Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

20 October 2007

Tentera upahan jaga kepentingan AS di Iraq

Selamat membaca..........

Tentera upahan jaga kepentingan AS di Iraq

Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA

JIKA kita berfikir Amerika Syarikat (AS) hanya mempunyai 160,000 tentera di Iraq, fikir sekali lagi.

Tanpa sebarang perbincangan di Kongres dan dengan kekurangan kesedaran kalangan orang awam AS, pentadbiran Presiden George W. Bush telah menambah bilangan tentera sebanyak dua kali ganda melalui syarikat-syarikat swasta.

Pembunuhan orang awam Iraq oleh kontraktor swasta Blackwater telah membuka selubung mengenai peranan tentera upahan di Iraq.

Ia melibatkan pembunuhan ke atas 21 penduduk Iraq dan mencederakan 27 lagi dalam tujuh kejadian berasingan termasuk satu kejadian tembakan rambang oleh seorang pegawai firma yang mabuk selepas satu parti Krismas pada 2006.

Anggaran sekarang ialah kira-kira 200,000 kakitangan kontraktor swasta berada di Iraq. Ini bermakna bilangan tentera upahan melebihi tentera kerajaan di Iraq. Gabungan korporat tentera upahan yang ditempatkan di Iraq ini tidak diawasi oleh mana-mana pihak kerajaan dan tindakan mereka tidak berada di bawah undang-undang.

Secara asasnya, pentadbiran Bush telah mewujudkan tentera ‘hantu’ yang digunakan bagi melancarkan peperangan secara senyap atas nama menjaga keselamatan di Iraq.

Sejak perang menentang keganasan dilancarkan seluruh dunia, pentadbiran Bush secara berperingkat-peringkat telah menyalurkan berbilion dolar dana awam kepada korporat-korporat seperti Blackwater USA, DynCorp, Triple Canopy, Erinys dan ArmorGroup.

Mereka telah menggunakan wang kerajaan itu bagi membina prasarana ketenteraan (dilengkapi dengan senjata canggih) dan mengupah tentera upahan yang kuat yang dapat menyaingi tentera mana-mana kerajaan di dunia termasuk tentera AS juga.

Apa yang berlaku di Iraq sekarang merupakan suatu perkembangan yang berbahaya kerana mana-mana korporat gergasi (atau kerajaan asing) yang beroperasi di negara sedang membangun sekarang dapat mengupah tentera upahan untuk menjalankan kerja-kerja kotor demi mempertahankan kepentingan mereka.

Persoalannya sekarang kepada siapakah mereka berkhidmat dan di mana mereka menaruh kesetiaannya? Kepada korporat yang membayar wang kepada mereka (harus diingati juga dana itu pun datangnya daripada kerajaan AS) atau kepada individu tertentu di White House?

Wartawan atau para pengawai AS juga masih tidak mempunyai data tepat mengenai perbelanjaan kerajaan AS ke atas perkhidmatan tentera upahan ini.

Tetapi maklumat di Internet melalui anggaran Kongres menyatakan pada kadaran 40 sen untuk setiap cukai sedolar yang dibelanjakan ke atas peperangan akan disalurkan kepada kontraktor korporat yang terlibat dalam peperangan.

Sehingga kini dianggarkan AS telah membelanjakan sebanyak AS$2 bilion seminggu bagi mengendalikan operasi di Iraq.

Tetapi di sebalik semua itu, sejak Mac 2003 dalam permainan di belakang tabir AS telah membawa bersama-samanya tentera upahan bagi menguruskan konflik di Iraq.

Semasa Perang Teluk pada 1991, purata tentera upahan adalah 1:60 tentera kerajaan tetapi sejak Julai 2007 terdapat lebih 630 syarikat kontraktor beroperasi di Iraq untuk kerajaan AS.

Ia terdiri daripada 180,000 kakitangan individu daripada 100 buah negara. Malah penempatan tentera upahan ini telah melebihi kehadiran jumlah tentera sebanyak 160,00 itu.

Terdapat laman web yang menyatakan anggaran sejumlah 400,000 tentera ‘hantu’ daripada lebih 170 buah kontraktor tentera yang beroperasi di Iraq.

Kebanyakan tentera upahan ini digunakan bagi melindungi projek-projek pembangunan semula Iraq dan mereka ditugaskan melindungi projek-projek berkenaan istimewanya berkaitan dengan projek penghasilan minyak.

Bayangkan kontrak AS terbesar untuk keselamatan persendirian di Iraq diberikan kepada firma British Aegis Defence Services, yang diketuai oleh seorang pesara tentera British Lt. Col. Tim Spicer, yang menghadapi tuduhan sebagai tentera upahan yang banyak terlibat dalam konflik di negara-negara Afrika.

Sebab itulah AS dan Britain tidak perlu risau dengan pengunduran tentera Britisah di Iraq kerana ia akan diambil alih oleh tentera upahan British.

Syarikat dari Texas, DynCorp International adalah sebuah lagi syarikat yang mendapat kontrak lebih AS$1 bilion bagi membekalkan kakitangan bagi melatih polis Iraq sementara Blackwater dari Amerika telah mendapat kontrak sebanyak AS$750 juta daripada kontrak Jabatan Negara AS untuk tujuan keselamatan diplomatik.

Kontraktor tentera ini pula akan memberikan subkontrak kepada syarikat-syarikat kecil yang lain bagi operasi peperangan dan keselamatan yang khusus.

Mereka juga menjalankan tugas menyiasat dan mendera tahanan, mendapat maklumat dan risikan, mengendalikan operasi udara, melindungi pegawai-pegawai penting korporat dan kerajaan malah pernah terlibat dalam peperangan terbuka di Iraq.

Masalahnya sekarang tidak ada undang-undang sama ada di Iraq atau AS malah di peringkat antarabangsa yang mengawasi pergerakan mereka.

Pergerakan mereka juga tidak terikat di bawah Perjanjian Geneva mengenai tatacara etika peperangan dan perlindungan orang awam. Tiada perbincangan di peringkat antarabangsa atau PBB mengenai peranan tentera upahan ini.

Mereka seolah-olah berada di luar undang-undang dan mudah bergerak secara tersembunyi dan di belakang tabir. Apa yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan AS secara terbuka dapat dilakukan oleh tentera upahan ini.

Jadi apa yang diperkatakan mengenai pengunduran tentera AS dari Iraq adalah suatu lakonan, cemuhan dan olok-olok sahaja.

No comments: