Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

30 October 2007

Derma organ

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
Suara Orang Muda: Bincang dari hati ke hati soal derma organ
Noraini Ahmad


KETIKA Perhimpunan Agung Umno 2006 berlangsung setahun yang lalu, tiba-tiba terdetik di hati saya untuk sama-sama tampil menderma organ di Kaunter Menderma Organ yang kebetulan dibuka oleh Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bohong kalau saya katakan tiada langsung terselit perasaan bimbang atau takut tetapi saya sudah nekad dengan niat untuk menyelamatkan nyawa orang lain bila tiba masanya nanti, Insya-Allah. Alhamdulillah dengan restu suami dan keluarga, saya tampil mendaftar untuk menderma buah pinggang.

Di benak dan fikiran saya ketika itu, mengapa tidak kita sebagai pemimpin, sebagai orang yang kerap mengajak orang ramai supaya tampil menderma organ untuk menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukannya, menunjukkan teladan, dengan sama-sama menyumbang.

Ramai yang menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan penghidap pelbagai penyakit yang hanya boleh disembuhkan menerusi pemindahan organ, tetapi rasa prihatin saja tidak memadai, sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan dan keikhlasan untuk kita mendaftar dan berikrar sebagai penderma.

Bagi saya stigma orang Melayu mengenai pemindahan organ juga perlu diubah kepada kesedaran untuk membantu golongan yang memerlukan. Tidak dinafikan masih ramai yang mengaitkannya dengan hukum hakam dan bimbang menyalahi ajaran agama, terutama bila organ itu nanti dipindahkan kepada penerima bukan Islam.

Hakikatnya, sejak Jun 1970 lagi fatwa sudah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan – harus bagi seorang Muslim mendermakan organ mereka dengan syarat manfaatnya lebih daripada mudarat dan mendapat keizinan si mati sebelum meninggal dunia.

Umat Islam tidak perlu ragu untuk menderma organ kerana amalan itu bukan saja diharuskan oleh syarak, malah dipandang mulia dan wajar dicontohi.

Umat Islam juga tidak harus bimbang organ yang didermakan sama ada diberikan kepada orang Islam atau bukan Islam kerana dalam ajaran Islam soal menyelamatkan nyawa manusia, perbezaan agama bukanlah halangan.

Ketika tahap kesedaran orang ramai untuk menderma organ sudah mula menunjukkan peningkatan, timbul pula isu cerita organ yang diikrarkan tidak dapat diderma selepas penderma meninggal dunia, berikutan bantahan keluarga. Perkara ini dibangkitkan sekali lagi oleh Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Datin Dr Lela Yasmin Mansor kelmarin.

Menurut Dr Lela kesedaran untuk mengikrarkan organ didermakan di negara ini semakin meningkat sejak 30 tahun lalu, tetapi ada penderma organ yang sudah mengikrarkan untuk menderma organ mereka selepas meninggal dunia, gagal berbuat demikian kerana halangan keluarga.

Contohnya sejak 1997 sehingga 30 Jun lalu, seramai 108,501 individu mendaftar untuk menderma organ. Bagaimanapun, hingga 31 Julai lalu, hanya 180 kes derma organ dapat disempurnakan selepas kematian penderma. Daripada jumlah berkenaan, seramai 99 penderma membabitkan kaum Cina, India (53), Melayu (lapan) dan lain-lain (15).

Kementerian Kesihatan juga mendedahkan sehingga Jun lalu, 108,000 orang berikrar untuk mendermakan organ, tetapi tahun lalu hanya 25 yang benar-benar menderma kerana kebanyakannya mendapat bantahan keluarga.

Perkara ini mungkin boleh ditangani jika penderma berbincang dari awal dengan semua ahli keluarga dan menanam keyakinan dalam diri mereka bahawa tindakan yang dibuat adalah murni demi menyelamatkan nyawa orang lain. Bincangkan dari hati ke hati dengan ahli keluarga supaya tindakan anda direstui dan tidak timbul soal keluarga membantah apabila anda meninggal dunia satu hari nanti.

Harus diingat, negara memerlukan kira-kira 1,200 buah pinggang, 450 jantung, 200 hati dan 700 kornea setiap tahun untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sememangnya kita tidak boleh memaksa orang untuk menderma organ tetapi mungkin kesedaran mampu mengubah persepsi dan pandangan umum mengenai kepentingan pendermaan organ akan membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Pada masa sama, marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kes adik Tee Hui Yee, 14, yang menerima jantung didermakan baru-baru ini selepas sekian lama bergantung kepada jantung mekanikal.

Sokongan semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan kempen menderma organ yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jabatan berkaitan terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga boleh sama-sama memainkan peranan dengan meningkatkan kesedaran terutama kepada umat Islam mengenai kepentingan pendermaan organ yang juga satu bentuk kebajikan dan insya-Allah pahalanya akan berpanjangan hingga ke akhirat.

Sesungguhnya menderma organ adalah sumbangan yang amat tinggi nilainya bagi menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan bangsa.

Justeru saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa Pergerakan Puteri Umno sekali lagi akan membuka kaunter untuk mereka yang mahu mendaftar sebagai penderma organ sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 mulai 5 hingga 9 November ini. Datanglah beramai-ramai untuk mendaftar demi menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukannya.



Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

1 comment:

Unknown said...

tahniah kerana saudara telah mendaftar tetapi saya ingin mengutarakan soalan. perlukah kita menderma? organ yang kita derma itu milik kita tau milik tuhan. saya bukan membangkan pengermaan organ tapi kemiskilan yang amat sangat kerana semuanya milik allah dan allah telah menentukan ajal maut kita, adalah kita nak melawan qadak dan kadar tuhan. memang menyelamatkan nyawa itu satu amalan yang baik tapi menyiksa mayat yang telah terbujur adalah sesuatu yang keterlaluan. Sukakah anda sewaktu dibangkitkan esok mencari-cari organ anda yang ada pada orang lain, sedangkan pada masa itu semua orang sibuk dengan pertimbangan amalan masing-masing.
Saya bukan melawan fatwa. tetapi bukan semua fatwa diikuti oleh umat di malaysia ini.. kerana ianya ada berkempentingan dan bersangahan dengan pendapat ulamak yang lain.

kalau ada masa free tulung jelaskan.

mohdkhairuddin.ismail@gmail.com