Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

03 November 2007

Harta uji tahap keimanan, kesyukuran seseorang

Selamat membaca..........

Harta uji tahap keimanan, kesyukuran seseorang



KEINGINAN memperoleh harta adalah fitrah semula jadi manusia. Harta atau kekayaan adalah anugerah Allah SWT kepada manusia. Ia boleh dimiliki setiap orang melalui daya usaha dan ikhtiar mereka seperti rumah, tanah, kereta, bangunan, wang dan sebagainya.


Lazimnya, semua harta itu boleh memberikan manfaat kepada pemiliknya. Contohnya, rumah boleh memberikan perlindungan dan keselesaan kepada pemiliknya. Adapun tanah pula boleh digunakan untuk bercucuk-tanam, sekali gus mampu menghasilkan sumber ekonomi menerusi jualan hasil tanaman .


Sesungguhnya harta yang terdapat di dunia ini bukan hak milik. Oleh itu, manusia hanya diberi kebenaran untuk memiliki dan menggunakannya secara sementara saja.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: �Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.� (Surah al-Baqarah, ayat 284)


Dalam hal ini, manusia diamanahkan supaya menguruskan harta dengan sebaik mungkin supaya mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya mencari harta secara halal.


Ada tiga sebab umat Islam dituntut mencari harta secara halal iaitu;


# Menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Harta yang diperoleh dengan cara halal akan diberkati Allah SWT.


# Mengelakkan penindasan dan penganiayaan seperti mendapatkan harta melalui hasil riba, monopoli dan rasuah. Cara itu menekan dan memeras golongan yang lemah.


# Mengelakkan permusuhan seperti mendapatkan harta dengan cara manipulasi. Cara itu akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.


Selepas memperoleh harta yang halal daripada hasil usaha, ia perlu diuruskan pula dengan cara yang ditetapkan Allah SWT.


Cara menguruskan harta menurut Islam adalah seperti membelanjakan harta dengan cara berhemah dan tidak membazir; menunaikan hak yang wajib terhadap harta seperti mengeluarkan zakat serta memberikan nafkah kepada ibu bapa dan keluarga; dan melaksanakan tanggungjawab sosial yang dapat mewujudkan perpaduan di kalangan manusia seperti sedekah, derma dan wakaf.


Perlu ditegaskan bahawa Allah SWT memberikan harta kepada hamba-Nya untuk menguji tahap keimanan dan kesyukuran seseorang terhadap harta yang dimilikinya.


Antara bentuk ujian itu ialah harta musnah dalam bencana alam, hidup tidak tenteram dan sentiasa berada dalam ketakutan, dikhuatiri hartanya dirompak, berlaku inflasi dalam negara dan kemelesetan ekonomi yang mampu meruntuhkan sistem kewangan sesebuah negara.


Kita perlu menyedari bahawa harta adalah anugerah Allah SWT yang mesti ditunaikan hak dan tanggungjawabnya.


Justeru, sebagai tanda bersyukur terhadap nikmat harta kurniaan Allah SWT, kita hendaklah membelanjakan harta yang dimiliki ke jalan yang diredai Allah SWT seperti zakat, tidak boros, menafkahkan untuk ibu bapa dan ahli keluarga, bersedekah dan tidak kedekut.

No comments: