Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

30 October 2007

Media Islam jangan takut pada label Barat

Selamat membaca..........

Media Islam jangan takut pada label Barat

DR. MOKHTAR MUHAMMAD.

Dalam dunia tanpa sempadan sekarang, keupayaan menguasai maklumat adalah sangat penting. Lebih penting lagi jika ia disertai dengan penguasaan media yang kukuh.

Bagaimanapun, negara-negara Islam sebahagian besarnya masih bergantung kepada media barat untuk mendapatkan maklumat.

Bagaimanapun, Allah memberi peringatan agar umat Islam berwaspada kepada penyebaran berita palsu oleh golongan fasif.

Firman Allah, Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seseorang yang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal. (Al-Hujurat: 6)

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual pensyarah Kewartawanan Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Dr. Mokhtar Muhammad bagi mengupas isu ini.

MEGA: Pergantungan kepada media barat bagi mendapatkan maklumat bukan lagi rahsia. Apakah sebab utama ini berlaku?

DR. MOKHTAR: Memang media terutama media Islam banyak bergantung dan lebih ‘percaya’ kepada media Barat. Kadang-kadang lebih daripada media tempatan sendiri.

Adakalanya, nampak biasnya sehingga berita kita tidak berapa tepat. Contoh, dulu berita oleh wayar antarabangsa seperti CNN mempromosikan slogan Membawa Berita Yang Kredibel. Jadi orang beranggapan apa sahaja yang mereka laporkan adalah benar. Demikian juga tanggapan terhadap berita daripada Reuters, British Broadcasting Corporation (BBC) dan sebagainya.

Inilah yang agak malang. Tetapi bukan semua begitu. Sepatutnya, sebagai Muslim kita kena percaya kepada media kita berbanding media asing. Media kita pula harus menjadi contoh kepada media Barat bahawa dari segi pelaporan, kita tidak memutar belitkan fakta. Ini kerana media Islam bukan sahaja mengamal etika kewartawanan tetapi juga takut kepada Allah. Setiap laporan yang berbentuk fitnah akan dipersoalkan di akhirat nanti. Itulah bezanya antara media Islam dan Media Barat.

Baru-baru ini dalam penilaian oleh media Barat, media tempatan dikatakan tidak bebas. Sebabnya, mereka menggunakan kayu ukur berdasarkan budaya mereka. Sedangkan di Malaysia, peraturan yang diwujudkan ke atas media bukan tujuan menyekat kebebasan.

Sebaliknya, sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, kita lebih memahami sensitiviti selain berusaha ke arah meningkatkan perpaduan antara penduduk.

Namun, kita ‘terjerat’ di situ. Sebabnya, media Barat mempunyai jaringan komunikasi yang lebih baik, modal lebih besar selain mempunyai wartawan di seluruh dunia.

Sedangkan kemampuan media kita agak terhad dan lebih tertumpu kepada ruang lingkup negara sahaja. Kalau ada Al-Jazeera pun, ia tidak sehebat media Barat.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah meluluskan resolusi penubuhan Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) dan Pertubuhan Penyiaran Negara-negara Islam (ISBO). Namun, kedua-duanya masih belum dapat menandingi kehebatan media barat. Di mana silapnya?

DR. MOKHTAR: Media Barat ini telah lama bertapak berbanding media kita. Liputan media Barat misalnya telah wujud pada zaman Perang Saudara Sepanyol pada tahun 1800.

Berbanding negara Islam, beritanya dilapor, ditulis, diproses dan dipaparkan oleh media Barat. Pendek kata, kita jauh ketinggalan.

Resolusi menerusi OIC itu lahir atas kesedaran masyarakat Islam bahawa aliran maklumat yang kita perolehi selama ini adalah sehala sahaja. Jadi, berita-berita yang disiarkan adalah berat sebelah.

Antara punca silapnya ialah sikap masyarakat kita yang lebih sukakan hiburan dan gosip selain kurang komitmen menubuhkan saluran media Islam.

Akhbar USA Today misalnya dipenuhi dengan berita-berita dan maklumat terkini yang tebalnya mencecah ratusan muka surat.

Bagaimanapun, telah ada usaha diambil ke arah mewujudkan media Islam sebagai alternatif media Barat. Dalam Islam, hal ini penting kerana kita disuruh nasihat-menasihati kerana ia membawa kebaikan. Jangan kita mudah terperangkap dengan permainan licik media Barat.

Mungkin ada negara Islam yang boleh menjadi pemimpin dalam aspek ini. Akhirnya mampu menjual programprogram berita kepada masyarakat dunia.

Kepentingan perlunya media Islam dilihat semakin mendesak terutama selepas tragedi 11 Sept. 2001. Adakah Malaysia mampu menjadikan usaha ini sebagai kenyataan sesuai dengan kedudukan sebagai Pengerusi OIC?

DR. MOKHTAR: Terdapat faktor pra dan pasca 11 September 2001. Kita kena ingat pada waktu itu Amerika Syarikat (AS) sudah ‘kering’. Sebabnya, sebagai kuasa besar dunia, mesti ada sesuatu yang perlu dilawan oleh AS.

Tetapi, pada masa itu tidak ada lagi pergolakan antarabangsa. Perang Iran-Iraq sudah tamat. Selain itu, perang Afghanistan dan dan Kesatuan Soviet juga telah berakhir. Sedangkan AS perlu menjual senjata api dan mempamerkan kehebatan sesuai dengan kedudukannya sebagai kuasa besar.

AS melihat ada vakum di situ. Malah rakan sekutunya seperti Presiden Saddam Husein pun sudah berpaling tadah menjadi musuh kepada Presiden George Bush.

Di AS juga ada gerakan born again christian. Antara yang mempopularkan istilah ini ialah Setiausaha Pertahanan AS seperti Dick Cheney dan Donald Rumsfeld. Apa muslihatnya?

Malah Presiden AS sekarang, George W. Bush pernah terlepas cakap bahawa perang sabil baru telah bermula. Bagaimanapun seorang ulama Islam di AS mencabar Bush agar mengisytiharkan Islam sebagai musuh jika beliau berani. Kalau dahulu, Barat menggunakan istilah ini sebagai memburuk-burukkan Islam. Kini selepas 11 September, ia digantikan dengan perkataan pengganas.

Malah, ada juga istilah menyebut sudah tiba masanya Gelombang Perang Saraf Generasi Kelima iaitu melalui maklumat. Sebab itu, sudah semestinya kita berharap Malaysia dengan kedudukan sebagai Pengerusi OIC boleh menggerakkan usaha ke arah merealisasikan penubuhan media Islam.

Kita mempunyai kelebihan kerana diiktiraf sebagai contoh negara Islam yang tinggi toleransinya tetapi maju.

Kunci utama keyakinan masyarakat terhadap media ialah kredibiliti dan kesahihan beritanya. Adakah kita beroleh kedua-dua aspek ini dalam media yang dikuasai oleh pemodal Yahudi?

DR. MOKHTAR: Ingatlah firman Allah seperti dalam surah Al-Hujurat ayat 6 di atas. Orang Yahudi ini memang terkenal sebagai perosak keharmonian dunia. Mereka sangat licik.

Merekalah yang melaga-lagakan dunia Islam. Malah menurut beberapa sejarawan, Perang Sabil pun adalah angkara Yahudi. Mereka menganggap diri sebagai umat terpilih dan orang lain sebagai lembu. Sebab itu boleh memperbodohkan orang lain.

Satu contoh yang menggambarkan sifat orang Yahudi ialah peristiwa seorang pendita Yahudi iaitu Abdullah bin Salam. Apabila ditanya tentang sifat Abdullah sebelum masuk Islam, beberapa orang pengikut Yahudi itu berkata, Abdullah adalah seorang yang sangat baik dan bertolak ansur. Tetapi apabila diberitahu yang Abdullah telah memeluk Islam, perakuan mereka bertukar sekelip mata. Katanya, Abdullah adalah seorang manusia yang tidak berguna dan jahat.

Imej stereotaip terhadap umat Islam dalam media barat ialah golongan pengganas, menindas wanita dan sikap diktator sesetengah pemimpinnya. Apakah kesannya kepada pemikiran masyarakat jika propaganda begini berterusan?

DR. MOKHTAR: Sudah tentu kesannya amat mendalam. Ia akan kekal menjadi stereotaip imej negatif tentang Islam. Walhal, imej yang dipaparkan oleh media Barat itu adalah berdasarkan satu sudut sahaja. Segala tohmahan itu adalah tidak benar. Islam tidak menindas wanita dan tidak membenarkan umatnya menjadi pengganas.

Realitinya, ia dilakukan oleh mereka yang mendakwa Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Ini adalah antara sebab mengapa kita perlu kepada media Islam agar dapat menjelaskan keadaan sebenar.

Islam adalah agama yang cintakan perdamaian. Apakah ciri yang perlu ada dalam media Islam supaya ia disegani oleh kawan dan lawan?

DR. MOKHTAR: Sudah pasti ciri utama ialah menyiarkan apa yang benar, adil dan tidak boleh bias. Jangan bimbang dengan apa yang orang lain atau AS nak cakap. Lambat laun orang akan tahu kitalah media yang betul.

Derma organ

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
Suara Orang Muda: Bincang dari hati ke hati soal derma organ
Noraini Ahmad


KETIKA Perhimpunan Agung Umno 2006 berlangsung setahun yang lalu, tiba-tiba terdetik di hati saya untuk sama-sama tampil menderma organ di Kaunter Menderma Organ yang kebetulan dibuka oleh Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bohong kalau saya katakan tiada langsung terselit perasaan bimbang atau takut tetapi saya sudah nekad dengan niat untuk menyelamatkan nyawa orang lain bila tiba masanya nanti, Insya-Allah. Alhamdulillah dengan restu suami dan keluarga, saya tampil mendaftar untuk menderma buah pinggang.

Di benak dan fikiran saya ketika itu, mengapa tidak kita sebagai pemimpin, sebagai orang yang kerap mengajak orang ramai supaya tampil menderma organ untuk menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukannya, menunjukkan teladan, dengan sama-sama menyumbang.

Ramai yang menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan penghidap pelbagai penyakit yang hanya boleh disembuhkan menerusi pemindahan organ, tetapi rasa prihatin saja tidak memadai, sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan dan keikhlasan untuk kita mendaftar dan berikrar sebagai penderma.

Bagi saya stigma orang Melayu mengenai pemindahan organ juga perlu diubah kepada kesedaran untuk membantu golongan yang memerlukan. Tidak dinafikan masih ramai yang mengaitkannya dengan hukum hakam dan bimbang menyalahi ajaran agama, terutama bila organ itu nanti dipindahkan kepada penerima bukan Islam.

Hakikatnya, sejak Jun 1970 lagi fatwa sudah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan – harus bagi seorang Muslim mendermakan organ mereka dengan syarat manfaatnya lebih daripada mudarat dan mendapat keizinan si mati sebelum meninggal dunia.

Umat Islam tidak perlu ragu untuk menderma organ kerana amalan itu bukan saja diharuskan oleh syarak, malah dipandang mulia dan wajar dicontohi.

Umat Islam juga tidak harus bimbang organ yang didermakan sama ada diberikan kepada orang Islam atau bukan Islam kerana dalam ajaran Islam soal menyelamatkan nyawa manusia, perbezaan agama bukanlah halangan.

Ketika tahap kesedaran orang ramai untuk menderma organ sudah mula menunjukkan peningkatan, timbul pula isu cerita organ yang diikrarkan tidak dapat diderma selepas penderma meninggal dunia, berikutan bantahan keluarga. Perkara ini dibangkitkan sekali lagi oleh Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Datin Dr Lela Yasmin Mansor kelmarin.

Menurut Dr Lela kesedaran untuk mengikrarkan organ didermakan di negara ini semakin meningkat sejak 30 tahun lalu, tetapi ada penderma organ yang sudah mengikrarkan untuk menderma organ mereka selepas meninggal dunia, gagal berbuat demikian kerana halangan keluarga.

Contohnya sejak 1997 sehingga 30 Jun lalu, seramai 108,501 individu mendaftar untuk menderma organ. Bagaimanapun, hingga 31 Julai lalu, hanya 180 kes derma organ dapat disempurnakan selepas kematian penderma. Daripada jumlah berkenaan, seramai 99 penderma membabitkan kaum Cina, India (53), Melayu (lapan) dan lain-lain (15).

Kementerian Kesihatan juga mendedahkan sehingga Jun lalu, 108,000 orang berikrar untuk mendermakan organ, tetapi tahun lalu hanya 25 yang benar-benar menderma kerana kebanyakannya mendapat bantahan keluarga.

Perkara ini mungkin boleh ditangani jika penderma berbincang dari awal dengan semua ahli keluarga dan menanam keyakinan dalam diri mereka bahawa tindakan yang dibuat adalah murni demi menyelamatkan nyawa orang lain. Bincangkan dari hati ke hati dengan ahli keluarga supaya tindakan anda direstui dan tidak timbul soal keluarga membantah apabila anda meninggal dunia satu hari nanti.

Harus diingat, negara memerlukan kira-kira 1,200 buah pinggang, 450 jantung, 200 hati dan 700 kornea setiap tahun untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sememangnya kita tidak boleh memaksa orang untuk menderma organ tetapi mungkin kesedaran mampu mengubah persepsi dan pandangan umum mengenai kepentingan pendermaan organ akan membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Pada masa sama, marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kes adik Tee Hui Yee, 14, yang menerima jantung didermakan baru-baru ini selepas sekian lama bergantung kepada jantung mekanikal.

Sokongan semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan kempen menderma organ yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jabatan berkaitan terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga boleh sama-sama memainkan peranan dengan meningkatkan kesedaran terutama kepada umat Islam mengenai kepentingan pendermaan organ yang juga satu bentuk kebajikan dan insya-Allah pahalanya akan berpanjangan hingga ke akhirat.

Sesungguhnya menderma organ adalah sumbangan yang amat tinggi nilainya bagi menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama dan bangsa.

Justeru saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa Pergerakan Puteri Umno sekali lagi akan membuka kaunter untuk mereka yang mahu mendaftar sebagai penderma organ sempena Perhimpunan Agung Umno 2007 mulai 5 hingga 9 November ini. Datanglah beramai-ramai untuk mendaftar demi menyelamatkan banyak nyawa yang memerlukannya.



Datuk Noraini Ahmad ialah Ketua Puteri Umno

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

25 October 2007

Didik anak tangani penjenayah seksual

Selamat membaca..........

Didik anak tangani penjenayah seksual



MENJAGA keselamatan diri adalah perkara pertama yang perlu dididik kepada anak apabila mereka memasuki alam remaja. Ibu bapa selalu berpesan kepada anak supaya jangan bermain api dan berpesan supaya berhati-hati ketika melintasi jalan raya supaya tidak dilanggar kereta. Perumpamaan ini bertujuan mengelak anak daripada bahaya fizikal.


Bagaimana pula dengan bahaya seksual? Adakah anak tadi sudah mahir mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seksual? Apakah pesanan yang kita berikan mampu mengelakkan mereka daripada serangan itu? Apakah perkara yang harus dilakukan supaya masalah serangan seksual dapat dihentikan?


Ketika anak berada di luar rumah iaitu ketika mereka dihantar ke sekolah dengan menaiki bas, adakah mereka mempunyai perlindungan secukupnya apabila menghadapi penjenayah seksual? Atau ketika mereka ke kelas tuisyen, ke rumah kawan, ke kedai atau ke surau, adakah mereka mempunyai perlindungan yang sewajarnya. Adakah mereka tahu bagaimana menangani apabila bertemu dengan orang yang tidak dikenali?


Saya cadangkan cara menangani masalah itu:


Ibu bapa harus mengenalkan kepada anak mengenai bahagian sulit tubuhnya dan hakikat bahawa bahagian itu adalah aurat dan perlu ditutup daripada pandangan umum.


Anak perlu dimaklumkan mengenai jenis sentuhan yang dibolehkan dan sentuhan yang dilarang.


Anak perlu dididik berani membantah sentuhan yang membuatkannya tidak selesa, walaupun sentuhan itu bukan pada alat sulitnya. Sebagai contoh, dalam lif, pipi mereka dibelai seorang lelaki yang mereka tidak kenali. Ajar mereka bersikap tegas dan mengatakan: �Saya tidak suka awak buat begitu.�


WAZIIR DAN AZREEN,

Kuala Lumpur.

Keperitan rakyat negara jiran cari rezeki wajar diteladani

Selamat membaca..........

Keperitan rakyat negara jiran cari rezeki wajar diteladani



KETIKA cuti pertengahan tahun lalu, saya berpeluang mengikuti lawatan ke Indonesia melalui Program Pengantarabangsaan yang dianjurkan pihak sekolah.


Program lima hari itu membuka peluang untuk saya menyelami budaya dan gaya hidup masyarakat di negara bekas jajahan Belanda itu.


Pertama kali menjejakkan kaki di negara ini, saya tertarik dengan hiasan dalaman di balai ketibaan lapangan terbang.


Hiasan pada setiap penjuru memaparkan keindahan budaya dan kesenian yang dimiliki hasil warisan bangsa. Perkara inilah yang patut dicontohi supaya masyarakat luar tahu kita menghargai dan bangga dengan warisan yang ditinggalkan.


Perjalanan di bumi asing menimbulkan minat mendalam untuk saya menyelongkar kelebihan yang ada di sana untuk dibawa pulang sebagai ilmu yang berguna. Justeru, mata saya tercari-cari sinar dalam kesibukan kota raya Jakarta.


Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan di Cikini, saya dapati ada banyak tugu peringatan yang didirikan dalam pelbagai bentuk dan gaya.


Keunikan tugu itu mengingatkan saya mengenai sejarah kemerdekaan negara republik itu dan secara tidak langsung, terbayang betapa rakyat negara ini bangga dengan pejuang tanah air mereka.


Sepanjang lima hari berada di sana, perkara yang paling menarik minat saya ialah sikap dan perwatakan penduduknya.


Biarpun mereka bangsa serumpun, pada pemerhatian saya, ada banyak perbezaan. Di bandar besar seperti Jakarta, wujud jurang kehidupan yang besar antara penduduknya.


Daripada golongan hartawan yang berkereta mewah di jalan raya hingga insan kerdil yang tinggal di bawah jambatan, kehidupan di sini memerlukan semangat yang cukup kuat untuk terus bertahan.


Kepadatan penduduk dan jurang ekonomi yang besar mungkin menjadi faktor yang menghalang kemajuan negara ini biarpun hasil buminya melimpah ruah.


Di sebalik keadaan itu, banyak perkara yang dapat dipelajari dalam meniti ranjau kehidupan hari ini.


Pertama, kemiskinan di negara penduduk Islam paling ramai ini bukan suatu perkara yang dianggap serius.


Rakyat miskin di sana tidak mendapat bantuan seperti penduduk Malaysia.


Kesempitan hidup tidak pernah menjejaskan semangat mereka untuk terus hidup.


Justeru, dari kesempitan hidup mereka belajar berdikari, kreatif dan berani dalam kehidupan. Perkara ini jelas tergambar melalui produk dan hasil seni yang dihasilkan mereka.


Cabaran kehidupan di bandar besar mendidik mereka mengambil segala kesempatan yang ada dan tidak terlalu memilih.


Paling penting mereka mendapatkan rezeki untuk meneruskan hidup. Tidak terbayang istilah pengangguran dalam kalangan penduduknya kerana bagi mereka tidak akan ada kehidupan tanpa usaha.


Ketika menyusuri jalan di sana, tidak terhitung di fikiran betapa banyaknya pekerjaan yang dilakukan di sana.


Bermula dari peniaga di kedai hingga pengutip puntung rokok, semua memerah keringat untuk hidup masing-masing. Di antara mereka, ada yang menggunakan bakat seni yang dimiliki untuk mendapatkan sesuap nasi.


Kesempitan hidup dan kebanjiran manusia bukan alasan untuk berpeluk tubuh dan tidak berusaha memajukan diri, keluarga dan masyarakat.


Nilai ini harus dicontohi penduduk negara kita supaya kita dapat mengikis sikap suka bergantung dan takut mencuba.


SYED HAMIMIE FAKHRI SYED MOHAMAD,

Ketua Pelajar

SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur.

Islam pelopor sains angkasa

Selamat membaca..........
Oleh HASSAN AHMAD

BLAST-off atau lift-off adalah perkataan paling keramat dalam sains penerokaan angkasa. Inilah saat yang paling penting dan kritikal bagi menandakan bermulanya pelepasan sebuah kapal angkasa ke angkasa lepas.

Senario terkini ialah pelepasan Soyuz TMA-11 pada 10/10/07 pukul 9.21 malam menuju ke destinasi paling unik dan ulung di orbit yang didiami manusia iaitu Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Dan apa yang lebih penting ialah penyertaan seorang angkasawan Malaysia iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang membawa misi Malaysia dan aspirasi negara ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sama ada kapal angkasa itu milik Rusia, China, Eropah atau Amerika, keberangkatannya ke angkasa lepas bukanlah sesuatu yang mudah dan murah untuk dilaksanakan. Ia menuntut pengorbanan manusia memahami seribu satu macam ilmu sebelum boleh berada di angkasa lepas di samping pengorbanan masa dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Bagi masyarakat Islam, memiliki teknologi penerokaan angkasa lepas adalah sesuatu yang jauh panggang dari api, sekurang-kurangnya untuk beberapa dekad akan datang. Tiada negara Islam pada masa ini yang mempunyai kemampuan teknologi yang membolehkan mereka menerobos angkasa dan berbuat sesuatu untuk mengimarahkan Bumi walaupun Allah menyuruh umat Islam mendalami semua ilmu yang bermanfaat termasuklah ilmu angkasa lepas.

Namun begitu, dari segi sejarah, orang yang pertama mencetuskan idea, mencipta dan melakukan teknologi penerbangan bukan di kalangan bangsa Eropah atau Amerika. Abbas Ibn Firnas (888M), ahli fizik dan astronomi Islam, merupakan “manusia pertama membuat penerbangan percubaan secara saintifik dalam sejarah” sebagaimana disebut oleh sejarawan Barat K. Phillip Hitti.

Diterbangkan

Ia berlaku pada tahun 875M di Cordoba, Sepanyol. Percubaan selanjutnya hanya berlaku pada abad ke-20 di mana mesin penerbangan pertama di dunia mula diterbangkan oleh Wright bersaudara pada 17 Disember 1903 di Kity Hawk Amerika Syarikat. Lebih awal dari itu, mauduk naik ke langit atau angkasa lepas di kalangan umat Islam sebenarnya telah pun bermula sejak zaman Rasulullah lagi. Nabi Muhammad s.a.w sendiri adalah ‘angkasawan’ pertama yang menerobos angkasa ketika baginda melakukan Mikraj dari ‘stesen pelancarannya’ di Masjid al- Aqsa Baitulmaqdis. Baginda telah naik ke langit dunia dengan kenderaan khas (diriwayatkan bernama “Buraaq”) hingga ke Langit Ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha.

Justeru, umat Islam tidak perlu menganggap penerokaan ke angkasa adalah asing dan baru kepada mereka. Sebagai peneroka dan pelopor pertama melepasi frontier Bumi, kita perlu mengetahui, mendalami, mempersiap dan memajukan teknologi angkasa supaya ia dapat dimanfaatkan oleh manusia sejagat. Khazanah yang telah ditinggalkan oleh Ibn Firnas tidak harus dibiarkan begitu sahaja sebaliknya hendaklah diselidiki dan dikaji oleh cendekiawan Islam. Inisiatif ini mestilah dimulakan sekarang dan satu platform dan bajet khas hendaklah diasaskan bagi mencapai wawasan negara maju menjelang 2020.

Jika ditinjau daripada apa yang dipaparkan dalam 30 juzuk al-Quran, maka terlalu banyak perkataan dan ayat yang menyentuh tentang keluasan alam Allah termasuk apa yang ada di langit atau angkasa lepas. Secara tidak langsung, ini memberi erti bahawa kehidupan dan pengurusan manusia tidak terhad kepada Bumi yang didiami manusia tetapi meliputi apa yang ada di luar atmosfera Bumi. Perkataan al-Samawat di dalam majoriti ayat al-Quran sentiasa mendahului al- 'Ardh juga menunjukkan ukuran kebesaran subjek, penegasan dan keutamaan.

Justeru, usaha Malaysia menghantar angkasawan adalah satu tindakan yang terkehadapan dan selari dengan aspirasi agama yang sentiasa menuntut untuk perkembangan ilmu bagi tujuan imarah dan keamanan dunia

Muhammad Asad - Yahudi yang memeluk Islam

Selamat membaca..........

Muhammad Asad - Yahudi yang memeluk Islam

MUHAMMAD ASAD.

Susunan ZUARIDA MOHYIN
“IA adalah tentang cinta dan cinta lahir daripada banyak perkara; daripada rasa keinginan dan kesunyian diri, daripada harapan menggunung dan kelemahan, daripada kekuatan dan kekurangan diri. Itulah yang berlaku kepada saya. Islam datang kepada saya umpama mereka yang menceroboh masuk ke rumah pada waktu malam tetapi agama Islam berbeza, ia masuk ke dalam rumah dan menetap secara baik,” itulah perumpamaan Weiss bagi menggambarkan kehadiran Islam dalam dirinya.

Muhammad Asad dilahirkan pada Julai 1900 di bandar Lvov (Jerman Lemberg) yang kini dikenali sebagai Poland. Beliau yang berketurunan daripada ketua agama bangsa Yahudi, yang terputus apabila bapanya menjadi seorang peguam yang berhak untuk berucap dan berdebat di Mahkamah Tinggi.

Weiss pada zaman kecilnya menerima pendidikan keagamaan yang sempurna sekali gus melayakkannya meneruskan tradisi keturunan keluarga. Beliau amat fasih dengan bahasa Ibrani semenjak usia muda serta berpengetahuan dengan Aramaic. Beliau menguasai kitab asli Old Testament serta teks komentari daripada kitab Talmud iaitu Mishna dan Gemara. Malah beliau juga mampu menyelidiki selok-belok tafsiran kritis kitab Bible, Targum.

Keluarga Weiss berpindah ke Vienna, pada usianya 14 tahun. Ketika di sanalah, beliau melarikan diri dari sekolah dan cubaannya untuk menyertai tentera Austrian dalam Perang Dunia Pertama menemui kegagalan. Selepas tamat perang, beliau menyambung pelajaran dalam bidang falsafah dan sejarah kesenian di University of Vienna. Walau bagaimanapun, bidang pilihannya itu tidak memenuhi kepuasan dan dia melepaskannya.

Vienna pada masa itu merupakan sebuah bandar di Eropah yang menjadi pusat kecemerlangan pelbagai bidang ilmu. Pada zaman inilah suara distingtif Sigmund Freud, Alfred Adler dan Ludwig Wittgenstein bergema di seluruh dunia. Berada pada situasi itu, Weiss tidak terlepas peluang mengikuti pelbagai perbincangan menarik, namun dalam keterujaannya itu dengan keaslian ilmu-ilmu mereka, kesimpulan yang dibawa mereka masih tidak memenuhi kepuasannya.

Lantaran itu, Weiss mengambil keputusan meninggalkan Vienna pada 1920 dan mengembara ke tengah Eropah dan sanggup melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, sebelum sampai ke Berlin. Di Berlin kerjayanya sebagai wartawan bermula. Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan Berlin dan menuju ke Timur Tengah dengan hasrat menziarahi pakciknya di Jerusalem.

Di sinilah titik tolak pengenalannya terhadap agama Islam. Dari situlah beliau mengakui agama Islam membawa kesan ketenangan jiwa dan kekuatan dalaman.

Pada usia 22 tahun, kerjaya Weiss berada di kemuncak apabila beliau dilantik menjadi koresponden sebuah akhbar terkemuka dan berprestij di Jerman dan Eropah iaitu Frankfurter Zeitung. Lumrah tugas seorang wartawan, Weiss banyak bergerak, bercampur gaul dengan rakyat biasa, berdiskusi dengan para intelektual Muslim dan bertemu dengan ketua negara seperti Palestin, Mesir, Transjordan, Syria, Iraq, Iran dan Afghanistan.

Menerusi pengembaraan dan pembacaannya, minat Weiss kepada agama Islam semakin mendalam dan bertambah kuat terutamanya tentang kitab-Nya dan sejarah Islam. Malah, sifat ingin tahu menjadi dorongan untuk beliau terus mengkaji. Pun begitu, beliau masih belum boleh menerima bagaimana yang dikatakan Allah boleh menyampaikan kata-kata-Nya dan memandu manusia menerusi wahyu.

Pengislaman

Kembali ke Berlin beberapa tahun kemudian, Weiss melalui satu pengalaman yang mengubah dirinya secara total menjadi Muhammad Asad. Cerita Weiss, “Suatu hari pada September 1926, Saya dan Elsa berada di dalam kereta api bawah tanah (subway) di Berlin. Kami berada di dalam gerabak kelas pertama. Pandangan saya terpaku kepada seorang lelaki yang berpakaian segak, lagak seorang ahli perniagaan dan orang yang berada. Sayangnya, melihat raut air mukanya, jelas kelihatan yang ada garis kerisauan, keresahan dan pandangan ‘kosong’. Tidak mahu dianggap biadab, saya memalingkan muka ke arah wanita di sebelahnya yang juga tidak kurang hebat. Riak wajahnya serupa dengan lelaki tadi. Saya cuba pula mengalihkan pandangan saya kepada penumpang-penumpang lain, mereka seperti menyembunyikan kesengsaraan, biarpun di sebalik penampilan mewah.

“Saya beritahu Elsa. Dia agak terkejut dan mengakui mempunyai perasaan yang sama. Lalu berkata: “Betullah. Mereka semua seolah-olah sedang mengalami seksaan neraka... Adakah mereka tahu apa yang sedang berlaku kepada mereka?” tanya Elsa.

“Apabila kami sampai di rumah, saya terpandang kitab al-Quran yang berada di atas meja. Sedang saya hendak mengalihkan kitab itu tiba-tiba, mata saya terlihat sepotong ayat yang benar-benar mengembalikan semula insiden yang berlaku sebentar tadi.”

Weiss akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Berlin dengan memilih nama Muhammad sempena nama junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., manakala Asad pula membawa maksud singa. Beliau juga mengambil beberapa langkah muktamad iaitu; terpaksa menerima hakikat terputusnya hubungan dengan bapanya selepas pengislaman, berkahwin dengan Elsa yang turut memeluk agama Islam, tinggalkan kerjaya kewartawanan dan menunaikan haji.

“Islam umpama sebuah hasil kerja seni bina yang sempurna. Setiap ajaran yang terkandung di dalamnya hadir secara harmoni dalam melengkapkan dan menyokong di antara satu sama lain. Tiada ada yang berlebihan dan berkurangan dan hasilnya adalah sebuah struktur yang benar-benar seimbang dan memberi ketenangan,” kata Asad yang diuji Allah dengan kematian Elsa pada hari ke sembilan mereka di Tanah Suci Mekah.

Asad mengambil keputusan tinggal lebih lama di Arab Saudi dan peluang bertemu dengan Putera Faisal di perpustakaan Masjid Agong serta menemui ayahanda, Raja Abd. al-Aziz Al Sa’ud, pengasas Arab Saudi moden membawa impak positif.

Enam tahun berada di Mekah dan Madinah, Asad mempelajari bahasa Arab, al-Quran dan hadis serta sejarah Islam. Pengajiannya menyakinkan Asad bahawa Islam adalah fenomena spiritual dan sosial meskipun berlaku kelemahan dan keingkaran umat Islamnya.

Asad kembali ke New York pada 1955 dan akhirnya menetap terus di Sepanyol. Beliau tidak berhenti-henti menulis. Pada usia 80 tahun, selepas 17 tahun berjuang, Asad berjaya menyelesaikan kerja-kerja sebagai penterjemah dan melakukan tafsiran kritis al-Quran ke dalam bahasa Inggeris sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari 1992.

Menarik tentang Muhammad Asad

- Memeluk Islam pada 1926 di Berlin.

- Seorang wartawan, pengembara, pengkritik sosial, linguistik, pemikir, reformis, diplomat, ahli teori politik, penterjemah, cendekiawan yang komited dengan kerja-kerja terhadap Allah dan manusia dan mengutamakan kehidupan seorang yang soleh.

- Mula menulis autobiografinya berjudul, Road To Mecca pada 1952, selepas bersara daripada jawatan wakil penuh kerajaan Pakistan di PBB. Buku ini diterbitkan pada 1954.

- Antara 1935 hingga 1938, Asad menerbitkan lima daripada 40 projek di bawah tajuk, Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam.

- Beliau juga menulis buku, The Message of The Quran, sebuah terjemahan dan komentari tentang al-Quran dari sudut pengetahuannya tentang kaliskal Arab dan autoritatif klasikal Arab komentari. Buku ini diperakui sebagai satu yang terbaik terjemahan al-Quran ke bahasa Inggeris sungguhpun ia menerima kritikan.

- Asad juga melakukan terjemahan dan komentari pada Tafsir Sahih Bukhari. Selain itu, beliau juga menulis buku, This Law of Ours dan Islam at the Crossroads.

- Penekanan Asad dan beberapa reformis berkaitan ijtihad adalah hasil yang paling bermakna dalam hayatnya. Ini kerana, beberapa negara Islam dan organisasi antarabangsa telah mewujudkan sebuah badan perundangan untuk mempraktikkan pemikiran yang bebas tentang pelbagai isu seperti pemindahan organ, kejuruteraan genetik, insurans dan faedah percuma perbankan.

- Sewaktu mengembara ke India, Asad bertemu dan bekerjasama dengan Muhamad Iqbal, seorang pensyair-ahli falsafah dan yang mengusulkan idea negara Islam merdeka di India yang kemudiannya menjadi Pakistan.

23 October 2007

Ayat Allah untuk mengelak kecelakaan

Selamat membaca..........

