Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

24 December 2007

Punca pinjaman ditolak

Selamat membaca..........

An-Nur: Punca pinjaman ditolak
Bersama Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM

Punca pinjaman ditolak

MINGGU ini adalah siri terakhir jawapan saya kepada banyak soalan yang diterima daripada umat Islam yang keliru selepas permohonan pinjaman mereka dengan bank Islam ditolak.

Mereka ingin penjelasan sama ada daruratkah jika mereka mengambil pinjaman riba daripada bank konvensional berikutan penolakan berkenaan.

Minggu lalu saya berhenti selepas memberi dua hujah apa yang disemak bank Islam sebelum meluluskan permohonan pinjaman. Minggu ini saya sambung semakan itu juga membabitkan:

# Central Credit Reference Information System (CCRIS):

Pada masa ini, sistem ini mempunyai informasi seramai lima juta peminjam dan pelanggan di bank seluruh Malaysia. Menerusinya, pihak bank dapat mengetahui sama ada pemohon mempunyai rekod pernah lewat membayar atau tidak dalam hutangnya di bank lain, sama ada dalam kad kredit, rumah, kereta dan lain-lain. Jika ada, laluan untuk mendapat kelulusan adalah sukar.

# Jenis kereta dan tahun pembuatannya (jika ingin membeli kereta) dan pemaju (jika ingin membeli rumah di dalam pembinaan).

Ini kerana sebahagian jenis kereta dianggap tidak berdaya saing dan sukar dijual di pasaran (biasanya kereta terpakai yang boleh dibiayai oleh bank adalah berusia 10 hingga 15 tahun ke bawah saja). Justeru, risiko tinggi bagi bank untuk membiayai pelanggannya.

Demikian juga pemaju dan lokasi rumah yang ingin dibeli. Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya, tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah perniagaan kurang berisiko.

Apa dinyatakan ini adalah beberapa maklumat ringkas saja, sekadar memberi gambaran kasar kepada pembaca. Selepas semua ini disemak, baru bank akan meluluskan atau menolak permohonan pelanggan.

Wajarkah bank Islam menolak permohonan pelanggan?

Selepas kita tahu demikian cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya, adakah wajar sebuah bank Islam menolak permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah dan lain-lain?

A) Bank Islam adalah sebuah entiti perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan dirinya kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tiada kemampuan (mengikut standard piawaian mereka) untuk membayar hutang hasil jual beli aset yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah, jika kita ada sebuah rumah yang ingin disewakan dan kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi tiada pekerjaan kukuh, sedangkan kos sewa sebulan rumah yang ingin anda tawarkan adalah RM800. Adakah anda sanggup menyewakannya, sedangkan anda terpaksa membuat bayaran bulanan kepada bank sebanyak RM750 sebulan?

Dalam hal ini, anda terpaksa membuat bajet tepat bagi meraih untung dan pada masa sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan.

Demikian halnya sebuah bank, ia ada tanggungjawab bagi memastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan baik. Bagi memastikan keuntungan mampu dicapai, tentu ia terpaksa memilih pelanggan.

Kesimpulannya, sama ada anda mahu menyewa rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia bergantung kepada pengurusan dan piawaian anda selaku pemilik aset.

Jika anda meneliti buku pakar kewangan, pasti mereka menyarankan anda supaya tidak menyewakannya, kecuali kepada orang yang memiliki tahap kewangan meyakinkan.

B) Mengikut sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang daripada anda, elok jika anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya, kecuali jika anda sudah berniat daripada awal untuk mensedekahkannya kepada peminjam pada waktu kesusahannya. Allah SWT berfirman:

Ertinya: “Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Menghalalkan hutang adalah tindakan terpuji dan sesuai dilakukan secara individu, tetapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank Islam mensedekahkan saja hutang yang berpuluh ribu ringgit jumlahnya, ia mungkin keterlaluan.

Justeru, jika kita tidak berniat menghalalkannya atau memberi tempoh lebih panjang pada waktu peminjam sukar, elok kita jangan memberi hutang kerana kelak ia akan menjerumuskan peminjam ke dalam dosa yang pelbagai, seperti hadis ini:

Ertinya: Baginda menyebut: “Sesungguhnya seorang itu apabila dia berhutang, ketika dia berbicara dia kerap berdusta, bila berjanji dia kerap mengingkarinya.” (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Juga sebuah hadis lain: Ertinya - “Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, ulama menyatakan harus hukumnya untuk ditangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam Al-Haithami pula mengatakan, orang berkemampuan tetapi menangguh melunaskan hutang dengan sengaja adalah melakukan satu daripada DOSA BESAR. (Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250)

Kesimpulannya, memberi hutang kepada orang yang tidak layak boleh menjerumuskan mereka kepada tiga dosa berikut:

1) Bercakap lalu berbohong.

2) Berjanji lalu memungkiri janji.

3) Ada duit tetapi menangguh bayar lalu tergolong dalam kumpulan ‘Mumatil’ dan dihukum zalim oleh Nabi SAW.

Hasilnya, tidak wajar kita menuduh bank Islam sebagai zalim kerana menolak permohonan kita kerana mengikut sudut pandangan Islam, ia turut ada masalahat dan kepentingan yang diiktiraf oleh syariah, iaitu menjaga maslahat pemohon itu juga, supaya tidak menjerumuskannya ke lembah hina dan gagal bayar.

Saya kira, sebagai perancangan kewangan yang berikhsan, cuba pastikan setiap kali ingin membuat tambahan hutang, pastikan pendapatan dan beban hutang anda kurang daripada 50 peratus sebagai formula bank tadi. Ia baik diamalkan bagi individu.

Kini, pihak akademik Islam di universiti mencadangkan diwujudkan pembiayaan mikro kredit Islam. Ia lebih khusus bagi individu berpendapatan rendah dan kesukaran untuk memperoleh pembiayaan.

Namun, kita menghadapi masalah kekurangan individu kaya dan syarikat kaya yang sudi melepaskan peluang mendapat untung besar untuk masuk ke dalam jenis pembiayaan mikro ini yang menawarkan untung kecil.

Ini menyebabkan cadangan ahli akademik menjadi bahan di perpustakaan saja.

No comments: