Selamat membaca..........
Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah
TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam. Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain. "Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini. Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara. Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan. Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah. Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.
"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran. "Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya. Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat. Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat. "Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka. "Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang. Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana. Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie. Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie. "Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya. "Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan. "Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya. Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat. Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.
INFO:
Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.
Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.
No comments:
Post a Comment