Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

19 October 2007

Mitos, realiti pekerja asing

Selamat membaca..........

Mitos, realiti pekerja asing

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

TERTARIK meneliti topik Wanita Yakult yang disiarkan di sisipan Mega semalam. Menariknya sebab ia ada kaitan dengan isu yang sedang hangat dibincangkan – kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia.

Sistem Wanita Yakult yang diperkenalkan pada tahun 1963 memberi peluang kepada suri rumah di Jepun meraih pendapatan tambahan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka. Penglibatan wanita dalam program tersebut bermula dari usia 19 tahun hingga 80 tahun. Dan ia kini diperluaskan di seluruh dunia sekali gus mengangkat nama produk berasaskan probiotik itu.

Kisah Wanita Yakult itu sewajarnya dipanjangkan di negara kita, terutama melalui pembangunan perusahaan industri kecil sederhana (IKS) di kawasan luar bandar. Setiap projek perusahaan kecil yang dibangunkan seharusnya memanfaatkan tenaga kerja tempatan terutama kalangan suri rumah dan bukannya mengguna pakai tenaga kerja asing.

Tentunya tidak sukar untuk mendapatkan kumpulan yang berminat menambah sumber pendapatan apatah lagi mereka tidak perlu keluar jauh untuk berbuat demikian.

Tradisi menghidupkan IKS menggunakan sumber tenaga tempatan sebenarnya telah berjaya dilaksanakan sejak lama dulu. Seorang tauke dodol berketurunan Baba yang mendiami sebuah kampung di Melaka berjaya mengusahakan perniagaannya menggunakan tenaga kerja kampung (rata-ratanya suri rumah berbangsa Melayu) sejak lebih 40 tahun lalu. Produknya kini diperluaskan ke seluruh negara.

Mengapa ia boleh berjaya satu masa dulu tetapi tidak sekarang? Mengapa projek-projek IKS sekarang turut sibuk menggunakan tenaga kerja asing? Adakah kerana warga tempatan tidak berminat atau minat mereka itu diketepikan begitu sahaja

Hakikatnya, kemasukan besar-besaran tenaga kerja asing mendorong para majikan termasuk yang mengusahakan projek IKS mengambil jalan mudah. Mereka sanggup berbelanja besar menggaji pekerja asing bersandarkan pelbagai alasan, sedangkan minat suri rumah serta kumpulan penganggur tidak cuba dicungkil terlebih dahulu.

Mungkin satu kajian perlu dijalankan mengenai;

* Sejauh mana benarnya dakwaan bahawa orang tempatan tidak berminat menyertai sektor IKS.

* Pernahkah suri rumah ditawarkan secara besar-besaran untuk menyertai IKS. Jika pernah, berapa peratus yang menolak dan apa alasan mereka?

* Apa sebenarnya punca warga tempatan tidak berminat bekerja di sektor- sektor yang kini dikuasai oleh pekerja asing.

Dapatan kajian ini bakal memberi jawapan mengenai faktor penggantungan keterlaluan negara terhadap pekerja asing dan adakah kita memerlukan tenaga kerja asing seramai itu.

Timbul juga persoalan mengenai sejauh mana warga tempatan meraih manfaat hasil pertumbuhan kilang-kilang di bandar-bandar besar di negara ini. Tentunya kita tertanya-tanya apa gunanya syarikat-syarikat luar membuka kilang di negara ini tetapi manfaatnya diraih oleh orang luar.

Pendapatan yang diperoleh oleh ratusan ribu pekerja asing di kilang-kilang dihantar ke negara asal mereka, apa sebenarnya yang diraih oleh warga tempatan. Kos membawa masuk pekerja asing, gaji yang perlu dibayar kepada mereka serta penyediaan asrama – kesemuanya itu tidak boleh dipandang ringan.

Ini belum lagi diambil kira kesan sosial akibat kebanjiran pekerja asing sehingga kadangkala menimbulkan suasana tidak selesa berada di negara sendiri.

Sebenarnya dalam banyak hal anak tempatan mesti diberi keutamaan, tenaga kerja kita mesti dioptimumkan sebelum kita mengada-adakan mitos bahawa tanpa pekerja asing negara akan lumpuh

No comments: