Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

08 October 2007

Zaman kanak-kanak 'ekspres'

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
Di Luar Lingkaran: Zaman kanak-kanak 'ekspres'
Oleh Johan Jaafar
zulujj@tm.net.my

Peristiwa menyayat hati menimpa Nurin ubah nilai masyarakat


SALAH satu prinsip penting pertumbuhan kanak-kanak ialah keperluan waktu bermain yang bebas dan panjang. Permainan penting dalam pembinaan peribadi seorang kanak-kanak. Ia juga ada kaitan dengan keperluan menjadikan mereka cergas dan sihat.


Lebih utama lagi ialah kepentingan untuk berinteraksi dengan kawan-kawan dan persekitaran. Dalam proses seperti itu, kanak-kanak akan melalui proses sosialisasi yang akan menguntungkan mereka untuk jangka panjang.


Ketika membesar di kampung pada era 50-an dan 60-an, permainan masa itu memang kasar dan ada kalanya berbahaya. 'Main galah' ketika bulan puasa memerlukan kekuatan tenaga dan kesediaan untuk menerima pukulan pihak lawan. Berkubang di sungai menguji ketahanan menyelam, berenang atau berlumba. 'Konda kundi' atau 'cekuntet' antara lain menuntut kanak-kanak menangkap kayu yang dipukul oleh lawan sekuat hati. Kanak-kanak ketika itu berlari di belukar, melalui semak samun dan lalang, selalunya tanpa kasut. Pakar kanak-kanak mengakui perlunya kanak-kanak bermain kotor dan kasar.


Secara jujur saya tidak akan membenarkan anak-anak saya mengulangi permainan yang menjadi sebahagian proses pembesaran saya masa dulu. Pada zaman saya membesar, kami menghabiskan lima kali lebih banyak masa di luar rumah daripada kanak-kanak zaman ini. Ketika itu tidak ada 'gangguan' lain. Televisyen belum ada, apa lagi internet atau permainan komputer.


Satu hal yang lebih penting ialah kanak-kanak membesar sebagai sebahagian daripada proses bermasyarakat. Kanak-kanak adalah milik komuniti. Kanak-kanak ditegur oleh semua orang. Adat resam dan sopan santun dipelihara. Apa yang penting mereka ditanamkan nilai murni yang menjadi sebahagian daripada prasyarat kerukunan bermasyarakat. Apa yang menjalin masyarakat ialah kesediaan untuk hidup bersama dan mematuhi nilai bersama. Ibu bapa hanya sebahagian daripada proses mencorakkan individu.


Hari ini, peranan anggota masyarakat menjadi kacau bilau oleh pelbagai elemen dan pengaruh luar. Globalisasi, dunia tanpa sempadan, pengaruh teknologi maklumat dan kecanggihan peralatan moden mengubah cara manusia berinteraksi dan bermasyarakat. Manusia menjadi individualistik. Apabila lebih 62 peratus rakyat kita hidup di bandar, maka nilai individualisme ini menjadi semakin ketara.


Lebih penting, ibu bapa moden memilih untuk hidup di dalam kepompong keselamatan masing-masing. Rumah menjadi benteng memisahkan mereka dan anak dari luar. Segala-galanya dibayangi kekhuatiran terhadap keselamatan. Tidak hairanlah jika ibu bapa moden terlalu melindungi kanak-kanak. Apa yang berlaku pada Nurin Jazlin Jazimin ada kaitannya dengan fobia baru ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka.


Kita tidak boleh menyalahkan kerisauan ini. Nurin ialah tragedi yang menyayat. Penanggungan Nurin Tuhan saja yang tahu. Rakyat Malaysia terkejut, terharu dan marah dengan apa yang berlaku. Malah, debat selanjutnya ialah mengapa hal seperti itu boleh berlaku di dalam masyarakat kita? Apakah kita mulai melahirkan haiwan yang menyerupai manusia? Atau oleh kerana kuasa media, peristiwa Nurin mendapat perhatian luar biasa sedangkan sepatutnya ia terselindung daripada pengetahuan umum?


Peristiwa Nurin menyebabkan ibu bapa mendirikan tembok yang lebih besar bagi melindungi kanak-kanak. Kenyataannya ialah Nurin ialah seorang kanak-kanak yang hidup dalam persekitaran yang sukar. Beliau mencerminkan sikap berdikari dan kebebasan tersendiri, sesuatu yang diperlukan dalam proses pertumbuhan beliau menuju kedewasaan. Persekitaran menjadikan beliau cepat matang tidak seperti banyak kanak-kanak lain yang seusia dengan beliau yang masih tidak tahu mengurus diri.


