Selamat membaca..........
Mimpi indah buka pintu Mokhtar peluk Islam
Oleh: SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM
MOKHTAR menunjukkan lakaran produk ‘Fresh 2 Pan’ yang masih dalam perancangan bersama sebahagian produk minyak wangi yang dijualnya.
Sebagai manusia biasa, istilah mimpi selalu dikaitkan dengan mainan tidur atau bisikan syaitan untuk memperdayakan manusia supaya leka dan lalai dengan perintah Allah. Namun, bagi golongan nabi dan rasul, mimpi merupakan salah satu perantaraan Allah untuk menyampaikan wahyu kepada umat manusia.
Sejauh mana kebenaran yang ada dalam mimpi, hanya Allah yang tahu. Bagi Victor@Mokhtar Yap Abdullah, 57, pengalaman mimpi indah selama tiga hari berturut-turut meyakinkan beliau bahawa keputusannya untuk berhijrah memeluk Islam adalah tepat.
Peristiwa 21 tahun dahulu masih segar dalam ingatan walaupun ia mungkin sekadar cerita dongeng bagi mereka yang memperlekehkan akan kebenaran mimpi tersebut.
Menceritakan pengalaman mimpi itu, Mokhtar yang berasal dari Klang, Selangor berasakan sangat bertuah kerana Allah memilihnya daripada jutaan penganut agama Buddha untuk diberi petunjuk jalan yang benar.
“Dalam mimpi tersebut saya beserta sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di satu padang yang luas. Sedang kami leka bermain, saya terdengar seakan-akan bunyi tanglung.
“Kemudian saya nampak ada tangga berpusing tinggi membuatkan saya teruja untuk memanjat tangga tersebut. Bila sampai di kemuncaknya, saya lihat satu kawasan yang sangat indah dan luas mata memandang yang tidak ada di dunia ini dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa dan pokok melambai-lambai.
“Bila tersedar dari tidur, saya terdengar bunyi azan subuh lalu menangis teresak-esak. Badan saya berpeluh seperti mandi,” katanya yang berketurunan baba dan nyonya.
Beliau tertarik dengan agama Islam sejak kecil lagi kerana kehidupan beliau pada waktu itu dikelilingi masyarakat Melayu yang amat mementingkan Islam.
Disebabkan beliau merupakan satu-satunya keluarga Cina yang hidup bersama kelompok Melayu dan sentiasa bergaul dengan orang Melayu, sedikit sebanyak persekitaran telah mempengaruhi tingkah laku beliau.
Sehingga pada suatu hari, perasaan ingin tahu tentang Islam yang begitu menebal dalam diri menyebabkan beliau sanggup mengintai di surau dan masjid sehingga dihalau oleh penduduk kampung kononnya kehadiran beliau akan merosakkan akidah anak-anak Melayu.
Walaupun sedih dengan layanan dan tohmahan itu, beliau tidak pernah putus asa dan semakin bersemangat untuk lebih mengenali Islam yang turut ditentang oleh bapanya.
“Selepas saya mengalami mimpi tersebut saya berjumpa dengan seorang penduduk kampung yang kemudiannya membawa saya ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) di Jalan Ipoh untuk mengucap dua kalimah syahadah seterusnya berdaftar sebagai seorang Muslim,” ujar bapa kepada tujuh orang anak hasil perkahwinannya dengan Norliza Lim Abdullah, 40, juga seorang saudara baru.
Menurut Norliza, dia tertarik dengan kewarakan suaminya sehingga bersetuju untuk menerima lamaran Mokhtar seterusnya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Pada ketika itu, dia sudah melangkaui usia 18 tahun yang mana melayakkan dia untuk memilih haluan hidup sendiri dan pegangan agama jika keluarganya menentang pilihannya.
“Walaupun saya tahu suami saya tidak mempunyai harta, tetapi keperibadiannya membuatkan saya bahagia di sisinya dan berjanji untuk sama-sama mengharungi hidup,” jelas Norliza yang sangat mengagumi Mokhtar yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud.
Nasib tidak menyebelahi mereka selepas mendirikan rumah tangga apabila pasangan ini terpaksa merempat di rumah orang Cina untuk meneruskan hidup setelah Mokhtar dihalau oleh keluarga sebaik sahaja mendapat berita tentang keislamannya.
Bagaimanapun, beliau sangat bersyukur masih ada insan yang mahu menolongnya walaupun pada waktu itu hanya mempunyai sebiji bantal untuk dijadikan alas tidur, sehelai selimut dan segulung tikar untuk melakukan ibadat kepada yang Maha Esa.
Namun begitu, beliau sekali-kali tidak menyesali keputusannya memilih agama yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w itu, malah menganggapnya ujian dan dugaan dari Allah untuk menguji tahap keimanannya.
Dengan berserah kepada takdir Allah serta yakin dengan ketentuan-Nya, Mokhtar berjaya mengharungi hidup sehingga dapat melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah walaupun hidup serba sederhana.
Semua dugaan itu mengingatkan beliau kepada firman Allah, “...Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir,” (Yusof: 87)
Berpegang pada janji Allah itulah, Mokhtar tidak pernah mengeluh dengan takdir walaupun ramai yang mencemuh dengan sikap beliau yang dikatakan ekstrem itu.
Walaupun hidup bergantung pada setakat mana rezeki yang Allah kurniakan, beliau tidak pernah merungut malah berusaha untuk turut berdakwah di jalan Allah yang merupakan kewajipan orang Islam.
Disebabkan raut wajahnya yang berkulit cerah dan bermata sepet itu dengan berperwatakan alim dan berkopiah, ramai yang meragui akan keislamannya sehingga masyarakat memulaukan keluarganya. Anak-anaknya juga sering dibuli di sekolah sehingga terpaksa menamatkan persekolahan di usia awal.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya malah dijadikan cabaran untuk beliau terus mendalami ajaran Islam. Buku-buku agama menjadi teman rapat beliau untuk menguatkan diri menghadapi ujian dan dugaan Allah di samping tidak jemu menghadiri ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau.
Atas kesabaran dan ketakwaan, beliau yang satu ketika dahulu pernah mengikuti aktiviti kumpulan tabligh berjaya mengislamkan sekurang-kurangnya 20 orang untuk sama-sama merasai kenikmatan Islam.
Demi membesarkan tujuh anaknya yang masih bersekolah dan seorang yang berkerusi roda, beliau kini dalam usaha membuka perniagaan mee kuning buatan sendiri.
Mokhtar juga berhasrat dapat merubah nasib keluarganya dengan perniagaan itu agar anak dan isterinya dapat hidup lebih selesa yang sekarang ini hanya menetap di rumah pangsa dua bilik.
“Saya buka perniagaan ini bukan nak jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih, tetapi niat saya untuk menolong orang. Lagipun Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, 9 daripada 10 punca rezeki adalah melalui perniagaan,” jelasnya yang menamakan produknya ‘Fresh 2 Pan’. Produk ini dijangka berada di pasaran awal tahun hadapan.
Dalam masa yang sama, beliau menjalankan perniagaan minyak wangi dari rumah ke rumah setelah pekerjaan menjadi pemandu teksi sudah tidak menjamin keselamatannya setelah fitnah yang dilemparkan oleh masyarakat sekitar.
Beliau tidak pernah sekalipun mengambil rasuah atau mengenakan caj tambang teksi lebih seperti yang didakwa pelanggan. Beliau hanya mampu bersabar dan berdoa agar mereka diampunkan oleh Allah.
Mujurlah, atas inisiatif isterinya, Mokhtar dan keluarga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos hidup yang semakin mendesak.
Di akhir perbualan, beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap remaja zaman sekarang yang seolah-olah tiada pegangan agama sehingga berlaku banyak gejala sosial.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak dengan ajaran agama yang sebenar supaya mereka patuh dengan perintah Allah dan mengikuti sunah Rasulullah,” ujarnya yang mendidik anaknya supaya jangan sekali-kali menanggalkan kopiah kerana itu merupakan lambang orang Islam.
Beliau turut mengajar anaknya supaya sentiasa berpuasa sunat, bersembahyang malam dan mengamalkan zikir setiap hari agar hidup sentiasa dilindungi Allah.
Kini beliau bahagia di samping isteri dan anak-anak yang dipinjamkan oleh Allah sebagai satu amanah yang wajib dijaga olehnya dengan ajaran Islam dan kasih sayang.
Anak-anaknya, Afiq Faid, 18; Farhan Syauqi, 17; Syaukat Akid, 15; Aghlab Fida’iy, 11; Faqih Sa’ud, 6; ‘Aifat Fathanah, 4, dan Syahiran Ahnaf, 3 bulan, tidak pernah merungut tentang hidup mereka yang tidak seperti orang lain malah tidak pernah meminta-minta untuk diberikan kemewahan, seolah-olah tahu akan kesempitan hidup mereka sekeluarga.
Sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Kisah Mokhtar yang begitu susah mengharungi hidup demi Islam berdasarkan hidayah Allah kepadanya melalui mimpi, sangat bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-An’am, ayat 125 yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk Islam)...”
No comments:
Post a Comment