Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

29 December 2007

Orientasi peperiksaan beban pelajar

Selamat membaca..........
Perspektif: Orientasi peperiksaan beban pelajar
Bersama Saifuddin Abdullah
saifuddin61@yahoo.com

Dasar, sistem dijadikan budaya hingga kita lupa falsafah lahirkan insan sempurna

PEPERIKSAAN penting, tetapi bukanlah segala-galanya. Malangnya, sebahagian kita menganggap sebaliknya, lalu peperiksaan, seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang keputusannya diumumkan kelmarin, dijadikan umpama nyawa seseorang pelajar.


Semoga tidak ada lagi yang membunuh diri kerana keputusan yang kurang baik. Kita tahu kisah bunuh diri ini kerana ia pernah dilaporkan. Apa yang kita tidak tahu ialah berapa ramaikah remaja mengalami tekanan psikologi yang teruk, seperti kemurungan, hilang harga diri dan malu, berikutan keputusan kurang baik, sama ada dalam peperiksaan awam atau dalaman.


Masalahnya ialah berapa ramaikah di kalangan kita, iaitu ibu bapa dan guru, yang dipercayai oleh remaja, iaitu anak dan pelajar kita, sehingga mereka bercerita dengan kita isu yang dekat dan rapat padanya, secara tanpa takut dan ragu?


Atau, seperti yang ditunjukkan oleh kajian, kita menjadi orang terakhir atau orang kemudian, iaitu pokoknya bukanlah orang pertama, yang didatangi remaja untuk meluahkan perasaannya apabila mereka dilanda masalah.


Mengapakah sebahagian kita tidak dipercayai remaja? Sebabnya ialah majoriti remaja menganggap yang suara dan perasaannya tidak dianggap penting oleh sebahagian kita.


Ini kerana kita jarang secara tulen mendengar suara mereka. Kita lupa ajaran Allah dan Rasulullah mengenai kaedah pembangunan remaja dan teknik berkomunikasi dengannya. Kita lupa panduan, misalnya, oleh Mary Pipher (1994), Reviving Ophelia dan Donna G. Corwin (1999), The Tween Years mengenai bagaimana kita patut lakukan dalam pembinaan remaja. Contohnya, remaja perlu dididik, bukannya diherdik.


Sebaliknya, sebahagian kita mendakwa sangat tahu mengenai remaja, sedangkan hakikatnya kita tidak mengetahui. Dalam buku Gayatri Patnaik dan Michelle T. Shinseki (2000), The Secret Life of Teens, dipetik luahan hati Steffanie, 14: �Hanya kerana saya lebih muda, tidak bermakna saya tidak boleh bersuara... hanya kerana saya remaja, tidak bermakna saya sama seperti setiap remaja yang anda kenali... hanya kerana anda pernah jadi remaja, tidak bermakna anda memahami saya�.


Lebih parah lagi, ada kaunselor, iaitu yang sepatutnya dipercayai, tetapi menjadi orang paling tidak dipercayai kerana membocorkan rahsia remaja yang mengadu padanya.


Ada ramai remaja mengalami tekanan psikologi disebabkan keputusan peperiksaan kurang baik. Tekanan psikologi yang berat, sebenarnya, sudah cukup sebagai iktibar baginya. Janganlah menambahkan tekanan dengan memarahinya, mengatakan kita malu dengan keputusannya, membandingkannya dengan orang lain atau menyalahkan perkara yang tidak terbukti salahnya seperti pembabitan dalam kokurikulum.


Apa yang diperlukan ialah kita membimbingnya mengenal pasti kesilapan dan merancang penambahbaikan. Bimbingan mesti dilakukan dengan betul, iaitu umpama pendakwah yang baik. Dalam al-Qur'an, ayat 125 surah an-Nahl, mengisyaratkan supaya bimbingan dilakukan �dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik�.


Janganlah menghukum. Contohnya, dalam isu berkat. Berkat penting. Tetapi, janganlah berkat dihujahkan kepada perkara yang tiada kena mengena dengannya. Katakanlah seseorang remaja mempunyai pendapat berbeza dengan kita mengenai sesuatu perkara.


Sepatutnya, kita �berbincanglah dengan mereka cara lebih baik�, iaitu seperti sambungan ayat surah an-Nahl tadi.


Tetapi, masalahnya, ada yang menganggapnya sebagai mereka melawan kita. Lalu kita berhujah yang mereka sudah melakukan satu kesalahan yang mungkin menyebabkan mereka tidak mendapat berkat lalu akan mendapat keputusan peperiksaan yang kurang baik.


Dan sebaik saja keputusan yang kurang baik itu diumumkan, maka kita terus saja menempelaknya bahawa itu adalah kerana tiada berkat.


Sebenarnya, keputusan peperiksaan kurang baik disebabkan oleh banyak faktor. Kita perlu menilainya dengan tenang, teliti dan rasional. Memanglah dalam Islam, dari satu segi, ia mungkin satu ujian. Tetapi, ujian ada banyak sebab. Ada ujian diturunkan sebagai balasan kesilapan masa lalu.


Ada yang sebagai ingatan untuk masa depan, dan ada yang berupa ujian oleh Allah kepada hamba yang dikasihi-Nya. Meskipun ia berlaku kepada anak dan pelajar, ia mungkin juga ujian yang ditujukan kepada kita, iaitu berikutan kesilapan masa lalu, mungkin terhadap ibu bapa dan guru kita.


Pokoknya kita tidak tahu. Kerana berkat dan ujian adalah kerja Tuhan, bukannya kerja kita. Jadi, tidak payahlah kita menjadi Tuhan kecil pula. Di samping itu, jangan sesekali terkesan di hati remaja bahawa mereka disayangi apabila keputusannya baik, sedangkan kasih sayang seharusnya tanpa sebarang syarat.


Orientasi peperiksaan sudah sampai ke tahap maksimum. Ada ibu bapa menghantar anaknya ke tuisyen sejak Tahun Satu dan, bersama sesetengah guru, melarang remaja tahun peperiksaan daripada terbabit dalam kokurikulum.


Malah, ada pengetua sekolah berasrama penuh (SBP) berniat mengeluarkan 30 pelajar yang dianggap buruk keputusan PMRnya dan menggantikannya dengan pelajar lain. Ini bermula dengan mengurangkan pengambilan pelajar Tingkatan Satu daripada 120 orang kepada 90 orang saja mulai tahun depan.


Ini adalah disebabkan dasar dan sistem yang membudayakan sehingga kita lupa falsafah pendidikan Islam dan negara untuk melahirkan insan sempurna serta rakyat yang memiliki peribadi bersepadu.


Banyak �A� bukanlah jaminan kejayaan masa depan. Kita juga memaksakan aliran sains. Walaupun kita mempunyai dasar 60:40, iaitu 60 peratus pelajar dalam aliran sains dan 40 peratus dalam aliran bukan sains, di kalangan pelajar terbaik, kita mengamalkan hampir 100 peratus aliran sains, contohnya di SBP.


Walaupun pelajar SBP dibenarkan mengambil subjek pilihan seperti Prinsip Akaun, mereka tidak dibenar menggugurkan subjek Sains yang tidak tergalas olehnya. Remaja mesti diberi peluang membuat sekurang-kurangnya sedikit pilihan.


Tidak lama dulu, ada sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur yang mempunyai beratus-ratus pelajar STPM yang majoritinya bekas pelajar aliran sains kerana dipaksa mengikutinya lalu keputusan SPMnya buruk lantas datang ke sekolah swasta itu untuk peluang kedua.


Mereka memilih aliran sastera bagi STPM. Ramai berjaya ke universiti. Di samping itu, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional masih dianggap sebahagian kita sebagai bidang kelas kedua. Sehingga remaja ditakut-takutkan, bahawa kalau keputusannya kurang baik, maka ia terpaksalah memasuki bidang ini.


Oleh itu, timbul beberapa soalan. Adakah pembangunan modal insan yang dilaungkan kini benar-benar bersepadu dan berimbang, iaitu dari segi ilmu dan kemahiran, akademik dan kokurikulum, sains dan bukan sains, serta agama dan sahsiah?


Adakah kita benar-benar mementingkan anak dan pelajar? Atau sebenarnya kita lebih mementingkan diri sendiri, iaitu apabila keputusan peperiksaan baik, kalau ibu bapa, ia mahu berbangga atas hasil anaknya, manakala kalau guru dan pengetua, mereka mahu naik pangkat atas hasil pelajar dan sekolahnya?


Dalam konteks ini, ada dua buku yang relevan, yang mempunyai tajuk sama, iaitu MisEducation, tetapi ditulis oleh dua orang intelektual terkenal berlainan, David Elkind (1987) dan Noam Chomsky (2000).


Elkind menyatakan langkah melahirkan �superkid� dengan pelajaran sejak kanak-kanak lagi mengundang risiko remaja akan berkekalan rosak harga diri, hilang sikap positif dan terbantut bakatnya. Tetapi Chomsky mengetengahkan kefahaman yang lebih luas mengenai keperluan sebenar pendidikan hari ini. Orientasi peperiksaan perlu segera dikurangkan sebelum lebih ramai remaja terkorban.


INTI PATI


# Tidak ramai ibu bapa dan guru menjadi orang paling hampir dengan anak untuk diceritakan masalah mereka.


# Ramai remaja alami tekanan psikologi kerana keputusan peperiksaan kurang memuaskan.


# Kita patut menilai dengan tenang, teliti dan rasional jika remaja mendapat keputusan peperiksaan yang kurang baik, bukan menempelak mereka.


# Orientasi peperiksaan yang kini sampai ke tahap maksimum menyebabkan ada ibu bapa menghantar anak mereka ke tuisyen sejak Tahun Satu, dan sesetengah melarang mereka terbabit dalam kegiatan kokurikulum.


Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Islam dahului Barat 800 tahun

Selamat membaca..........
Ensiklopedia: Islam dahului Barat 800 tahun
Oleh Ibrahim Abdullah

INTELEKTUAL terkemuka Perancis, Roger Garaudy berpendapat, andainya Barat memilih dan menerima Islam sebagai sistem atau pandangan hidup, maka Barat tidak akan melakukan penjajahan di dunia Islam.

Selain itu, Barat juga tidak akan melakukan peperangan dan merampas hak kehidupan bangsa lain, terutama umat Islam. Inilah nasib tragedi yang dialami Barat hingga kini, mereka ingin terus menjajah umat Muslim dengan berbagai cara dan polanya.

Setiap tahun mereka menindas orang Islam yang dianggap sebagai ancaman kepada kepentingan Barat. Mengenai hal ini, kita dapat lihat bagaimana mereka (Amerika, Inggeris, Perancis, Itali, Belanda, Jerman dan negara sekutu lainnya) bersatu menakluki wilayah Islam di Asia Barat, Afrika dan Asia.

Menurut Garaudy, Barat bersikap rakus dan serakah terhadap masyarakat Islam kerana mereka memilih kebangkitan semula yang bertitik tolak di Itali bukan di Sepanyol. Pada hal, Islam lebih dulu lahir di Barat iaitu di Sepanyol.

Mereka melupakan kebangkitan Islam di Sepanyol, iaitu ketika pemerintahan Islam di bawah Bani Ummaiyah yang berkuasa selama empat abad sebelum kebangkitan Barat di Itali. (Roger Garaudy, Promesess de I'Islam, 1981)

Ketika Islam menakluk Gibraltar (Jabal Tariq), Sepanyol, pasukan Islam di bawah komando Ziyad Ibnu Tariq, ramai masyarakat Barat yang memilih menjadi Muslim, manakala mereka yang tetap pada agama Kristian, dilindungi. Tidak ada gereja yang diruntuhkan dan rumah mewah mereka tetap dibangunkan.

Selepas Islam diterima pakai di kawasan itu, lahirlah ulama, filsuf, hukama, kadi serta ilmuwan Islam termasyhur dan terpenting yang menyumbangkan ilmu mereka kepada dunia Barat seperti Ibnu Rusydi, pakar perbandingan fiqh dan filsafat, al-Qurtubi dan lainnya.

Pemilihan seorang siswa yang berjaya menyelesaikan pendidikan dan lulus ujian sudah menjadi tradisi sejak didirikan universiti tertua di Al-Azhar, Mesir. Tradisi itu mengajarkan bahawa seorang siswa sudah layak dan berhak untuk menjadi mualim (pengajar).

Buku di perpustakaan besar pula mewujudkan pelbagai karya rujukan bibliografi. Karya ensiklopedia pertama adalah hasil karya Ikhwan al-Shafa tahun 983 Masihi, tetapi Marshal Cavendish 800 tahun kemudian, dianggap Barat sebagai orang yang menyusun ensiklopedia dalam bahasa Inggeris.

Ilmu pengetahuan yang maju, peradaban tinggi dan perpustakaan besar dengan beribu buku menarik begitu ramai ilmuwan dari seluruh dunia terutama ilmuwan Barat belajar di pusat pengajian Islam itu. Selepas kembali ke negara asal, mereka menyebarkan Islam dan muncul kebangkitan bangsa Barat.

Metod ilmiah adalah sumbangan peradaban Islam pada pengembangan ilmu pengetahuan di dunia Barat. Dalam laporan makmal, ada nama seperti al-Battani (929 Masihi), al-Biruni (1048 Masihi), dan Ibnu Haitham (1039 Masihi), ditemui. Tetapi Roger Bacon dianggap sebagai orang yang menghasilkan ilmu pengetahuan mengenai ujian makmal.

Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi (850 Masihi) menemukan ilmu algebra dari judul bukunya al-Jabr wa al-Muqabbala, 300 tahun kemudian dunia Barat mengenali angka sifar dan menggantikan dengan angka Arab serta meninggalkan sistem angka Romawi yang susah dimengerti. Namun begitu, orang Barat melupakan jasa dan bakti al-Khawarizmi sebagai pengasas ilmu algebra.

Dalam bidang kesusasteraan, misalnya novel Alf Laila wa Lailah (kisah seribu satu malam), sebenarnya bukan karya sastera meskipun diakui sebagai karya seni dengan isinya cukup bernilai bersama tokohnya Abu Nawas (810 Masihi), yang terkenal dengan sifat lucunya yang mengandungi nilai filsafat.

Begitu juga Ibnu Tufail (1185 Masihi), adalah seorang pengarang novel filsafat yang paling tersohor hingga kini. Karyanya Ibnu Yaqzan (Kehidupan Ibnu Yaqzan) banyak ditiru dan diceritakan oleh Robinson Crusoe dan Dafoe. Tentu saja Dafoe lebih terkenal di dunia sastera Barat daripada Ibnu Tufail.

Contoh orbit planet, Copernicus yang kemudian dirumuskan dengan baik oleh Kepler dalam hukum Kepler 1, 2, dan 3 sebenarnya sudah dihasilkan di Maraga Sepanyol oleh ilmuwan Islam al-Tusi (1274 Masihi), yang kemudian diteruskan oleh Ibnu al-Syatir (1375 Masihi) di Damsyik.

Ibnu al-Haitham (1039 Masihi), mempelopori kajian mengenai optikal (cermin mata), eksperimennya menggunakan lebih daripada 27 jenis lensa. Roger Bacon, Leonardo da Vinci dan Kepler, juga Newton mengambil inspirasi dan menceduk daripada buku Kitab al-Manzir (Kamus Optik). Sesungguhnya hal ini sudah dirumuskan dengan baik dan dipelopori oleh Ibnu al-Haitham melalui eksperimennya.

Dalam bidang ilmu kedoktoran, dunia mesti berterima kasih pada Ibnu Sina, bangsa Barat menyebutnya Ave Sena yang menulis Kitab Qanun fi al-Tibb, menerangkan pelbagai jenis penyakit dan cara mengubatinya secara komprehensif. Buku itu menjadi acuan selama beberapa abad kemudian dan diajarkan kepada seluruh calon doktor Barat pada waktu itu.

Hingga akhir abad ke-19 ilmu kedoktoran mencapai tingkatan tertinggi yang disumbangkan oleh doktor Muslim dan diguna pakai oleh calon doktor Perancis. Calon doktor di Perancis mesti mendapatkan surat keizinan praktikal dari Ketua Doktor Muslim di Tunisia.

Tetapi, pemerintah kolonial Perancis melarang keras tindakan itu. Eropah berusaha menghapuskannya dengan alasan menganggapnya rendah kerana doktor mereka mesti praktikal di Tunisia di bawah pemerintahan Islam.

Kebaikan khazanah ilmuwan Islam itu dicuri, diceduk dan diakui sebagai hasil karya Barat. Hasil karya ilmuwan Islam itu sedikit demi sedikit dihapuskan penguasa dan pemerintah Barat. Mereka tidak menghargai perjuangan dan pengorbanan umat Islam.

Garauday berkata, selama 13 abad, Barat menolak warisan peninggalan Islam dan berusaha mempertemukan dengan kebudayaan lainnya di seluruh dunia.

Beliau seterusnya menegaskan, jika Barat bersikap baik dan merendah diri, mereka akan menjadi bangsa yang bermartabat. Selain itu, warisan Islam akan membantunya untuk merasakan dimensi kemanusiaan dan ketuhanan yang dipisahkan sekian lama oleh kebudayaan Barat.

Bila Barat mahu menerima Islam, maka Barat tidaklah bersikap seperti sekarang dengan sifat sekularisme, liberal dan ego, serta melupakan warisan khazanah peninggalan peradaban Islam yang sangat tinggi nilai dan tamadunnya pada sepanjang zaman.

INFO
Antara tokoh dan sumbangan ilmuwan Islam

# Karya ensiklopedia pertama adalah hasil karya Ikhwan al-Shafa tahun 983 Masihi.

# Metod ilmiah adalah sumbangan peradaban Islam pada pengembangan ilmu pengetahuan di dunia Barat. Dalam laporan makmal, ada nama seperti al-Battani (929 Masihi), al-Biruni (1048 Masihi), dan Ibnu Haitham (1039 Masihi).

# Dalam bidang matematik, al-Khawarizmi (850 Masihi) menemukan ilmu algebra dari judul bukunya al-Jabr wa al-Muqabbala.

# Dalam bidang kesusasteraan, misalnya novel Alf Laila wa Lailah (kisah seribu satu malam), sebenarnya bukan karya sastera meskipun diakui sebagai karya seni dengan isinya cukup bernilai bersama tokohnya Abu Nawas (810 Masihi).

# Begitu juga Ibnu Tufail (1185 Masihi), adalah seorang pengarang novel filsafat yang paling tersohor hingga kini.

# Contoh orbit planet, Copernicus yang kemudian dirumuskan dengan baik oleh Kepler dalam hukum Kepler 1, 2, dan 3 sebenarnya sudah dihasilkan di Maraga Sepanyol oleh ilmuwan Islam al-Tusi (1274 Masihi), yang kemudian diteruskan oleh Ibnu al-Syatir (1375 Masihi) di Damsyik.

# Ibnu al-Haitham (1039 Masihi), mempelopori kajian mengenai optikal (cermin mata), eksperimennya menggunakan lebih daripada 27 jenis lensa.

# Dalam bidang ilmu kedoktoran, dunia mesti berterima kasih pada Ibnu Sina, bangsa Barat menyebutnya Ave Sena yang menulis Kitab Qanun fi al-Tibb, menerangkan pelbagai jenis penyakit dan cara mengubatinya secara komprehensif.

Cetak artikel | H

24 December 2007

Punca pinjaman ditolak

Selamat membaca..........

An-Nur: Punca pinjaman ditolak
Bersama Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM

Punca pinjaman ditolak

MINGGU ini adalah siri terakhir jawapan saya kepada banyak soalan yang diterima daripada umat Islam yang keliru selepas permohonan pinjaman mereka dengan bank Islam ditolak.

Mereka ingin penjelasan sama ada daruratkah jika mereka mengambil pinjaman riba daripada bank konvensional berikutan penolakan berkenaan.

Minggu lalu saya berhenti selepas memberi dua hujah apa yang disemak bank Islam sebelum meluluskan permohonan pinjaman. Minggu ini saya sambung semakan itu juga membabitkan:

# Central Credit Reference Information System (CCRIS):

Pada masa ini, sistem ini mempunyai informasi seramai lima juta peminjam dan pelanggan di bank seluruh Malaysia. Menerusinya, pihak bank dapat mengetahui sama ada pemohon mempunyai rekod pernah lewat membayar atau tidak dalam hutangnya di bank lain, sama ada dalam kad kredit, rumah, kereta dan lain-lain. Jika ada, laluan untuk mendapat kelulusan adalah sukar.

# Jenis kereta dan tahun pembuatannya (jika ingin membeli kereta) dan pemaju (jika ingin membeli rumah di dalam pembinaan).

Ini kerana sebahagian jenis kereta dianggap tidak berdaya saing dan sukar dijual di pasaran (biasanya kereta terpakai yang boleh dibiayai oleh bank adalah berusia 10 hingga 15 tahun ke bawah saja). Justeru, risiko tinggi bagi bank untuk membiayai pelanggannya.

Demikian juga pemaju dan lokasi rumah yang ingin dibeli. Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya, tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah perniagaan kurang berisiko.

Apa dinyatakan ini adalah beberapa maklumat ringkas saja, sekadar memberi gambaran kasar kepada pembaca. Selepas semua ini disemak, baru bank akan meluluskan atau menolak permohonan pelanggan.

Wajarkah bank Islam menolak permohonan pelanggan?

Selepas kita tahu demikian cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya, adakah wajar sebuah bank Islam menolak permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah dan lain-lain?

A) Bank Islam adalah sebuah entiti perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan dirinya kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tiada kemampuan (mengikut standard piawaian mereka) untuk membayar hutang hasil jual beli aset yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah, jika kita ada sebuah rumah yang ingin disewakan dan kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi tiada pekerjaan kukuh, sedangkan kos sewa sebulan rumah yang ingin anda tawarkan adalah RM800. Adakah anda sanggup menyewakannya, sedangkan anda terpaksa membuat bayaran bulanan kepada bank sebanyak RM750 sebulan?

Dalam hal ini, anda terpaksa membuat bajet tepat bagi meraih untung dan pada masa sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan.

Demikian halnya sebuah bank, ia ada tanggungjawab bagi memastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan baik. Bagi memastikan keuntungan mampu dicapai, tentu ia terpaksa memilih pelanggan.

Kesimpulannya, sama ada anda mahu menyewa rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia bergantung kepada pengurusan dan piawaian anda selaku pemilik aset.

Jika anda meneliti buku pakar kewangan, pasti mereka menyarankan anda supaya tidak menyewakannya, kecuali kepada orang yang memiliki tahap kewangan meyakinkan.

B) Mengikut sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang daripada anda, elok jika anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya, kecuali jika anda sudah berniat daripada awal untuk mensedekahkannya kepada peminjam pada waktu kesusahannya. Allah SWT berfirman:

Ertinya: “Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Menghalalkan hutang adalah tindakan terpuji dan sesuai dilakukan secara individu, tetapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank Islam mensedekahkan saja hutang yang berpuluh ribu ringgit jumlahnya, ia mungkin keterlaluan.

Justeru, jika kita tidak berniat menghalalkannya atau memberi tempoh lebih panjang pada waktu peminjam sukar, elok kita jangan memberi hutang kerana kelak ia akan menjerumuskan peminjam ke dalam dosa yang pelbagai, seperti hadis ini:

Ertinya: Baginda menyebut: “Sesungguhnya seorang itu apabila dia berhutang, ketika dia berbicara dia kerap berdusta, bila berjanji dia kerap mengingkarinya.” (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Juga sebuah hadis lain: Ertinya - “Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, ulama menyatakan harus hukumnya untuk ditangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam Al-Haithami pula mengatakan, orang berkemampuan tetapi menangguh melunaskan hutang dengan sengaja adalah melakukan satu daripada DOSA BESAR. (Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250)

Kesimpulannya, memberi hutang kepada orang yang tidak layak boleh menjerumuskan mereka kepada tiga dosa berikut:

1) Bercakap lalu berbohong.

2) Berjanji lalu memungkiri janji.

3) Ada duit tetapi menangguh bayar lalu tergolong dalam kumpulan ‘Mumatil’ dan dihukum zalim oleh Nabi SAW.

Hasilnya, tidak wajar kita menuduh bank Islam sebagai zalim kerana menolak permohonan kita kerana mengikut sudut pandangan Islam, ia turut ada masalahat dan kepentingan yang diiktiraf oleh syariah, iaitu menjaga maslahat pemohon itu juga, supaya tidak menjerumuskannya ke lembah hina dan gagal bayar.

Saya kira, sebagai perancangan kewangan yang berikhsan, cuba pastikan setiap kali ingin membuat tambahan hutang, pastikan pendapatan dan beban hutang anda kurang daripada 50 peratus sebagai formula bank tadi. Ia baik diamalkan bagi individu.

Kini, pihak akademik Islam di universiti mencadangkan diwujudkan pembiayaan mikro kredit Islam. Ia lebih khusus bagi individu berpendapatan rendah dan kesukaran untuk memperoleh pembiayaan.

Namun, kita menghadapi masalah kekurangan individu kaya dan syarikat kaya yang sudi melepaskan peluang mendapat untung besar untuk masuk ke dalam jenis pembiayaan mikro ini yang menawarkan untung kecil.

Ini menyebabkan cadangan ahli akademik menjadi bahan di perpustakaan saja.

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi Datuk Seri Raja Faqih

Selamat membaca..........

Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi Datuk Seri Raja Faqih

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PADA riwayat Syeikh Sa'id, mengenai Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang akan diriwayatkan ini, di sana-sini telah penulis singgung serba ringkas.

Oleh itu, perkara yang telah penulis bicarakan tidak perlu diceritakan lagi. Penulis langsung saja membuat petikan daripada yang termaktub dalam salah sebuah versi Tarikh Fathani, iaitu versi yang sama dengan penulis petik mengenai cerita Syeikh Sa'id tersebut.

Petikan selengkapnya, "Maka paduka anakanda baginda itu Sultan Mughaffar Syah lah dirajakan orang. Hatta kerajaan paduka ayahanda baginda itu dudukkan di atas takhta kerajaannya dengan adil dan murahnya. Maka negeri Fathani pun makin bertambah sentosa dan makmurnya. Dan dagang santeri pun terlalu banyak pergi datang. Antara [be]berapa lamanya maka datang pula seorang Pasai bernama Syeikh Shafiyuddin, pun berbuat rumah di padang, di luar pintu gerbang itu. Hatta, maka Syeikh Shafiyuddin pun dipanggil [oleh] raja bertanyakan perintah agama Islam. Maka sembah Syeikh Shafiyuddin, "Ada pun tiap-tiap negeri Islam itu maulah ada sebuah masjid [tempat] segala rakyat menyembah Allah Taala. Maka nyatalah agama Islam itu. Jika tiada ada masjid di dalam negeri ini, bahawa tiada adalah kenyataan agama Islam itu".

Maka Sultan Mughaffar Syah pun memberi titah kepada Bendahara menyuruh membuat sebuah masjid di dalam negeri dan sebuah masjid di Bandar. Syahdan maka masjid itu pun sudahlah dibuat kedua[-dua]nya seperti sembah Syeikh Shafiyuddin itu. Maka Syeikh Shafiyuddin pun dikurnia nama Seri Raja Faqih. Syahdan agama Islam pun makin masyhurlah dari segala daerah, dusun dan kampung hingga sampai ke Kota Mahligai itu pun Islamlah mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.. Syahdan sungguhpun [demikian] yang pekerjaan kafir seperti menyembah kayu, batu dan tambun itu tiada ditinggalkannya, sehingga menyembah berhala dan makan babi itu juga yang tiada dikerjakannya. Demi kianlah hikayat asal raja Islam pada negeri Fathani ini."

Memperhatikan jalan cerita daripada petikan di atas, jelas ada perbezaan dengan versi sejarah Patani yang lain, sebagaimana telah disebutkan bahawa beberapa versi sejarah Patani, jalan cerita Syeikh Shafiyuddin serupa dengan jalan cerita Syeikh Sa'id yang mengislamkan raja Patani yang ditimpa penyakit pecah-pecah pada kulit.

Mengenai tahun juga sangat sukar untuk dipastikan, sebagaimana telah penulis sebutkan bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Paya Patani tahun 1400 Masihi, beberapa tulisan lain menyebut bahawa antara tahun 1500 Masihi atau lebih lewat dari itu.

Penentuan tahun yang diberikan Tarikh Fathani yang penulis pergunakan transliterasi terlalu jauh selisihnya. Bahawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tidak berapa jauh waktunya dengan kedatangan Syeikh Abdus Sha mad yang berasal dari negeri Rom tu kang buat bedil. Tertulis, "... tatkala menuang dia itu hijrah Nabi Shalla lallahu 'alaihis Salam kurang delapan puluh tahun baharu, pada tahun tikus, pada tiga Ramadan, pada malam Selasa ..." (bererti 3 Ramadan 79 H/698 M, pen:).

Dalam sejarah Patani disebutkan ba hawa kedatangan Syeikh Shafiyuddin ke Patani tak begitu jauh jaraknya setelah peristiwa penuangan tembaga membuat meriam di Patani yang terjadi pada tahun yang tersebut itu. Orang boleh saja menolak bahawa pada persekitaran tahun 79-80 Hijrah yang di sebut dalam sejarah Patani itu di dunia mana pun belum kenal akan senjata yang dinamakan meriam itu. Tetapi perlulah diambil kira apakah yang dimaksudkan dengan meriam dan tem baga menurut istilah bahasa Patani itu, yang pada konteks ini bukan sama dengan meriam atau tembaga pada is tilah sekarang.

Jadi, berdasarkan yang tersebut di perkirakan Syeikh Shafiyuddin datang ke Patani sekitar tahun 79 Hijrah itu, jika diletakkan agak lewat sedikit, maka sekitar tahun 80 Hijrah/699 Masihi. Jika Tarikh Fathani versi yang penulis pergunakan tersebut tidak salah da ripada pengarang ataupun penyalin nya, maka semua sejarah yang telah ditulis yang berdasarkan andaian atau perhitungan menurut kira-kira atau dugaan saja, yang begitu jauh selisih jarak tahunnya, seperti yang telah di sebutkan perlu dikaji semula dengan seteliti-telitinya.

Oleh sebab manuskrip yang ada pada penulis sesuai dengan transliterasi Siti Hawa Haji Salleh tersebut, penulis ya kin bahawa tahun yang diberikan itu adalah tidak salah salin. Ini kerana manuskrip yang digunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh dengan manuskrip yang penulis gunakan sama sekali tidak ada hubungannya. Manuskrip yang di gunakan oleh Siti Hawa Haji Salleh berasal dari Library of Congres, Was hington, Amerika Syarikat. Sedangkan manuskrip yang penulis gunakan berasal daripada sim panan orang tua-tua di Patani yang dipusakai beberapa keturunan. Setelah memperhatikan tahun-tahun yang jauh berbeza, maka barangkali yang ber nama Syeikh Shafiyuddin di Patani ada tiga orang, menurut urutan tahun ialah:

1. Syeikh Shafiyuddin yang datang dalam tahun 79-80 H/698 M.

2. Syeikh Shafiyuddin al-'Abbasi ke turunan Mu'tasim Billah yang kubur nya terletak di Sungai Pandan, Kerisik, Patani yang sampai ke Paya Patani tahun 1400 Masihi.

3. Syeikh Shafiyuddin yang menjadi datuk nenek raja-raja, dan pembe sar-pembesar Patani dan Kelantan yang hidup dalam tahun 1500an Ma sihi.

Manakala yang dibicarakan dalam artikel ini hanyalah riwayat Syeikh Sha fiyuddin ke-2 (1400 Masihi) dan ke-3 (1500an Masihi) saja.

KARYA

Maklumat mengenai kitab Tarikh Fathani yang paling awal disusun ada lah karya cucu Syeikh Shafiyuddin, be liau ialah Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi. Sebenarnya sejarah Patani judul tersebut hanyalah merupakan ter jemahan dari karya Syeikh Shafiyuddin sendiri yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan selain terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu dibuat beberapa tambahan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani sendiri.

Hal tersebut ada dinyatakan oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani, "Syahdan ada tulisan bahasa Arabiyah daripada nenek perhamba [Syeikh] Shafiyuddin, maka bahasa Arabiyah ini perhamba fahamlah dan senanglah ambil mak nanya. Dan ada seorang datang dari Bogor, iaitu seorang yang asalnya dari Bogor, Jawa, duduk tumpang Sultan Petani, dan dia tahu bahasa Jawa. Dan banyaklah dia tolong perhamba. Per hamba mengucap syukran kepadanya banyak-banyak...."

Tarikh Fathani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang berasal dari karya Syeikh Shafiyuddin itu yang telah di temui sekarang adalah merupakan sa linan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, yang selesai menyalinnya pada tahun 1228 Hijrah/1813 Masihi.

Tarikh Fathani versi yang tersebut adalah penting kerana:

* Memberi maklumat bahawa Patani telah wujud sejak tahun 200 Ma sihi.

* Memberi maklumat bahawa Patani dan Kedah itulah yang bernama Kerajaan Langkasuka.

* Memberi maklumat bahawa antara tahun 75 Masihi sehingga tahun 800 Masihi, Langkasuka-Patani te lah berpengaruh di dunia antara bangsa terutama sekali terhadap China, Arab dan Parsi, apatah lagi terhadap kerajaan-kerajaan Melayu seumpama Sriwijaya, Sailandera, Khemir dan lain-lain.

* Memberi maklumat bahawa agama tauhid (samawi), iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa sejak lama telah dianuti oleh orang Melayu Patani.

* Memberi maklumat bahawa agama Islam telah tersebar di Patani sejak tahun 750 Masihi, yang merupakan persaingan terhadap agama Hindu, Buddha dan Animisme.

Selain Tarikh Fathani ada lagi sebuah karya yang berasal daripada Syeikh Shafiyuddin, iaitu yang diberi judul Kitab Sia-sia Berguna. Kandungannya membicarakan pelbagai jenis penyakit dan ubat-ubatnya. Kitab Sia-sia Berguna pernah disalin oleh salah seorang keturunannya tetapi tidak diketahui namanya. Pada bahagian mukadimah dinyatakan sebagai yang berikut, "Dan dengan ini hamba himpun sekalian kitab dan penawar, dan hamba kutip daripada kitab Syeikh Shafiyuddin Tok Raja Faqih Fathani untuk jadi sebuah kitab yang diingati bahagi anak cucu hamba dan tiada payah mencari dukun. Maka dengan melihat kitab ini me madai sudah. Maka hamba beri nama kitab ini ialah sebuah Kitab Sia-sia Berguna. Dan hamba pusaka [kan] kepada waris atau anak cucu hamba masa akan datan[g]. Jikalau orang hendak melihat kitab ini, maka engkau berilah kepada dia itu, tetapi engkau melihat rupa-rupa orang itu. Jikalau orang itu tiada berilmu, tiada beriman, jangan sekali[-kali] engkau beri. Dan jikalau orang itu munafik, juga jangan engkau beri sama sekali. Dan jikalau engkau beri kepada orang [yang] tiada amanah, maka habislah kitab ini sia-sia, tiada berguna. Dan pula, lagi pula engkau tiada beramanah, iaitu hapus ...". Di dalam Kitab Sia-sia Berguna tersebut, terkumpul berma cam-macam jenis perubatan Melayu yang bahan-bahan bakunya digunakan terutama sekali terdiri daripada:

i) Menggunakan beberapa jenis yang berasal daripada organ binatang se perti: tulang, kulit, darah, daging, hati, hempedu, dan lain-lain.

ii) Menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan, yang digunakan ialah: akar, daun, kulit, batang dan lain-lain.

iii) Menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa, azimat/wafaq, jam pi-jampi Melayu, dan lain-lain yang sejenisnya.

KETURUNAN

Syeikh Safiyuddin al-Abbasi @ Tok Seri Raja Faqih meninggalkan ramai zuriat yang menjadi ulama dan tokoh. Ia masih dapat dikesan sampai seka rang ini. Sungguh pun demikian dalam dua versi salasilah keturunan yang telah ditemui, menurut pendapat penulis, sa tu versi adalah sahih sedang versi yang satu lagi masih diragukan kerana belum cukup hujah. Dua versi salasilah itu ialah:

i) Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi @ Tok Raja Faqih memperoleh anak dua orang, iaitu Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang. Dan yang seorang lagi bernama Wan Mu hammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil 'Alam. Selanjutnya keturunan daripada per talian yang pertama ini adalah sahih.

ii) Salasilah yang kedua menyebut bahawa Syeikh Shafiyuddin adalah anak Faqih Ali al-Malabari. Syeikh Sha fiyuddin bin Faqih Ali al-Malabari pada salasilah yang kedua ini masih belum jelas apakah beliau juga yang dimak sudkan dengan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi yang bergelar Datuk Seri Raja Faqih itu, atau kemungkinan di Patani pernah wujud dua orang yang bernama Syeikh Shafiyuddin yang kedua-duanya memang terkenal.

VERSI LAIN

Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, bahawa selain salasilah yang sahih, ada lagi salasilah yang kedua. Mengenai yang tersebut penulis mulakan riwayat bahawa dikatakan Syeikh Shafiyuddin itu adalah anak Nik Ali atau Faqih Ali al-Malabari atau Andi' Ali. Sumber perbicaraan yang penulis gunakan untuk ini, penulis temui salasilah di Kampung Jambu, Patani (1989) melalui saudara tiga pupu pe nulis Wan Umar, yang berasal dari Kampung Jambu itu.

Versi salasilah yang penulis peroleh daripada Wan Umar di sana sini ada persamaannya dengan salasilah yang ditulis oleh Haji Nik Ishak Tingkat, Kelantan, tetapi banyak pula kelainan nya. Jadi bererti Haji Nik Ishak Tingkat bukan menyalin daripada salasilah yang be rasal dari Kampung Jambu, Patani itu. Di dalam salasilah disebutkan bahawa Syeikh Shafiyuddin bersaudara kandung enam orang, iaitu:

1. Syeikh Shafiyuddin, Datuk Pujuk I, memerintah Patani

2. Nik Din, Menteri lagi Pahlawan bagi Datuk Pujuk I

3. Wan Ismail, Tok Kaya Pendek

4. Tok Kaya Rak Nak Diraja

5. Wan Faqih Hasan

6. Wan Nguk, isteri Tok Kaya Banggul

KUBUR

Sebagaimana dalam salasilah yang ada dalam simpanan penulis disebut kan bahawa Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi datang ke Paya Patani pada 1400 Masihi. Beliau adalah keturunan khalifah Mu'tasim Billah, daripada keturunan Saiyidina Abbas bin Abdul Muthalib. Bahawa beberapa kubur datuk neneknya dikatakan terdapat di Aceh sedang beliau sendiri kuburnya terletak di Sungai Pandan di negeri Fathani Darus Salam.

Sejak penulis peroleh salasilah itu, tengah malam 1 Syawal tahun 1970 Masihi, daripada tangan Tuan Guru Haji Mahmud, Kota Bharu Kelantan penulis mulai mencari kawasan Sungai Pandan itu.

Hampir setiap tahun penulis datang ke Patani kadang-kadang dalam setahun sampai tiga kali, namun tidak siapa yang dapat menunjukkan kepada penulis kawasan kubur itu secara pasti.

Syeikh Shafiyuddin digelar dengan Tok Faqih kerana ditemui kubur Tok Faqih di dalam daerah Jala. Namun penulis mulai ragu di mana kedudukan sebenarnya kubur Syeikh Shafiyuddin yang bergelar Tok Faqih itu.

Kubur Tok Faqih dalam wilayah Jala penampilannya sebagai kubur yang bersejarah adalah sangat tepat kerana di kawasan itu masih dapat dikesan sebagai tempat pengajian pondok. Di depan kubur terdapat bekas masjid, di sampingnya, terdapat sebuah rumah besar, bekas kediaman tuan guru.

Kuburnya pula dibuat bangunan yang beratap tetapi berdinding hanya bahagian bawahnya saja. Kuburnya dibina daripada batu bata tanah liat, begitu ting gi, kira-kira setinggi dada jika kita ber diri. Bentuknya agak lebar dan memanjang. Kubur Tok Faqih di Kampung Tok Faqih Jala tersebut sampai sekarang masih diziarahi orang untuk membayar nazar.

11 December 2007

Apa itu demokrasi tulen?

Selamat membaca..........

Apa itu demokrasi tulen?

Oleh SYAMSYUL FADZLI MAT

APA yang telah terjadi di negara kita sejak kebelakangan ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pemikiran sebilangan kecil rakyat negara ini yang boleh dianggap sebagai kuman-kuman kecil yang mampu memberi mudarat besar di masa hadapan.

Jika kita lihat di Asia Selatan atau beberapa negara ASEAN yang agak terkebelakang, sebilangan kecil rakyat negara ini bermegah dengan tahap ‘demokrasi tulen’ negara tersebut, kuasa rakyat mereka dan ‘kebebasan bersuara’ mereka.

Di sebalik ungkapan-ungkapan politik yang nampak indah itu, tidak tersorok dari pandangan dunia bahawa negara-negara tersebut merupakan halaman perniagaan yang tidak kompetitif dan kerap dijauhi.

Bermula dengan perhimpunan Bersih pada 10 November 2007, diikuti dengan perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, hinggalah perarakan 50 orang peguam dan aktivis kelmarin, masing-masing ingin menunjukkan bahawa hak mereka untuk berhimpun tidak boleh dinafikan oleh pihak kerajaan.

Tahukah mereka, di sebalik semangat yang tidak bertempat itu, tersemai pada pemikiran anak-anak kecil serta para pelajar di negara ini akan bibit-bibit tidak sihat yang cuba mereka suburkan bagi mewujudkan unjuran yang buruk kepada situasi di negara ini pada masa akan datang.

Memang benar, pada satu ketika ketika negara dijajah, seluruh negara dikejutkan dengan perhimpunan besar-besaran bagi menyemarakkan nasionalisme di kalangan rakyat dalam penentangan ke atas rancangan British untuk mewujudkan Malayan Union.

Tetapi, ia tidak boleh dijadikan perbandingan kerana perhimpunan rakyat negara ini 62 tahun lalu adalah untuk kepentingan rakyat keseluruhannya yang mahu menjadi rakyat sebuah negara yang berdaulat.

Hari ini, perhimpunan diadakan hanya bagi kepentingan parti-parti politik atau pihak-pihak yang bersifat antipemerintah. Lebih buruk, sorakan mereka dibuat di jalanan. Tidak kiralah daripada kalangan yang tidak berpelajaran, golongan terpelajar juga sudah terikut-ikut dengan budaya import ini. Ini benar-benar menyedihkan.

Ini tidak perlu dikaitkan dengan seorang mantan menteri yang semakin dibenci rakyat kerana sikap bermuka-mukanya itu. Yang hendak diperkatakan ialah golongan yang membuntuti beliau dengan cara melulu. Di manakah letaknya kematangan berfikir mereka sebagai rakyat Malaysia?

Mereka tidak mewakili keseluruhan rakyat. Mereka tidak layak untuk berhimpun. Mereka tidak mempunyai hak untuk mengganggu gugat urusan harian dan perniagaan orang lain. Periuk nasi orang lain. Paling penting, mereka tidak mempunyai hak untuk menimbulkan rasa tidak senang kepada majoriti besar rakyat negara ini yang benci dengan tindak-tanduk mereka.

Mereka berbangga dengan negara-negara yang dipenuhi dengan golongan yang memprotes di jalanan dengan alasan bahawa demokrasi tulen terdapat di negara-negara tersebut. Mereka menyorokkan fakta bahawa iklim ekonomi di negara tersebut lesu dan kadar pengangguran adalah tinggi justeru mengheret anak-anak muda untuk menyertai aktiviti protes-memprotes di jalanan.

Di negara ini, setiap individu dibebani tanggungjawab untuk bekerja dan menyara keluarga dan ibu bapa. Ramai yang terbabit dalam urusan perniagaan. Trend berhimpun dan berarak bagi menunjukkan tanda protes yang semakin menjadi-jadi hanya akan melesukan iklim ekonomi di negara ini.

Menular

Anak-anak kecil dan remaja dari zaman perindustrian di negara ini kehairanan melihat tingkah laku sebilangan kecil rakyat negara ini. Mereka kebanyakannya berpendapat bahawa penyakit yang luar biasa kini telah menular ke dalam negara ini.

Jika golongan terpelajar yang berarak di jalanan ini mampu berfikir, mereka seharusnya dapat membuat rumusan bahawa anak-anak Malaysia, tidak sepatutnya disogok dengan ilmu protes jalanan yang kini secara senyap, mereka cuba semaikan.

Sebahagian besar rakyat Malaysia, membenci perbuatan mereka yang cuba mengimport budaya negara mundur masuk ke negara ini atas alasan demokrasi. Jika ini yang mereka mahukan, ketahuilah bahawa mereka telah menghadirkan awan mendung pada masa depan anak-anak mereka di negara ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan untuk mempertahankan, mengendalikan dan mewujudkan satu kesinambungan yang stabil juga memerlukan cara yang unik.

Tetapi, sikap sebilangan kecil rakyat negara ini yang terdiri daripada sekolot-kolot manusia hingga setinggi-tinggi pelajaran yang menuntut kebebasan dan hak yang tidak bertempat telah memberi sirna pada keindahan gubahan kepimpinan, corak pemilihan kerajaan dan cara untuk menyatakan suara dan hasrat di negara ini.

Parlimen negara ini seolah tidak diperlukan lagi. Check and balance umpama tidak berguna lagi. Jalan raya dijadikan medan melaung pekikan dan sorakan sehingga mengganggu gugat urusan hidup golongan majoriti senyap di negara ini.

Keamanan dan iklim ekonomi negara ini kerap diidamkan oleh rakyat negara-negara berdemokrasi tulen yang dijadikan contoh oleh pemekik di jalanan ini.

Apa yang dibimbangi nanti ialah apabila tahap kebosanan golongan pro keamanan yang merupakan majoriti besar daripada penduduk negara ini, keluar untuk menentang golongan pro demonstrasi ini dan konfrontasi mungkin akan berlaku antara keduanya sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Keadaan ini berlaku di negara-negara ‘demokrasi tulen’ yang digambarkan oleh sebilangan kecil golongan pro demonstrasi yang mencintai gas pemedih mata dan bom air ini.

Perlu diingat bahawa kucar-kacir yang berlaku di negara ‘demokrasi tulen’ yang dibanggakan oleh golongan ini tidak lepas dari tangan-tangan tersembunyi yang mengambil peluang untuk mensabotaj ketenteraman dengan pembunuhan dan pengeboman.

Apakah ini yang mereka impikan? Jika benar, mereka tidak layak untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia apatah lagi untuk berdemonstrasi dengan menyebut bahawa ia adalah demi masa depan rakyat negara ini.

Berkhatan awal lebih baik

Selamat membaca..........

Berkhatan awal lebih baik

Oleh ZUARIDA MOHYIN

ACAP kali tiba musim cuti sekolah satu perkara yang tidak terlepas daripada perancangan ibu bapa ialah mengkhatankan anak lelaki mereka atau lebih dikenali sebagai ‘masuk jawi’ atau bersunat.

Kebiasaannya, cuti pertengahan dan hujung tahun menjadi pilihan ibu bapa, apatah lagi mengambil peluang daripada penganjuran majlis berkhatan beramai-ramai oleh pelbagai pihak berkaitan.

Di Malaysia, amalan mengkhatankan anak-anak lelaki, kalau kita perhatikan ada sedikit perbezaan trendnya. Apa tidaknya, kalau dahulu ibu bapa akan menyunatkan anak lelaki pada usia yang agak lewat iaitu sekitar usia 12 tahun.

Namun, sejak kebelakangan ini, trendnya sudah berubah apabila kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun telah dihantar untuk melalui pengalaman paling bermakna dalam kehidupan seorang lelaki. Malah ada ibu bapa yang mengkhatankan anak lelaki mereka selepas kelahiran.

Hakikatnya, ibu bapa mempunyai alasan mereka sendiri. Ada yang mengatakan tidak elok dilakukan pada usia terlalu muda, nanti buruk padahnya. Ada juga yang mengatakan kebaikan sekiranya kanak-kanak lelaki itu dikhatankan pada usia muda.

Apa pun alasan mereka itu, bagi Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, berkhatan lebih awal adalah lebih baik.

Beliau juga melihat hal ini sebagai satu trend yang baik. Gesaan ini bersandarkan kepada aspek kesihatan dan saranan dalam agama Islam itu sendiri.

Kalau dilihat khatan di kalangan masyarakat Arab, ia berbeza dengan trend umat Islam di sini kerana mereka memilih mengkhatankan anak lelaki mereka ketika baru lahir atau pada peringkat usia tujuh tahun.

Perbuatan berkhatan itu sebenarnya untuk membersihkan kawasan sulit (selaput di kepala kemaluan lelaki) supaya najis tidak berkumpul di situ dan telah terbukti bahawa berkhatan mampu mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

“Malah di dalam Islam sendiri aspek kebersihan amat diutamakan terutamanya dalam ibadat wajib seperti melaksanakan solat yang merupakan tiang agama. Lantaran itu, dengan berkhatan menjadikan amalan ibadat dapat dilakukan tanpa was-was.

Banyak kelebihan

“Banyak lagi kelebihan jika dilakukan awal. Bagi saya apabila kanak-kanak ini melalui pengalaman berkhatan lebih awal, mereka mudah melupakan traumanya memandangkan usia mereka masih muda. Kedua, pencegahan penyakit dapat dilakukan lebih awal sebagaimana saranan mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya kepada Mega dalam temuramah di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, baru-baru ini.

Dr. Abdul Latiff berkata, kecanggihan teknik berkhatan juga menjadi salah satu faktor yang meyakinkan ibu bapa untuk mengkhatankan anak mereka pada usia awal.

Katanya, teknik-teknik yang ditawarkan kini dapat mengurangkan kesakitan, sekali gus tidak meninggalkan kesan trauma ke atas kanak-kanak itu tadi, mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan komplikasi tertentu.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Klinikal, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya menyangkal pendapat segelintir masyarakat terutamanya ibu bapa yang beranggapan berkhatan pada usia terlalu awal akan menyebabkan anak-anak cepat ghairah. Lebih menyedihkan beliau, apabila hal ini dikatakan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja lelaki.

Tegas Dr. Abdul Latiff, dakwaan sedemikian tidak benar malah tidak ada bukti saintifik yang dapat menyokong kesahihannya. Kalau dilihat bangsa Yahudi, mereka juga mengkhatankan anak mereka selepas kelahiran lagi.

Aspek keselamatan

Dari segi keselamatan, beliau menyarankan agar pengamal perubatan mengambil berat semua aspek keselamatan dan jangan terlalu mengejar keuntungan semata-mata. Ini kerana alat kemaluan lelaki merupakan salah satu bahagian sulit yang amat berharga.

“Jika seseorang doktor itu tidak melakukan tugas dan amanah mereka dengan betul serta mengikut etika, berkemungkinan berlaku sesuatu yang tidak elok kepada ‘mahkota’ lelaki itu.

“Jika sesuatu terjadi, ini pastinya mengundang kesan psikologi seperti trauma, malah menjadikan seseorang itu dibelenggu sifat rendah diri sepanjang hayatnya,” jelas beliau.

Sementara itu bagi ibu bapa pula, pastikan terlebih dahulu tempat dan orang yang akan melakukan khatan itu mestilah yang berkelayakan. Jika mereka terlalu memilih perkhidmatan yang murah dan cepat, dibimbangi boleh mendatangkan keburukan dan membahayakan masa depan anak-anak.

“Pun begitu, tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh ibu bapa untuk menghantar anak lelaki mereka yang masih kecil kerana tempat kemaluan adalah bahagian yang paling mendapat cukup bekalan darah.

“Jadi, ia pasti akan sembuh cuma tempohnya sahaja berbeza,” kata Dr. Abdul Latiff lagi.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan acara tradisi PPIM setiap kali cuti sekolah yang dikenali `Sunathon,’ kata beliau, aktiviti itu dikendalikan oleh ahli persatuan yang terdiri daripada doktor, doktor pakar dan pelajar perubatan dari dalam dan luar negara. Ia disediakan secara percuma kepada kanak-kanak dari lokasi terpilih.

“Kami akan datang ke lokasi sehari sebelum program berkhatan beramai-ramai. Aktiviti ini bukan sahaja membimbing para pelajar perubatan untuk melakukan khatan tetapi matlamat utamanya ialah untuk melatih mereka melakukan sesuatu yang bermanfaat seperti aktiviti khidmat sosial sebegini.

“Pada masa yang sama, melakukan aktiviti riadah. Pokoknya, ia bagi mengeratkan silaturahim antara ahli dan masyarakat luar bandar,” jelas beliau.

Menurut Dr. Abdul Latiff, PPIM mahu mengubah mind-set bakal doktor ini bahawa kerjaya mereka bukan mengejar imbuhan material semata-mata. Lebih penting, mereka melihat apa sumbangan mereka kepada insan yang kekurangan dan memerlukan bantuan.

“Sebab itulah sepanjang program ini berlangsung, kebanyakan pengisiannya menjurus agar mereka dapat menyelami kehidupan masyarakat yang pelbagai status,” kata beliau sambil mengendalikan bengkel berkhatan kepada pelajar perubatan di kolej universiti petang itu.

Banjir antara ujian supaya umat insaf

Selamat membaca..........

Perspektif Ikim: Banjir antara ujian supaya umat insaf
Oleh Azrina Sobian


PADA saat penduduk di seluruh dunia sibuk merisaukan masalah perubahan cuaca dunia, di Malaysia, masalah ini ibarat �melukut di tepi gantang�. Tidak peduli, tidak faham dan tiada kena mengena, mungkin inilah yang dirasakan kebanyakan kita sekarang.


Ketika ini, kira-kira 10,000 wakil pelbagai negara seluruh dunia berada di Bali, Indonesia bagi menghadiri Persidangan Perubahan Cuaca (Climate Change Conference) 2007 yang berlangsung dari 3 hingga 14 Disember ini.


Persidangan itu diadakan dengan beberapa tujuan dan tujuan utama adalah untuk membincangkan langkah seterusnya selepas Protokol Kyoto tamat pada 2012 nanti. Pada masa sama, turut dibincangkan usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) secara sukarela mahupun secara wajib.


Tidak ketinggalan, perbincangan berkisar bagaimana masalah penebangan hutan boleh dikawal dan juga bantuan yang boleh disalurkan kepada negara miskin dalam menangani kesan perubahan cuaca.


Dalam memahami masalah perubahan cuaca bumi ini, wajar untuk kita memahami hubungannya dengan Protokol Kyoto. Protokol ini dipersetujui pada 11 Disember 1997. Matlamat protokol itu adalah untuk mengurangkan pelepasan gas CO2 yang didakwa menjadi punca pemanasan bumi.


Sehingga Jun 2007, 172 negara sudah memperakui protokol itu. Daripada jumlah berkenaan, kata sepakat dicapai supaya 36 negara industri mengurangkan pelepasan gas CO2 atau gas lain yang bersifat memerangkap haba.


Pengurangan itu perlu dilakukan pada kadar purata lima peratus daripada tahap pelepasan pada 1999. Perlulah diingatkan, walaupun pelbagai negara memperakui protokol itu namun tidak bermakna mereka bertanggungjawab untuk melaporkan perkembangan usaha pengurangan gas berkenaan.


Bagaimanakah pencapaian usaha pengurangan gas CO2 selepas Protokol Kyoto? Apa yang boleh dikatakan, usaha mengurangkan gas CO2 oleh 36 negara industri tidak begitu berjaya. Masalah lebih ketara apabila wujud pertentangan antara beberapa negara dalam kumpulan 36 negara tu.


Negara Kesatuan Eropah (EU) yang begitu kuat menyokong Protokol Kyoto mahukan supaya usaha pengurangan gas CO2 dilakukan dengan tegas. Namun, usaha itu ditentang beberapa negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.


Bagi negara EU sendiri, walaupun mahukan ketegasan, namun kebanyakan negara itu juga gagal mencapai matlamat pengurangan gas CO2. Sehingga akhir 2006, hanya United Kingdom dan Sweden yang hampir dapat mencapai matlamat pengurangan masing-masing.


Selain itu, rasa tidak puas hati juga disuarakan negara membangun dan negara miskin. Negara membangun menuntut haknya untuk membangunkan negara masing-masing. Dengan alasan negara maju terlebih dulu membangun dan mencemar udara, maka mereka sewajarnya diberikan peluang untuk maju.


Dalam pada itu, negara maju juga dituntut untuk memindahkan teknologi ke negara membangun supaya mereka dapat pula membangun tanpa menjejaskan alam sekitar. Bagi negara miskin pula, mereka bukan saja menghadapi masalah hampir sama dengan negara membangun tetapi mereka turut menuntut diberikan bantuan untuk menghadapi kesan tidak baik daripada pemanasan bumi.


Kejayaan tidak memberangsangkan dan segala pertentangan yang berlaku dalam usaha menghadapi serta menyelesaikan masalah pemanasan bumi benar-benar menunjukkan betapa masalah ini sangat sukar diatasi.


Selagi setiap negara di dunia ini hanya ingin mementingkan diri sendiri, maka sesungguhnya masalah pemanasan bumi tidak akan selesai sampai bila-bila. Lebih menyedihkan apabila sikap seperti ini hanya memakan diri sendiri.


Maka, dalam masa terdekat ini kita akan rasa kesan daripada apa yang tangan kita lakukan. Ini bukan janji kosong, tetapi satu janji yang juga disebut di dalam kitab suci al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: �Sudah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).� (Surah ar-Ruum, ayat 41)


Bagi Malaysia khususnya, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, negara kita tidak terkecuali daripada merasa kesan pemanasan bumi. Contohnya, kejadian banjir yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini adalah satu tanda kesan pemanasan bumi. Ini membuktikan Malaysia tidak kebal daripada kesan pemanasan bumi.


Kedua, berkait dengan pembangunan negara. Sebagai negara yang membangun, kita berhak memegang beban amanah dan tanggungjawab untuk membangunkan negara sendiri. Namun, pembangunan itu mestilah dalam kerangka yang mesra alam.


Walaupun kita tidak mempunyai tanggungjawab sebesar negara maju dalam usaha mengurangkan pelepasan gas CO2, itu tidak bermakna Malaysia boleh lepas tangan. Kita juga mesti berusaha mengurangkan pelepasan gas CO2 demi menyokong usaha mengatasi pemanasan bumi.


Malah, sebagai negara yang berpegang kepada pembangunan bersandarkan aliran siasah Islam, tanggungjawab menyelamatkan bumi tidak boleh diketepikan.


Berkaitan pemindahan teknologi pula, kita tidak boleh selamanya meletakkan harapan kepada negara maju. Kini adalah masanya untuk kita mencipta dan membangunkan teknologi ala Malaysia. Kekuatan dalam bidang ini perlu kita kuasai bukan saja untuk menghadapi pemanasan bumi tetapi memindahkan teknologi ala Malaysia kepada negara lain.


Perlu diingat kebanyakan negara miskin yang menerima kesan teruk daripada pemanasan bumi terdiri daripada negara Islam. Mereka juga sebahagian besarnya terdiri daripada negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).


Oleh itu, dengan kedudukan istimewa negara Malaysia di dalam OIC buat masa ini, pemindahan teknologi boleh dilakukan dengan semangat persaudaraan dan semangat membangunkan semula kegemilangan tamadun.


Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia

06 December 2007

Mimpi indah buka pintu Mokhtar peluk Islam

Selamat membaca..........

Mimpi indah buka pintu Mokhtar peluk Islam

Oleh: SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

MOKHTAR menunjukkan lakaran produk ‘Fresh 2 Pan’ yang masih dalam perancangan bersama sebahagian produk minyak wangi yang dijualnya.

Sebagai manusia biasa, istilah mimpi selalu dikaitkan dengan mainan tidur atau bisikan syaitan untuk memperdayakan manusia supaya leka dan lalai dengan perintah Allah. Namun, bagi golongan nabi dan rasul, mimpi merupakan salah satu perantaraan Allah untuk menyampaikan wahyu kepada umat manusia.

Sejauh mana kebenaran yang ada dalam mimpi, hanya Allah yang tahu. Bagi Victor@Mokhtar Yap Abdullah, 57, pengalaman mimpi indah selama tiga hari berturut-turut meyakinkan beliau bahawa keputusannya untuk berhijrah memeluk Islam adalah tepat.

Peristiwa 21 tahun dahulu masih segar dalam ingatan walaupun ia mungkin sekadar cerita dongeng bagi mereka yang memperlekehkan akan kebenaran mimpi tersebut.

Menceritakan pengalaman mimpi itu, Mokhtar yang berasal dari Klang, Selangor berasakan sangat bertuah kerana Allah memilihnya daripada jutaan penganut agama Buddha untuk diberi petunjuk jalan yang benar.

“Dalam mimpi tersebut saya beserta sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di satu padang yang luas. Sedang kami leka bermain, saya terdengar seakan-akan bunyi tanglung.

“Kemudian saya nampak ada tangga berpusing tinggi membuatkan saya teruja untuk memanjat tangga tersebut. Bila sampai di kemuncaknya, saya lihat satu kawasan yang sangat indah dan luas mata memandang yang tidak ada di dunia ini dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa dan pokok melambai-lambai.

“Bila tersedar dari tidur, saya terdengar bunyi azan subuh lalu menangis teresak-esak. Badan saya berpeluh seperti mandi,” katanya yang berketurunan baba dan nyonya.

Beliau tertarik dengan agama Islam sejak kecil lagi kerana kehidupan beliau pada waktu itu dikelilingi masyarakat Melayu yang amat mementingkan Islam.

Disebabkan beliau merupakan satu-satunya keluarga Cina yang hidup bersama kelompok Melayu dan sentiasa bergaul dengan orang Melayu, sedikit sebanyak persekitaran telah mempengaruhi tingkah laku beliau.

Sehingga pada suatu hari, perasaan ingin tahu tentang Islam yang begitu menebal dalam diri menyebabkan beliau sanggup mengintai di surau dan masjid sehingga dihalau oleh penduduk kampung kononnya kehadiran beliau akan merosakkan akidah anak-anak Melayu.

Walaupun sedih dengan layanan dan tohmahan itu, beliau tidak pernah putus asa dan semakin bersemangat untuk lebih mengenali Islam yang turut ditentang oleh bapanya.

“Selepas saya mengalami mimpi tersebut saya berjumpa dengan seorang penduduk kampung yang kemudiannya membawa saya ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) di Jalan Ipoh untuk mengucap dua kalimah syahadah seterusnya berdaftar sebagai seorang Muslim,” ujar bapa kepada tujuh orang anak hasil perkahwinannya dengan Norliza Lim Abdullah, 40, juga seorang saudara baru.

Menurut Norliza, dia tertarik dengan kewarakan suaminya sehingga bersetuju untuk menerima lamaran Mokhtar seterusnya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada ketika itu, dia sudah melangkaui usia 18 tahun yang mana melayakkan dia untuk memilih haluan hidup sendiri dan pegangan agama jika keluarganya menentang pilihannya.

“Walaupun saya tahu suami saya tidak mempunyai harta, tetapi keperibadiannya membuatkan saya bahagia di sisinya dan berjanji untuk sama-sama mengharungi hidup,” jelas Norliza yang sangat mengagumi Mokhtar yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud.

Nasib tidak menyebelahi mereka selepas mendirikan rumah tangga apabila pasangan ini terpaksa merempat di rumah orang Cina untuk meneruskan hidup setelah Mokhtar dihalau oleh keluarga sebaik sahaja mendapat berita tentang keislamannya.

Bagaimanapun, beliau sangat bersyukur masih ada insan yang mahu menolongnya walaupun pada waktu itu hanya mempunyai sebiji bantal untuk dijadikan alas tidur, sehelai selimut dan segulung tikar untuk melakukan ibadat kepada yang Maha Esa.

Namun begitu, beliau sekali-kali tidak menyesali keputusannya memilih agama yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w itu, malah menganggapnya ujian dan dugaan dari Allah untuk menguji tahap keimanannya.

Dengan berserah kepada takdir Allah serta yakin dengan ketentuan-Nya, Mokhtar berjaya mengharungi hidup sehingga dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah walaupun hidup serba sederhana.

Semua dugaan itu mengingatkan beliau kepada firman Allah, “...Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir,” (Yusof: 87)

Berpegang pada janji Allah itulah, Mokhtar tidak pernah mengeluh dengan takdir walaupun ramai yang mencemuh dengan sikap beliau yang dikatakan ekstrem itu.

Walaupun hidup bergantung pada setakat mana rezeki yang Allah kurniakan, beliau tidak pernah merungut malah berusaha untuk turut berdakwah di jalan Allah yang merupakan kewajipan orang Islam.

Disebabkan raut wajahnya yang berkulit cerah dan bermata sepet itu dengan berperwatakan alim dan berkopiah, ramai yang meragui akan keislamannya sehingga masyarakat memulaukan keluarganya. Anak-anaknya juga sering dibuli di sekolah sehingga terpaksa menamatkan persekolahan di usia awal.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya malah dijadikan cabaran untuk beliau terus mendalami ajaran Islam. Buku-buku agama menjadi teman rapat beliau untuk menguatkan diri menghadapi ujian dan dugaan Allah di samping tidak jemu menghadiri ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau.

Atas kesabaran dan ketakwaan, beliau yang satu ketika dahulu pernah mengikuti aktiviti kumpulan tabligh berjaya mengislamkan sekurang-kurangnya 20 orang untuk sama-sama merasai kenikmatan Islam.

Demi membesarkan tujuh anaknya yang masih bersekolah dan seorang yang berkerusi roda, beliau kini dalam usaha membuka perniagaan mee kuning buatan sendiri.

Mokhtar juga berhasrat dapat merubah nasib keluarganya dengan perniagaan itu agar anak dan isterinya dapat hidup lebih selesa yang sekarang ini hanya menetap di rumah pangsa dua bilik.

“Saya buka perniagaan ini bukan nak jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih, tetapi niat saya untuk menolong orang. Lagipun Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, 9 daripada 10 punca rezeki adalah melalui perniagaan,” jelasnya yang menamakan produknya ‘Fresh 2 Pan’. Produk ini dijangka berada di pasaran awal tahun hadapan.

Dalam masa yang sama, beliau menjalankan perniagaan minyak wangi dari rumah ke rumah setelah pekerjaan menjadi pemandu teksi sudah tidak menjamin keselamatannya setelah fitnah yang dilemparkan oleh masyarakat sekitar.

Beliau tidak pernah sekalipun mengambil rasuah atau mengenakan caj tambang teksi lebih seperti yang didakwa pelanggan. Beliau hanya mampu bersabar dan berdoa agar mereka diampunkan oleh Allah.

Mujurlah, atas inisiatif isterinya, Mokhtar dan keluarga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos hidup yang semakin mendesak.

Di akhir perbualan, beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap remaja zaman sekarang yang seolah-olah tiada pegangan agama sehingga berlaku banyak gejala sosial.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan ajaran agama yang sebenar supaya mereka patuh dengan perintah Allah dan mengikuti sunah Rasulullah,” ujarnya yang mendidik anaknya supaya jangan sekali-kali menanggalkan kopiah kerana itu merupakan lambang orang Islam.

Beliau turut mengajar anaknya supaya sentiasa berpuasa sunat, bersembahyang malam dan mengamalkan zikir setiap hari agar hidup sentiasa dilindungi Allah.

Kini beliau bahagia di samping isteri dan anak-anak yang dipinjamkan oleh Allah sebagai satu amanah yang wajib dijaga olehnya dengan ajaran Islam dan kasih sayang.

Anak-anaknya, Afiq Faid, 18; Farhan Syauqi, 17; Syaukat Akid, 15; Aghlab Fida’iy, 11; Faqih Sa’ud, 6; ‘Aifat Fathanah, 4, dan Syahiran Ahnaf, 3 bulan, tidak pernah merungut tentang hidup mereka yang tidak seperti orang lain malah tidak pernah meminta-minta untuk diberikan kemewahan, seolah-olah tahu akan kesempitan hidup mereka sekeluarga.

Sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Kisah Mokhtar yang begitu susah mengharungi hidup demi Islam berdasarkan hidayah Allah kepadanya melalui mimpi, sangat bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-An’am, ayat 125 yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk Islam)...”

04 December 2007

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik

Selamat membaca..........

Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani penulis prolifik

ALLAHYARHAM Wan Mohd. Shagir Abdullah (kanan) berdoa di pusara yang dipercayai milik Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tidak sebanyak karya sahabatnya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ini kerana Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani memperoleh ilmu pengetahuan dalam usia muda dan umurnya juga panjang. Sedangkan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, mahupun Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari umumnya jauh lebih tua daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bahkan boleh dijadikan ayahnya.

Walau bagaimanapun, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuk dalam klasifikasi pengarang yang produktif. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari terkenal dengan fiqhnya yang berjudul Sabilul Muhtadin.

Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani adalah yang paling menonjol di bidang tasauf dengan dua buah karyanya yang paling terkenal dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin.

Seluruh karangannya yang telah diketahui umum seperti di dalam carta.

Penjelasan-penjelasan lengkap mengenai karya-karya beliau boleh dirujuk dalam buku berjudul, Sheikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, pada halaman 96 hingga 148.

Wafat

Sebagaimana telah terjadi kekeliruan beberapa tulisan mengenai tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, demikian halnya juga dengan tahun kewafatannya. Perbahasan mengenai kewafatannya adalah dihuraikan seperti yang berikut di bawah ini.

Dr M. Chatib Quzwain menulis dalam kertas kerja dan bukunya berjudul Mengenal Allah Suatu Studi Mengenal Ajaran Tasauf Sheikh Abdus Shamad al-Palimbani, halaman 180-181: Bahawa dalam tahun 1244 H/1828 M dikatakan umur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 124 tahun. Baik pendapat Dr. M Chatib Quzwain mahupun pendapat Dr. Azyumardi Azra perlu disanggah berdasarkan fakta sejarah.

Sebelum mengemukakan hujah, selengkapnya penulis salin di bawah ini. Azra menulis, “Meskipun saya tidak dapat menentukan secara pasti angka-angka tahun di seputar kehidupannya, semua sumber bersatu kata bahwa rentang masa hidup Al-Palimbani adalah dari dasawarsa pertama hingga akhir abad kedelapan belas.

Al-Baythar menyatakan, Al-Palimbani meninggal setelah 1200/1785. Tetapi kemungkinan besar dia meninggal setelah 1203/1789, iaitu tahun ketika dia menyelesaikan karyanya yang terakhir dan paling masyhur, Sayr Al-Salikin. Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun.

“Dalam Tarikh Salasilah Negeri Kedah diriwayatkan, dia terbunuh dalam perang melawan Thai pada 1244/1828. Tetapi saya sukar menerima penjelasan ini, sebab tidak ada bukti dari sumber-sumber lain yang menunjukkan Al-Palimbani pernah kembali ke Nusantara. Lebih jauh lagi, waktu itu mestinya umurnya telah 124 tahun terlalu tua untuk pergi ke medan perang.

“Walaupun Al-Baythar tidak menyebutkan tempat di mana Al-Palimbani meninggal, ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”.

Tanggapan dari penulis bahawa sumber dari Al-Baythar yang menyebut tahun kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani 1200 H/1785 M, seperti yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra itu adalah ditolak.

Dengan disebutkannya bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani wafat tahun 1200 H/1785 M adalah sebagai bukti bahawa Al-Baythar tidak banyak tahu tentang Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bahkan tulisannya sendiri bertentangan antara satu sama lainnya.

Cuba diperhatikan kalimat Dr. Azyumardi Azra dalam buku yang sama halaman 250, “Al-Baythar meriwayatkan, pada 1201/1787 Al-Palimbani mengadakan perjalanan ke Zabid di mana dia mengajar murid-murid terutama dari keluarga Ahdal dan Al-Mizjadi”.

Bagaimanakah ini boleh terjadi, pada tempat lain Al-Baythar mengatakan Al-Palimbani wafat setelah 1200 H/1785 M. Di tempat yang lain disebutnya Al-Palimbani ke Zabid tahun 1201 H/1787 M. Oleh itu persoalan-persoalan lain yang bersumber dari Al-Baythar mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menyalahi sumber-sumber yang telah dianggap benar oleh tradisi/mutawatir dunia Melayu adalah ditolak juga.

Sumber wafat 1200/1785 M penulis tegaskan adalah tidak tepat kerana menyalahi dengan tulisan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri. Kitab-kitab yang dikarang/diselesaikan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sesudah tahun 1200 H/1785 M itu ialah Risalah Isra’ wa Mi’raj, yang dicatat oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri selesai menulisnya pada tahun 1201 H, kira-kira bersamaan 1786/87 M. Umumnya, juga diketahui ialah Siyarus Salikin jilid ke-IV, diselesaikan pada malam Ahad, 20 Ramadhan 1203 H di Taif, kira-kira bersamaan tahun 1789 M.

Pendapat Dr. Azyumardi Azra pada kalimatnya, “Ketika dia menyelesaikan karya ini, mestinya umurnya adalah 85 tahun”, adalah tertolak kerana tahun kelahiran Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana tersebut adalah ternyata salah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Malahan ramai yang menduga bahawa kewafatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tahun 1203 H/1789 M. Penulis memang tidak berani hanya dengan menduga apabila tidak cukup bukti. Walau bagaimanapun penulis tetap menolak tahun wafat Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam tahun 1203 H/1789 M yang hanya berdasarkan tahun beliau selesai mengarang Siyarus Salikin itu.

Malah penulis tetap yakin bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memang terlibat langsung dalam peperangan di antara Kedah-Patani melawan Siam yang terjadi jauh sesudah tahun 1203 H/1789 M itu. Ini berdasarkan cerita yang mutawatir, dikuatkan sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, telah diketemukan kubur beliau dan lain-lain yang perlu dikaji dengan lebih teliti.

Dr. M. Chatib Quzwain menyebut bahawa kubur Sheikh Abdus Samad al-Falimbani di Palembang, Dr. Azyumardi Azra pula menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia”, kedua-dua pendapat tersebut bertentangan dengan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Juga bertentangan dengan cerita popular masyarakat Islam di Kedah, di Patani, Banjar, Mempawah/Pontianak dan tempat-tempat lain yang ada hubungan pertalian penurunan keilmuan tradisional Islam dunia Melayu.

Selain itu, bertentangan pula dengan manuskrip Al-Urwatul Wutsqa karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang disalin oleh Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, salah seorang murid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Bertentangan pula dengan pembuktian bahawa diketemukan kubur Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di perantaraan Kampung Sekom dengan Cenak termasuk dalam kawasan Tiba, iaitu di di Utara Patani.

Penulis tidak pasti sumber manakah yang digunakan oleh Dr. Azyumardi Azra yang menyebut, “ada kesan kuat dia meninggal di Arabia” itu. Sedangkan tulisan penulis dalam majalah Dian tersebut sekali-kali tidak merujuk kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tetapi ternyata jalan ceritanya adalah sama. Pada waktu itu penulis tidak mengetahui bahawa riwayat tersebut termaktub dalam buku tersebut. Buku tersebut diterbitkan tahun 1968, sedangkan cerita mengenai Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani penulis dengar sejak tahun 1958 lagi.

Kemudian setelah tulisan awal (Dian, 1977) dan tulisan yang kedua (Al-Fathaanah, 1983), kedua-duanya belum begitu banyak dijumpai hujah. Maka tulisan yang seterusnya daripada itu termasuklah tulisan artikel ini, menurut pertimbangan penulis cukup padat dengan pembuktian-pembuktian. Percaya atau tidak terserah kepada penilaian para pembaca yang dapat menggunakan akalnya.

Dalam penyelidikan, apabila pembuktian telah cukup, maka tidak ada alasan untuk kita mempertahankan sesuatu kekeliruan itu. Mahu tidak mahu kita mesti mengikut kebenaran pembuktian. Jika di belakang hari ternyata tulisan penulis keliru, insya-Allah penulis akan mengikut siapa saja yang dapat membetulkannya dengan syarat berdasarkan pembuktian-pembuktian yang cukup kuat pula.

Keturunan

Mengenai keturunan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, maklumat terawal hanya dijumpai dalam karya-karya Sheikh Yasin Padang, bahawa beliau menulis anak Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Fathimah.

Memperhatikan bahawa ramai ulama Asia Tenggara menerima sanad daripada Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, bererti beliau ini adalah seorang ulama, walau pun beliau seorang perempuan. Di antara ulama-ulama tanah Jawi sebagai murid Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al- Falimbani ialah Sheikh Azhari bin Abdullah al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, belum diketahui keturunan Fathimah binti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani itu, kemungkinan keturunannya berada di Mekah.

Antara kitab karangan Sheikh Abdush Shamad al-Falimbani

1. Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, 1178 H/1764 M.

2. Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi Nikah, 1179 H/1765 M.

3. Hidayatus Salikin fi Suluki Maslakil

Muttaqin, 1192 H/1778 M.

4. Siyarus Salikin ila ‘Ibadati Rabbil ‘Alamin, 1194 H/1780 M-1203 H/1788 M.

5. Al-‘Urwatul Wutsqa wa Silsiltu Waliyil Atqa.

6. Ratib Sheikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani.

7. Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mu’minina fi Fadhailil Jihadi wa Karaamatil Mujtahidina fi Sabilillah.

8. Ar-Risalatu fi Kaifiyatir Ratib Lailatil Jum’ah

9. Mulhiqun fi Bayani Fawaidin Nafi’ah fi Jihadi fi Sabilillah

10. Zatul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil ‘Alamin

11. ‘Ilmut Tasawuf

12. Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah ‘Alaihis Shalatu was Salam

13. Kitab Mi’raj, 1201 H/1786 M.

14. Anisul Muttaqin, manuskrip dalam simpanan penulis.

15. Puisi Kemenangan Kedah.

29 November 2007

Sumbangan tak ternilai Al-Razi dalam perubatan

Selamat membaca..........

Ilmuwan Islam: Sumbangan tak ternilai Al-Razi dalam perubatan



CATATAN terperinci ilmuwan bidang perubatan Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Al-Razi atau Al-Razi membantu kepada penghasilan vaksin penyakit campak (measel) dan cacar (smallpox), penyakit yang meragut banyak nyawa seawal zaman Firaun hingga kurun ke-10.

Sumbangan besar dan biografi Al-Razi dipaparkan dalam episod ketiga Ilmuwan Islam di TV3, jam 7.30 petang esok yang turut menampilkan pakar Universiti Perubatan Tehran, Dr Seyed Hamid Khoee dan Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dari Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Berasal dari Iran, Al-Razi yang dilahirkan di Rey, selatan Tehran, adalah penulis berkaliber yang menghasilkan banyak karya, selain berjaya meletakkan ilmu kimia pada peringkat lebih saintifik dan rasional.

Beliau banyak mempengaruhi perkembangan bidang kimia dan ia dapat dilihat daripada kebanyakan hasil penulisannya yang berkait rapat dengan ilmu kimia, farmasi serta perubatan. Hasil karyanya yang mendapat perhatian bertajuk Al-Hawi Fi ‘Ilm Al-Tadawi yang mengandungi 30 jilid dan dibahagikan kepada 12 bahagian.

Di antaranya ialah berkaitan penyembuhan pesakit serta jenis penyakit; penjagaan kesihatan; punggung dan tengkuk (yang patah); ubat-ubatan dan makanan; pembuatan ubat-ubatan; industri kedoktoran; farmasi; tubuh; pembedahan dan pengawetan anggota.

Buku beliau bertajuk Al-Mansuri mengandungi keterangan mengenai pembedahan seluruh tubuh manusia. Al-Razi adalah orang pertama membuat jahitan di perut dengan benang diperbuat daripada serat.

