Selamat membaca..........
Perspektif Ikim: Banjir antara ujian supaya umat insaf
Oleh Azrina Sobian
PADA saat penduduk di seluruh dunia sibuk merisaukan masalah perubahan cuaca dunia, di Malaysia, masalah ini ibarat �melukut di tepi gantang�. Tidak peduli, tidak faham dan tiada kena mengena, mungkin inilah yang dirasakan kebanyakan kita sekarang.
Ketika ini, kira-kira 10,000 wakil pelbagai negara seluruh dunia berada di Bali, Indonesia bagi menghadiri Persidangan Perubahan Cuaca (Climate Change Conference) 2007 yang berlangsung dari 3 hingga 14 Disember ini.
Persidangan itu diadakan dengan beberapa tujuan dan tujuan utama adalah untuk membincangkan langkah seterusnya selepas Protokol Kyoto tamat pada 2012 nanti. Pada masa sama, turut dibincangkan usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) secara sukarela mahupun secara wajib.
Tidak ketinggalan, perbincangan berkisar bagaimana masalah penebangan hutan boleh dikawal dan juga bantuan yang boleh disalurkan kepada negara miskin dalam menangani kesan perubahan cuaca.
Dalam memahami masalah perubahan cuaca bumi ini, wajar untuk kita memahami hubungannya dengan Protokol Kyoto. Protokol ini dipersetujui pada 11 Disember 1997. Matlamat protokol itu adalah untuk mengurangkan pelepasan gas CO2 yang didakwa menjadi punca pemanasan bumi.
Sehingga Jun 2007, 172 negara sudah memperakui protokol itu. Daripada jumlah berkenaan, kata sepakat dicapai supaya 36 negara industri mengurangkan pelepasan gas CO2 atau gas lain yang bersifat memerangkap haba.
Pengurangan itu perlu dilakukan pada kadar purata lima peratus daripada tahap pelepasan pada 1999. Perlulah diingatkan, walaupun pelbagai negara memperakui protokol itu namun tidak bermakna mereka bertanggungjawab untuk melaporkan perkembangan usaha pengurangan gas berkenaan.
Bagaimanakah pencapaian usaha pengurangan gas CO2 selepas Protokol Kyoto? Apa yang boleh dikatakan, usaha mengurangkan gas CO2 oleh 36 negara industri tidak begitu berjaya. Masalah lebih ketara apabila wujud pertentangan antara beberapa negara dalam kumpulan 36 negara tu.
Negara Kesatuan Eropah (EU) yang begitu kuat menyokong Protokol Kyoto mahukan supaya usaha pengurangan gas CO2 dilakukan dengan tegas. Namun, usaha itu ditentang beberapa negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Bagi negara EU sendiri, walaupun mahukan ketegasan, namun kebanyakan negara itu juga gagal mencapai matlamat pengurangan gas CO2. Sehingga akhir 2006, hanya United Kingdom dan Sweden yang hampir dapat mencapai matlamat pengurangan masing-masing.
Selain itu, rasa tidak puas hati juga disuarakan negara membangun dan negara miskin. Negara membangun menuntut haknya untuk membangunkan negara masing-masing. Dengan alasan negara maju terlebih dulu membangun dan mencemar udara, maka mereka sewajarnya diberikan peluang untuk maju.
Dalam pada itu, negara maju juga dituntut untuk memindahkan teknologi ke negara membangun supaya mereka dapat pula membangun tanpa menjejaskan alam sekitar. Bagi negara miskin pula, mereka bukan saja menghadapi masalah hampir sama dengan negara membangun tetapi mereka turut menuntut diberikan bantuan untuk menghadapi kesan tidak baik daripada pemanasan bumi.
Kejayaan tidak memberangsangkan dan segala pertentangan yang berlaku dalam usaha menghadapi serta menyelesaikan masalah pemanasan bumi benar-benar menunjukkan betapa masalah ini sangat sukar diatasi.
Selagi setiap negara di dunia ini hanya ingin mementingkan diri sendiri, maka sesungguhnya masalah pemanasan bumi tidak akan selesai sampai bila-bila. Lebih menyedihkan apabila sikap seperti ini hanya memakan diri sendiri.
Maka, dalam masa terdekat ini kita akan rasa kesan daripada apa yang tangan kita lakukan. Ini bukan janji kosong, tetapi satu janji yang juga disebut di dalam kitab suci al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: �Sudah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).� (Surah ar-Ruum, ayat 41)
Bagi Malaysia khususnya, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, negara kita tidak terkecuali daripada merasa kesan pemanasan bumi. Contohnya, kejadian banjir yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini adalah satu tanda kesan pemanasan bumi. Ini membuktikan Malaysia tidak kebal daripada kesan pemanasan bumi.
Kedua, berkait dengan pembangunan negara. Sebagai negara yang membangun, kita berhak memegang beban amanah dan tanggungjawab untuk membangunkan negara sendiri. Namun, pembangunan itu mestilah dalam kerangka yang mesra alam.
Walaupun kita tidak mempunyai tanggungjawab sebesar negara maju dalam usaha mengurangkan pelepasan gas CO2, itu tidak bermakna Malaysia boleh lepas tangan. Kita juga mesti berusaha mengurangkan pelepasan gas CO2 demi menyokong usaha mengatasi pemanasan bumi.
Malah, sebagai negara yang berpegang kepada pembangunan bersandarkan aliran siasah Islam, tanggungjawab menyelamatkan bumi tidak boleh diketepikan.
Berkaitan pemindahan teknologi pula, kita tidak boleh selamanya meletakkan harapan kepada negara maju. Kini adalah masanya untuk kita mencipta dan membangunkan teknologi ala Malaysia. Kekuatan dalam bidang ini perlu kita kuasai bukan saja untuk menghadapi pemanasan bumi tetapi memindahkan teknologi ala Malaysia kepada negara lain.
Perlu diingat kebanyakan negara miskin yang menerima kesan teruk daripada pemanasan bumi terdiri daripada negara Islam. Mereka juga sebahagian besarnya terdiri daripada negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Oleh itu, dengan kedudukan istimewa negara Malaysia di dalam OIC buat masa ini, pemindahan teknologi boleh dilakukan dengan semangat persaudaraan dan semangat membangunkan semula kegemilangan tamadun.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial Institut Kefahaman Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment