Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

11 December 2007

Berkhatan awal lebih baik

Selamat membaca..........

Berkhatan awal lebih baik

Oleh ZUARIDA MOHYIN

ACAP kali tiba musim cuti sekolah satu perkara yang tidak terlepas daripada perancangan ibu bapa ialah mengkhatankan anak lelaki mereka atau lebih dikenali sebagai ‘masuk jawi’ atau bersunat.

Kebiasaannya, cuti pertengahan dan hujung tahun menjadi pilihan ibu bapa, apatah lagi mengambil peluang daripada penganjuran majlis berkhatan beramai-ramai oleh pelbagai pihak berkaitan.

Di Malaysia, amalan mengkhatankan anak-anak lelaki, kalau kita perhatikan ada sedikit perbezaan trendnya. Apa tidaknya, kalau dahulu ibu bapa akan menyunatkan anak lelaki pada usia yang agak lewat iaitu sekitar usia 12 tahun.

Namun, sejak kebelakangan ini, trendnya sudah berubah apabila kanak-kanak lelaki seawal usia tujuh tahun telah dihantar untuk melalui pengalaman paling bermakna dalam kehidupan seorang lelaki. Malah ada ibu bapa yang mengkhatankan anak lelaki mereka selepas kelahiran.

Hakikatnya, ibu bapa mempunyai alasan mereka sendiri. Ada yang mengatakan tidak elok dilakukan pada usia terlalu muda, nanti buruk padahnya. Ada juga yang mengatakan kebaikan sekiranya kanak-kanak lelaki itu dikhatankan pada usia muda.

Apa pun alasan mereka itu, bagi Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Profesor Dr. Abdul Latiff Mohamed, berkhatan lebih awal adalah lebih baik.

Beliau juga melihat hal ini sebagai satu trend yang baik. Gesaan ini bersandarkan kepada aspek kesihatan dan saranan dalam agama Islam itu sendiri.

Kalau dilihat khatan di kalangan masyarakat Arab, ia berbeza dengan trend umat Islam di sini kerana mereka memilih mengkhatankan anak lelaki mereka ketika baru lahir atau pada peringkat usia tujuh tahun.

Perbuatan berkhatan itu sebenarnya untuk membersihkan kawasan sulit (selaput di kepala kemaluan lelaki) supaya najis tidak berkumpul di situ dan telah terbukti bahawa berkhatan mampu mencegah pelbagai penyakit berjangkit.

“Malah di dalam Islam sendiri aspek kebersihan amat diutamakan terutamanya dalam ibadat wajib seperti melaksanakan solat yang merupakan tiang agama. Lantaran itu, dengan berkhatan menjadikan amalan ibadat dapat dilakukan tanpa was-was.

Banyak kelebihan

“Banyak lagi kelebihan jika dilakukan awal. Bagi saya apabila kanak-kanak ini melalui pengalaman berkhatan lebih awal, mereka mudah melupakan traumanya memandangkan usia mereka masih muda. Kedua, pencegahan penyakit dapat dilakukan lebih awal sebagaimana saranan mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya kepada Mega dalam temuramah di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, baru-baru ini.

Dr. Abdul Latiff berkata, kecanggihan teknik berkhatan juga menjadi salah satu faktor yang meyakinkan ibu bapa untuk mengkhatankan anak mereka pada usia awal.

Katanya, teknik-teknik yang ditawarkan kini dapat mengurangkan kesakitan, sekali gus tidak meninggalkan kesan trauma ke atas kanak-kanak itu tadi, mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan komplikasi tertentu.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Klinikal, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya menyangkal pendapat segelintir masyarakat terutamanya ibu bapa yang beranggapan berkhatan pada usia terlalu awal akan menyebabkan anak-anak cepat ghairah. Lebih menyedihkan beliau, apabila hal ini dikatakan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja lelaki.

Tegas Dr. Abdul Latiff, dakwaan sedemikian tidak benar malah tidak ada bukti saintifik yang dapat menyokong kesahihannya. Kalau dilihat bangsa Yahudi, mereka juga mengkhatankan anak mereka selepas kelahiran lagi.

Aspek keselamatan

Dari segi keselamatan, beliau menyarankan agar pengamal perubatan mengambil berat semua aspek keselamatan dan jangan terlalu mengejar keuntungan semata-mata. Ini kerana alat kemaluan lelaki merupakan salah satu bahagian sulit yang amat berharga.

“Jika seseorang doktor itu tidak melakukan tugas dan amanah mereka dengan betul serta mengikut etika, berkemungkinan berlaku sesuatu yang tidak elok kepada ‘mahkota’ lelaki itu.

“Jika sesuatu terjadi, ini pastinya mengundang kesan psikologi seperti trauma, malah menjadikan seseorang itu dibelenggu sifat rendah diri sepanjang hayatnya,” jelas beliau.

Sementara itu bagi ibu bapa pula, pastikan terlebih dahulu tempat dan orang yang akan melakukan khatan itu mestilah yang berkelayakan. Jika mereka terlalu memilih perkhidmatan yang murah dan cepat, dibimbangi boleh mendatangkan keburukan dan membahayakan masa depan anak-anak.

“Pun begitu, tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh ibu bapa untuk menghantar anak lelaki mereka yang masih kecil kerana tempat kemaluan adalah bahagian yang paling mendapat cukup bekalan darah.

“Jadi, ia pasti akan sembuh cuma tempohnya sahaja berbeza,” kata Dr. Abdul Latiff lagi.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan acara tradisi PPIM setiap kali cuti sekolah yang dikenali `Sunathon,’ kata beliau, aktiviti itu dikendalikan oleh ahli persatuan yang terdiri daripada doktor, doktor pakar dan pelajar perubatan dari dalam dan luar negara. Ia disediakan secara percuma kepada kanak-kanak dari lokasi terpilih.

“Kami akan datang ke lokasi sehari sebelum program berkhatan beramai-ramai. Aktiviti ini bukan sahaja membimbing para pelajar perubatan untuk melakukan khatan tetapi matlamat utamanya ialah untuk melatih mereka melakukan sesuatu yang bermanfaat seperti aktiviti khidmat sosial sebegini.

“Pada masa yang sama, melakukan aktiviti riadah. Pokoknya, ia bagi mengeratkan silaturahim antara ahli dan masyarakat luar bandar,” jelas beliau.

Menurut Dr. Abdul Latiff, PPIM mahu mengubah mind-set bakal doktor ini bahawa kerjaya mereka bukan mengejar imbuhan material semata-mata. Lebih penting, mereka melihat apa sumbangan mereka kepada insan yang kekurangan dan memerlukan bantuan.

“Sebab itulah sepanjang program ini berlangsung, kebanyakan pengisiannya menjurus agar mereka dapat menyelami kehidupan masyarakat yang pelbagai status,” kata beliau sambil mengendalikan bengkel berkhatan kepada pelajar perubatan di kolej universiti petang itu.

No comments: