Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

07 November 2007

Naik turun pemantauan paras glukosa darah

Selamat membaca..........

Naik turun pemantauan paras glukosa darah

DALAM dua artikel yang lepas, kami telah memaparkan mengenai pemantauan sendiri glukosa darah (SMBG) di rumah serta bagaimana ia dapat membantu anda mengawal paras glukosa darah secara efektif. Kami turut memberikan tip-tip untuk mendapatkan bacaan-bacaan SMBG dengan lebih tepat.

Jika anda belum pernah mengikuti artikel bersiri ini, SMBG sebenarnya merupakan prosedur yang sangat mudah yang melibatkan mencucuk hujung jari anda dengan jarum khas yang dipanggil lanset dan kemudiannya menjalankan ujian kepada titisan darah dengan sebuah meter glukosa darah (glukometer).

Glukometer akan memberikan bacaan paras glukosa darah yang terkini. Walau bagaimanapun, jika anda telah pun mengikuti artikel-artikel kami dan juga mengambil keputusan untuk memantau sendiri glukosa darah anda, tahniah kami ucapkan!

Kini setelah anda mengamalkan SMBG secara kerap di rumah, anda mungkin akan mendapati bahawa kadangkala terdapat bacaan yang tinggi dan juga bacaan yang rendah.

Apakah maknanya semua ini dan bagaimanakah anda boleh membawa paras glukosa anda kembali ke lingkungan paras yang sihat?

Bacaan yang tinggi pada waktu pagi buat Aliza

Aliza mematuhi pelan penjagaan diabetes yang disediakan oleh pendidik diabetes. Beliau juga memakan diet yang kaya dengan serat serta rendah lemak, kerap menjalani aktiviti fizikal dan sentiasa mengambil ubat-ubatan. Aliza juga mengamalkan SMBG di rumah setiap hari.

Sebenarnya, ia merupakan perkara pertama yang beliau lakukan setelah bangun dari tidur setiap hari. Sejak kebelakangan ini, beliau sering mendapat bacaan yang tinggi iaitu 9.3 mmol/L pada waktu pagi walaupun mempunyai bacaan 6.5 mmol/L pada malam sebelumnya.

Ini menyebabkan Aliza mula rasa kecewa. Mengapa beliau masih mendapat bacaan-bacaan yang tinggi walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikuti program pengurusan diabetes?

Mengapa? Keadaan Aliza ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Semasa kita tidur (sama ada menghidap atau tidak menghidap diabetes), glukosa akan dibebaskan akibat tindak balas terhadap rangsangan sesetengah hormon yang dirembeskan untuk membaik pulih dan memiara badan kita.

Walau bagaimanapun, hormon-hormon ini mempunyai kesan yang berlawanan dengan insulin: Mereka akan menyebabkan peningkatan paras glukosa darah. Ini membawa kepada peningkatan paras glukosa darah sewaktu awal pagi yang dipanggil Fenomena Subuh.

Terdapat juga suatu lagi keadaan yang dipanggil Kesan Somogyi. Ini biasanya berlaku apabila paras glukosa darah menjadi tinggi pada waktu pagi akibat hipoglisemia (glukosa darah rendah) pada waktu malam sebelumnya.

Kesan ini juga dipanggil hiperglisemia (glukosa darah tinggi) berbalik kerana tubuh akan bertindak terhadap paras glukosa darah rendah dengan meningkatkan pembebasan glukosa daripada otot, lemak dan hati dan oleh yang demikian, menyebabkan hiperglisemia.

Paras glukosa darah yang tinggi sepanjang hari juga boleh disebabkan oleh faktor-faktor lazim yang lain.

Sebagai contoh, Aliza mungkin akan mendapat bacaan yang tinggi selepas makan makanan berkarbohidrat secara berlebihan seperti hidangan nasi atau mi yang banyak ketika makan tengah hari atau malam, memakan snek karbohidrat selepas waktu makan, memakan pencuci mulut yang manis atau minuman manis dan sebagainya.

Oleh itu, ia adalah sangat penting bagi Aliza untuk memahami penyakit diabetes beliau, bagaimana tubuh beliau bertindak terhadap perembesan insulin, bagaimana insulin akan diberikan, ubat-ubatan beliau serta cara untuk menyeimbangkan saiz hidangan makanan beliau.

Bacaan-bacaan yang tinggi juga boleh berlaku apabila anda tidak sihat kerana paras glukosa darah akan menjadi lebih tinggi daripada normal walaupun pengambilan makanan adalah kurang.

Ini berlaku kerana tubuh akan membebaskan hormon-hormon untuk melawan penyakit tersebut. Malangnya, hormon-hormon ini cenderung untuk menaikkan paras glukosa darah serta mengganggu tindak balas insulin untuk menurunkan paras glukosa.

Apakah yang perlu dilakukan?

Pertama sekali, anda perlu berbincang dengan doktor untuk mengesahkan sama ada anda sedang mengalami Fenomena Subuh atau Kesan Somogyi. Anda mungkin akan diminta mengambil bacaan menggunakan glukometer pada waktu tengah malam.

Satu cara untuk mengelakkan hipoglisemia pada waktu tengah malam ialah dengan memastikan pengagihan karbohidrat yang baik sepanjang hari, termasuk snek sebelum tidur.

“Bergantung kepada nasihat pakar pemakanan anda, anda boleh memakan snek berkarbohidrat sebanyak lebih kurang 15gm hingga 30gm sebelum waktu tidur,” kata Tan Yoke Hwa, pakar diet dan Presiden Persatuan Dietitian Malaysia.

Tambahnya: “Segelas susu (250ml) akan membekalkan sebanyak 15gm karbohidrat. Satu lagi contoh saiz hidangan yang membekalkan karbohidrat sebanyak 15gm adalah sekeping roti mil penuh yang dijadikan sandwic, tiga keping biskut krim kraker atau sekeping bun.

‘‘Berbincang dengan doktor anda dan beliau mungkin akan mencadangkan untuk mengubah dos ubatan atau insulin anda ataupun terus menukar kepada jenis ubatan yang baru,” katanya.

Menurut Tan, paras glukosa darah yang tinggi pada sesuatu ketika boleh dielakkan dengan memerhatikan apa serta kuantiti makanan yang anda makan.

“Dapatkan nasihat pakar diet anda tentang cara untuk mengawal saiz hidangan terutama sekali untuk makanan berkarbohidrat.

‘‘Ia juga penting bagi anda untuk mempelajari apakah jenis-jenis makanan berkarbohidrat yang ‘lebih baik’ – seperti karbohidrat kompleks berbanding dengan karbohidrat bertapis.

‘‘Yang penting adalah untuk makan secara munasabah serta menjarakkan pengambilan karbohidrat anda untuk sepanjang hari,” ujar beliau.

Menurut Tan lagi, satu rujukan yang baik adalah ‘Type 2 Diabetes Medical Nutrition Therapy Guidelines in 2005' yang merupakan satu bahan rujukan yang digunakan oleh pakar-pakar diet yang telah dilancarkan oleh Persatuan Dietitian Malaysia.

Bagi kes-kes di mana paras glukosa darah meningkat tinggi semasa sakit pula, Dr. G R Letchuman, seorang daripada ahli jawatankuasa penasihat perubatan di NADI, menasihatkan agar anda terus mengambil ubatan yang telah diberikan oleh doktor.

Bekerja bersama kumpulan penjagaan diabetes anda bagi membentuk pelan untuk hari-hari apabila anda sakit.

Adalah sangat penting untuk memerhatikan tanda-tanda untuk paras glukosa darah yang tinggi (seperti kerap buang air kecil, dahaga yang amat sangat, kering mulut, penglihatan yang kabur atau rasa loya) serta memeriksa paras glukosa darah anda dengan kerap apabila sakit walaupun hanya demam ataupun selesema.

Jika paras glukosa darah anda tinggi, maka anda perlu segera meminta bantuan doktor seperti yang dinyatakan dalam pelan hari sakit anda.

Bacaan rendah yang kerap untuk Rajeev

Rajeev mengamalkan SMBG selama beberapa minggu dan dia kerap mendapat bacaan yang rendah walaupun setelah menyuntik insulin sebelum setiap waktu makan.

Beliau tidak tahu apakah yang menyebabkan masalah ini – bukankah insulin sepatutnya membantu beliau mengawal paras glukosa darah beliau dengan lebih baik? Jika demikian, mengapa bacaan-bacaan beliau masih berada di bawah paras normal?

Rajeev semakin bimbang kerana sejak akhir-akhir ini beliau kerap terjaga pada tengah malam dan mendapati beliau banyak berpeluh dan mempunyai sakit kepala yang teruk. Beliau sedar bahawa ini merupakan tanda-tanda hipoglisemia tetapi bagaimana beliau boleh menjadi hipo ketika sedang tidur?

Mengapa? Rajeev tidak sedar bahawa bacaan beliau rendah kerana beliau tidak makan walaupun selepas menyuntik insulin. Insulin masih akan menurunkan glukosa darah beliau tetapi ia tidak dapat menjumpai makanan yang sepatutnya diurai. Maka ini akan menyebabkan hipoglisemia.

Apa yang perlu dilakukan?

Apabila glukosa darah adalah terlalu rendah, ambillah makanan yang akan bertindak dengan cepat (separuh gelas minuman jus buah-buahan atau minuman ringan biasa, tiga biji gula-gula atau tiga sudu kecil gula) untuk menaikkan paras glukosa darah anda dengan cepat.

“Periksa semula glukosa darah selepas 15 minit untuk memastikan ia tidak rendah lagi. Jika bacaan masih rendah, makanlah satu lagi hidangan makanan berkarbohidrat serta ulangi langkah-langkah tadi sehingga paras glukosa darah anda kembali normal.

‘‘Makanlah snek jika ia masih sejam atau lebih daripada satu jam sebelum waktu makan seterusnya. Ingat bahawa anda perlu memantau glukosa darah selama 24 hingga 48 jam lagi,” saran Tan.

Adalah penting bagi ahli keluarga anda untuk mengetahui bahawa anda perlu segera dibawa ke hospital jika tidak sedarkan diri akibat hipoglisemia. Mereka tidak sepatutnya cuba memberikan anda makan jika keadaan ini berlaku.

Anda perlu sentiasa cuba mencari sebab mengapa glukosa darah anda turun secara mendadak. Anda mungkin memerlukan bantuan doktor untuk mencari sebab-sebab mengapa ini berlaku. Ini merupakan suatu langkah yang penting untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah hipo pada masa akan datang.

SMBG: Kritikal untuk Pengurusan Diabetes

“Apabila anda menghidap diabetes, menguruskan glukosa darah anda adalah perkara paling penting yang anda boleh lakukan untuk rasa sihat serta mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti amputasi kaki, buta serta kegagalan buah pinggang.

“SMBG akan membantu anda menguruskan penyakit anda dari hari ke hari. Dengan memeriksa glukosa darah anda sebelum atau dua jam selepas makan, anda akan boleh melihat kesan sesuatu makanan tertentu terhadap paras glukosa darah anda. Maklumat ini akan membantu anda memilih makanan yang betul serta membantu doktor menyelaraskan ubat-ubatan anda.

‘‘Lagipun, ia juga akan memberikan amaran awal tentang pengawalan yang semakin teruk (kedua-dua paras glukosa darah yang rendah serta tinggi) semasa sedang sakit, bulan Ramadan, ketika dalam perjalanan jauh serta semasa bersenam,’’ kata Dr Letchuman.

Beliau mengingatkan bahawa, melainkan terdapat bukti paras glukosa darah yang sangat tinggi atau sangat rendah, maka mungkin tiada sebarang simptom yang akan dapat menunjukkan anda sedang mengalami hipoglisemia atau hiperglisemia.

Amalan SMBG yang kerap, ujar Dr. Letchuman, merupakan asas kepada penjagaan diabetes serta merupakan langkah pertama ke arah menguruskan diabetes.

‘‘Walaupun, ia mungkin hanya merupakan satu langkah yang kecil, tetapi ia mampu membuatkan perbezaan yang besar! Oleh yang demikian, cuba lakukannya sekerap yang boleh.

‘‘Semakin kerap anda melakukannya, maka anda akan dapat lebih banyak maklumat tentang kawalan glukosa anda. Simpan rekod keputusan anda serta kaji semula rekod tersebut setiap kali anda melawat kumpulan penjaga kesihatan anda,’’ nasihat beliau.

Turun dan Naik akibat Senaman

Walaupun senaman merupakan kunci untuk kawalan glukosa darah, namun kadangkalanya paras glukosa darah anda akan naik atau turun selepas sesuatu aktiviti fizikal. Berikut adalah beberapa tip untuk memastikan paras glukosa darah anda kembali ke paras normal selepas bersenam:

* Pantau paras glukosa darah sebelum, semasa atau selepas bersenam

* Jika anda sedang mengambil insulin atau ubat-ubatan, pantau keadaan anda 30 minit sebelum bersenam dan sekali lagi sejurus sebelum bersenam

* Jangan bersenam jika paras glukosa darah anda melebihi 13.9 mmol/L atau di bawah 5.5 mmol/L

* Bersenam 1 hingga 11/2½ jam selepas makan untuk mencegah dari mendapat reaksi glukosa darah rendah

* Jika anda mempunyai bacaan yang rendah selepas bersenam, makanlah satu hidangan berkarbohidrat (1 biji pisang atau 1 keping roti) untuk mencegah glukosa darah rendah. Pastikan anda menambah pengambilan karbohidrat anda sebelum memulakan sesi senaman yang seterusnya

* Bagi pengguna insulin, elakkan dari bersenam di kemuncak tindakan insulin anda. Kurangkan dos insulin aktif anda untuk sesi senaman yang seterusnya

* Elakkan dari meminum minuman alkohol sebelum atau sejurus selepas bersenam

* Jika anda menggigil atau keliru semasa bersenam, berhenti dan makan atau minum sesuatu (seperti jus buah-buahan atau gula-gula keras) untuk meningkatkan paras glukosa darah anda.

No comments: