Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

25 October 2007

Keperitan rakyat negara jiran cari rezeki wajar diteladani

Selamat membaca..........

Keperitan rakyat negara jiran cari rezeki wajar diteladani



KETIKA cuti pertengahan tahun lalu, saya berpeluang mengikuti lawatan ke Indonesia melalui Program Pengantarabangsaan yang dianjurkan pihak sekolah.


Program lima hari itu membuka peluang untuk saya menyelami budaya dan gaya hidup masyarakat di negara bekas jajahan Belanda itu.


Pertama kali menjejakkan kaki di negara ini, saya tertarik dengan hiasan dalaman di balai ketibaan lapangan terbang.


Hiasan pada setiap penjuru memaparkan keindahan budaya dan kesenian yang dimiliki hasil warisan bangsa. Perkara inilah yang patut dicontohi supaya masyarakat luar tahu kita menghargai dan bangga dengan warisan yang ditinggalkan.


Perjalanan di bumi asing menimbulkan minat mendalam untuk saya menyelongkar kelebihan yang ada di sana untuk dibawa pulang sebagai ilmu yang berguna. Justeru, mata saya tercari-cari sinar dalam kesibukan kota raya Jakarta.


Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan di Cikini, saya dapati ada banyak tugu peringatan yang didirikan dalam pelbagai bentuk dan gaya.


Keunikan tugu itu mengingatkan saya mengenai sejarah kemerdekaan negara republik itu dan secara tidak langsung, terbayang betapa rakyat negara ini bangga dengan pejuang tanah air mereka.


Sepanjang lima hari berada di sana, perkara yang paling menarik minat saya ialah sikap dan perwatakan penduduknya.


Biarpun mereka bangsa serumpun, pada pemerhatian saya, ada banyak perbezaan. Di bandar besar seperti Jakarta, wujud jurang kehidupan yang besar antara penduduknya.


Daripada golongan hartawan yang berkereta mewah di jalan raya hingga insan kerdil yang tinggal di bawah jambatan, kehidupan di sini memerlukan semangat yang cukup kuat untuk terus bertahan.


Kepadatan penduduk dan jurang ekonomi yang besar mungkin menjadi faktor yang menghalang kemajuan negara ini biarpun hasil buminya melimpah ruah.


Di sebalik keadaan itu, banyak perkara yang dapat dipelajari dalam meniti ranjau kehidupan hari ini.


Pertama, kemiskinan di negara penduduk Islam paling ramai ini bukan suatu perkara yang dianggap serius.


Rakyat miskin di sana tidak mendapat bantuan seperti penduduk Malaysia.


Kesempitan hidup tidak pernah menjejaskan semangat mereka untuk terus hidup.


Justeru, dari kesempitan hidup mereka belajar berdikari, kreatif dan berani dalam kehidupan. Perkara ini jelas tergambar melalui produk dan hasil seni yang dihasilkan mereka.


Cabaran kehidupan di bandar besar mendidik mereka mengambil segala kesempatan yang ada dan tidak terlalu memilih.


Paling penting mereka mendapatkan rezeki untuk meneruskan hidup. Tidak terbayang istilah pengangguran dalam kalangan penduduknya kerana bagi mereka tidak akan ada kehidupan tanpa usaha.


Ketika menyusuri jalan di sana, tidak terhitung di fikiran betapa banyaknya pekerjaan yang dilakukan di sana.


Bermula dari peniaga di kedai hingga pengutip puntung rokok, semua memerah keringat untuk hidup masing-masing. Di antara mereka, ada yang menggunakan bakat seni yang dimiliki untuk mendapatkan sesuap nasi.


Kesempitan hidup dan kebanjiran manusia bukan alasan untuk berpeluk tubuh dan tidak berusaha memajukan diri, keluarga dan masyarakat.


Nilai ini harus dicontohi penduduk negara kita supaya kita dapat mengikis sikap suka bergantung dan takut mencuba.


SYED HAMIMIE FAKHRI SYED MOHAMAD,

Ketua Pelajar

SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur.

No comments: