Selamat membaca..........
Hak Muslim: Isteri kena dera ada alasan kukuh tuntut fasakh, cerai
Wanita teraniaya boleh guna laporan polis, perubatan dan peguam syarie urus permohonanSAYA sudah berkahwin lima tahun lalu. Pada awal perkahwinan, suami saya seorang yang baik, lemah lembut dan penyayang. Setelah saya melahirkan anak kedua kami, suami saya mula berubah menjadi seorang yang bengis dan panas baran. Saya selalu dipukul, disepak dan diterajang di depan anak-anak saya sehingga badan saya lebam-lebam. Saya juga pernah dikurung dan tidak dibenarkan pergi bekerja kerana cemburu. Tidak cukup dengan memukul saya, suami saya juga sering memaki hamun saya dengan perkataan kesat seperti 'perempuan tak guna', 'perempuan tak tahu malu'. Saya pernah meminta dia ceraikan saya tetapi dia pujuk saya dan berjanji akan berubah serta tidak akan memukul saya lagi.
innity_country = "MY";
innity_client = "17";
innity_zone = "761";
innity_channel = "";
innity_keyword = "";
Namun begitu, tidak sampai pun sebulan dia mula pukul saya balik apabila saya tidak dapat menyediakan makanan kesukaannya. Dengan bantuan jiran, saya berjaya keluar dari rumah bersama anak-anak saya. Saya sekarang ini menerima beberapa ugutan suami, yang dia akan cederakan saya dan anak-anak jika saya tidak kembali semula kepadanya. Saya sudah tidak tahan lagi dengan seksaan dan deraannya dan tidak tahu di mana tempat untuk mengadu. Adakah saya mempunyai hak perlindungan di bawah undang-undang dan bolehkah saya minta fasakh?
Azimah, Rawang, Selangor. SAYA amat bersimpati dengan apa yang menimpa puan dan saya berharap puan tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini. Apa yang berlaku ke atas puan adalah suatu tindakan kejam dan biadab yang melanggar batas kemanusiaan. Kes keganasan rumah tangga di dalam masyarakat kita hari ini semakin meningkat dan berada pada tahap amat membimbangkan dan memerlukan pembelaan sewajarnya. Oleh yang demikian, puan sebenarnya mempunyai hak di bawah undang-undang, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Saya menasihatkan puan agar segera mendapat rawatan di mana-mana hospital berdekatan dan juga membuat aduan terhadap keganasan dilakukan terhadap puan di mana-mana balai polis berdekatan. Seterusnya puan juga sebenarnya berhak mendapat perintah perlindungan sementara seperti diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Melalui perintah ini, puan akan dilindungi daripada sebarang gangguan pihak suami sementara menunggu siasatan polis selesai.
Bagi tujuan perintah perlindungan ini, saya menasihatkan agar puan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) dan puan perlu mengemukakan dokumen seperti kad pengenalan, sijil perkahwinan puan, laporan polis, laporan perubatan serta sebarang dokumen berkaitan kepada JKM untuk siasatan. Jika sekiranya JKM mendapati kes ini tergolong dalam kes keganasan rumah tangga, maka JKM akan membantu puan memfailkan permohonan untuk mendapat hak perlindungan sementara di Mahkamah Majistret. Setelah mahkamah mengeluarkan perintah itu, maka JKM akan menyerahkan satu salinan kepada puan dan suami puan. Jika sekiranya suami puan didapati melanggar perintah itu, maka suami puan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali serta boleh di kenakan hukuman di bawah undang-undang jenayah seperti diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan. Puan juga boleh mendapat perintah perlindungan secara menghalang suami puan daripada melakukan kekasaran ke atas puan dengan memohon perintah injunksi daripada mahkamah syariah. Beberapa syarat dan permohonan perlu dipenuhi dan sebaiknya dapatkan nasihat peguam syarie. Selain itu, puan juga mempunyai hak untuk bercerai dengan suami puan secara fasakh seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana diperuntukkan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya, termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak. Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar serta menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan kukuh untuk menuntut fasakh. Oleh yang demikian, puan boleh menggunakan laporan polis, laporan perubatan serta perintah perlindungan sementara ini sebagai bukti untuk menyokong permohonan fasakh puan. Saya juga menasihatkan agar puan mendapatkan khidmat nasihat peguam syarie bertauliah dan berpengalaman bagi melicinkan proses permohonan fasakh puan. Jika puan tidak mampu untuk melantik peguam, puan bolehlah mendapatkan bantuan Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman.
Jawapan ini disediakan oleh Yusmawati Ab.llah, Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
No comments:
Post a Comment