Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

23 October 2007

Ayat Allah untuk mengelak kecelakaan

Selamat membaca..........

Ayat Allah untuk mengelak kecelakaan

Oleh: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Menjelang mana-mana hari perayaan utama di Malaysia, pihak kerajaan akan bertungkus lumus untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang bakal berlaku kerana sebarang kemalangan maut sudah pasti akan merugikan keluarga apatah lagi negara.

Mungkin yang mati itu merupakan permata yang amat berharga untuk membawa kemajuan negara ke satu tahap yang tertentu.

Untuk itu, oleh kerana majoriti rakyat Malaysia yang akan pulang berhari raya nanti terdiri daripada umat Islam, adalah dicadangkan agar pihak kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan semua syarikat lebuh raya menggunakan ayat-ayat al-Quran yang terpilih sebagai cara untuk mengingatkan para pemandu tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.

Umat Islam yang mempercayai keunggulan al-Quran sudah pasti akan terkesan dengan mesej yang cuba Allah sampaikan kepada mereka di sepanjang perjalanan mereka semasa balik kampung.

Ayat-ayat tersebut boleh ditulis dengan besar, jelas bersama-sama dengan terjemahannya sekali, lalu diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama seluruh negara. Kalau perlu ayat-ayat tersebut diletakkan pada tempat-tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi di seluruh Malaysia.

Selain itu, pihak lebuh raya juga boleh menyebarkan risalah-risalah kecil yang mempunyai pesanan Allah itu kepada para pemandu yang melepasi plaza-plaza tol utama.

Di antara ayat-ayat yang boleh dicadangkan ialah;

1- Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)

2- Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali ‘Imran:185, al-Anbiya’:35, al-`Ankabut:57)

3-Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (al-Nisa’: 78)

4- Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’: 29)

5-Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (al-An’am:151)

6- Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’: 33)

7-Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)

8- Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. (Al-Ra’d: 24)

Dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai perantara peringatan kepada para pemandu yang pulang berhari raya, insya-Allah sedikit sebanyak kadar kemalangan dapat dikurangkan.

Ini kerana keberkatan yang terkandung pada al-Quran itu sendiri yang sememangnya berfungsi untuk membimbing manusia di dalam semua aspek kehidupan mereka.

Tambahan pula kaedah ini juga akan menjadi serampang dua sebagai peringatan untuk umat Islam juga alat dakwah kepada pengguna jalan raya yang bukan beragama Islam.

- ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

No comments: