Selamat membaca..........
Ilmuwan Islam: Sumbangan tak ternilai Al-Razi dalam perubatan
CATATAN terperinci ilmuwan bidang perubatan Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Al-Razi atau Al-Razi membantu kepada penghasilan vaksin penyakit campak (measel) dan cacar (smallpox), penyakit yang meragut banyak nyawa seawal zaman Firaun hingga kurun ke-10.
Sumbangan besar dan biografi Al-Razi dipaparkan dalam episod ketiga Ilmuwan Islam di TV3, jam 7.30 petang esok yang turut menampilkan pakar Universiti Perubatan Tehran, Dr Seyed Hamid Khoee dan Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dari Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Berasal dari Iran, Al-Razi yang dilahirkan di Rey, selatan Tehran, adalah penulis berkaliber yang menghasilkan banyak karya, selain berjaya meletakkan ilmu kimia pada peringkat lebih saintifik dan rasional.
Beliau banyak mempengaruhi perkembangan bidang kimia dan ia dapat dilihat daripada kebanyakan hasil penulisannya yang berkait rapat dengan ilmu kimia, farmasi serta perubatan. Hasil karyanya yang mendapat perhatian bertajuk Al-Hawi Fi ‘Ilm Al-Tadawi yang mengandungi 30 jilid dan dibahagikan kepada 12 bahagian.
Di antaranya ialah berkaitan penyembuhan pesakit serta jenis penyakit; penjagaan kesihatan; punggung dan tengkuk (yang patah); ubat-ubatan dan makanan; pembuatan ubat-ubatan; industri kedoktoran; farmasi; tubuh; pembedahan dan pengawetan anggota.
Buku beliau bertajuk Al-Mansuri mengandungi keterangan mengenai pembedahan seluruh tubuh manusia. Al-Razi adalah orang pertama membuat jahitan di perut dengan benang diperbuat daripada serat.
Beliau juga membuat beberapa pengkelasan mengenai bahan galian serta peralatan dan radas yang digunakan lengkap dengan arahan terperinci. Ilmunya yang mendalam berkaitan tatacara terbukti menerusi usaha pencarian ubat-ubatan daripada sumber tumbuhan dan haiwan serta cara untuk digunakan dalam rawatan.
Ia termasuk ilmu dan tatacara kimia yang membabitkan pemprosesan raksa, belerang (sulfur), arsenik serta logam lain seperti emas, perak, tembaga, plumbum dan besi. Sebagai ilmuwan Islam dalam bidang perubatan, ketokohan beliau tidak terhad dalam menimba ilmu dan mengarang buku saja, malah membabitkan pemikiran kritikal dalam membuat keputusan.
Ketika penguasa kerajaan meminta Al-Razi membina sebuah hospital di Baghdad, beliau menggunakan kaedah sangat baik untuk memilih tapak hospital berkenaan. Al-Razi meletakkan ketulan daging di tempat berasingan di Baghdad dan daging itu dibiarkan sehingga menjadi busuk.
Kemudian beliau membina hospital di tempat yang dagingnya paling lambat busuk berdasarkan teori bahawa tempat itu mempunyai udara bersih, sedikit pencemaran dan menjadi lokasi sesuai untuk tapak hospital.
Sumbangan beliau dalam bidang falsafah tidak dapat diketepikan dan antara elemen yang menjadi pilihan ialah mengenai pencipta, jiwa manusia, hakikat, angkasa dan masa.
Komen Dr Seyed Hamid mengenai Al-Razi, “Rakyat Iran berasa bangga kerana Al-Razi berasal dari negara ini. Walaupun bagi kami tiada jurang pemisah antara Islam dengan kerakyatan tetapi oleh kerana dia dilahirkan di Rey, membuktikan Al-Razi berasal dari Iran.”
Menyorot latar belakang Al-Razi, ada beberapa catatan penulis sejarah menyatakan Al-Razi pernah bekerja sebagai tukang emas pada peringkat awalnya sementara penulis lain pula merakamkan, beliau pernah bekerja sebagai pengurup wang
Walaupun ada catatan demikian mengenai Al-Razi, nama ilmuwan itu diabadikan pada dewan kuliah atau institusi pengajian tinggi hari ini kerana kecemerlangannya dalam bidang perubatan, falsafah dan kimia.
Di sebalik kepelbagaian catatan ahli sejarah mengenai pekerjaan awal Al-Razi, ada persamaan dalam menerangkan keperibadiannya sebagai seorang ilmuwan yang tegas dan berkeyakinan tinggi dalam mengutarakan pendapat.
Beliau tidak mudah menerima sesuatu teori tanpa membuat kajian dan pada waktu sama, tidak menolak konsep ketuhanan. Baginya, Allah maha Bijaksana.
Dalam pergaulan dengan masyarakat Al-Razi memaparkan contoh terbaik. Beliau tergolong dalam kelompok elit dengan jawatan Ketua Pengarah Hospital di Rey, namun tidak meletakkan jurang antara dirinya dengan golongan miskin. Al-Razi tidak mengenakan bayaran kepada pesakit miskin yang berkunjung ke hospitalnya
dan apabila tiada pesakit menemuinya, beliau meneruskan penulisan terhadap kajian yang dilakukan.
Walaupun Al-Razi diiktiraf sebagai pakar pertama mengenali penyakit cacar dan campak serta mencadangkan kaedah pencegahannya namun dunia Islam hari ini secara umum masih bergantung kepada barat untuk mendapatkan bekalan vaksin pencegahan penyakit itu
Kemunculan wabak baru seperti selesema burung menambah kebergantungan dunia Islam terhadap kepakaran Barat. Di Iran, pakar perubatannya mampu menghasilkan vaksin campak dan beberapa serum lain dalam memastikan jasa Al-Razi dan ilmuwan Islam lain tidak lenyap.
No comments:
Post a Comment