Selamat membaca..........
Pemimpin Umno patut malu kepada Samy Vellu
Mat Zain Mat Isa
Sat | Nov 03, 07 | 11:25:34 am MYT
Amat tersentuh perasaan penulis bila membaca berita disiarkan akhbar Berita Harian semalam (1 November) memuatkan penegasan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meminta semua kerajaan negeri menghentikan serta-merta tindakan meroboh mana-mana kuil Hindu di negara ini.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Bukan berdengki, tetapi kita amat cemburu melihat keberanian dan kelantangan menteri kabinet itu mempertahankan rumah ibadat dan maruah agamanya, meski pun terpaksa mengkritik tindakan kerajaan yang turut didokongi partinya sendiri.
Sebagai penganut Islam, penulis berkhayal sendirian, alangkah sejahteranya jiwa ini jika para menteri kabinet Melayu/Islam juga memiliki tekad dan pertimbangan serupa dalam mempertahankan maruah agama kita.
Setakat ini, dengan beberapa kes yang telah berlaku, nasib ‘Rumah Allah’ di negara kita terbukti tidak sebaik apa yang dialami rumah-rumah ibadat agama lain. Kekadang terlintas juga di fikiran, bagaimana mungkin dalam sebuah negara yang pemerintahannya dikuasai orang Islam, tetapi rumah ibadat umat Islam sendiri sering menjadi mangsa perobohan pihak berkuasa.
“Saya sudah pun beberapa kali membawa perkara ini dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri tetapi masih ada kuil yang dirobohkan. Isu pencerobohan kuil di kampung Karuppiah, Padang Jawa, Shah Alam semalam (30 Oktober) melukakan hati penganut agama Hindu di kawasan berkenaan,†akhbar memetik kata Samy Vellu.
Menteri Kerja Raya itu merujuk kepada insiden perobohan kuil oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Kampung Rimba Jaya, Selasa lalu. Turut dirobohkan ialah sebuah surau dan beberapa buah rumah penduduk.
Akhbar turut melaporkan, seramai 19 orang termasuk empat peguam, seorang remaja berusia 16 tahun dan seorang wanita ditahan apabila mereka membantah dan cuba menghalang tindakan MBSA melakukan operasi perobohan itu.
Difahamkan kerajaan Selangor telah menyerahkan kawasan setinggan tersebut kepada pemaju, Khidmat Tulen Sdn Bhd bagi membina taman perumahan. Ekoran arahan mahkamah yang baru diperolehi syarikat berkenaan, MBSA mula merobohkan kira-kira 200 rumah, surau dan kuil di kawasan berkenaan Selasa lalu. Tindakan tersebut menimbulkan kekecohan dan rasa tidak puas hati penduduk setempat.
Samy Vellu sendiri dilaporkan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat mengenai tindakan pihak berkuasa tempatan itu. Berita Harian malah melaporkan, "beliau merayu kepada pihak berkenaan supaya tidak mengambil tindakan drastik dengan merobohkan kuil walaupun ia dibina tanpa mengikut undang-undang".
Dalam perkembangan berkaitan, Berita Harian semalam turut melaporkan kerajaan Selangor telah mengarahkan pihak pemaju terbabit menyediakan tapak membina semula kuil yang dirobohkan itu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata kuil akan dibina semula di sekitar kampung berkenaan secara in situ (mengekalkan keadaan asal?) oleh pemaju terbabit.
Exco berkenaan bagaimanapun (sebagaimana dilaporkan), tidak langsung menyentuh soal surau yang juga dirobohkan dalam operasi yang sama. Sekali lagi penulis tegaskan, kita bukan berdengki dengan bukan Islam, tetapi kita cemburu dengan sikap para pemimpin mereka mempertahankan rumah ibadat mereka sehingga memaksa pihak berkuasa negeri mengambil langkah lebih prihatin demi menjaga maruah agama penduduk. Mengapa suara serupa tidak kedengaran dari para menteri dan pemimpin kerajaan yang beragama Islam?
Tambahan pula, ini bukan kali pertama pihak berkuasa negeri melakukan perobohan ke atas 'Rumah Allah', tidak kira sama ada ia dinamakan masjid, surau atau sebagainya. Kita diajar bahawa ‘masjid’ pada bahasa bermaksud tempat bersujud. Pada istilah syaraknya pula bermaksud bangunan atau ruang yang diiktikadkan sebagai tempat ibadat, terutamanya bagi menunaikan solat.
