Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

17 November 2007

'Azeez basikal' kerja 18 jam sehari

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
'Azeez basikal' kerja 18 jam sehari
Oleh Abdul Razak Raaff


Reda terima pelbagai tohmahan mengenai usaha Putera Umno asalkan dapat ubah mat rempit


KENAKALAN dan keperitan hidup ketika mengharungi zaman remaja dijadikan azimat kepada Pengerusi Putera Umno untuk memperjuang dan mengubah nasib generasi muda yang terperangkap dalam kancah gejala sosial seperti mat rempit. Orang ramai sering melihat karektor Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim seperti watak antagonis di dalam filem, kerana penampilan fizikalnya yang kasar dan agresif serta lebih dikenali dengan perkara tidak baik.


"Di zaman persekolahan, saya memang nakal tetapi saya tidak pernah mengabaikan pelajaran kerana ia penting untuk masa depan malah saya adalah antara pelajar cemerlang di sekolah rendah dan menengah. Saya datang daripada keluarga susah dan setiap hari saya berjalan kaki 14 kilometer dari rumah di Kampung Medan untuk ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Bukit Bintang, Petaling Jaya," katanya yang gemar menunggang motosikal berkuasa besar bagi mengisi masa lapang.


Pengalaman berkenaan menjadikan beliau yang ketika itu tinggal di Kampung Medan, Petaling Jaya berazam mengubah kehidupan diri serta keluarga dan ia boleh dilakukan dengan berjaya dalam akademik dan memiliki ilmu pengetahuan. Sikap agresif, lasak dan kenakalan itulah yang digunakan beliau untuk mendekati remaja dan belia bermasalah seperti mat rempit seterusnya membantu mendidik mereka kembali ke pangkuan masyarakat selain memberi peluang memperoleh ilmu pengetahuan.


Beliau menjelaskan, belia dan remaja perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran kerana ia penting untuk kemajuan diri selain dapat digunakan untuk membantu anggota masyarakat lain. Ketika di tingkatan satu, kesungguhan untuk berjaya dalam bidang akademik akhirnya membuahkan hasil apabila beliau adalah antara pelajar Melayu yang menerima basikal daripada Kelab Rotary Petaling Jaya.


"Sejak itu, saya memasang niat dan berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan berusaha membantu dan buat sama seperti apa yang dapat (basikal) kepada pelajar Melayu yang cemerlang," katanya yang turut terkenal dengan panggilan 'Azeez basikal'. Justeru, setiap tahun, antara program utama Putera Umno ialah mengagihkan basikal kepada pelajar Melayu cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan setakat ini, sudah memberi 15,000 basikal di seluruh negara.


Mengimbas sejarah kehidupannya, Abdul Azeez pernah dipanggil secara spontan oleh gurunya di majlis perhimpunan mingguan, untuk berdiri di hadapan ribuan pelajar dan membaca ikrar Rukun Negara. Beliau berkata, mengikut kebiasaannya, pelajar yang diberi tanggungjawab membaca ikrar diberi tempoh tiga minggu sebelum gilirannya berbuat demikian.


"Memang terkejut kerana waktu itu saya baru 10 tahun tetapi saya beranikan diri dan hanya bertawakal kepada Allah. Kemudian saya dilantik sebagai ketua pengawas apabila berada di Tahun Enam," katanya yang berpengalaman luas dan berkecimpung dalam dunia korporat selama 16 tahun. Malah, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Wilayah Arms Sdn Bhd pada 2000 hingga 2002, yang bertanggungjawab mengatur strategi dan perancangan untuk syarikat seterusnya memperoleh pendapatan tahunan lebih RM6 juta setahun.


Abdul Azeez memasuki dunia korporat ketika berusia 22 tahun dalam bidang perdagangan automotif, dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif FD Auto Sdn Bhd dan Fair Diversified Sdn Bhd, selama 10 tahun. Sepanjang pembabitan dalam bidang berkenaan, beliau berjaya menjadi antara syarikat Bumiputera dalam industri automotif yang disegani selain memperkenal dan melaksanakan pameran secara terbuka selain di pusat membeli belah.


Ibarat isi dan kuku, biro Putera Umno yang ditubuhkan dua tahun lalu dan bergerak di bawah Pergerakan Pemuda Umno dengan Abdul Azeez sukar untuk dipisahkan sehinggakan beliau sanggup mengenepikan hobinya menunggang motosikal berkuasa besar dan meluangkan masa di gimnasium semata-mata memastikan perjuangan dan matlamat penubuhan biro berkenaan tercapai.


"Saya bekerja 18 jam sehari dan memberi sepenuhnya tumpuan dan perhatian untuk mendekati, memahami dan meningkatkan kesedaran diri kepada mat rempit bahawa tiada alasan bagi mereka untuk memartabatkan diri dan menjadi generasi muda cemerlang dan pewaris pemimpin akan datang.


"Saya sedih jika melihat masih ada mat rempit sanggup mempertaruhkan nyawa hanya kerana mahu menunjuk kehandalan di jalan raya kerana saya yakin mereka masih boleh dididik dan dibimbing seterusnya menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara," kata bapa kepada empat anak.


Selepas mengetuai Putera Umno yang ditubuhkan dua tahun lalu, Abdul Azeez mengakui cabaran dan tanggungjawab yang digalasnya untuk menarik minat dan melahirkan generasi muda berpersonaliti unggul, memerlukan komitmen, penghayatan dan pengisian secara berterusan.


"Dalam isu mat rempit contohnya, kita perlu memahami kehendak mereka dan menggunakan pendekatan mudah dan psikologi minda jika mahu menarik mereka keluar daripada kegiatan berkenaan. Sebab itu saya menganjurkan banyak kegiatan luar seperti ekspedisi. Kita kena berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka supaya mereka boleh menerima kehadiran dan menyertai pelbagai aktiviti sebelum kita memujuk mereka menyertai Umno dan meninggalkan lumba haram," katanya.


Beliau reda dan hanya berserah kepada Allah apabila menerima pelbagai tohmahan, kritikan dan sindiran daripada pelbagai pihak mengenai usaha Putera Umno menganjurkan pelbagai program yang dianggap sebagai pembaziran.


"Memang kita perlu aturkan banyak program sesuai dengan minat dan keperluan mereka dan kita dapati mat rempit ini suka kegiatan yang lasak dan bagaimana mahu menarik minat jika kita sukar memenuhi cita rasanya. Usaha menangani mat rempit perlu ditangani secara halus kerana matlamat kita mendidik mereka menjadi insan berguna kepada diri sendiri, keluarga dan negara. Perjuangan ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan saya akan bantu sedaya upaya kepada pengganti yang menerajui Putera Umno selepas ini," katanya.


Biodata


Nama: Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim


Tarikh Lahir: 19 November 1966


Nama Isteri: Datin Khadijah Mohd Noor


Anak: empat orang


Akademik: Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Preston, Amerika Syarikat.


Jawatan dalam politik: Exco Pergerakan Pmuda Umno

Pengerusi Putera Umno

Ahli Jawatankuasa Biro Antidadah Majlis Tertinggi Umno

Ketua Pemuda Umno Baling

Ketua Umno cawangan Kampung Charok, Sikin, Kupang, Baling


Pembabitan kegiatan amal: Presiden Persatuan Silat Lincah Kedah

: Penaung Rumah Anak Yatim Nur Hikmah Kajang

: Pengerusi Koperasi Pembangunan Daerah Baling, Kedah

: Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Belia Negara

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

No comments: