Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

02 November 2007

Masalah ranting punca perpecahan ummah

Selamat membaca..........

Masalah ranting punca perpecahan ummah

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

TIDAK dapat dinafikan perselisihan dan perbezaan pendapat mengenai pemahaman keagamaan telah mengakibatkan munculnya puak-puak dan konflik sosioagama dalam masyarakat Islam. Kemunculan pendapat yang sebahagian daripadanya semata-mata didasari kebebasan berfikir dan mungkin juga sesuatu yang dipaksa.

Ini akhirnya menjadi tidak terkawal, sehingga mudah saja seseorang memberikan pendapat dalam masalah keagamaan tanpa sokongan disiplin ilmu agama sebagai prasyarat dalam berijtihad. Dan keadaan ini juga menyebabkan lahirnya kelompok-kelompok tertentu yang masing-masingnya berbeza dari segi pemahaman keagamaan.

Akhir-akhir ini di negara kita yang majoriti penduduknya Islam menjadi saksi kemunculan puak-puak Islam mengisytiharkan diri mereka sebagai Wahabi, Hizbut Tahrir, Mazhab Shafie tulen, Syiah, Ahmadiah dan lain-lain lagi.

Umat Islam harus sedar bahawa tiupan angin pembaharuan sesetengah golongan ini sudah tentu akan mengancam keberagamaan kaum Muslimin di negara kita yang bertaklid kepada ulama Syafiyah (kaum tradisional). Dan ini menambah lagi satu masalah besar sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan dengan masalah-masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam.

Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan situasi jenayah yang kian hari kian membimbangkan. Aktiviti-aktiviti seperti penyalahgunaan dadah, penculikan, gengsterisme, kongsi gelap, pelacuran, rempit, rogol dan bunuh telah menjadi suatu yang semakin menghimpit keamanan negara. Permasalahan ini juga memerlukan kekuatan yang benar-benar ampuh, telus untuk menghadapinya.

Kita lupa dan terus berpolemik di sekitar perdebatan yang tidak bertepi seperti membicarakan isu-isu klasik sekitar masalah khilafiah yang ternyata dari segi sejarah telah menyebabkan berlakunya perpecahan ummah. Demikian juga rosaknya peradaban kaum ahli kitab adalah kerana perselisihan dan perpecahan.

Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh-musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan oleh sebab itu pula mengabaikan masalah-masalah kulliyah (masalah pokok) yang sepatutnya diberi keutamaan oleh umat Islam. Sejarah Islam telah mencatatkan bahawa salah satu punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furuiyah ini.

Perselisihan (al-Ikhtilaf) termasuk perbuatan yang harus dihindari oleh umat Islam. Sebenarnya tidak perlu diungkapkan data-data sejarah tentang apa yang muncul pada umat manusia, khususnya kaum Muslim akibat daripada perselisihan dan perbezaan itu. Perselisihan dan perbezaan pendapat lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Apa pun jenis perbezaan dan perselisihan itu tidak baik dan akan menyebabkan terhakis dan hilangnya keupayaan intelektual seseorang.

Ikhtilaf adalah satu anugerah dan rahmat tetapi kini ia berubah menjadi bencana yang besar, sebagaimana terjadi pada kaum ahli Kitab. Kehancuran sesuatu umat dan bangsa kerana hilangnya etika ikhtilaf.

Pada ketika terjadinya ikhtilaf, para sahabat sering mengunakan pendekatan takwa bukan emosi. Dan yang anehnya mereka yang terlibat dengan polemik ini bukan orang-orang awam tetapi di kalangan golongan intelektual yang menduduki tampuk kepimpinan umat.

Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang atau ladang luas yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang-orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama. Perbezaan pendapat antara ahli-ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik. Jika ia sedemikian, perbezaan pendapat sampai kepada orang awam atau maka yang akan muncul ialah perpecahan dan permusuhan.

Ibnu Khaldun berkata: “Pada mulanya perselisihan antara golongan-golongan Islam hanya bidang ilmiah, dan perbezaan tidak lebih daripada satu pendapat mengkritik pendapat yang lain, dan urusan mereka berjalan seperti itu.

Tetapi hal itu berubah ketika arus perpecahan meluas dan perbezaan menyentuh masyarakat kerana faktor politik yang menghendaki agar umat tidak berada pada satu pendapat.”

Agama Islam yang satu ini sepatutnya menyatukan mereka tetapi berubah kepada menjadi perselisihan, permusuhan dan pertengkaran yang tidak berkesudahan.

Ia juga menjadi propaganda untuk merenggangkan hubungan persaudaraan yang telah diikat dengan tali agama seperti mana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu. (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Jalan yang besar dan lebih utama ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka dalam barisan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala-gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dalam masalah khilafiah.

* MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

2 comments:

Mohamad Hafizudin said...

Terjadi kes2 jenayah,rogol,ragut,dadah dan sebagainya adalah akibat negara tak diperintah dgn Al-Quran dan As-Sunnah.
Dah 1300 umat Islam pernah diperintah di bawah sistem khilafah islamiyyah,tak pernah kita terdengar masalah sosial,murtad,hedonisme,rogol,dadah dan bermacam lagi,semenjak keruntuhan khilafah Islamiyyah yg terakhir di turki pada 3 mac 1924,semenjak itulah umat ini mula merosot,bukan takat ini,kemerosotan ini bertambah parah apabila ulama2 membungkus ilmu dan mula mendiam kerana kepentingan dan ketakutan terhadap sesuatu ugutan atau tekanan.Maka umat seperti lembu,walaupun ditegur,dimaki mahupun dimarahi,mrk diam membisu ibarat lembu yg tak mengerti apa2..
Masalah pokok di sini ialah umat dah tak kenal apa itu ayat2 Allah..
Umat islam tak kenal islam,islam itu tak difahami secara menyeluruh,manakan tidak,setelah sistem2 islam yg kaffah tidak diterapkan lagi,maka keizzahan atau kecantikan islam itu tidak ternampak lagi...
Masalah ini bertambah parah lagi bila lahirnya penyakit2 baru spt dadah,hedonisme,budaya berseronok,sumbang mahram dan lepas ni tak tau apa lagi yg akan bercambah bila umat tak kembali kpd penyelesaian hukum Al-Quran dan As-sunnah..

Masalah pokoknya di sini ialah kita memerlukan negara dan khalifah yg mengatur semula acuan umat ini berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah,buykan sistem campuraduk sebagaimana sekarang...

itu sebabnya hizbut tahrir datang utk menyatukan,bukan utk menambahkan perpecahan.Hizbut tahrir datang,memberi penyelesaian pokok.yakni mendirikan sistem khilafah semula..itu lah penyelesaian pokok yg sebenar2nya..
Hizbut Tahrir bkn mengajak umat utk menjadi pengikut nya semata2,tetapi hizbut tahrir mengajak seluruh umat utk kembali mendirikan khilafah..

Wallahu'alam

Mohamad Hafizudin said...

ralat *1,300 tahun umat islam pernah diperintah di bawah sistem khilafah islamiyyah