Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

21 October 2007

Kenaikan harga barang mesti dikawal

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
Di Luar Lingkaran: Kenaikan harga barang mesti dikawal
Bersama Johan Jaaffar


SEEKOR ayam berharga RM17. Paru dan limpa lembu tempatan RM20 sekilogram. Sekilogram santan RM6. Sarung ketupat RM7 bagi 50 biji. Oren jenama Long Chan RM1.30 sebotol.


Kenaikan harga barang nampaknya di luar kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada hari raya kali ini. Di mana-mana terdengar rungutan yang sama � harga barang melambung. Bukan saja harga ayam naik, malah di sesetengah tempat ayam tidak dijual. Prinsipnya senang, orang ramai perlukan ayam. Walaupun harganya melambung mereka harus mencari ayam. Mereka tidak tahu di mana salahnya. Mungkin harga �ex-farm� (dari ladang) tidak dikawal, mungkin juga pemborong atau pembekal menaikkan harga atau mungkin juga penjual mengaut keuntungan lebih. Apabila sesuatu barang diperlukan, pembeli terpaksa membeli walaupun harganya mahal.


Dalam kes ayam, walaupun kementerian berkenaan memberi jaminan ayam mencukupi dan harga ayam terkawal, hal yang sebaliknya berlaku.


Kementerian berkaitan melancarkan kempen pengguna bijak. Kempen yang sebenarnya amat baik bagi mengajar pengguna memaksimumkan nilai ringgit mereka. Pengguna boleh berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai pilihan. Pada musim perayaan seperti hari raya, mereka tidak ada pilihan. Malah pengguna tidak mempunyai pilihan untuk tidak membeli barangan itu.


Kenaikan harga barang pada hari raya kali ini amat dirasakan. Rungutan pengguna banyak kedengaran sama ada di akhbar atau menerusi radio dan televisyen. Semakin hebat kempen memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang, semakin terasa kenaikannya pada pengguna. Kita boleh menyalahkan peruncit kerana menaikkan harga barang atau mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak patuh. Peraturan dan undang-undang tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. Begitu juga publisiti penguat kuasa memeriksa tanda harga di pasar. Lagi pula banyak barangan itu adalah barang kawalan yang harganya tidak boleh dinaikkan sesuka hati. Jadi di manakah silapnya?


Teori mudah ekonomi membabitkan permintaan dan bekalan. Selagi ada keperluan selagi itulah ada permintaan dan selagi itulah perlunya bekalan. Barang yang kurang dengan sendirinya mengundang lebih banyak permintaan. Secara mudah, peniaga boleh menangguk di air keruh. Pegawai penguat kuasa tidak boleh di tempatkan di ribuan kampung ketika hari raya. Sekiranya peniaga mahu menaikkan harga barang, tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Ini isu moral dan tanggungjawab peniaga. Aspek ini selalu dipandang ringan. Malah bagi sesetengah peniaga, alasan mereka ialah apa salahnya membuat untung lebih setahun sekali?


Kadangkala kita hanya menumpukan perhatian pada peniaga yang sebenarnya berada pada rantaian terakhir sistem pengeluaran, pengangkutan, pengedaran dan peruncitan. Merekalah yang selalu dipersalahkan. Apabila krisis gula berlaku, tumpuan kita hanya pada peruncit dan pasar raya. Kita terlupa sistem hampir monopoli bekalan gula dan pergantungan kita pada kaedah pengangkutan yang kompleks. Gula hilang dari pasaran untuk beberapa lama dan pengguna menderita. Krisis berakhir, tetapi punca sebenar masih belum diselesaikan. Krisis itu pasti akan berulang.


Memang betul hari raya datang setahun sekali. Umat Islam memperuntukkan sejumlah wang untuk perayaan ini. Sama ada duit simpanan, bonus atau gaji, persiapan hari raya memerlukan belanja yang banyak. Sedikit sebanyak keperluan menyediakan hidangan pagi raya mesti disediakan.


Banyak pihak yang mengatakan orang Melayu boros berbelanja menjelang hari raya. Malah berlaku banyak pembaziran. Hujah yang sama boleh dikaitkan dengan amalan membeli kenderaan misalnya. Mengapa membazirkan duit membayar ratusan ringgit setiap bulan untuk tujuan sewa beli? Hakikatnya kereta bukan bahan mewah, tetapi keperluan di kota besar negara ini, sebahagian puncanya kerana sistem pengangkutan awam yang buruk.


Sama juga halnya dengan orang Melayu yang hidup berkeluarga, bersanak saudara dan bermasyarakat. Hari raya adalah waktu kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi. Malah bagi jutaan penghuni kota, masa untuk kembali ke tempat asal.


Memang terdengar suara menanyakan mengapa perlu �balik kampung.� Ada yang menganggap budaya ini harus ditinggalkan kerana tidak relevan lagi dalam dunia serba maju dan canggih ini. Budaya balik kampung dianggap kuno dan memancarkan nilai lama yang sepatutnya dikesampingkan. Malah budaya itu mencerminkan pergantungan orang Melayu pada bagej sejarah dan amalan lampau. Orang Melayu Baru harus bersedia meninggalkan amalan dan adat resam yang tidak lagi cocok dengan keperluan masa kini.


Balik kampung sepatutnya digalakkan. Inilah cara hidup Malaysia yang sebenar. Kembali ke kampung menjadi ritual bagi setiap perayaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Oleh kerana lebih 80 peratus rakyat negara ini masih mempunyai kaitan dengan kampung asal, maka budaya ini sepatutnya digalakkan. Hubungan keluarga, adat susila, budi bahasa dan kepatuhan bersama menjadi asas keharmonian, kesejahteraan dan hidup bermasyarakat.


Dalam keadaan sedemikianlah, harga barangan di luar bandar menjadi tidak terkawal. Mungkin kerana jauh dari penguat kuasa, maka peniaga mengambil kesempatan membuat keuntungan melampau. Mungkin terlalu banyak perhatian diberikan pada harga di pasar utama di bandar besar, maka penguat kuasa mengabaikan harga barangan di bandar kecil dan di desa. Atau mungkin juga oleh kerana tidak ada publisiti media, maka pihak penguat kuasa kurang berminat menjalankan operasi di luar kota.


Semua kempen, tindakan, gerakan dan penguatkuasaan nampaknya dicorakkan oleh keperluan publisiti. Malah menjadi budaya negara ini � dari operasi menyaman peniaga kerana tidak mempamerkan harga barang, rampasan rokok keretek, penangkapan pendatang tanpa izin hinggalah tangkapan kes khalwat � dicorakkan oleh liputan media. Malah gerakan selalunya tidak berjalan selagi pihak media tidak mengiringi mereka.


Mentaliti sebeginilah yang seharusnya diperbetulkan. Gerakan harus berterusan. Kempen yang lebih berkesan harus dijalankan walaupun tanpa liputan media. Dan biarlah kempen itu munasabah dan bersesuaian. Mengajak pengguna bijak berbelanja tidak akan banyak gunanya sekiranya pengguna tidak banyak pilihan. Membenarkan pasar raya besar berkelas dunia mercup di merata tempat harus juga mengambil kira nasib peniaga kecil yang terjejas kerana mereka tidak berupaya bersaing dengan raksasa tadi.


Kementerian berkenaan juga harus realistik dalam memberi jaminan. Harga barang akan naik akibat kos minyak dan bahan mentah yang lain. Pengguna mesti disediakan minda mereka dengan kemungkinan kenaikan harga barang. Menafikan kenyataan sebenar akan hanya membingungkan pengguna. Kerajaan berusaha keras mengawal inflasi, tetapi inflasi tidak dapat dielakkan dalam keadaan ekonomi yang rancak dan berkembang. Kenaikan harga barang juga tidak dapat dielakkan dalam keadaan rakyat semakin mampu.


Kenaikan harga barang sebenarnya tidak ada kesan yang banyak pada mereka yang kaya dan mampu. Jumlah mereka ramai dan akibat dari pertumbuhan pesat ekonomi dan dasar yang betul, lahir golongan yang tidak akan bertanya walaupun seekor ayam harganya RM25 atau sekilogram santan RM15.


Apa yang perlu difikirkan ialah rakyat berpendapatan rendah yang berasa keperitan akibat kenaikan harga barang walaupun kecil. Jumlah mereka ramai. Dispariti pendapatan di antara golongan berada dengan yang tidak semakin menjarak. Malah, dispariti pendapatan di antara mereka yang tinggal di kota dan desa juga semakin melebar. Dalam kes sambutan hari raya, apabila harga barang kelihatan seperti di luar kawalan, golongan miskin dan yang berpendapatan rendah hanya mampu mengeluh.


Keluhan mereka harus didengar oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

1 comment:

faten aysha said...

isi kurang mantap.
sukar untuk dijadikan rujukan.
anyway,keep up ur good work next..