Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

03 November 2007

Batu Putih milik siapa?

Selamat membaca..........

Batu Putih milik siapa?

NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)
SELEPAS sekian lama menunggu, Malaysia dan Singapura akhirnya bertemu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda Selasa ini, untuk mengemukakan hujah-hujah lisan bagi tuntutan bertindih Pulau Batu Putih.

Pertikaian yang berlarutan hampir 29 tahun itu turut melibatkan dua lagi pulau batu berhampiran yang dikenali sebagai Middle Rocks dan South Ledge.

Pasukan Malaysia diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin.

Manakala barisan peguam terdiri daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail,

Dalam peta Malaysia yang terkini, ditunjukkan dengan jelas kedudukan Pulau Batu Putih (White Rock Island). Pulau itu pada asalnya kelihatan berwarna putih kesan tompokan-tompokan najis burung- burung laut, sebab itu ia dinamakan begitu.

Ahli-ahli pelayaran Portugis pula memanggil pulau itu Pedra Branca dan nama itulah yang digunakan oleh Singapura hingga sekarang.

Pulau kosong tanpa hidupan dan tumbuhan itu pada asalnya tidak dipedulikan oleh sesiapa sehinggalah terbina rumah api di pulau tersebut. Di sebalik wilayah yang cukup kecil iaitu seluas padang bola, kedudukan pulau berbatu itu amat strategik sehingga menimbulkan pertikaian di antara Malaysia dan Singapura berhubung siapa pemiliknya.

Mengikut tulisan R. Haller-Trost, Historical Legal Claims: A Study of Disputed Sovereignty Over Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) 1993, pada tahun 1842, seorang bendahari, James Horsburgh telah mengumpulkan yuran di Canton, China daripada para pedagang untuk disumbangkan kepada kerajaan Negeri-Negeri Selat.

Sumbangan itu bagi membina rumah api untuk kemudahan kapal-kapal yang melalui perairan bahaya di bahagian timur Selat Singapura, terutama bagi mengelakkan kapal-kapal mengalami kemalangan merempuh batu-batu di laluan berkenaan akibat pertambahan lalu lintas kapal.

Berikutan cadangan Horsburgh itu, rumah api yang dinamakan sempena nama beliau dibina pada 1850 dan ia mula beroperasi pada 15 Oktober 1851. Tarikh inilah digunakan oleh Singapura sebagai tarikh bertapaknya kuasa mereka ke atas pulau itu.

Mengikut keterangan daripada Laporan Marin Bengal, permukaan pulau ini diukur berdasarkan panjangnya 137 meter semasa air pasang rendah dari arah timur laut ke barat daya. Bahagian permukaan besar pulau itu terdapat di sebelah utara, sementara bahagian selatan hanya sedikit sahaja.

Pada aras air rendah didapati permukaan batu-batu dipisahkan pada jarak 20 hingga 30 meter dari batu besar.

Kedudukan paras paling tinggi ialah 8.2 meter ketika air pasang tinggi. Bagaimanapun rupa bentuk Pulau Batu Putih sudah berubah sejak Singapura membina tempat pendaratan helikopter dan kemudahan radar dan marin di atas batu itu.

Pembuktian hak ke atas wilayah biasanya menimbulkan masalah disebabkan penyediaan dokumen dan kandungannya yang tidak lengkap. Trost yang membuat kajian ke atas Pulau Batu Putih mendapati kebanyakan dokumen rasmi yang ditemui di India Office Library dan Public Record Office di London, hanya menunjukkan sedikit sahaja rujukan kepada Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih, dan tidak mengaitkan persoalan tentang kedaulatan ke atas wilayah berbatu itu sebelum struktur binaan didirikan.

Masalah pemilikan bonjolan batu itu hanya berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979.

Tiada kenyataan atau bukti tentang sebarang pertikaian Pulau Batu Putih ditimbulkan sebelum 1979. Walaupun pada tahun 1953, setiausaha kerajaan negeri Johor yang menjawab soalan daripada kerajaan Singapura bahawa ia tidak menuntut pemilikan ke atas Pulau Batu Putih kerana kedua-dua kerajaan pada masa itu di bawah kawalan kerajaan British.

Pada September 1991, Menteri Besar Johor ketika itu menyatakan bahawa ‘‘dari sudut pandangan sejarah, Pulau Batu Putih adalah milik kita’' dan ‘‘kerajaan Johor bersedia menyediakan bukti jika perlu bagi membuktikan sesungguhnya pulau itu milik Johor.”

Pendapat ini diulangi pada forum khusus tentang Pulau Batu Putih yang diadakan di Johor Bahru pada Oktober 1991 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah Malaysia.

Dalam menuntut kembali kedaulatan pulau tersebut, Malaysia menunjukkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih itu sejak 1513 apabila Kesultanan Johor-Riau-Linggi ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang berundur setelah Portugis menawan Melaka pada 1511. Berdasarkan teori warisan negara, Pulau Batu Putih juga menjadi milik Persekutuan Malaysia kerana penyatuan Johor yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya pada 1957.

Malaysia terus menyandarkan fakta bahawa Singapura hanya dibenarkan menguruskan rumah api sahaja dan ia tidak melibatkan kesan hak milik ke atas pulau itu.

Manakala Singapura pula terus beranggapan bahawa ia mempunyai hak sepenuhnya ke atas kedaulatan dan kuasa perundangan di Pulau Batu Putih berdasarkan Perjanjian Anglo-Belanda.

Malah ia juga berdasarkan fakta bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membina rumah api dan menyelenggarakannya sejak 1851 dan kemudian menyerahkan pengurusannya kepada Singapura.

Malaysia dan Singapura sudah mencapai persetujuan untuk mengemukakan tuntutan masing-masing ke atas Pulau Batu Putih kepada ICJ di The Hague dengan memeterai perjanjian mengenai perkara tersebut di Wisma Putra, Putrajaya pada 6 Februari 2003.

Dan bermula 6 November ini pertikaian tuntutan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge akan didengar di ICJ. Keputusan siapa pemilik pulau-pulau ini hanya akan diketahui pertengahan tahun depan.

No comments: