Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

03 October 2007

Masalah beg berat

Selamat membaca..........

Sokong masalah beg berat murid sekolah dikaji

SAYA amat tertarik dengan persoalan yang dikemukakan dalam ruangan forum Utusan Malaysia kebelakangan ini iaitu masalah beg berat dan keselesaan bilik darjah. Saya mempunyai anak yang bersekolah di tahun satu.

Setiap malam saya akan mengemas buku anak saya mengikut jadual yang diberikan oleh guru kelas.

Saya bertanyakan anak saya adakah perlu dibawa contohnya buku pelajaran Agama Islam iaitu buku teks dan lima buku latihan, jawapannya kena bawa kerana guru suruh bawa semua.

Jadi lima bukulah jawabnya kena bawa, tidak termasuk buku tulis yang berjumlah enam buah (itu baru melibatkan satu mata pelajaran). Cuba bayangkan kalau hari itu ada lima mata pelajaran.

Seperkara lagi yang saya dipertikaikan ialah kenapa buku tulis yang telah habis digunakan, perlu digam dengan buku tulis yang baru, semakin tebal dan beratlah jawabnya.

Seingat saya semasa saya bersekolah dahulu, tidak pernah guru suruh kami berbuat demikian, bukannya hendak ulang kaji latihan yang telah dibuat itu.

Tolonglah fikir tentang perkara ini, kami dulu belajar tidaklah seteruk ini tetapi saya rasa dari segi pembelajaran kami jauh lebih baik, malah dapat pergi ke menara gading juga, tanpa perlu tampal buku tulis.

Saya kasihan budak tahun satu yang saiznya kecil. Anak saya apabila ke sekolah, saya sendiri akan bawa beg sekolah dari kereta sehingga ke pintu pagar sekolah. Kemudian saya pesan berkali-kali agar dia tarik beg tersebut, saya tidak benarkan dia pikul, saya takut apabila terlalu berat ia akan menjejaskan tulang belakangnya nanti.

Saya benar-benar berharap Kementerian Pelajaran dapat berbuat sesuatu kerana perkara ini sudah banyak kali dibangkitkan tetapi masih tiada jalan penyelesaiannya.

Satu lagi ialah isu keselesaan. Sekolah adalah tempat pelajar menimba ilmu, berilah keselesaan kepada murid belajar. Buatlah sesuatu, terutama sekali bilik darjah yang menempatkan 35 orang murid, tingkapnya cuma ada di satu sisi dan mempunyai dua kipas di tengahnya sahaja.

Bayangkanlah betapa anak- anak kita belajar di dalam bilik yang panas dan kurang pengudaraan. Renungkanlah fikirkanlah.

– IBU PRIHATIN,

No comments: