Selamat membaca..........
Media Islam jangan takut pada label Barat
DR. MOKHTAR MUHAMMAD.
Dalam dunia tanpa sempadan sekarang, keupayaan menguasai maklumat adalah sangat penting. Lebih penting lagi jika ia disertai dengan penguasaan media yang kukuh.
Bagaimanapun, negara-negara Islam sebahagian besarnya masih bergantung kepada media barat untuk mendapatkan maklumat.
Bagaimanapun, Allah memberi peringatan agar umat Islam berwaspada kepada penyebaran berita palsu oleh golongan fasif.
Firman Allah, Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seseorang yang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal. (Al-Hujurat: 6)
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual pensyarah Kewartawanan Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Dr. Mokhtar Muhammad bagi mengupas isu ini.
MEGA: Pergantungan kepada media barat bagi mendapatkan maklumat bukan lagi rahsia. Apakah sebab utama ini berlaku?
DR. MOKHTAR: Memang media terutama media Islam banyak bergantung dan lebih ‘percaya’ kepada media Barat. Kadang-kadang lebih daripada media tempatan sendiri.
Adakalanya, nampak biasnya sehingga berita kita tidak berapa tepat. Contoh, dulu berita oleh wayar antarabangsa seperti CNN mempromosikan slogan Membawa Berita Yang Kredibel. Jadi orang beranggapan apa sahaja yang mereka laporkan adalah benar. Demikian juga tanggapan terhadap berita daripada Reuters, British Broadcasting Corporation (BBC) dan sebagainya.
Inilah yang agak malang. Tetapi bukan semua begitu. Sepatutnya, sebagai Muslim kita kena percaya kepada media kita berbanding media asing. Media kita pula harus menjadi contoh kepada media Barat bahawa dari segi pelaporan, kita tidak memutar belitkan fakta. Ini kerana media Islam bukan sahaja mengamal etika kewartawanan tetapi juga takut kepada Allah. Setiap laporan yang berbentuk fitnah akan dipersoalkan di akhirat nanti. Itulah bezanya antara media Islam dan Media Barat.
Baru-baru ini dalam penilaian oleh media Barat, media tempatan dikatakan tidak bebas. Sebabnya, mereka menggunakan kayu ukur berdasarkan budaya mereka. Sedangkan di Malaysia, peraturan yang diwujudkan ke atas media bukan tujuan menyekat kebebasan.
Sebaliknya, sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, kita lebih memahami sensitiviti selain berusaha ke arah meningkatkan perpaduan antara penduduk.
Namun, kita ‘terjerat’ di situ. Sebabnya, media Barat mempunyai jaringan komunikasi yang lebih baik, modal lebih besar selain mempunyai wartawan di seluruh dunia.
Sedangkan kemampuan media kita agak terhad dan lebih tertumpu kepada ruang lingkup negara sahaja. Kalau ada Al-Jazeera pun, ia tidak sehebat media Barat.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah meluluskan resolusi penubuhan Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) dan Pertubuhan Penyiaran Negara-negara Islam (ISBO). Namun, kedua-duanya masih belum dapat menandingi kehebatan media barat. Di mana silapnya?
DR. MOKHTAR: Media Barat ini telah lama bertapak berbanding media kita. Liputan media Barat misalnya telah wujud pada zaman Perang Saudara Sepanyol pada tahun 1800.
Berbanding negara Islam, beritanya dilapor, ditulis, diproses dan dipaparkan oleh media Barat. Pendek kata, kita jauh ketinggalan.
Resolusi menerusi OIC itu lahir atas kesedaran masyarakat Islam bahawa aliran maklumat yang kita perolehi selama ini adalah sehala sahaja. Jadi, berita-berita yang disiarkan adalah berat sebelah.
Antara punca silapnya ialah sikap masyarakat kita yang lebih sukakan hiburan dan gosip selain kurang komitmen menubuhkan saluran media Islam.
Akhbar USA Today misalnya dipenuhi dengan berita-berita dan maklumat terkini yang tebalnya mencecah ratusan muka surat.
Bagaimanapun, telah ada usaha diambil ke arah mewujudkan media Islam sebagai alternatif media Barat. Dalam Islam, hal ini penting kerana kita disuruh nasihat-menasihati kerana ia membawa kebaikan. Jangan kita mudah terperangkap dengan permainan licik media Barat.
Mungkin ada negara Islam yang boleh menjadi pemimpin dalam aspek ini. Akhirnya mampu menjual programprogram berita kepada masyarakat dunia.
Kepentingan perlunya media Islam dilihat semakin mendesak terutama selepas tragedi 11 Sept. 2001. Adakah Malaysia mampu menjadikan usaha ini sebagai kenyataan sesuai dengan kedudukan sebagai Pengerusi OIC?
DR. MOKHTAR: Terdapat faktor pra dan pasca 11 September 2001. Kita kena ingat pada waktu itu Amerika Syarikat (AS) sudah ‘kering’. Sebabnya, sebagai kuasa besar dunia, mesti ada sesuatu yang perlu dilawan oleh AS.
Tetapi, pada masa itu tidak ada lagi pergolakan antarabangsa. Perang Iran-Iraq sudah tamat. Selain itu, perang Afghanistan dan dan Kesatuan Soviet juga telah berakhir. Sedangkan AS perlu menjual senjata api dan mempamerkan kehebatan sesuai dengan kedudukannya sebagai kuasa besar.
AS melihat ada vakum di situ. Malah rakan sekutunya seperti Presiden Saddam Husein pun sudah berpaling tadah menjadi musuh kepada Presiden George Bush.
Di AS juga ada gerakan born again christian. Antara yang mempopularkan istilah ini ialah Setiausaha Pertahanan AS seperti Dick Cheney dan Donald Rumsfeld. Apa muslihatnya?
Malah Presiden AS sekarang, George W. Bush pernah terlepas cakap bahawa perang sabil baru telah bermula. Bagaimanapun seorang ulama Islam di AS mencabar Bush agar mengisytiharkan Islam sebagai musuh jika beliau berani. Kalau dahulu, Barat menggunakan istilah ini sebagai memburuk-burukkan Islam. Kini selepas 11 September, ia digantikan dengan perkataan pengganas.
Malah, ada juga istilah menyebut sudah tiba masanya Gelombang Perang Saraf Generasi Kelima iaitu melalui maklumat. Sebab itu, sudah semestinya kita berharap Malaysia dengan kedudukan sebagai Pengerusi OIC boleh menggerakkan usaha ke arah merealisasikan penubuhan media Islam.
Kita mempunyai kelebihan kerana diiktiraf sebagai contoh negara Islam yang tinggi toleransinya tetapi maju.
Kunci utama keyakinan masyarakat terhadap media ialah kredibiliti dan kesahihan beritanya. Adakah kita beroleh kedua-dua aspek ini dalam media yang dikuasai oleh pemodal Yahudi?
DR. MOKHTAR: Ingatlah firman Allah seperti dalam surah Al-Hujurat ayat 6 di atas. Orang Yahudi ini memang terkenal sebagai perosak keharmonian dunia. Mereka sangat licik.
Merekalah yang melaga-lagakan dunia Islam. Malah menurut beberapa sejarawan, Perang Sabil pun adalah angkara Yahudi. Mereka menganggap diri sebagai umat terpilih dan orang lain sebagai lembu. Sebab itu boleh memperbodohkan orang lain.
Satu contoh yang menggambarkan sifat orang Yahudi ialah peristiwa seorang pendita Yahudi iaitu Abdullah bin Salam. Apabila ditanya tentang sifat Abdullah sebelum masuk Islam, beberapa orang pengikut Yahudi itu berkata, Abdullah adalah seorang yang sangat baik dan bertolak ansur. Tetapi apabila diberitahu yang Abdullah telah memeluk Islam, perakuan mereka bertukar sekelip mata. Katanya, Abdullah adalah seorang manusia yang tidak berguna dan jahat.
Imej stereotaip terhadap umat Islam dalam media barat ialah golongan pengganas, menindas wanita dan sikap diktator sesetengah pemimpinnya. Apakah kesannya kepada pemikiran masyarakat jika propaganda begini berterusan?
DR. MOKHTAR: Sudah tentu kesannya amat mendalam. Ia akan kekal menjadi stereotaip imej negatif tentang Islam. Walhal, imej yang dipaparkan oleh media Barat itu adalah berdasarkan satu sudut sahaja. Segala tohmahan itu adalah tidak benar. Islam tidak menindas wanita dan tidak membenarkan umatnya menjadi pengganas.
Realitinya, ia dilakukan oleh mereka yang mendakwa Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Ini adalah antara sebab mengapa kita perlu kepada media Islam agar dapat menjelaskan keadaan sebenar.
Islam adalah agama yang cintakan perdamaian. Apakah ciri yang perlu ada dalam media Islam supaya ia disegani oleh kawan dan lawan?
DR. MOKHTAR: Sudah pasti ciri utama ialah menyiarkan apa yang benar, adil dan tidak boleh bias. Jangan bimbang dengan apa yang orang lain atau AS nak cakap. Lambat laun orang akan tahu kitalah media yang betul.
No comments:
Post a Comment