Banyak kanak-kanak seperti Nurin sebenarnya. Ibu bapa mereka bekerja dan mereka pulang ke rumah kosong selepas sekolah. Mereka harus menjaga adik-adik. Ibu bapa tidak mampu mempunyai orang gaji atau menghantar kanak kecil ke taman asuhan. Ada orang yang bertanya kenapa Nurin dibiarkan keluar ke pasar malam sendirian? Bagi kanak-kanak dalam persekitaran demikian, kebebasan seperti itu cukup biasa.


Di kampung, ruang untuk kanak-kanak seperti Nurin amat luas. Tetapi di bandar, setiap laluan menjauhkan diri mereka daripada keselesaan dan keselamatan yang sepatutnya mereka peroleh. Maka, itu risiko untuk kanak-kanak seperti Nurin dianiaya di bandar jauh lebih tinggi daripada mereka yang di kampung. Kepadatan penduduk, manusia yang tidak boleh dijangka dan sistem bermasyarakat di bandar tidak memihak pada Nurin sekalipun dia tangkas, bebas dan berdikari.


Apa yang berlaku pada Nurin akan meyakinkan ibu bapa, terutama di bandar untuk menutup sama sekali peluang kebebasan dan berdikari di kalangan kanak-kanak. Maka akan lebih terkurung kanak-kanak bandar. Memang benar kanak-kanak hari ini tidak didedahkan pada aktiviti lasak dan kegiatan luar yang memerlukan kekuatan fisikal dan semangat. Maka terjejaslah salah satu elemen penting pertumbuhan kanak-kanak. Selepas peristiwa Nurin, keadaan ini menjadi lebih buruk.


Satu masa dulu, ibu bapa menghantar anak mengaji akan memberitahu guru al-Quran, "Asal jangan buta dan patah sudahlah." Itu lesen untuk guru merotan, mencubit atau menampar. Di sekolah, guru boleh menghukum dan murid takut mengadu kepada ibu bapa. Hari ini, jentik telinga murid, ada ibu bapa yang datang dengan peguam ke sekolah. Guru menjadi serba salah. Disiplin tidak boleh dikenakan dengan tangan guru diikat di belakang.


Hari ini, bahan yang dijadikan mainan semuanya dibeli di pasar raya � daripada Lego hingga anak patung Barbie. Pada masa ini juga permainan komputer menjadi ketagihan baru, peralatan elektronik seperti iPod mengubah cara kanak-kanak berhibur selain mereka menghabiskan banyak masa melayari internet dan menonton TV. Satu kajian di Barat menunjukkan bahawa kanak-kanak menghabiskan masa lima jam sehari di hadapan TV. Bilakah masa kanak-kanak bermain di luar atau bersukan? Mungkin ketika senaman atau riadah (pendidikan jasmani) di sekolah, yang masanya amat terbatas.


Malah permainan kanak-kanak hari ini tidak lagi kreatif, semuanya disediakan. Satu masa dulu getah sekerap menjadi bola, batang duku menjadi kayu hoki dan buluh dijadikan meriam. Apa saja yang disediakan alam secara kreatif dijadikan bahan permainan. Hari ini, kanak-kanak tidak lagi mampu menjadi kreatif. Di dalam buku Endangered Minds, Jane Healy menyentuh mengenai dunia visual yang mulai mencorakkan minda kanak-kanak. Mereka tidak lagi menganggap dunia tulisan sebagai menarik. Setiap hari ribuan imej melalui TV, papan iklan elektronik, internet dan peralatan teknologi akan ditonton oleh kanak-kanak. Nilai di dalam anime, filem, kartun dan imej visual lainnya akan mencorakkan mereka.


Apa yang dikatakan generational changes atau peralihan generasi itu sedang berlaku dengan hebatnya. Dari satu segi, proses 'kematangan' berlaku lebih pantas di kalangan kanak-kanak hari ini. Pengkaji mulai mengkhuatiri keadaan zaman kanak-kanak 'ekspres' ini. Juga nilai pasang siap yang mulai mencorakkan kanak-kanak.


Kematangan yang dipaksakan ini tentulah membawa korban. Antara lain ketika kanak-kanak yang dipaksakan dan zaman kanak-kanak dipendekkan. Proses tidak natural ini mempunyai kesannya pada pertumbuhan dan perimbangan mental kanak-kanak.


Minda yang cepat matang tidak diimbangi oleh keperluan fisikal yang diperlukan. Pada akhirnya daya tahan, semangat dan jati diri akan terjejas. Kita akan melahirkan bijak pandai yang lemah dan tidak punya semangat waja. Fobia ibu bapa selepas peristiwa Nurin akan lebih memburukkan keadaan.


Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

No comments: