8, 09 5:51pm
Umat Islam yang menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah terbenam matahari tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada matahari terbenam.Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam itu wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Mengikut kajian ilmu falak, terdapat dua hari iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai sahaja dalam setahun, kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersembahyang."Untuk tujuan itulah ILIM diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha menghapuskan persepsi salah masyarakat tentang ilmu falak itu mengikut hukum Islam sebenarnya," katanya kepada Bernama selepas menutup Kursus Falak (Qiblat) di Kota Bharu hari ini.Kursus anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Mufti Kelantan (JMK), Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIAK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) disertai hampir 100 peserta terdiri kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.Paimuzi berkata kebanyakan masjid dan surau dan premis hotel, dan kediaman peribadi umat Islam di negara ini masih tidak menggunakan kaedah yang betul dalam menentukan arah kiblat."Jika persepsi yang ini tidak dihapuskan, umat Islam akan terus berada dalam kesilapan hingga ke generasi akan datang."Atas dasar inilah kita mahu peserta kursus menjadi perunding atau petunjuk dalam menentukan arah sebenar kiblat, berpandukan ilmu yang diperoleh daripada kursus ini," katanya. BERNAMA

07 October 2009

Bencana alam kafarah bagi orang beriman

Selamat membaca..........


Bencana alam kafarah bagi orang beriman
Oleh Hasliza Hassanhasliza@bharian.com.my

Manusia sentiasa diuji pelbagai dugaan untuk beri kesedaran elak kemungkaranAPAKAH gempa bumi melanda Sumatera Barat, Indonesia minggu lalu balasan Allah SWT kepada penduduk Padang atau bumi Minangkabau yang semakin jauh menyimpang daripada jalan dibawa Nabi Muhammad SAW seperti didakwa seorang wanita di pekarangan Masjid Raya Ganting, Padang, baru-baru ini?Wanita bertudung labuh dalam lingkungan 30-an yang ditemui wartawan Berita Harian, Mohd Ifwan Tun Tuah yang membuat liputan di bandar malang berkenaan berpendapat, musibah itu adalah peringatan Allah SWT supaya penduduk di Padang dan bumi Minangkabau insaf dan kembali ke jalan-Nya.Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata musibah atau tragedi seperti banjir besar, gempa bumi serta bencana alam lain yang berlaku memang ada sebab musababnya dan semua dapat difahami dengan mengkaji ayat Allah SWT yang menjelaskan kejadian berlaku itu. Katanya, dalam konteks gempa bumi di Sumatera Barat yang mengakibatkan kemusnahan teruk kebanyakan berlaku di Padang, kota pentadbiran wilayah itu dan ia perlu dilihat sebagai ujian didatangkan sebagai azab bagi yang kufur dan musibah kepada golongan beriman.Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 155) “Allah SWT memberitahu manusia akan diuji dengan pelbagai cara dan ini sedang dilalui masyarakat di Sumatera Barat yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan punca pendapatan. Bagi mereka yang sabar dengan ujian Allah SWT ini, ada ganjaran menanti mereka,” katanya.Zahazan berkata, tanggapan bahawa mereka yang ditimpa bencana disebabkan tindakan tidak mengamalkan suruhan Allah SWT atau melakukan kejahatan perlu diperbaiki kerana bukan semua yang menerima nasib malang itu berdosa.Sebaliknya, ia adalah fitrah dijanjikan Allah SWT termasuk dalam bentuk bencana alam yang didatangkan tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang melakukan kemungkaran atau beriman dengan suruhan Allah SWT.Justeru, katanya, apabila berlaku bencana dan tragedi di sesuatu kawasan atau terhadap sekumpulan masyarakat, tidak wajar timbul tanggapan negatif pihak lain terhadap mereka yang ditimpa musibah itu.“Manusia ini ada dua, satu yang kufur dan satu lagi beriman. Apabila satu kawasan dilanda bencana kita tidak boleh katakan semua masyarakatnya melakukan kejahatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam.“Bagi yang kufur, memang ia azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas di akhirat tetapi yang beriman, ini adalah musibah mereka terima di dunia dan terlepas di akhirat. Jadi jangan ada pandangan negatif jika berlaku azab di satu-satu tempat,” katanya.Beliau berkata, Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini tetapi bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian, musibah yang didatangkan sebagai kafarah untuk dosa mereka.Hakikat itu boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya.” (Surah Al-Anfal: 25) Katanya, tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.Ketiga ialah orang salih yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat kerana kesabaran menerima ujian Allah SWT ketika di dunia.Zahazan berkata, sebaiknya bencana yang berlaku menjadi peringatan serta memberi kesedaran terutama kepada mereka yang belum diuji untuk mengelak daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan.Katanya, tidak dinafikan kejadian yang berlaku juga adalah amaran Allah SWT terhadap sikap manusia yang suka melakukan pelbagai kerosakan di darat dan laut tanpa memikirkan kesannya pada kemudian hari nanti.“Sekarang kita tidak ada Nabi yang boleh beritahu bila azab Allah SWT akan datang. Macam dulu contohnya, Nabi Lut sudah beritahu kaumnya mengenai amaran Allah dan apa yang berlaku selepas itu adalah benar. “Oleh itu, apa yang berlaku kepada saudara kita di Sumatera Barat hendaklah menjadi pengajaran bukan saja kepada masyarakat di sana malah kita juga kita di tempat lain, kerana kita tidak tahu bila Allah SWT akan mendatangkan azab-Nya,” katanya.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd.

Perlakuan buruk undang berlaku bala

Selamat membaca..........


Perlakuan buruk undang berlaku bala, bencana terhadap manusia
Oleh Shamsul Anuar Ahmad

CUKUP menyayat hati apabila melihat satu persatu bala dan ujian Allah SWT turunkan kepada manusia pada hari ini. Daripada bala yang datang secara halus sehingga cara menakut dan mengerikan. Semuanya menyakitkan, menyeksakan kehidupan kita, memedihkan perasaan kita dan memilukan hati nurani kita semua. Adakah semua bala yang melanda kita hari ini sekadar bencana alam dan masalah kebersihan yang tidak dijaga sehingga bertukar menjadi penyakit atau virus? Hanya orang berfikir, menghayati, insaf dan merenung saja yang akan mendapati jawapan terhadap fenomena ini. Semua bala dan ujian yang Allah turunkan kepada manusia adalah sebagai dalil bahawa Allah benar-benar berkuasa ke atas makhluknya. Allah juga menurunkan bala supaya manusia berfikir bahawa di alam ini ada kuasa ghaib yang mentadbir, mengurus dan menyelaras keseluruhan proses kejadian alam. Allah menimpakan pada manusia bala dan ujian untuk manusia menyedari bahawa gunung-ganang, teknologi canggih, perkembangan sains, persenjataan hebat, negara bertamadun, pemimpin yang punya kuasa politik besar dan rakyat yang hidup mewah, semuanya akan musnah apabila berhadapan dengan bala dan ujian Allah SWT. Adakah bala dan ujian Allah datang tanpa dijemput? Pernahkah kita mengangkat kedua-dua tapak tangan ke langit untuk memohon bala dan ujian Allah SWT? Mestilah kita katakan tidak pernah. Hakikatnya, kita menjemput bala Allah tanpa disedari. Kita menyeru bala Allah dengan membanyakkan zina, menyebarkan budaya minum arak, memperkayakan kehidupan dengan mata pencarian haram, meninggalkan arahan Allah, melakukan segala larangan Allah, budaya keseronokan (hiburan) dan pembuangan bayi menyebabkan turunnya bala dan ujian Allah, sedangkan kita tidak menyedarinya. Sebenarnya kita hanya diberi bala dan ujian yang kecil Allah jika dibandingkan bala Allah kepada Kaum Ad, Thamud, kaum Nuh, kaum Hud dan umat terdahulu sehingga mereka tidak meninggalkan generasi sehingga hari ini.Firman Allah yang bermaksud, “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (As-Syura: 30) Sabda Rasulullah SAW: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di muka bumi) nescaya langit pasti tidak menurunkan hujan selama-lamanya.” Maksud hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda: “Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:
Apabila harta negara hanya beredar kepada orang tertentu.
Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
Zakat dijadikan hutang.
Suami turut kehendak isteri.
Anak derhaka kepada ibunya.
Anak suka berbaik-baik dengan kawan.
Anak suka menjauhkan diri daripada ayah.
Suara ditinggikan di dalam masjid.
Ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.
Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
Arak diminum di merata tempat.
Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.
Artis jadi pujaan.
Muzik banyak dimainkan.
Generasi akhir umat ini melaknat serta menyalahkan generasi pertama iaitu sahabat Nabi SAW. Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk yang lain. (Hadis Tarmizi)

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd.

27 September 2009

Kedutaan kita di Seoul main tarik tali

Selamat membaca..........


Kedutaan kita di Seoul main tarik tali
Oleh Siti Nurbaiyah nadzmi

Permintaan hantar Mariam pulang ke Malaysia ditolak walaupun dibiayai dermawan KoreaSambungan minggu laluPADA Selasa, jam 3.30 petang, Park menelefon saya, katanya upacara pembakaran mayat yang sepatutnya dijalankan jam 11 pagi tadi tergendala apabila pegawai pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan jenazah Mariam akan dibawa pulang ke Malaysia. “Tetapi mereka tidak tetapkan masa dan kami tak tahu sama ada ia berjaya atau tidak dan mayat Mariam masih di gereja,” kata Park mengenai kekaburan situasi keluarga yang tidak tahu kedudukan sebenar jenazah Mariam. Park mendraf surat yang menyatakan bahawa Ji membenarkan jenazah Mariam dibawa pulang ke Malaysia untuk dituntut Jelani. Surat itu ditandatangani Ji dan diserahkan dengan tangan ke pejabat kedutaan pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan. Park meminta saya bersimpati dengan kedua-dua keluarga Mariam di Seoul dan Kota Tinggi untuk mengesahkan apa yang telah berlaku. Saya mendapat tahu Kohilan (Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay) memaklumkan bahawa Wisma Putra tiada kuasa untuk membawa pulang Mariam kerana arwah sudah melucutkan kewarganegaraannya pada akhir 2007 dan permohonannya diluluskan pada awal tahun lalu. Bingung saya dibuatnya. Bagaimana mungkin Mariam melepaskan pasportnya pada tahun sama beliau mendapatnya dan selepas menunggu selama 64 tahun? Siapakah yang meracuni fikiran nenek itu untuk melepaskan hak kerakyatannya? Jika benar, mengapakah beliau masih ingin pulang ke tanah ini tiga bulan lalu? Park menelefon saya lagi pada pagi Rabu, kali ini suaranya lebih ceria. Sister Seraphina, seorang biarawati yang bertanggungjawab memperkenalkan Park pada Mariam dan menjaga Mariam sebelum dia dipindahkan ke rumah warga tua, menghubungi seorang profesor di Suwon University yang pakar dalam menguruskan jenazah ke luar negara. Park meminta saya menghubungi Jelani sekiranya mereka bersedia menuntut jenazah Mariam. “Kami sedia membatalkan perkhidmatan pengebumian (bakar mayat) pada Jumaat, jam 3 petang,” katanya berharap supaya upacara pembakaran mayat kali kedua itu tidak menjadi kenyataan. Petang itu harapan untuk Mariam kembali ke tanah air menjadi semakin cerah, tetapi sekali lagi Wisma Putra bermain tarik tali dengan keluarga Mariam. Pagi Khamis, 36 jam sebelum upacara pembakaran, saya menelefon Park untuk bertanyakan perkembangan dan terkejut apabila diberitahu pejabat kedutaan menolak mentah-mentah permintaan untuk menghantar Mariam pulang, walaupun kali ini Mariam akan pulang sebagai rakyat Korea, dibiayai oleh dermawan Korea dan diuruskan oleh Kerajaan Korea. Apa lagi yang tak kena? Fikir saya. Jelani yang semakin buntu tidak berdaya untuk berniaga hari itu kerana amat runsing. “Saya tak taulah Baiyah. Tak tau nak fikir apa lagi. Balik ke tidak mak saya ni?” katanya dengan suara perlahan dan tersekat-sekat. Saya tidak sampai hati untuk memberitahunya betapa genting keadaan ketika itu. Pada hari sama seorang teman sekerja menelefon saya dan menasihati supaya tidak berputus harap. Beliau berbisik “Telefon Maij.” Belum sempat saya berbuat demikian, saya dihubungi seorang ustaz daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij), yang bertanya dengan panjang lebar mengenai upacara pembakaran mayat Mariam. Akhir sekali beliau bertanya kepada saya status agama Mariam. “Bagi saya beliau seorang Islam,” kata saya, lalu menerangkan saya pernah mendengar Mariam membaca Al-Fatihah dan mengucap, walaupun pelat, tetapi penuh yakin ketika menemuinya di Seoul dua tahun lalu. Memang benar Mariam bernikah dengan Cho See Won, lelaki yang membawanya ke Hampyoeung selepas Perang Dunia Kedua dan dibaptiskan dalam gereja Roman Katolik, tetapi itulah hakikat masyarakat Korea pada zaman 40-an. Mariam tidak punya pilihan, dalam pada itu beliau menegaskan kepada saya tidak pernah makan daging anjing atau babi seperti diamalkan keluarga Cho dan masyarakat di situ. Sepanjang pertemuan saya dengan Mariam dua tahun lalu, beliau tidak pernah memakai salib atau mengaku menganut agama itu. Panjang lebar penjelasan saya dan ustaz berkenaan mendengar dengan teliti. “Kalau kita nak ikutkan amalan, berapa sangat yang layak dikebumikan cara Islam.” Tidak lama kemudian saya dihubungi seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut mahu mendengar penjelasan saya mengenai Mariam (beliau meminta saya tidak menyebut namanya). Selepas itu Kadi Kota Tinggi, Taufik Shamsuddin pula menelefon untuk mendapat penjelasan sama. Ketiga-tiga sumber saya ini tidak saya kenali sebelum ini dan daripada perbualan telefon dengan mereka petang Khamis itu, jelaslah Jakim dan Maij tidak meragui status agama Mariam dan secara senyap-senyap berusaha membawa pulang Mariam. Selepas berbuka puasa, saya menerima e-mel menyayat hati daripada Park. Katanya, dia sudah berada di hujung segala usaha kerana pejabat Kedutaan Malaysia enggan bekerjasama dan profesor itu tidak akan mengawet jenazah Mariam kerana bimbangkan implikasi negatif hubungan antara dua negara. Park berharap sepenuhnya pada saya untuk memujuk Kerajaan Malaysia untuk membawa Mariam pulang: “Tolonglah, tunjukkan saya keajaiban (boleh membawa mayat Mariam pulang. ”Apakah Park sudah hilang akal? Saya bukan nabi yang dikurniakan mukjizat untuk mencipta keajaiban. Yang mampu saya lakukan ketika itu hanyalah menyebut nama Allah untuk memberi saya jalan dan ilham tindakan selanjutnya. Saya mendapatkan wartawan Berita Harian, Nazura Ngah untuk bertanya perkembangan pada hari itu. Katanya, Kohilan berkata, tiada masalah untuk Mariam pulang. Mengapa bercanggah sekali kenyataan ini? Tidak dapat tidak, saya nekad menelefon Menteri Luar, Datuk Anifah Aman pada jam sudah 10.30 malam, hanya tinggal 17 jam lagi sebelum mayat dibakar. Selama setengah jam Anifah menjelaskan kepada saya prosedur penghantaran yang rumit dengan urusan surat-menyurat dan dokumen. Saya mendengar dan sesekali bertanya balas, misi saya cuma satu untuk meminta Anifah berlembut hati supaya memudahkan urusan Mariam. “Bukan saya tidak berhati perut, saya juga orang Islam, tetapi surat-surat ini penting. Kita tidak boleh emosi. Tanpa surat pelepasan daripada keluarga di Seoul kita boleh dituduh menculik jenazah Mariam. Dah tentu ini akan memberi impak kepada hubungan Malaysia dan Korea Selatan.” Tiba-tiba dia bertanya: “Apa kaitan awak dengan keluarga Mariam?” “Saya wartawan, ini tugasan saya.” Anifah memberi jaminan untuk membantu membawa pulang Mariam dengan syarat saya perlu mendapatkan surat tuntutan daripada waris di Kota Tinggi dan surat pelepasan daripada waris Mariam di Seoul dan die-melkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman pada malam itu juga. Nazura dengan segera mengarang surat itu, hanya menunggu alamat dan panggilan telefon daripada pegawai kementerian. Kami tidak menghubungi Jelani untuk meminta kebenarannya untuk menghantar surat itu kerana jelas beliau ingin ibunya dibawa pulang. Pada jam 11.15 malam, Park menelefon saya dan saya mendapat tahu surat pelepasan itu sudah diserahkan pada pejabat kedutaan pada Selasa. - Bersambung
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.


Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!

20 September 2009

'Kepulangan' Mariam ke tanah air penuh rintangan

Selamat membaca..........
'Kepulangan' Mariam ke tanah air penuh rintangan

Oleh Siti Nurbaiyah Nadzmibminggu@bharian.com.my

PADA petang 6 September 2009 yang gerimis, jam 5 petang, saya menerima panggilan telefon daripada Jamil Onn, Pasir Gudang Johor Baru yang tenang menyampaikan berita, neneknya Mariam Johari sudah menghembuskan nafas terakhirnya di Seoul. Saya lantas menghubungi Ibrahim Isa, wartawan Harian Metro yang turut sama menjejak Mariam dan keluarganya dua tahun lalu di Kota Tinggi dan Plentong. Beliau sudah maklum perkara itu dan kami berbincang tindakan selanjutnya. Saya juga menelefon wartawan kanan Berita Harian, Khirul Bahri Basaruddin, yang terbabit secara langsung ketika Ibrahim, saya dan Azida Shaharuddin (wartawan Berita Harian) membuat liputan Mariam hingga ke Seoul dua tahun lalu, dan seterusnya saya memaklumkan meja berita New Straits Times di Kuala Lumpur untuk tujuan liputan.

Panggilan terakhir petang itu ialah kepada Sheridan Mahavera, bekas ketua biro Johor Bahru ketika saya membuat liputan Mariam dua tahun lalu sebelum kami bertukar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Beliau mengetahui perbualan saya dengan Jelani Sonni, anak lelaki Mariam tiga bulan lalu mengenai niat ibunya yang ingin pulang ke Malaysia untuk selama-lamanya. Tiada sesiapapun yang dapat meneka apakah yang berlingkar di benak Mariam ketika kakinya melangkah keluar dari bendul tangga selepas mengucup anak bongsunya Jamnah Sonni sambil berulang kali menjanjikannya biskut enak dari Korea untuk anaknya itu. Janjinya pada anak montel itu pemergiannya hanya tiga bulan dan dia akan pulang semula ke Malaysia.
Dia hanya pulang 64 tahun selepas itu bagi memenuhi janjinya pada Jamnah membawa biskut enak dari Korea ke Kampung Seluyut. Kepulangan Mariam, 86, menjenguk anaknya ke Kota Tinggi pada September 2007, hanya untuk 10 hari dan beliau kembali ke Seoul sehari sebelum Ramadan. Pemandu bas, Ji Yong Un walaupun anak tiri, tetapi itulah anak yang dibelanya sejak kecil, dan kini anak itu jugalah menanggung segala makan minumnya. Hujung Mei lalu, Mariam jatuh sakit lalu menelefon Jelani di Kota Tinggi dan mereka berbual melalui seorang jurubahasa. Mariam menyatakan permintaannya untuk pulang ke tanah kelahirannya untuk selama-lamanya. Beliau ingin dikuburkan di kampung anaknya. Jelani terpempan, soalnya bagaimana? Beliau hanya penjaja kuih, tetapi ibunya mesti dibawa pulang. Biar apapun tohmahan bakal dilontar padanya beliau akan mencari jalan, maka beliau berjanji pada ibu untuk membawanya pulang.

Pada jam 10.30 malam, 6 September, saya menerima panggilan daripada Seo Kyu Won, pegawai kedutaan Korea di Kuala Lumpur, orang pertama berhubungan dengan saya mengenai Mariam dua tahun lalu. Katanya, Mariam mati dalam keadaan tenang di hospital ditemani orang yang dikasihinya anak tirinya Ji Yong Un dan penerbit dokumentari Korean Broadcasting System, Park Keon Young selain Mariam meninggalkan wasiat mahu ditanam sebagai seorang Kristian. Saya hanya mendengar, menerima tidak, menolak pun tidak. Beliau meminta saya menelefon Park jika ingin mengetahui lebih mendalam perkara itu. Saya menggagahkan diri untuk menelefon Park dan beliau menjawab panggilan saya walaupun pada ketika itu sudah jam 11 malam dan tengah malam waktu Seoul. Dalam pelat Korea dan bahasa pasar Inggerisnya, Park memberitahu mayat Mariam akan dibakar pada pagi Selasa (8 September), walaupun sebenarnya Mariam meminta untuk dikebumikan sama ada di Seoul atau di Malaysia. Perbualan kami ringkas dan melalui Park saya mendapati percanggahan maklumat iaitu pertama, Mariam mati bersendirian di sebuah rumah orang tua, kedua, Mariam yang buta huruf itu tidak meninggalkan apa-apa wasiat bertulis yang sah di sisi undang-undang. Menyirap darah saya membaca kepala tajuk muka depan Berita Harian keesokan harinya yang menyebut wasiat Mariam yang mahu ditanam sebagai Kristian dan disokong melalui kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay kewujudan wasiat itu. Bukan saya seorang saja yang berasa demikian, malah Ibrahim dan Azida yang menulis berita itu sendiri tidak puas hati. Walaupun kami bertiga berada di lokasi yang berbeza masing-masing berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan isu wasiat ini. Azida yang bertugas di biro Johor Bahru berasa ada masalah lain yang lebih utama untuk diselesaikan menemui Jelani di bazar Ramadan Taman Kota Jaya untuk bertanya apakah yang beliau inginkan pada saat itu. Jelani dengan suara yang tersekat-sekat memberitahu Azida meminta jenazah ibunya tidak dibakar dan dihantar pulang dengan segera dan di bazar Ramadan itu jugalah Azida menelefon Wisma Putra bertanya prosedur membawa pulang jenazah Mariam. Dua perkara diminta Wisma Putra ialah kos penghantaran yang harus dibiayai keluarga sebanyak RM11,000 dan surat rasmi berdaftar tuntutan waris. Umpama meminta bulan dan bintang, mustahil surat dan wang dapat dicari dalam masa sejam dua, sedangkan jenazah Mariam akan dibakar esok paginya. Azida merayu Wisma Putra untuk menerima surat yang difakskan. Dalam kesibukan di bazar, anak perempuan Jelani bergegas membeli kertas A4 dan Azida membantu Jelani menderaf surat rasmi, lalu ditandatangani Jelani dalam tulisan jawi. Azida bergegas menumpang sebuah pejabat berdekatan untuk menghantar surat itu melalui mesin faks. Pada masa sama, beliau menghubungi seorang selebriti yang berjanji untuk membantu keluarga Mariam dalam urusan membawa pulang jenazah, (atas permintaan selebriti yang tidak mahu dikenali, saya menggunakan nama samaran Kat). Ketika itu sudah jam 4 petang, Kat bergegas mengeluarkan wang dari ATM dan bergegas dari Shah Alam ke pejabat Wisma Putra di Putra Jaya. Sesampainya di sana pegawai itu kurang pasti apa yang harus dilakukan dengan wang tunai RM11,000 itu. Penolong Setiausaha Bahagian Konsular, Nor Azwa Azreen Abdul Aziz kemudian menyuruh Kat supaya pulang saja dan datang lagi bila diminta. Kata Kat kepada saya, beliau terpinga-pinga dengan sikap selamba pegawai Wisma Putra. Pada Selasa, jam 3.30 petang Park menelefon saya, katanya upacara pembakaran mayat yang sepatutnya dijalankan jam 11 pagi tadi tergendala apabila pegawai pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan jenazah Mariam akan dibawa pulang ke Malaysia. "Tetapi mereka tidak tetapkan masa dan kami tak tahu sama ada ia berjaya atau tidak dan mayat Mariam masih di gereja," kata Park mengenai kekaburan situasi keluarga yang tidak tahu kedudukan sebenar jenazah Mariam. Park menderaf sepucuk surat yang menyatakan bahawa Ji membenarkan jenazah Mariam dibawa pulang ke Malaysia untuk dituntut oleh Jelani. Surat itu ditandatangani Ji dan diserahkan dengan tangan ke pejabat kedutaan pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan. Park meminta saya bersimpati dengan kedua-dua keluarga Mariam di Seoul dan Kota Tinggi untuk mengesahkan apa yang berlaku. Saya mendapat tahu bahawa Kohilan memaklumkan bahawa Wisma Putra tiada kuasa untuk membawa pulang Mariam kerana arwah sudah melucutkan kewarganegaraannya pada akhir 2007 dan permohonannya diluluskan pada awal tahun lalu. Bingung saya dibuatnya. Bagaimana mungkin Mariam melepaskan pasportnya pada tahun sama beliau mendapatnya dan selepas menunggu selama 64 tahun? Siapakah yang meracuni fikiran nenek itu untuk melepaskan hak kerakyatannya? Dan jika benar, mengapakah beliau masih ingin pulang ke tanah ini tiga bulan lalu? Park menelefon saya lagi pada pagi Rabu, kali ini suaranya lebih ceria. Sister Seraphina, seorang biarawati yang bertanggungjawab memperkenalkan Park pada Mariam dan menjaga Mariam sebelum dia dipindahkan ke rumah warga tua, menghubungi seorang profesor di Suwon University yang pakar dalam menguruskan jenazah ke luar negara. Park meminta saya menghubungi Jelani sekiranya mereka bersedia menuntut jenazah Mariam. "Kami sedia membatalkan perkhidmatan pengebumian (bakar mayat) pada Jumaat, jam 3 petang," katanya berharap supaya upacara pembakaran mayat kali kedua itu tidak menjadi kenyataan. Petang itu harapan untuk Mariam kembali ke tanah air menjadi semakin cerah, tetapi sekali lagi Wisma Putra bermain tarik tali dengan keluarga Mariam. Pagi Khamis, 36 jam sebelum upacara pembakaran, saya menelefon Park untuk bertanyakan perkembangan dan terkejut apabila diberitahu pejabat kedutaan menolak mentah-mentah permintaan untuk menghantar Mariam pulang, walaupun kali ini Mariam akan pulang sebagai rakyat Korea, dibiayai oleh dermawan Korea dan diuruskan oleh kerajaan Korea. Apa lagi yang tak kena? Fikir saya. Pada hari sama seorang teman sekerja menelefon saya dan menasihati supaya tidak berputus harap.
Beliau berbisik "Telefon MAIJ." �
Bersambung (Minggu depan: Kedutaan Malaysia di Seoul tidak memberi kerjasama, termasuk enggan mengesahkan mayat Mariam akan dibawa balik ke Malaysia)