Beliau juga membuat beberapa pengkelasan mengenai bahan galian serta peralatan dan radas yang digunakan lengkap dengan arahan terperinci. Ilmunya yang mendalam berkaitan tatacara terbukti menerusi usaha pencarian ubat-ubatan daripada sumber tumbuhan dan haiwan serta cara untuk digunakan dalam rawatan.

Ia termasuk ilmu dan tatacara kimia yang membabitkan pemprosesan raksa, belerang (sulfur), arsenik serta logam lain seperti emas, perak, tembaga, plumbum dan besi. Sebagai ilmuwan Islam dalam bidang perubatan, ketokohan beliau tidak terhad dalam menimba ilmu dan mengarang buku saja, malah membabitkan pemikiran kritikal dalam membuat keputusan.

Ketika penguasa kerajaan meminta Al-Razi membina sebuah hospital di Baghdad, beliau menggunakan kaedah sangat baik untuk memilih tapak hospital berkenaan. Al-Razi meletakkan ketulan daging di tempat berasingan di Baghdad dan daging itu dibiarkan sehingga menjadi busuk.

Kemudian beliau membina hospital di tempat yang dagingnya paling lambat busuk berdasarkan teori bahawa tempat itu mempunyai udara bersih, sedikit pencemaran dan menjadi lokasi sesuai untuk tapak hospital.

Sumbangan beliau dalam bidang falsafah tidak dapat diketepikan dan antara elemen yang menjadi pilihan ialah mengenai pencipta, jiwa manusia, hakikat, angkasa dan masa.

Komen Dr Seyed Hamid mengenai Al-Razi, “Rakyat Iran berasa bangga kerana Al-Razi berasal dari negara ini. Walaupun bagi kami tiada jurang pemisah antara Islam dengan kerakyatan tetapi oleh kerana dia dilahirkan di Rey, membuktikan Al-Razi berasal dari Iran.”

Menyorot latar belakang Al-Razi, ada beberapa catatan penulis sejarah menyatakan Al-Razi pernah bekerja sebagai tukang emas pada peringkat awalnya sementara penulis lain pula merakamkan, beliau pernah bekerja sebagai pengurup wang

Walaupun ada catatan demikian mengenai Al-Razi, nama ilmuwan itu diabadikan pada dewan kuliah atau institusi pengajian tinggi hari ini kerana kecemerlangannya dalam bidang perubatan, falsafah dan kimia.

Di sebalik kepelbagaian catatan ahli sejarah mengenai pekerjaan awal Al-Razi, ada persamaan dalam menerangkan keperibadiannya sebagai seorang ilmuwan yang tegas dan berkeyakinan tinggi dalam mengutarakan pendapat.

Beliau tidak mudah menerima sesuatu teori tanpa membuat kajian dan pada waktu sama, tidak menolak konsep ketuhanan. Baginya, Allah maha Bijaksana.

Dalam pergaulan dengan masyarakat Al-Razi memaparkan contoh terbaik. Beliau tergolong dalam kelompok elit dengan jawatan Ketua Pengarah Hospital di Rey, namun tidak meletakkan jurang antara dirinya dengan golongan miskin. Al-Razi tidak mengenakan bayaran kepada pesakit miskin yang berkunjung ke hospitalnya

dan apabila tiada pesakit menemuinya, beliau meneruskan penulisan terhadap kajian yang dilakukan.

Walaupun Al-Razi diiktiraf sebagai pakar pertama mengenali penyakit cacar dan campak serta mencadangkan kaedah pencegahannya namun dunia Islam hari ini secara umum masih bergantung kepada barat untuk mendapatkan bekalan vaksin pencegahan penyakit itu

Kemunculan wabak baru seperti selesema burung menambah kebergantungan dunia Islam terhadap kepakaran Barat. Di Iran, pakar perubatannya mampu menghasilkan vaksin campak dan beberapa serum lain dalam memastikan jasa Al-Razi dan ilmuwan Islam lain tidak lenyap.

Ayat Kursi penguat semangat Aminah

Selamat membaca..........

Ayat Kursi penguat semangat Aminah

Susunan: ZUARIDA MOHYIN
“SAYA bersyukur bergelar Muslim. Islam adalah kehidupan saya. Ia umpama degupan jantung, darah yang mengalir ke seluruh tubuh ini, sumber kekuatan dan kehadirannya menjadikan hidup saya ini penuh bermakna dan bahagia. Tanpanya, siapalah saya dan seandainya Allah memalingkan kenikmatan-Nya daripada diri ini, maka bagaimana untuk aku terus bertahan...,” luah cendekiawan wanita Islam terkemuka, Aminah Assilmi dalam setiap ceramahnya di serata dunia terutamanya di sekitar Amerika Syarikat.

Menurut wanita yang menjadi ahli Southern Baptist, berfahaman radikal dan memiliki kerjaya sebagai wartawan penyiaran, semasa di zaman persekolahan peringkat tinggi beliau merupakan seorang pelajar yang berkaliber luar biasa, cemerlang di sekolah, menerima biasiswa, mengendalikan perniagaannya sendiri malah sentiasa bersaing dengan golongan profesional dan tidak kurang juga dengan penerimaan anugerah.

Pada 1975, ia adalah kali pertama urusan prapendaftaran ke kelas-kelas pengajian di kolej beliau menggunakan sistem komputer. Pada masa itu Aminah sedang menyiapkan pengajian peringkat ijazah tentang rekreasi. Selepas selesai mendaftar, Aminah terus ke Oklahoma City untuk urusan perniagaan.

Beliau terlewat dua minggu ke kelas namun tidak menghadapi masalah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertinggal dalam tempoh tersebut tetapi apa yang memeranjatkan Aminah apabila dia menyedari terdapat kesilapan komputer yang telah mendaftarkannya dalam kelas teater, kelas di mana setiap pelajarnya mestilah melakukan persembahan di hadapan khalayak ramai.

Aminah bagai tidak percaya, bagaimana semua itu boleh terjadi ke atasnya. Ditambah pula memikirkan dirinya seorang yang berat mulut, apalagi untuk membuat persembahan di hadapan orang ramai.

Lebih membingungkan, untuk menarik diri dari kelas tersebut memang sudah terlambat. Pada masa yang sama, kegagalan tidak termasuk dalam kamus kehidupannya.

Akur dengan nasihat suami, Aminah menemui guru kelas berharap supaya ada alternatif yang boleh dilakukan. Berkeyakinan dengan kata-kata guru itu, Aminah terus ke kelas sebelah, dia sekali dikejutkan, kehadiran pelajar berbangsa Arab di situ. Aminah kembali ke rumah dan mengambil keputusan tidak menyertai kelas itu.

Seperti biasa, suami seorang yang tenang menjelaskan mungkin apa yang dilaluinya itu ada sebab-sebab tertentu daripada Tuhan. Malah menasihatkan Aminah agar memikirkannya masak-masak sebelum mengambil keputusan berhenti. Lebih-lebih lagi, dia telah menerima tajaan biasiswa.

Aminah mengunci dirinya di dalam bilik sebelum keluar dua hari kemudian dan menerima kata-kata suaminya dan merasakan dia adalah insan terpilih untuk membawa kumpulan Arab itu kepada agama Kristian.

Keyakinan ini menjadikan kehadirannya di kelas itu punyai misi khas dan mesti diperjuangkan. Lantaran itu, Aminah cuba membuka tajuk-tajuk perbincangan mengenai agama Kristian dengan teman-teman sekelas yang berbangsa Arab.

Selepas beberapa siri penerangan yang dilakukan, ia tidak menampakkan hasil maka Aminah merancang untuk sesuatu yang berbeza iaitu membacakan kitab agamanya yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama palsu begitu juga dengan Nabi Muhammad.

Pada masa yang sama, datang seorang pelajar Muslim yang memberikannya senaskhah al-Quran dan sebuah buku tentang Islam. Dengan dua buku ini, Aminah memulakan penyelidikannya. Berkali-kali dia membacanya.

Sepanjang pengkajiannya itu, Aminah mula mencari bukti bagi menyokong apa yang diuar-uarkan selama ini tentang kepalsuan agama Islam.

Walau bagaimanapun, tanpa Aminah sedari, dirinya mengalami perubahan yang dikira amat kecil namun telah berjaya dihidu oleh suaminya. “Kalau sebelum ini kami akan pergi minum-minum atau berpesta pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, tetapi kini sudah tidak lagi. Saya menjadi lebih pendiam dan bersikap dingin,” katanya.

Aminah sudah berhenti meneguk minuman keras dan makan daging khinzir. Suaminya menuduh Aminah berlaku curang. Akhirnya, Aminah dihalau keluar dan kesudahannya mereka tinggal berasingan.

Aminah masih meneruskan pembelajarannya tentang Islam. Walaupun berlaku perubahan dalaman namun dia masih kekal seorang penganut Kristian yang warak.

Tiba-tiba pada suatu hari, pintunya diketuk seorang lelaki Muslim lengkap berpakaian jubah bernama Abdul Aziz Al-Sheik yang turut ditemani tiga lelaki dengan penampilan serupa.

Beliau terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu apatah lagi pada waktu malam. Lelaki itu memberitahu bahawa dia mengetahui akan hasrat Aminah untuk memeluk Islam.

Dalam keadaan terkejut itu, sempat Aminah menafikannya dengan memberitahu bahawa dirinya seorang Kristian dan dia langsung tidak berhajat bergelar Muslim. Pun begitu, Aminah ingin mengajukan beberapa soalan.

Setelah dipelawa, mereka pun masuk. Aminah pun mula bertanya pelbagai persoalan yang berserabut di fikirannya. Alhamdulillah, segala penerangan Abdul Aziz begitu mudah difahami, jelas dan lengkap.

Ia umpama seperti kita melihat bagaimana bunga berkembang. Akhirnya pada 21 Mei 1977, Aminah melafazkan syahadah di hadapan Abdul Aziz.

Seperti saudara-saudara baru lain yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan penyisihan, Aminah juga tidak terkecuali. Dia kehilangan ramai teman dengan alasan dia sudah tidak seronok diajak berdampingan.

Ibunya pula tidak mengakuinya sebagai anak. Kakaknya mengatakan dia sudah gila dan merancang menghantarnya ke hospital sakit otak. Bapa yang terkenal dengan sikapnya yang tenang, seorang pendengar setia, seperti masuk hantu sebaik mendengar berita Aminah. Kini beliau bersendirian, tanpa teman-teman dan keluarga.

Tidak berapa lama kemudian, Aminah mula memakai tudung. Pada hari dia menyarungkan tudung itu, majikannya memberhentikannya. Dia kini bukan sahaja kehilangan teman, keluarga tetapi juga pekerjaan.

Perkahwinannya semakin menjadi runcing seperti retak menanti belah. Aminah turut hilang hak penjagaan ke atas dua orang anak-anaknya yang masih kecil. Hakim memberinya pilihan sama ada melepaskan agamanya dan mendapat hak penjagaan atau pilih Islam dan hilang anak-anak.

Aminah diberi masa 20 minit untuk memikirkannya dan membuat pilihan.

Kecintaannya kepada Allah Yang Esa mengatasi segalanya. Aminah yakin bahawa tiada tempat yang selamat di dunia ini selain di tangan Allah. Seandainya di menolak Allah, mungkin sukar pada masa hadapan untuk dia menunjukkan kepada anak-anaknya bahawa kemanisan dan kenikmatan berada di sisi-Nya.

Oleh itu, beliau memutuskan tetap dalam Islam. Anak lelaki dan anak perempuannya yang masih kecil telah diserahkan kepada bekas suami.

Bagi seorang ibu, inilah pengorbanan paling besar, pengorbanan bukan kerana wang ringgit atau harta dunia tetapi atas dasar kepercayaan dan keyakinan.

Aminah meninggalkan perkarangan mahkamah dengan hati yang sebak dan pedih sungguhpun dia mengetahui apa yang dilakukan itu adalah betul. Namun. Aminah menemui ketenangan dari surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud:

Allah tidak ada tuhan melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya, dan Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.

Aminah membawa kesnya kepada media. Meskipun dia tidak berjaya mendapat hak penjagaan kembali, tetapi tindakannya merubah sistem perundangan di Colorado di mana seseorang itu tidak boleh dinafikan hak penjagaan anak-anak mereka hanya atas dasar agama.

Sebaik bergelar Muslim, Aminah menjadi seorang yang berbeza. Sehingga walau di mana beliau berada, orang ramai pasti akan tersentuh dengan kata-katanya yang indah serta penampilan budi pekertinya.

Orang pertama daripada kalangan ahli keluarga Aminah yang memeluk Islam ialah neneknya yang sudah berusia lebih 100 tahun. Dia meninggal dunia tidak lama kemudian.

Kemudian bapa dan dua tahun selepas pengislaman Aminah, ibunya pula mengucap dua kalimah syahadah, diikuti kakak Aminah. Anak lelaki Aminah memeluk Islam sebaik usianya mencecah 21 tahun. Enam tahun selepas bercerai, bekas suami Aminah juga memeluk Islam.

Aminah kemudiannya berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Barakah. Aminah tidak menyangka dia akan mengandung kerana doktor mengatakan dia tidak boleh lagi melahirkan anak.

Pergorbanan Aminah atas nama Allah rupa-rupanya diberikan balasan yang tidak ternilai harganya. Beliau kini ialah Presiden Kesatuan Wanita Islam Antarabangsa. Organisasinya berjaya melobi “Eid Stamp” dan ia dipersetujui Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat. Beliau kini dalam usaha menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai cuti umum di negara itu.

Keyakinan Aminah pada Pencipta tidak pernah berbelah bahagi. Beliau telah didiagnosis mengidap kanser beberapa tahun lalu. Doktor menjangkakan usianya boleh bertahun untuk tempoh yang singkat. Alhamdulillah, Aminah kini masih lagi sihat. Beliau melihat penyakit yang dihidapinya itu sebagai rahmat paling besar daripada Allah.

18 November 2007

Kereta Islami bawa keaiban

Selamat membaca..........




Rencana
Kereta Islami bawa keaiban

Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

PAGI Ahad muncul kembali. Hujan yang bermula malamnya tadi berterusan hingga ke pagi hari. Langit masih mendung berawan; suria mentari sudah tidak kelihatan buat kesekian kali dan hari. Semua itu bukanlah cara yang meriah untuk menyambut ketibaan hari baru; yang pastinya, hari-hari yang seperti itu bukanlah hari yang ceria dan menggirangkan. Sama seperti suasana cuaca ketika itu, perasaan saya sendiri berada dalam ragam yang tidak menentu. Sedikit sahaja jolokan yang mengganggu cukup untuk menyinggung perasaan saya. Mungkin akibat keadaan yang agak membosankan pagi itu, saya mengambil keputusan untuk membaca akhbar, maka gangguan yang tersebut pun muncul. Daripada perasaan yang asalnya tidak menentu, hati saya bertukar menjadi marah dan berasa dihina. Mungkin para pembaca tertanya-tanya, apakah yang secara tiba-tiba menyebabkan perasaan saya berubah? Mudah kata, kalaulah saya tidak membaca New Sunday Times keluaran 11 November itu, kemungkinannya makalah saya hari ini akan berkisar di sekitar mauduk yang lain.

Yang menyebabkan saya berasa marah, berang dan dihina adalah isi berita “Proton akan mengusahakan kereta berkonsepkan ‘Islam’ ” (Proton to work on ‘Islamic’ car concept). Laporan Bernama dari Teheran menyebut bahawa “Malaysia, dengan kerjasama Iran dan Turki merancang untuk menghasilkan kereta Islami bagi pasaran global.” Ini berasaskan pernyataan yang diberi oleh Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Walau bagaimanapun, beliau tidak pula mendakwa yang saranan tersebut dicadangkan dari hasil fikirannya sendiri. Sebaliknya, menurut laporan itu, saranan tersebut dicetuskan oleh Iran. Nampaknya kereta itu “dijangka akan memiliki ciri-ciri Islami seperti kompas, bacaan kiblat dan ruang untuk menyimpan al-Quran dan tudung.” Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. seterusnya menyatakan “rancangan untuk menghasilkan kereta Islami menyediakan kesempatan dan peluang yang bagus untuk semua yang terlibat,” mungkin merujuk kepada para pembuat kereta di Iran, para ahli perniagaan di Turki, dan Proton sendiri, di samping entiti siasah di negara-negara terbabit. Penelitian sepenuhnya terhadap berita itu menyerlahkan hakikat bahawa tumpuan sebenar rancangan tersebut bukanlah untuk menghasilkan kereta yang bersifat Islami (ini silap-faham yang akan saya kupas di bawah), tetapi sebaliknya menggunakan istilah “Islami” sebagai alat pengiklanan, semata-mata untuk laba dan keuntungan ekonomi.

Untuk kesekian kalinya, orang-orang Islam zaman ini menonjolkan bukan sahaja kejahilan yang amat sangat, tetapi juga kesombongan yang luar biasa dalam cara berfikir bahawa perdagangan yang didorong oleh laba harta-benda yang dipimpin oleh entiti siasah yang memburu kemegahan boleh menjadi wibawa ilmu. Yakni, wibawa ilmu dan kebijaksanaan untuk menganjurkan faham-faham (atau konsep-konsep) yang berhubung dengan persoalan-persoalan yang sebenarnya sama sekali tidak mampu mereka fahami. Menurut berita tersebut, Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. dilaporkan berkata, “kereta yang dimaksudkan akan mempunyai ciri-ciri Islami”; satu pernyataan yang mengandaikan bahawa beliau faham betul maksud yang terkandung dalam istilah ‘Islami’ seterusnya faham betul apakah pula ciri- ciri yang menjadikan sesebuah kereta itu bersifat ‘Islami’. Apakah pernyataan beliau itu betul? Adakah beliau benar-benar faham apa kandungan maknawi istilah ‘Islam’ dan ‘Islami’?

Bertentangan dengan kepercayaan ramai kaum modenis, istilah ‘Islami’ (Islamic) tidak merujuk kepada rupa bentuk upacara keagamaan (ritual aspect). Pada hakikatnya, faham istilah ‘Islami’ merujuk kepada amalan (activity), iaitu perilaku yang terlangsung daripada unsur-unsur dasar pandangan alam Islam. Justeru itu, sesuatu amalan perlu kepada pengamal (actor). Sejauh yang berkenaan dengan berita tadi, istilah ‘Islami’ lebih merujuk kepada ciri-ciri (features) bagi benda yang tiada berjiwa (iaitu kereta), yang hampa dari pengamal dan kerana itu tidak boleh mengamal (act). Apa sebabnya saya menyatakan yang demikian? Ini jelas dari hakikat yang telah saya nyatakan lebih awal tadi, iaitu faham istilah ‘Islami’ merujuk kepada perlakuan atau amalan yang mensyaratkan pelaku atau pengamal. Justeru menurut urutan mantiq, ini mensyaratkan wujudnya suatu perundangan yang tertib untuk mentadbirkan perilaku atau amalan tadi, iaitu syariah. Tetapi, bagaimanakah boleh untuk kita mengandaikan kemungkinan menganggap pengertian sebuah kereta yang dipanggil ‘Islami’ itu benar-benar wujud, sedangkan sebaliknya pengertian faham ‘Islami’ adalah berhubung dengan perlakuan atau amalan dan justeru itu aturan undang-undang (syariah); yakni, satu aliran (sistem) yang dijelaskan bukan sahaja selaras dengan kesarjanaan dan ilmu, bahkan ditakrifkan pengertian dan ketetapannya oleh unsur-unsur dasar pandangan alam Islam? Sekiranya para pedagang dan penguasa tersebut ingin berhujah mengenai perkara ini dengan saya dan mendakwa bahawa kemungkinan (yang karut) itu memang wujud, maka saya akan menyoal apakah unsurnya yang mentakrifkan dan menetapkan susunan struktur, huraian rupa, rukun dasar, tiang turus dan alat perkakas sistem tersebut yang khusus lagi berbeza, yang secara dasarnya berlainan daripada semua sistem perkeretaan (automotif) dalam dunia masa kini? Sangatlah jelas di sini bahawa mereka hanya memahami istilah ‘Islami’ yang dirujuk kepada jubah upacara (ritual cloak), bentuk luaran, dan dalam hal itu pun cara mereka menggambarkan bentuk luaran ‘Islami’, mahupun ‘Islam’ sendiri sangatlah karut. Bagaimanakah dengan memiliki “kompas, bacaan kiblat, dan ruang untuk menyimpan al-Quran dan tudung” akan menghasilkan kereta ‘Islami’ yang secara dasarnya berbeza daripada semua kereta lain? Mitsubishi, dalam menghasilkan kenderaan pacuan empat roda Pajero telah pun memasukkan kompas sebagai sebahagian daripada reka bentuknya. Para pereka bentuk kereta Jerman sekarang ini telah pun memasukkan sistem GPS yang mampu menunjuk arah kiblat dalam banyak kenderaan mewah mereka. Berkenaan ruang menyimpan pula, bagi sebahagian besar, kalaupun bukan semua, pembuat kereta telah pun mempunyai banyak petak dan ruang untuk menyimpan barang-barang, termasuklah tudung. Para pembuat kereta tersebut tidak menentukan secara khusus apakah barangan yang boleh atau harus diletakkan di dalam ruang simpanannya, terpulanglah kepada para pengguna untuk memutuskannya sendiri.

Adakah para pembuat kereta tersebut pernah mengiklankan kenderaan mereka sebagai bersifat ‘Islami’ hanya kerana mereka mengambil kira ciri-ciri itu? Jika jawapannya ‘tidak’, mengapakah pula kaum Muslimin beria-ia merasakan perlu untuk mencanangkan yang sedemikian?

Jadi satu lagi soalan yang penting timbul: Adakah kereta satu tempat yang wajar atau patut untuk menyimpan al-Quran? Siapa pun di kalangan orang Islam yang beradab akan faham bahawa ada tempat yang wajar untuk segala sesuatu. Sekali lagi, ‘tempat yang betul’ yang dimaksudkan di sini ditakrif dan ditetapkan oleh pandangan alam Islam dan unsur-unsur dasarnya.

Justeru, tatkala sesuatu diletakkan di tempatnya yang wajar selaras dengan pandangan hidup tersebut, maka terhasillah keadilan. Oleh kerana kita mengisbatkan wujudnya ‘tempat yang betul’ yang dapat dibuktikan, maka secara mantiqnya tentulah wujud pula ‘tempat yang salah’. Tempat yang salah itu tentulah tidak bersesuaian dengan pandangan hidup Islam dan unsur-unsurnya yang asasi sehingga melahirkan kezaliman, yang juga boleh dibuktikan. Al-Quran bukanlah seperti sebarang buku biasa yang boleh dibeli dari mana-mana toko dan gedung. Sebagai Kalam Allah, al-Quran wajib diberikan penghormatan yang selayaknya. Justeru, sesebuah kereta bukanlah tempat yang wajar untuk meletakkan al-Quran; cermin belakang sesebuah kereta juga bukanlah tempat yang sesuai untuk dilekatkan dengan ayat-ayat al-Quran. Jadi, cadangan untuk menghasilkan kereta yang mempunyai “ruang letak untuk menyimpan al-Quran” itu sendiri pada hakikatnya merupakan cetusan fikiran yang tidak senonoh, zalim, bertentangan dan berlawanan dengan rukyat Islam dan unsur-unsurnya yang utama. Maka dengan itu, jauh dari bersifat ‘Islami’, amalan menyimpan al-Quran dalam kereta pada hakikatnya sama sekali tidaklah Islami.

Apa yang telah saya bicarakan tidaklah sepatutnya disalahtafsirkan atau disalah tanggap sebagai satu serangan peribadi yang ditujukan terhadap 40 ahli rombongan para pegawai kerajaan dan perwakilan syarikat-syarikat swasta yang disebut dalam laporan akhbar itu. Ia juga tidak sepatutnya menimbulkan rasa gusar sama ada Syed Ali Tawfik Al-Attas, selaku orang perseorangan, bersikap kasar atau tidak adil dalam kecaman dan tegurannya.

Apa yang penting untuk dikhuatirkan di sini adalah, agama Islam dan unsur-unsurnya yang berkaitan, iaitu faham ‘Islami’, ‘pengislaman’, dan lain-lain unsur lagi, sedang dicemarkan oleh golongan yang tidak memiliki ilmu sedemikian dan tidak menyedari akan kejahilan mereka tidak memiliki ilmu yang benar (la yadri wa la yadri annahu la yadri). Agama Islam bukanlah agama untuk kalangan yang bebal dari segi akal dan fikiran; Islam juga bukanlah agama pelayan kepada permainan siasah atau cogan kata basi perniagaan dan ekonomi. Sesungguhnya penderitaan yang dialami oleh negara-negara kaum Muslimin pada hari ini – sama ada dari segi siasah, ekonomi mahupun pemikiran – adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh para penganut agama itu sendiri dan bukan disebabkan oleh agama Islam itu sendiri.

Pada hemat saya, jauh dari mengangkat martabat kaum Muslimin dan dunia Islam, anjuran dan cadangan seperti 'kereta Islami' hanyalah memberi aib dan mengundang ejekan, serta mendatangkan cemuhan yang tidak kita perlukan.

- Dr. Syed Ali tawfik al-attas ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas

Selamat membaca..........

Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah, dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ. Para hadirin ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia? Dia bertanya saya tentang kekeliruan itu. Saya berkata, syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong? Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras.

Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’. Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas, tentu dia tidak membuat huraian seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani). Nabi s.a.w. dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana mengutip batu yang kecil kerana itu memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para Rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama.

Jika batu-batu yang dilontar itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jemaah dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh. Akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jemaah lain yang cedera. Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama, hendaklah merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan sunah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempu- nyai latar sejarahnya, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakan dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah.

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai pelbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumah lagi. Kepercayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah! Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jemaah haji sesete- ngah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga zamzam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada yang mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya di Mekah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat? Perkara seperti ini jika tidak dikawal dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan Syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Sayidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Kaabah, sebaliknya hanya menghadapkan wajah ke arah Kaabah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w. memohon agar dipilih Masjidilharam sebagai arah kiblat. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek, insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan menghadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjidilharam dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempat yang diperintahkan Allah. Firman Allah: (maksudnya) Kerapkali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehingga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji ketika itu, pergi ke negara Qaramitah. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata: “Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Oleh kerana Rasulullah menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sai, wukuf dalan kesemua dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan dengan akidah yang diajar baginda. Jika ini tidak difahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (surah al-Nisa 115).

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini melebihi tempat lain seperti Mekah dan Madinah, zamzam dan Kaabah, Mina dan Arafah. Seperti Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmat-Nya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan Muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehnya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripada- Nya. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-

tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancong dan berseronok suka. Firman Allah: (maksudnya) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37).

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang Muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (surah al-Baqarah 127-129).

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi pelbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai-bagai penderitaan. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jemaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim mulakan perjuangannya.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/