Di negara kita, masjid dikenali dengan beberapa nama mengikut fungsinya. Masjid Jamek merujuk kepada masjid yang didirikan fardhu Jumaat. Selain masjid biasa, ada juga masjid kecil yang dikenali sebagai surau, balaisaf, balai Islam atau madrasah.
Apa pun nama yang diberikan, hakikat sebenar ialah kesemuanya dianggap 'Rumah Allah'. Maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam mempertahankan kesuciannya. Apatah lagi kerajaan kita sendiri sering bercakap soal menjadikan masjid sebagai sumber kekuatan umat.
Ingat lagi kejadian di Ampang pada 30 November 2006 lalu? Surau Ar-Rahmaniah, di Kampung Berembang ranap menyembah bumi apabila pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meneruskan operasi membersihkan kawasan setinggan di situ.
Sebelas orang ditahan ekoran insiden tersebut termasuk dua penduduk dan sekumpulan mahasiswa. Penduduk mendakwa telah mendiami kawasan itu sejak 30 tahun lalu. Di surau itulah mereka mengadakan kuliah agama dan kelas pengajian al-Quran, selain bersolat jamaah.
Bantahan dan demonstrasi yang diadakan penduduk bagaimana pun tidak diendahkan. Rayuan dan rintihan pemimpin masyarakat tidak meninggalkan kesan kepada pihak berkuasa dan kerajaan.
"Rakyat perlu berkorban demi memberi laluan kepada pembangunan negara", itulah rasional paling lumrah diberikan kerajaan.
Para pemimpin Barisan Nasional, terutama pemimpin Umno barangkali merasa mereka telah 'lepas jawab' dengan alasan itu. Kononnya rakyat dapat menerima rasional tindakan mereka, termasuk merobohkan surau, demi menjayakan agenda pembangunan negara.
Betulkah begitu? Jangan lupa bahawa tindakan kerajaan merobohkan surau dan 'Rumah Allah' bukan semata-mata demi pembangunan. Kes yang berlaku di Bujal, Kemaman, Terengganu pada 26 Mei 2005 perlu diingati. Kes Bujal amat berbeza dengan lain-lain kes, termasuk Berembang kerana perobohan masjidnya bukan atas sebab pembangunan. Ia semata-mata atas dorongan serakah politik parti pemerintah.
Bujal adalah perkampungan di luar bandar. Masih banyak tanah kosong di Terengganu, termasuk di sekitar perkampungan itu jika kerajaan negeri benar-benar berhasrat membawa kemajuan dan pembangunan. Tetapi mengapa mesti dikosongkan perkampungan Bujal itu? Lebih mendukacitakan lagi, mengapa mesti dirobohkan masjid yang hampir siap dan telah pun didirikan solat di dalamnya itu?
Para pemimpin Umno Terengganu mendakwa ia dibina tanpa mengikut prosedur dan menyalahi undang-undang. Sedangkan kuil di Selangor itu juga diakui oleh Samy Vellu "dibina tanpa mengikut undang-undang". Tapi apakah semudah itu untuk beliau mengenepikan kepentingan agamanya?
Sikap sama turut ditunjukkan para pemimpin kaum Cina di Pulau Pinang kira-kira setahun lalu. Kejadian hampir sama telah berlaku ke atas Tokong Tou Mu Kong di Bukit Mertajam pada 17 November 2006. Atas alasan pentadbiran ia cuba dirobohkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Sekumpulan penduduk berhimpun membantahnya sehingga mengundang campur tangan polis. Kekecohan berlaku yang akhirnya mendorong Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengarahkan kerja perobohan itu dihentikan serta-merta.
Pembelaan para pemimpin kaum mereka tidak terhenti di situ. Dalam persidangan Dun Pulau Pinang, wakil MCA dan Gerakan bersatu suara mempersoalkan tindakan perobohan tokong itu, walau pun ia dilakukan kerajaan mereka sendiri. Kecaman itu turut disertai wakil pembangkang dari DAP.
Bukankah sikap serupa yang patut diambil para pemimpin Umno dalam soal mempertahankan 'Rumah Allah'? Sewajarnya mereka merasa malu kepada Samy Vellu dan para pemimpin bukan Islam dalam kerabat BN atas kebaculan mereka itu. - mns
Tutup te
No comments:
Post a Comment