Ayat Allah untuk mengelak kecelakaan

Oleh: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

Menjelang mana-mana hari perayaan utama di Malaysia, pihak kerajaan akan bertungkus lumus untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang bakal berlaku kerana sebarang kemalangan maut sudah pasti akan merugikan keluarga apatah lagi negara.

Mungkin yang mati itu merupakan permata yang amat berharga untuk membawa kemajuan negara ke satu tahap yang tertentu.

Untuk itu, oleh kerana majoriti rakyat Malaysia yang akan pulang berhari raya nanti terdiri daripada umat Islam, adalah dicadangkan agar pihak kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan semua syarikat lebuh raya menggunakan ayat-ayat al-Quran yang terpilih sebagai cara untuk mengingatkan para pemandu tentang kepentingan menjaga keselamatan di jalan raya.

Umat Islam yang mempercayai keunggulan al-Quran sudah pasti akan terkesan dengan mesej yang cuba Allah sampaikan kepada mereka di sepanjang perjalanan mereka semasa balik kampung.

Ayat-ayat tersebut boleh ditulis dengan besar, jelas bersama-sama dengan terjemahannya sekali, lalu diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama seluruh negara. Kalau perlu ayat-ayat tersebut diletakkan pada tempat-tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi di seluruh Malaysia.

Selain itu, pihak lebuh raya juga boleh menyebarkan risalah-risalah kecil yang mempunyai pesanan Allah itu kepada para pemandu yang melepasi plaza-plaza tol utama.

Di antara ayat-ayat yang boleh dicadangkan ialah;

1- Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)

2- Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali ‘Imran:185, al-Anbiya’:35, al-`Ankabut:57)

3-Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? (al-Nisa’: 78)

4- Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’: 29)

5-Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (al-An’am:151)

6- Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’: 33)

7-Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 153)

8- Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. (Al-Ra’d: 24)

Dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai perantara peringatan kepada para pemandu yang pulang berhari raya, insya-Allah sedikit sebanyak kadar kemalangan dapat dikurangkan.

Ini kerana keberkatan yang terkandung pada al-Quran itu sendiri yang sememangnya berfungsi untuk membimbing manusia di dalam semua aspek kehidupan mereka.

Tambahan pula kaedah ini juga akan menjadi serampang dua sebagai peringatan untuk umat Islam juga alat dakwah kepada pengguna jalan raya yang bukan beragama Islam.

- ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu

Selamat membaca..........

Tok Pulau Manis Syeikh Abdul Malik Terengganu

TOKOH yang acap kali memperkenalkan pelbagai aspek ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik Terengganu yang digelar dengan Tok Pulau Manis ini ialah Shafie Abu Bakar.

Namun, tulisan ini penulis mulai dari penemuan sebuah salasilah yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan adik-beradik Syeikh Abdul Malik Terengganu.

Tertulis pada bahagian atas salasilah, “Bismillahir Rahmanir Rahim Syarif Muhammad, satu raja yang memerintah akan negeri Baghdad kerana mengambil ... (tak dapat dibaca) lalu pergi ke Mekah. Kemudian diturut orang akan dia. Maka lari ke Terengganu, lalu duduk di Ulu Pauh. Dan wafatlah ia di Pauh. Maka meninggalkan anak dua orang, satu Abdullah dan kedua Abdul Malik. Maka Abdul Malik itulah Datuk Pulau Manis yang keramat itu”.

Daripada salasilah di atas, ternyata terdapat kelainan dengan tulisan-tulisan sebelum ini, iaitu semua penulis termasuk penulis sendiri, menyebut bahawa nama ayah Syeikh Abdul Malik Terengganu ialah Abdullah. Ada pun dalam salasilah di atas, ayahnya ditulis Syarif Muhammad yang berasal dari Baghdad.

Nama Abdullah itu adalah adik-beradik Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis). Adik-beradiknya yang seorang lagi bernama Abdul Qahhar. Tetapi sebelum ini ada salah seorang keturunan ulama ini meriwayatkan kepada penulis bahawa datuk dan nenek kepada Syeikh Abdul Malik ialah Syarif Abdul Qahhar. Anak lelaki Syarif Abdul Qahhar itu bernama Abdullah, iaitulah ayah bagi Syeikh Abdul Malik.

Salasilah versi yang lain memberikan maklumat bahawa Syeikh Abdul Malik bin Abdullah bin Abdul Qahhar bin Saiyid Muhammad. Sangat sukar untuk mentahqiqkan riwayat yang bersimpang-siur seperti ini, tulisan-tulisan yang terdahulu masih belum dapat dimansuhkan sedang salasilah yang bertulis, yang baru diperoleh juga sukar ditolak.

Berdasarkan salasilah yang baru diperoleh, bahawa dari tiga orang adik beradik ulama yang berasal dari Baghdad itu, hanya Abdul Qahhar saja yang tidak tercatat meninggalkan anak dan zuriat. Abdullah iaitu adik beradik yang kedua, memperoleh seorang anak bernama Sulaih.

Sulaih menurunkan zuriat hingga kepada pemilik salasilah, iaitu Jamaluddin bin Yusuf Terengganu. Dicatat pada sudut kanan, “Pada tiap-tiap satu daripada keturunan Abdullah ini banyak lagi pecahan saudara dan anak-anaknya”.

Catatan dalam salasilah bahawa yang ramai meninggalkan zuriat ialah Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis), yang berpunca dari tiga orang anaknya.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Abdul Malik ialah Shafie Abu Bakar, oleh itu dapat dirujuk tulisan-tulisannya. Dalam Pesaka II dengan judul Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah dan Karangan-karangannya.

Dalam Pesaka IV, dengan judul Hikam Melayu (HM) di Dalam Perkembangan Tasawuf Kedudukan dan Penetapan Pengarangnya. Juga tulisan Shafie bin Abu Bakar dimuat dalam buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan, dengan judul Tok Pulau Manis Dan Pengasasan Pendidikan Islam.

Penulis sendiri telah memperkenalkan ulama tersebut dalam Katalog Pameran Manuskrip Melayu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia dalam rangka Sempena Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu kedua 15-20 Ogos 1989. Tulisan penulis pula dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990.

Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.

Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

PENDIDIKAN

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.

Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

KARYA-KARYA

Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.

Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M.

Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).

Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, “Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi ...”. Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.

Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).

Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan, “Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini”.

Di bawahnya lagi dijelaskan, “Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah”. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.

Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, “Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni ‘Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.

Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita ‘Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.

KETURUNAN

Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Ya’qub.

Huraian ringkas salasilah sebagai yang berikut: Daud (No. 1) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak; Sulaiman, Fatimah, Usman, Badruddin, Husein, Umar, Abu Bakar, Idris dan Khatib Muhammad Shalih

Salasilah terputus kecuali Khatib Muhammad Shalih dikatakan memperoleh anak bernama Ali.

Husein (No. 2) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya dua orang, ialah Yusuf dan Aisyah. Salasilah juga terputus.

Hasan (No. 3) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh anak hanya seorang, ialah Zainab. Salasilah juga terputus.

Muhammad (No. 4) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh dua anak orang, ialah Wan Abdul Qadir dan Wan Semik. Salasilah juga terputus.

Musa (No. 5) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, salasilah juga terputus.

Isa (No. 6) bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Aminah, Aisyah, Habibah, Salamah dan Haji Abdul Malik.

Aminah (No. 1) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, memperoleh lima anak iaitu; Muhammad, Imam, Usman, Aisyah dan Asiah.

Salasilah terputus dan nama suami Aminah tidak tercatat dalam salasilah.

Aisyah (No. 2) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik juga memperoleh lima anak iaitu; Syarifah, Haji Ahmad, Shafiyah, Sa’diyah dan Abdur Rahman.

Salasilah juga terputus dan nama suami Aisyah juga tidak tercatat dalam salasilah.

Habibah (No. 3) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik dan Salamah (No. 4) binti Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik, keturunannya tidak tercatat dalam salasilah. Yang ramai anak dan ramai keturunan yang tercatat dalam salasilah ialah Haji Abdul Malik (No. 5) bin Isa bin Badruddin bin Syeikh Abdul Malik. Sebelum menyebut keturunan beliau, perlu dicatatkan di sini bahawa Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu ini adalah salah seorang murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Jadi Haji Abdul Malik bin Isa cucu Tok Ku Pulau Manis Terengganu tersebut adalah termasuk ulama besar Terengganu pada zamannya. Haji Abdul Malik (No. 5) memperoleh enam anak; Haji Muhammad al-Qadhi, Encik Ahmad, Haji Abdur Rahim, Abdur Rahman, Abdullah dan Maryam.

Haji Muhammad al-Qadhi (No. 1) memperoleh empat anak iaitu; Kaltsum, Abdullah, Abdul Malik dan Musa

Encik Ahmad (No. 2) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 2 orang, ialah: Muhammad dan Haji Abdullah.

Haji Abdur Rahim (No. 3) bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya 4 orang, ialah; Muhammad Encik Da, Ahmad Encik Hitam, Halimah Encik Wok dan Khadijah Encik Nik

Muhammad Encik Da (No. 1) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik memperoleh anak hanya seorang, ialah: Abdullah Encik Awang. Abdullah Encik Awang memperoleh anak 3 orang, ialah: Isa Encik Long, Khadijah Encik Wok dan Shafiyah Encik Nik. Salasilah terputus hingga sampai di sini.

Ahmad Encik Hitam (No. 2) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin 'lsa bin Syeikh Abdul Malik tidak tercatat nama anak dan keturunannya, yang tercatat hanya "Kubur keduanya (maksudnya Muhammad Encik Da dan Ahmad Encik Hitam) di maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir".

Selanjutnya Halimah Encik Wok (No. 3) bin Haji Abdur Rahim bin Haji Abdul Malik bin lsa bin Syeikh Abdul Malik juga tidak tercatat nama anak dan keturunannya, sedang adiknya Khadijah Encik Nik (No. 4) anak-anaknya ialah: Ismail Encik Su, Maimunah Encik Wok, Aisyah Encik Tih dan Satidah Encik Hitam.

Selain itu, penulis masih meragui bahawa ditarik garis ke bawah sesudah Khadijah Encik Nik juga disebut nama Tuan Syeikh Abdul Qadir (maksudnya Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas). Mengenai ini tidak jelas, kerana menurut sejarah yang terkenal, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, ulama besar yang sangat terkenal itu adalah anak Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani. Mungkin saja Haji Abdur Rahim, ayah Khadijah Encik Nik adalah betul datuk/nenek Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Bukit Bayas itu dari pihak sebelah ibunya, dan secara kebetulan serupa nama dengan ayah beliau iaitu Syeikh Abdur Rahim yang berasal dari Patani itu. Ini dapat diketahui dengan jelas kerana Haji Abdur Rahim (ayah Khadijah) nama ayahnya ialah Haji Abdul Malik bin Isa bin Syeikh Abdul Malik Terengganu, sedang Syeikh Abdur Rahim al-Fathani (ayah Syeikh Abdul Qadir) nama ayahnya ialah Wan Deraman bin Wan Abu Bakar bin Wan Ismail bin Faqih Ali.

21 October 2007

Kenaikan harga barang mesti dikawal

Selamat membaca..........

Berita Harian Online
Di Luar Lingkaran: Kenaikan harga barang mesti dikawal
Bersama Johan Jaaffar


SEEKOR ayam berharga RM17. Paru dan limpa lembu tempatan RM20 sekilogram. Sekilogram santan RM6. Sarung ketupat RM7 bagi 50 biji. Oren jenama Long Chan RM1.30 sebotol.


Kenaikan harga barang nampaknya di luar kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada hari raya kali ini. Di mana-mana terdengar rungutan yang sama � harga barang melambung. Bukan saja harga ayam naik, malah di sesetengah tempat ayam tidak dijual. Prinsipnya senang, orang ramai perlukan ayam. Walaupun harganya melambung mereka harus mencari ayam. Mereka tidak tahu di mana salahnya. Mungkin harga �ex-farm� (dari ladang) tidak dikawal, mungkin juga pemborong atau pembekal menaikkan harga atau mungkin juga penjual mengaut keuntungan lebih. Apabila sesuatu barang diperlukan, pembeli terpaksa membeli walaupun harganya mahal.


Dalam kes ayam, walaupun kementerian berkenaan memberi jaminan ayam mencukupi dan harga ayam terkawal, hal yang sebaliknya berlaku.


Kementerian berkaitan melancarkan kempen pengguna bijak. Kempen yang sebenarnya amat baik bagi mengajar pengguna memaksimumkan nilai ringgit mereka. Pengguna boleh berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai pilihan. Pada musim perayaan seperti hari raya, mereka tidak ada pilihan. Malah pengguna tidak mempunyai pilihan untuk tidak membeli barangan itu.


Kenaikan harga barang pada hari raya kali ini amat dirasakan. Rungutan pengguna banyak kedengaran sama ada di akhbar atau menerusi radio dan televisyen. Semakin hebat kempen memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang, semakin terasa kenaikannya pada pengguna. Kita boleh menyalahkan peruncit kerana menaikkan harga barang atau mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak patuh. Peraturan dan undang-undang tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. Begitu juga publisiti penguat kuasa memeriksa tanda harga di pasar. Lagi pula banyak barangan itu adalah barang kawalan yang harganya tidak boleh dinaikkan sesuka hati. Jadi di manakah silapnya?


Teori mudah ekonomi membabitkan permintaan dan bekalan. Selagi ada keperluan selagi itulah ada permintaan dan selagi itulah perlunya bekalan. Barang yang kurang dengan sendirinya mengundang lebih banyak permintaan. Secara mudah, peniaga boleh menangguk di air keruh. Pegawai penguat kuasa tidak boleh di tempatkan di ribuan kampung ketika hari raya. Sekiranya peniaga mahu menaikkan harga barang, tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Ini isu moral dan tanggungjawab peniaga. Aspek ini selalu dipandang ringan. Malah bagi sesetengah peniaga, alasan mereka ialah apa salahnya membuat untung lebih setahun sekali?


Kadangkala kita hanya menumpukan perhatian pada peniaga yang sebenarnya berada pada rantaian terakhir sistem pengeluaran, pengangkutan, pengedaran dan peruncitan. Merekalah yang selalu dipersalahkan. Apabila krisis gula berlaku, tumpuan kita hanya pada peruncit dan pasar raya. Kita terlupa sistem hampir monopoli bekalan gula dan pergantungan kita pada kaedah pengangkutan yang kompleks. Gula hilang dari pasaran untuk beberapa lama dan pengguna menderita. Krisis berakhir, tetapi punca sebenar masih belum diselesaikan. Krisis itu pasti akan berulang.


Memang betul hari raya datang setahun sekali. Umat Islam memperuntukkan sejumlah wang untuk perayaan ini. Sama ada duit simpanan, bonus atau gaji, persiapan hari raya memerlukan belanja yang banyak. Sedikit sebanyak keperluan menyediakan hidangan pagi raya mesti disediakan.


Banyak pihak yang mengatakan orang Melayu boros berbelanja menjelang hari raya. Malah berlaku banyak pembaziran. Hujah yang sama boleh dikaitkan dengan amalan membeli kenderaan misalnya. Mengapa membazirkan duit membayar ratusan ringgit setiap bulan untuk tujuan sewa beli? Hakikatnya kereta bukan bahan mewah, tetapi keperluan di kota besar negara ini, sebahagian puncanya kerana sistem pengangkutan awam yang buruk.


Sama juga halnya dengan orang Melayu yang hidup berkeluarga, bersanak saudara dan bermasyarakat. Hari raya adalah waktu kunjung mengunjungi dan ziarah menziarahi. Malah bagi jutaan penghuni kota, masa untuk kembali ke tempat asal.


Memang terdengar suara menanyakan mengapa perlu �balik kampung.� Ada yang menganggap budaya ini harus ditinggalkan kerana tidak relevan lagi dalam dunia serba maju dan canggih ini. Budaya balik kampung dianggap kuno dan memancarkan nilai lama yang sepatutnya dikesampingkan. Malah budaya itu mencerminkan pergantungan orang Melayu pada bagej sejarah dan amalan lampau. Orang Melayu Baru harus bersedia meninggalkan amalan dan adat resam yang tidak lagi cocok dengan keperluan masa kini.


Balik kampung sepatutnya digalakkan. Inilah cara hidup Malaysia yang sebenar. Kembali ke kampung menjadi ritual bagi setiap perayaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Oleh kerana lebih 80 peratus rakyat negara ini masih mempunyai kaitan dengan kampung asal, maka budaya ini sepatutnya digalakkan. Hubungan keluarga, adat susila, budi bahasa dan kepatuhan bersama menjadi asas keharmonian, kesejahteraan dan hidup bermasyarakat.


Dalam keadaan sedemikianlah, harga barangan di luar bandar menjadi tidak terkawal. Mungkin kerana jauh dari penguat kuasa, maka peniaga mengambil kesempatan membuat keuntungan melampau. Mungkin terlalu banyak perhatian diberikan pada harga di pasar utama di bandar besar, maka penguat kuasa mengabaikan harga barangan di bandar kecil dan di desa. Atau mungkin juga oleh kerana tidak ada publisiti media, maka pihak penguat kuasa kurang berminat menjalankan operasi di luar kota.


Semua kempen, tindakan, gerakan dan penguatkuasaan nampaknya dicorakkan oleh keperluan publisiti. Malah menjadi budaya negara ini � dari operasi menyaman peniaga kerana tidak mempamerkan harga barang, rampasan rokok keretek, penangkapan pendatang tanpa izin hinggalah tangkapan kes khalwat � dicorakkan oleh liputan media. Malah gerakan selalunya tidak berjalan selagi pihak media tidak mengiringi mereka.


Mentaliti sebeginilah yang seharusnya diperbetulkan. Gerakan harus berterusan. Kempen yang lebih berkesan harus dijalankan walaupun tanpa liputan media. Dan biarlah kempen itu munasabah dan bersesuaian. Mengajak pengguna bijak berbelanja tidak akan banyak gunanya sekiranya pengguna tidak banyak pilihan. Membenarkan pasar raya besar berkelas dunia mercup di merata tempat harus juga mengambil kira nasib peniaga kecil yang terjejas kerana mereka tidak berupaya bersaing dengan raksasa tadi.


Kementerian berkenaan juga harus realistik dalam memberi jaminan. Harga barang akan naik akibat kos minyak dan bahan mentah yang lain. Pengguna mesti disediakan minda mereka dengan kemungkinan kenaikan harga barang. Menafikan kenyataan sebenar akan hanya membingungkan pengguna. Kerajaan berusaha keras mengawal inflasi, tetapi inflasi tidak dapat dielakkan dalam keadaan ekonomi yang rancak dan berkembang. Kenaikan harga barang juga tidak dapat dielakkan dalam keadaan rakyat semakin mampu.


Kenaikan harga barang sebenarnya tidak ada kesan yang banyak pada mereka yang kaya dan mampu. Jumlah mereka ramai dan akibat dari pertumbuhan pesat ekonomi dan dasar yang betul, lahir golongan yang tidak akan bertanya walaupun seekor ayam harganya RM25 atau sekilogram santan RM15.


Apa yang perlu difikirkan ialah rakyat berpendapatan rendah yang berasa keperitan akibat kenaikan harga barang walaupun kecil. Jumlah mereka ramai. Dispariti pendapatan di antara golongan berada dengan yang tidak semakin menjarak. Malah, dispariti pendapatan di antara mereka yang tinggal di kota dan desa juga semakin melebar. Dalam kes sambutan hari raya, apabila harga barang kelihatan seperti di luar kawalan, golongan miskin dan yang berpendapatan rendah hanya mampu mengeluh.


Keluhan mereka harus didengar oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

Pendatang Asing: Apa dasar kita?

Selamat membaca..........

Apa dasar kita?

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Apa sudah jadi dengan dasar pengambil pekerja asing ke negara ini? Pertanyaan ini adalah inti pati daripada keresahan dan kebimbangan rakyat terhadap kemasukan pekerja asing yang mencatatkan angka 2.5 juta orang. Dalam negara yang populasi 26 juta orang, jumlah 2.5 juta pekerja asing adalah isu yang cukup serius.

Satu pertanyaan lagi, adakah negara ini menghadapi krisis guna tenaga yang kritikal hingga terpaksa mengambil 2.5 juta pekerja asing di pelbagai sektor? Belum ada bukti atau dibuktikan keperluan yang begitu kritikal hingga 2.5 juta pekerja asing berada di sini.

Secara mudah ini membuktikan sebanyak 2.5 juta peluang pekerjaan telah diisi oleh pekerja asing. Jumlah ini bukan pendatang tanpa izin tetapi masuk melalui saluran yang sah. Ini menggambarkan seolah-olah negara kekurangan 2.5 juta tenaga kerja. Tetapi benarkah negara kekurangan tenaga kerja? Hujahnya kadar pengangguran berada pada tahap 3.3 peratus daripada 11.8 juta tenaga kerja.

Kemasukan pekerja asing di sektor pembinaan dan perladangan bermula kira-kira dua dekad lalu. Rasional pengambilan pekerja asing waktu itu ialah mengisi keperluan mendadak apabila sektor pembinaan yang tumbuh dengan pantas. Tetapi kini kebanjiran pekerja asing menjangkau sektor-sektor yang sepatutnya diisi oleh orang tempatan. Misalnya di restoran, stesen minyak, pusat membeli-belah, agensi kawalan keselamatan selain pembantu rumah.

Barangkali kita boleh toleran pekerja asing diperlukan di sektor tertentu seperti pembinaan dan perladangan. Tetapi yang menyebabkan jumlah menjadi 2.5 juta atau mungkin lebih apabila pihak majikan di sektor lain sengaja mengambil pekerja asing. Salah satu sebabnya untuk mengaut keuntungan berlipat ganda apabila pekerja asing dibayar upah yang murah berbanding orang tempatan.

“Bagi saya mereka yang bersikap mengejar untung tanpa mengagihkan hasil kepesatan ekonomi kepada orang tempatan adalah tidak patriotik,” demikian tegas Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff.

Beliau melihat kemasukan pekerja asing hanya menyelesaikan masalah tenaga kerja tetapi memberikan implikasi dari segi politik dan keselamatan negara. Hakikatnya dasar kemasukan pekerja asing tidak boleh terlalu liberal seperti yang berlaku sekarang ini.

Kerana itu tidak hairanlah kalau dasar pengambilan pekerja asing kelihatan terlalu longgar. Malah lebih membimbangkan apabila kemasukan pekerja asing yang melampau tidak dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan politik dan keselamatan negara. Sosiobudaya negara sumber banyak mempengaruhi pekerja asing apabila berada di luar negara. Maka kita perlu melihat implikasi daripada kemasukan yang tidak dikawal ini sebagai menggugat kestabilan rakyat negara ini.

Implikasi politik daripada kebanjiran pekerja asing ternyata apabila tercetus isu anggota polis kita memukul jurulatih tae kwan do Indonesia tidak lama dulu. Di Indonesia, rakyatnya menyalakan sentimen politik apabila menuduh Malaysia membangun kerana pekerja Indonesia. Begitu juga dengan isu lagu Rasa Sayang, sekali lagi pekerja asing Indonesia menjadi modal ekstremis politik di Indonesia memperkecilkan Malaysia. Negara sumber menganggap tanpa pekerja mereka, Malaysia tidak mampu membina Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dakwaan ini berbaur sentimen politik yang tidak sihat bagi kedua-dua negara.

“Daripada pemerhatian saya, apabila jumlah pekerja asing semakin besar, mereka dipergunakan untuk demonstrasi jalanan di negara ini. Kerana itu tidak hairanlah kalau masyarakat tempatan tertekan dengan pekerja asing ini,’’ tegas Dr. Mohamad Agus lagi.

Mengikut statistik, jumlah pencari kerja pada enam bulan pertama tahun ini ialah 93,314 orang. Sementara sektor perkhidmatan mencatatkan peluang 51.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga pada tempoh yang sama.

Kemasukan pekerja asing secara tidak langsung telah menyekat penglibatan orang-orang Melayu dalam sektor pekerjaan. Ini kerana hampir semua sektor yang diterokai oleh pekerja asing adalah yang biasanya dilakukan oleh pekerja Melayu tempatan. Ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran kalangan orang Melayu khususnya wanita apabila sektor perkhidmatan diisi oleh pekerja asing.

Pihak yang diberi tanggungjawab melaksanakan dasar pengambilan pekerja asing perlu melihat implikasi yang menjurus kepada sosiopolitik dan keselamatan melampaui melayan kerenah majikan yang pelahap.

Kita sebenarnya sangat sangsi dengan alasan majikan bahawa orang tempatan tidak berminat bekerja di sektor-sektor yang sekarang didominasi oleh pekerja asing. Barangkali orang tempatan tidak mahu bekerja kerana upahnya tidak munasabah. Maka dasar kita membuka kepada pekerja asing bukanlah satu langkah yang bertanggungjawab khususnya kepada orang tempatan.

Kalau melihat kembali matlamat membawa pekerja asing ialah kerana orang tempatan tidak mencukupi untuk mengisi keperluan guna tenaga. Matlamat kita bukan kerana untuk menjaga majikan supaya membayar upah murah dan mengaut keuntungan yang besar. Tetapi sekarang sudah terbalik, majikan menggunakan pekerja asing untuk kaut untung tanpa memberi peluang kepada orang tempatan.

Majikan bersikap demikian kerana dasar pengambilan pekerja asing kita tidak berfungsi dengan betul. Ia membuka peluang untuk majikan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kepentingan peribadi, bukan negara. Maka sikap majikan yang tidak patriotik ini sepatutnya dikesan oleh pihak yang bertanggungjawab atas dasar tersebut.

Apalah ertinya kerancakan ekonomi negara ini yang dianggar menyediakan pertambahan 2.1 peratus guna tenaga kalau tidak dinikmati oleh orang tempatan? Pertambahan 2.1 peratus atau 2.32 juta peluang pekerjaan tentunya akan diisi oleh pekerja asing yang mencatatkan kemasukan 1,600 orang sehari. Tanyalah majikan yang tamak ini, kepada siapakah mereka agihkan kemakmuran negara hasil kestabilan politik negara ini?

Maka sudah sampai masanya untuk kita mengejutkan “perlaksana” dasar pengambilan pekerja asing yang lena sekarang ini. Dasar boleh diubah mengikut kesesuaian masa dan ternyata liberalisasi melampau dalam konteks kemasukan pekerja asing perlu diperbetulkan segera.

Malah dasar itu juga perlu ada pelan jangka pendek dan jangka panjang yang matlamatnya sifar pekerja asing. Tetapi malangnya jumlah pekerja asing semakin meningkat dalam keadaan kadar pengangguran orang tempatan juga meningkat. Tentu ada yang tidak kena dengan dasar kemasukan pekerja asing yang dilaksanakan selama ini. Baik pulih segera, jangan tunggu lagi.

Fakta

* Pekerja asing di negara ini dianggarkan 2.5 juta (populasi Malaysia 26 juta orang).

* Tahun ini guna tenaga dianggarkan meningkat 2.1 peratus atau 2.32 juta peluang pekerjaan.

* Kadar pengangguran rakyat tempatan dijangka kekal 3.3 peratus daripada jumlah 11.8 juta tenaga kerja.

* Jumlah pencari kerja meningkat 32 peratus menjadikan 93,314 orang pada enam bulan pertama tahun ini.

* Sehingga Mei lalu ada 1.91 juta pekerja asing atau 16.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga tempatan

Mama, Along terseksa

Selamat membaca..........
myMetro
Mama, Along terseksa
Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN


Bagi dua ibu, Sharifah Marina Syed Hamzah dan Karimah Mamat, Aidilfitri disambut dengan penuh duka apabila anak gadis mereka, Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, dan Raja Munira Raja Iskandar Shah, 22, kedua-duanya mesra dengan panggilan Along, kini meringkuk dalam tahanan di luar negara kerana dituduh cuba menyeludup dadah. Ikut rintihan mereka menyambut lebaran kali ini.

Anak minta bantuan ibu

KUALA LUMPUR: “Mama, Along terseksa sangat... Along tak tahan (ada di sini). Mama, tolonglah Along. Beritahu Duta (Malaysia di Caracas, Venezuela) datanglah lawat Along di sini. Suruhlah peguam datang bantu Along.”

Itu rintihan Wan Lidiawati Abdul Majid, 20, rakyat Malaysia yang didakwa menyeludup dadah dan ditahan pihak berkuasa Trinidad and Tobago pada 14 Jun lalu ketika menghubungi ibunya, Sharifah Marina Syed Hamzah, 38.

Menurut Sharifah Marina, Wan Lidiawati yang dipanggilnya Along membuat panggilan telefon itu menjelang Ramadan lalu dan mereka hanya sempat berbual beberapa minit dan dalam keadaan tergesa-gesa.

Katanya, Wan Lidiawati yang kini ditahan di Penjara Wanita Trinidad Golden Grove memberitahu, panggilan telefon itu dibuat ketika dia di mahkamah atas ihsan individu yang bersimpati dengan nasib menimpanya.

“Saya tidak dapat mengingati tarikh sebenar Along menghubungi saya, tetapi yang saya ingat hanya keadaannya ketika itu.

“Along menangis dan dalam keadaan ketakutan dia merayu supaya dibantu. Dia turut menceritakan masalah dihadapinya, terutama masalah komunikasi berikutan penggunaan bahasa Inggeris di penjara tempat dia ditahan sangat terhad,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sharifah Marina berkata, ketika mendengar rintihan anaknya, dia hanya mampu menangis kerana buntu memikirkan bagaimana hendak membantu.

Katanya, dia sekadar mampu menyuruh anaknya supaya banyak bersabar dan bertawakal kepada Allah.

“Sebagai ibu, saya tidak akan berputus asa membantu Along. Bagaimanapun, ketika ini saya buntu kerana semua usaha menemui jalan buntu.

“Kalau saya orang senang, saya pergi saja ke negara itu (Trinidad and Tobago), bawa peguam dan selesaikan kesnya. Namun, semua itu tidak mampu saya lakukan,” katanya.

Menurut Sharifah Marina, dia bukan saja buntu bagaimana hendak membantu anaknya, tetapi pada masa sama buntu memikirkan nasib anaknya.

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan anak saya, sama ada dia bersalah atau tidak, bila perbicaraan dia dan di mana dia ditahan. Saya bergantung harap kepada Wisma Putra yang berjanji memantau perkembangan anak saya, tetapi ketika bertanya perkara itu, reaksi diterima tidak seperti dijanjikan.

“Jika begitu, saya tidak tahu kepada siapa lagi saya boleh mendapatkan bantuan,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata, dalam suasana sambutan Aidilfitri, dia sentiasa dibayangi tangisan dan suara ketakutan anak sulungnya.

Kata Sharifah Marina, dia sentiasa terbayang suasana ceria yang dicetuskan anak sulung daripada enam beradik itu setiap kali menyambut Aidilfitri sebelum ini.

“Ini kali pertama kami sekeluarga menyambut Aidilfitri tanpanya (Along). Memang Aidilfitri tahun ini tiada maknanya bagi kami.

“Dulu, Along penyeri Aidilfitri kami. Dia yang memilih baju raya adiknya, membuat kuih raya dan menyediakan semua persiapan Aidilfitri,” katanya.

Kisah Wan Lidiawati mendapat liputan meluas sebelum ini. Remaja itu ditahan ketika cuba meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Tobago Crown Point bersama 2.197 kilogram kokain dalam beg pakaian yang dibawanya.

Jika sabit kesalahan, undang-undang di negara berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan terhadap pengedar dadah.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Malaysia di Caracas, Venezuela dilaporkan akan memantau perkembangan dan bantuan yang diperlukan remaja itu, manakala peguamnya, Monaharan Malayalam mendakwa mangsa dianiaya kerana tidak tahu dadah disembunyikan dalam beg yang dibawanya dan terkejut apabila polis menahan serta membuat pemeriksaan.

Sharifah Marina sebelum ini dilaporkan berkata, dia tidak tahu bagaimana anak sulungnya boleh ada di sana dan hanya tahu dia ditahan polis selepas menerima panggilan telefon daripada mangsa pada 14 Jun bagi memaklumkan penahanannya.

Dia juga percaya anaknya tidak bersalah, terutama selepas menerima surat daripada anaknya yang meminta tolong kerana dia dianiaya.

Antara kandungan surat itu: “Along kena tipu, culik dan aniaya... mama tolong buat report polis.”

Katanya, dalam surat itu anaknya mendakwa ditipu seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Siti.

Pada masa sama, bapa Wan Lidiawati, Abdul Majid Md Haniff, 45, turut yakin anaknya tidak bersalah. Abdul Majid berpisah dengan Sharifah Marina pada 2005.

Wan Lidiawati dilaporkan dibicara pada 21 Ogos lalu, tetapi tiada khabar berita mengenainya selepas itu.

Baju pengubat rindu

KUALA LUMPUR: “Bagi kami sekeluarga, Aidilfitri kali ini tidak membawa apa-apa erti, malah tidak melakukan persiapan sehingga kami tak mahu kuih raya dibawa masuk ke rumah.

“Kami juga sering ternampak kelibat Along sibuk menguruskan persiapan hari raya, selain gembira membawa adiknya berjalan,” kata Karimah Mamat, 46, ibu kepada Raja Munira Raja Iskandar Shah yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.

Raja Munira, 22, pelajar tahun dua sebuah kolej swasta dalam jurusan Pengajian Komunikasi, ditahan berseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, 20 Disember lalu, atas tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, enam bulan di negara itu atas tuduhan berkenaan. Begitupun, mangsa mendakwa tidak bersalah kerana diperdaya seorang lelaki Iran dikenali dengan nama ‘Milad’ memintanya membawa sebuah beg tanpa mengetahui kandungannya.

‘Milad’ tidak mengikut Raja Munira ke Jepun, sebaliknya hanya menghantar rakannya menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yang lebih membimbangkan Karimah, Raja Munira menghadapi masalah kesihatan, selain terlalu tertekan sehingga terpaksa bergantung kepada pil tidur untuk melelapkan mata.

Disebabkan itu, berat badan anak sulungnya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut mulai gugur kesan pengambilan pil tidur berkenaan.

Karimah berkata, sejak Raja Munira yang dipanggilnya Along ditahan 20 Disember lalu, dia langsung tidak berpeluang melihat wajah anaknya, apatah lagi berbual dengannya yang kini di Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun.

“Kami sangat bimbangkan kesihatan Along. Selain mudah muntah darah kesan kemalangan lima tahun lalu, berat badannya semakin susut dengan muka cengkung serta rambut gugur kesan pil tidur yang diambil,” katanya.

Karimah berkata, sebagai ibu, dia tidak terdaya menanggung kesedihan dan kerinduan yang teramat sangat, malah tidak sabar untuk menemuinya.

“Sejak Along ditahan, kami sekeluarga sangat sedih, saya sukar melelapkan mata atau menjamah makanan, manakala anak bongsu saya, Raja Daniel yang paling manja dan rapat dengan Along selalu bertanya bila Along balik.

“Dia kerap demam kerana teringatkan Along, malah bila nampak kapal terbang di udara, dia akan kata along sudah balik.

“Saya berharap satu hari nanti dapat berjumpa Along, sejak ditahan kami tak pernah jumpa kerana kos untuk ke sana sangat tinggi, apatah lagi saya tidak bekerja,” katanya sambil menitiskan air mata.

Menurut Karimah yang tinggal di Sungai Buluh, dekat sini, untuk menghilangkan rindu, keluarganya kerap berutus surat hampir setiap hari, selain menghidu pakaian yang digunakan Along yang tidak dibasuh sehingga ke hari ini sehari sebelum dia ke Jepun.

Lebih menyayat hati, Raja Munira melepaskan kerinduan dengan Daniel, 3, melalui cara melihat kesan tapak tangan adiknya yang dilekap di atas kertas.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari kami menerima surat along sebanyak lima muka surat dan selepas itu, adik-beradiknya akan membalas. Di dalamnya, Along melukis gambar adik, selain memberitahu keadaan di sana.

“Kata Along, dia sangat bosan kerana duduk di dalam bilik tahanan bersama seorang tahanan rakyat Jepun. Dia bercakap dengan dinding dan kertas yang diberi untuk menulis surat.

“Saya sangat sedih apabila Along beritahu hendak surah Yasin, al-Quran dan baju kurung putih untuk digunakan tidur malam. Begitupun, kami kirim baju kurung berbunga,” katanya.

Menceritakan aktiviti Raja Munira sepanjang bulan puasa, Karimah berkata, Along berjaya khatam al-Quran, namun dia sedih dan terkilan apabila anak sulungnya terpaksa bersahur dan berbuka sendirian.

“Along berbuka dengan sedikit nasi yang diberi dan nasi itu diambil sedikit lalu digumpal dan disimpan di dalam baju untuk bersahur. Sepanjang hari, dia membaca al-Quran, surah Yasin serta menulis surat, itu rutin hariannya,” katanya.

Mengenai sambutan hari raya baru-baru ini, Karimah berkata, ia tidak membawa apa-apa erti selepas ketiadaan along kerana anaknya adalah orang paling sibuk menjelang hari lebaran.

“Pada hari raya, Along suka masak roti jala dan kari kerana itu makanan kegemarannya, malah melalui surat yang dikirim, dia teringin sangat menjamah makanan itu.

“Selain itu, Along suka nasi dagang, hari raya memang ini menu yang mesti ada, namun semuanya tidak bermakna tahun ini kerana ketiadaannya,” katanya.

Ditanya adakah Raja Munira terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, Karimah berkata, anaknya tidak akan berbuat demikian, malah dia kenal siapa anaknya.

“Saya kenal anak saya, dia diperdaya lelaki Iran itu, memang saya tak sangka begini jadinya. Along anak yang baik, malah dia cemerlang dalam akademik dan rapat dengan keluarga.

“Dia bukan suka bersosial, malah bila tiada kuliah, dia akan duduk di rumah atau keluar dengan adik-beradiknya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai lelaki Iran itu, Karimah berkata, Along mengenali Milad hampir setahun setengah, malah mereka sekeluarga pernah bertemu lelaki berkenaan.

“Milad menuntut di sebuah universiti di sini, sambil itu dia menjalankan perniagaan kereta sewa untuk pelajar. Along mengenalinya melalui kereta sewa, malah dia sering menghantar kereta sewa ke rumah kami apabila diperlukan.

“Dia yang menjanjikan Along pekerjaan di Jepun dan beria-ia membawa Along ke sana, malah beg pakaiannya juga dibelikan.

“Pada mulanya sukar untuk saya izinkan, tetapi melihatkan Along bersungguh-sungguh dan dia sudah ambil cuti satu semester untuk bekerja, saya mengalah.

“Selepas kejadian itu, Milad ada di sini dan kini dipercayai di Indonesia. Dia terlepas, tetapi anak saya masih ditahan di sana,” katanya sedih.

Ibu kepada lima cahaya mata itu meminta kerajaan Malaysia membantu membebaskan Raja Munira.

Sementara itu, peguam bela yang diupah keluarga gadis malang itu, Rosal Azimin Ahmad, berkata pihaknya akan ke Jepun, November ini, untuk membuat rayuan ke atas hukuman yang dijatuhkan kepada Raja Munira.

Katanya, peluang rayuan itu ada kerana dalam perbicaraan sebelum ini, ada bukti tertentu tidak dimasukkan, selain Raja Munira mendakwa diminta mengaku salah bagi memudahkan kes itu.

“Dalam perbicaraan itu, Raja Munira dinasihatkan peguam belanya di Jepun, Sato untuk mengaku bersalah jika ingin mendapat hukuman ringan, tetapi ada bukti lain tidak dimasukkan.

“Jadi, pertengahan November ini saya akan ke sana bersama beberapa bukti untuk membuat rayuan,” katanya.

Sehubungan itu, Karimah memohon sumbangan rakyat Malaysia supaya dia bersama peguam belanya dapat ke Jepun untuk membuat rayuan kes anaknya di Mahkamah Tinggi Jepun.

“Dianggarkan kos keseluruhannya antara RM200,000 ke RM300,000 dan kami hanya ada tidak sampai sebulan lagi untuk mengumpul wang ini kerana ia dijangka diadakan pada 15 November ini.

“Selain itu, setiap bulan kami mengirimkan RM300 untuk Along membeli keperluan diri sepanjang di sana,” kata Karimah.

Justeru, Karimah memohon supaya ada pihak sudi membantu dan sumbangan boleh dibuat sama ada menghubungi pejabat Rosal di 03-21645555, 03-21641557 atau akaun Ambank, 066-201-200537-9.
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad

20 October 2007

Afghanistan sudah ke angkasa 19 tahun lalu

Selamat membaca..........

Rupanya Afghanistan sudah ke angkasa 19 tahun lalu
Tarikh : Saturday, October 20 @ 00:39:44 MYT
Topik : Artikel

Assalamu' alaykum..

Jujur penulis katakan, antara rakan bloggers yang penulis kenali, penulis mungkin blogger yang paling malas mengulas berkenaan keberangkatan Dr Syeikh Muszaphar ke angkasa. Ramai teman penulis sendiri mengkritik, membelasah dan tidak kurang juga yang cuba husnuzzan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi dengan harapan moga-moga berpadananlah hasil yang diterima daripada misi yang dilaporkan mencecah kos RM100 juta.

RM 100 juta bukan sedikit. Andai jumlah sebesar itu digunakan bagi membina rumah kos rendah,maka 25 000 rakyat kerdil akan dapat berteduh dari hujan dan panas.Tidak perlu lagi rakyat Kampung Berembang hidup di dalam khemah dan tidak perlu lagi penduduk Kampung Bujal menangis melihat tumbangnya masjid mereka. Andai wang sebanyak itu disalurkan untuk kemudahan pendidikan,maka ratusan ribu remaja Islam tidak perlu menanggung beban riba PTPTN

Jadi, nilai sebesar itu jika dibelanjakan, pastilah ianya lebih bernilai dan lebih penting daripada memberikan tempat berteduh buat rakyat atau membebaskan pelajar muslim dari belenggu riba.Sekurang-kurangnya ia penting buat survival politik parti pemerintah.Manakan tidak,ditengah-tengah hambatan peristiwa rusuhan Batu Buruk,kadar jenayah yang meningkat,pakatan VK Lingam-Tun Ahmad Fairus,Altantuya Sharibuu yang kematiannya genap setahun hari ini (19 Oktober 2006) dan kegagalan pengurusan ekonomi negara,maka Sheikh Muszaphar adalah satu-satunya umpan yang tinggal untuk diberi makan buat rakyat.Jesteru tidak hairan jika kejayaan gemilangnya ke angkasa diperbesar-besarkan media hingga menenggelamkan isu lain yang lebih penting,isu lain yang lebih wajar mendapat keutamaan.

Penulis sememangnya tidak menolak kemajuan.Andai sudah pelbagai negara ke angkasa dan kita baru memulakannya 9 hari yang lalu,tidak mengapa.Sekurang-kurangnya lebih baik bermula lewat tapi tidak bermula langsung.namun,apa yang menjengkelkan hati penulis tatkala melihat laporan demi laporan propaganda pro kerajaan yang seolah-olah menyifatkan kejayaan Syeikh Muszaphar ke angkasa ini sebagai tanda negara maju,negara sudah setaraf dengan negara maju lain dan sebagainya.Eh,apakah negara yang menumpang kapal angkasa sudah boleh dianggap hampir mencapai taraf negara yang mencipta kapal angkasa itu sendiri?

Akhirnya pagi semalam penulis ketemu juga dengan sesuatu yang memeranjatkan penulis sendiri.Laman yang memuatkan koleksi astronout yang ada antara mereka sudah 4 kali terbang ke angkasa.Namun yang lebih menarik hati penulis adalah biografi astronaut di bawah ini.



Abdul Ahad Mohmand


Abdul Ahad Mohmand adalah rakyat Afghanistan yang pertama dilepas ke angkasa.Jika tidak kerana masalah kesihatan yang dihadapi oleh rakan senegaranya,Mohammad Dauran Ghulam Masum,maka sudah pasti Afghanistan akan mempunyai 2 angkasawan merereka sendiri.Juruterbang tentera yang kini berusia 48 tahun ituberlepas ke angkasa dengan roket Soyuz TM6 pada 29 Ogos 1988 dengan ditemani 2 angkasawan Russia,Vladimir Lyakhov dan Valery Polyakov.Beliau selamat tiba di bumi pada 6 September 1988;menjadikan ekspedisinya berjalan selama hampir 9 hari.





Cerita keseluruhan pengembaraan mereka boleh dibaca di laman web First Afghan Astronaut.Sementara biografi koleksi astronaut,cosmonaut dan adik beradiknya boleh didapati di laman ini.Sungguh jika benar kita sudah sebaris dengan negara maju dengan 'terbangnya' Syeikh Muszaphar ke ISS,maka bagaimana pula dengan negara Afghanistan?Boleh kita katakan Afghanistan 19 tahun lebih maju daripada kita?

Penulis teringat kata-kata seorang teman,Melayu ini kadang-kadang seperti budak kecik.Dirotan di punggung,dibedal di belakang,dicubit di lengan,di luku di kepala,di piat di bahu,maka pasti budak itu akan menangis.Tapi bila disuap sahaja lolipop 20 sen ke mulutnya,maka tangisan itu akan berganti dengan senyuman.

Anda bagaimana?Sudah dewasa atau masih 'budak kecik'?

Jangan tuan-tuan,andainya kejayaan Dr Syeikh Muszaphar ini akan melupakan kita pada Kampung Berembang,melupakan kita pada peristiwa Kampung Bujal,melupakan kita pada skandal kapal selam,skandal kehakiman,penganiayaan di Batu Buruk,ISA,rampasan royalti,peminggiran dan berat sebelah terhadap rakyat dan kerajaan kelantan serta pelbagai lagi kisah lampau yang masih berdarah lagi lukanya.Jangan tuan-tuan,jangan jadi 'budak kecik'..

iBNuZaCK: Baru beralih ke alam remaja.. :)

Assalamu'alaykum..

Sumber asal: http://ibnuzack.blogspot.com

Bagaimana Mayat Yahudi Dikebumikan?

Selamat membaca..........


Bagaimana Mayat Yahudi Dikebumikan?
Tarikh : Saturday, October 20 @ 02:11:05 MYT
Topik : Artikel

Oleh Datuk Yan

Dalam pekerjaan saya, saya terpaksa berkecimpung dan bertemu dengan segala macam manusia dari segala macam bangsa dan ugama. Timbul pula satu kesempatan saya berbual2 dengan seorang lelaki yang berugama Yahudi. Dia rajin pergi ke synagogue-nya seperti kebanyakan orang kita juga rajin ke mesjid. Saya bertanya kepadanya bagaimana mayat seorang Yahudi dikebumikan. Di bawah ini adalah keterangannya:

Kebanyakan orang Yahudi tidak menyimpan mayatnya berhari-hari seperti mayat2 ugama Keristian, Buddhist, Hindu, dan lain penganut ugama kafir. Ada yang menyimpan mayatnya hanya sehari dan ada juga yang menyimpan mayatnya sampai tiga hari. Kematian seorang Yahudi merupakan "family affair" saja dan amat jarang diumumkan di suratkabar untuk pengetahuan sahabat-handai atau masyarakat sekelilingnya (kecuali kalau si mati itu adalah seorang pembesar synagogue atau pembesar negara). Begitu juga pengebumian mayat itu merupakan "family affair" yang sangat private.

Bila mayat akan kebumikan, disiapkan sebuah lemari cermin yang berdiri, tidak sebuah peti mayat (coffin) seperti ugama2 lain. Mayat ini dibersihkan dan diberi pakaian yang bagus dan didandankan: rambutnya disikat rapi dan dibedakkan supaya wangi baunya. Mayat di-injek dengan obat yang mengeraskan tubuhnya. Selepas itu mayat itu di-berdiri-kan di dalam lemari cermin itu dan diikat di beberapa bagian tubuhnya supaya tubuh mayat dapat berdiri tegak dalam lemari cermin itu. Jadi, mayat Yahudi tidak dibaringkan dalam "coffin" seperti mayat2 ugama lain.

Di tanah perkuburan Yahudi sudah digali sebuah lobang empat persegi dengan lebar kira2 dua kaki setengah (two and half feet square) dan dalamnya kira2 enam kaki. (Tidak seperti kubur Islam yang biasanya (rectangle) panjangnya 6 kaki, lebarnya sekitar 3 kaki dan dalamnya kira2 enam kaki.) Ini kerana cermin lemari yang digunakan sebagai "peti mayat" itu akan ditanam berdiri tegak. Waktu meng-kuburkan mayat biasanya pada waktu senja (kalau kita ?kira2 waktu maghrib) apabila matahari hampir akan terbenam ? tidak begitu terang dan tidak pula terlalu gelap. Mayat dibawa ke tanah perkuburan dengan "special trailer" yang dapat mengangkut lemari mayat itu dengan keadaan "berdiri" (maksudnya tidak perlu "dibaringkan" walaupun dalam kereta mayat. Apabila lemari mayat tiba di tanah perkuburan, lemari itu di-transfer ke sebuah trolley (beroda dua) dengan keadaan lemari itu berdiri. (Trolley ini sama seperti kita kadang2 melihat pekerja2 Pepsi atau Cocacola menolak trolley minuman dari lori masuk ke kedai). Apabila tiba di lobang kubur, lemari cermin itu dimasukkan ke dalam lobang "vertical" itu dengan menggunakan tali. Yang memasukkan mayat ke dalam lobang adalah anggota keluarga saja.

Setelah lemari cermin itu dapat berdiri tegak dalam lobang, maka disendalkan tanah2 agar lemari itu tidak memiring ke mana2 apabila lobang itu ditimbus dengan! tanah. Kerja2 mengebumikan mayat ini semuanya dilakukan dalam keadaan cahaya samar2, tidak terang dan tidak begitu gelap. Biasanya tidak sampai satu jam, bereslah urusan pengebumian ini. Yang ikut menghantar mayat ke kuburan hanya anggota keluarga. Mereka yang tidak ada hubungan darah dengan si mati tidak digalakkan ikut bersama. Ini agar sikap "family affair" dalam urusan mayat dapat terpelihara.

Jadi, dalam upacara mengebumikan mayat Yahudi, tidak banyak yang ikut ke cemetary. Biasanya tidak lebih dari 10 orang, dan tidak ada rabbi (bunyinya "rabai" paderi Yahudi) yang mengantarinya ke kubur. Maka tidak adalah do'a mantera yang dibacakan Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah. Mereka duduk di kursi dalam bentuk "circle" dan bertafakkur mengingatkan mayat yang di dalam kbur dan nasibnya di dalam kubur. Biasanya tafakkur ini berlaku sepanjang malam dari saat mayat dikebumikan sampailah hari esoknya. Mereka yang bertafakkur tidak tidur sepanjang malam. Mereka semua duduk diam membisu tanpa ada pembacaan mantera. Impression: Sangkaan saya (repeat hanya "sangkaan"), kaum Yahudi sangat takut diketahui orang apabila seorang daripadanya mati kerana masyarakat Yahudi menjadi kurang seorang akibat kematian itu.

Kenapa mayat Yahudi ditanam berdiri mungkin melambangkan "enggan tunduk" kepada Tuhan Allah walaupun sudah habis hayatnya di dunia. Apakah ini satu "kesombongan melulu" terpulanglah kepada yang ingin men-interpretasikan.

Wallahu a'lam

Sepuluh wasiat al-Quran

Selamat membaca..........

Sepuluh wasiat al-Quran
Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Oct 19, 07 | 12:15:45 pm MYT

Walaupun berakhirnya bulan Ramadan yang cukup sinonim dengan tazkirah atau majlis ilmu yang padat dengan pengisian agama, ia bukan bermakna majlis-majlis ilmu itu terhenti tanpa ada kesinambungannya.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Ramadan boleh disifatkan sebagai bulan merekrut tentera-tentera Allah dalam kem latihan, mereka akan dikerahkan selepas tamat latihan dengan mempraktikkan segala apa yang digarap sepanjang satu bulan di kem tersebut bagi membuktikan ketangkasan, ketajaman serta kekuatan mental dan fizikal.

Justeru, bagi memastikan mereka tidak lupa terhadap ilmu dan maklumat yang digarap dalam bulan Ramadan, maka al-Quran tampil dengan pelbagai pendekatan untuk memimpin tentera-tentera Allah itu terus mempunyai hubungan dengan nilai ilmu yang terkandung di dalam kitab suci tersebut.

Maklumlah sambutan hari raya yang padat dengan program ziarah, terkadang-kadang boleh menyebabkan seseorang itu lupa untuk melihat semula asas-asas tarbiah yang boleh meningkatkan prestasi iman, apatah lagi ia berbentuk sebuah wasiat.

Dalam al-Quran terdapat sepuluh wasiat yang amat bernilai yang perlu diketahui oleh setiap individu muslim, bagi memastikan kesinambungan penghayatan hidup mereka dengan nilai-nilai agama. Apatah lagi ia berkaitan dengan tegahan Allah bertujuan memimpin manusia muslim ke satu hala tuju hidup yang lebih bermakna.

Wasiat tersebut diabadikan oleh Allah menerusi ayat 151-153 daripada surah al-AnĂ¢€™am yang boleh diklasifikasikan urutan tegahan Allah yang perlu diambil kira sebagi berikut:

1) Larangan Allah daripada melakukan syirik terhadap-Nya.

2) Larangan daripada berlaku tidak baik terhadap kedua ibu bapa.

3) Larangan daripada membunuh anak kerana takut menjadi miskin.

4) Keyakinan terhadap Allah yang memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya.

5) Larangan daripada mendekati perkara-perkara yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.

6) Larangan berbunuhan sesama manusia.

7) Larangan daripada memakan harta anak yatim.

8) Perintah berlaku adil dalam timbangan dan segenap tuntutan hidup.

9) Perintah Allah untuk mengikuti jalan yang lurus iaitu Islam.

10) Larangan daripada terikat dengan pegangan ciptaan manusia yang tergelincir daripada kebenaran Islam./tajdid

Jual negara kaut kekayaan

Selamat membaca..........

Jual negara kaut kekayaan

Oleh: DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEHADIRAN pendatang asing ke negara ini semakin hari kian bertambah. Ini menunjukkan sumber rezeki yang terdapat dalam negara ini dikongsi bersama oleh penduduk dari negara lain. Pembangunan dan kemajuan dalam negara jika tidak dirancang secara teratur boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat di negara ini. Kesedaran terhadap tanggungjawab kepada negara dan masyarakat perlu disemat dalam sanubari pihak yang berwibawa di negara ini.

Persoalannya ialah kenapa begitu mudah bagi pihak berkuasa mengeluarkan lesen kepada ejen-ejen buruh asing tanpa meneliti kemampuan mereka mengendalikan urusan kemasukan buruh asing?

Pengesahan daripada pihak berkuasa adalah penting untuk menentukan sama ada buruh asing tersebut boleh memasuki negara ini. Kenapa begitu ramai buruh asing yang berada dalam negara ini diberi pekerjaan yang mampu dilakukan oleh penduduk tempatan?

Sepatutnya pihak berkuasa perlu meneliti secara terperinci jenis pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada buruh asing. Kenapa urusan begini tidak dikaji demi kepentingan negara dan rakyat?

Pihak berkuasa perlu tegas dalam urusan kemasukan buruh asing sama ada melalui ejen atau datang secara haram. Kecuaian pihak berwibawa dalam pemantauan terhadap agen- agen kemasukan buruh asing adalah faktor utama yang menyebabkan kebanjiran buruh asing sehingga penduduk tempatan menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan dalam negara mereka sendiri.

Sikap begini juga mengheret maruah negara kerana tekanan yang dihadapi oleh buruh asing yang dikenakan oleh pihak majikan terhadap mereka terkeluar daripada konsep kemanusiaan yang digariskan oleh Islam.

Kesedaran terhadap konsep kemanusiaan di kalangan orang yang bertanggungjawab terhadap kemasukan buruh asing dalam negara perlu disemat dalam sanubari mereka supaya wang yang diragut daripada titik peluh manusia yang miskin dan kesempitan hidup itu tidak dijadikan darah daging ahli keluarga yang boleh menghumban mereka ke dalam neraka. Doa manusia yang teraniaya sama ada Islam dan bukan Islam dimakbulkan oleh Allah.

Sikap terlalu tamak kekayaan dan terlalu gemar mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri perlu dikikis dalam sanubari umat Islam supaya tatacara mereka memimpin, mentadbir dan menguruskan hal ehwal kemanusiaan sejajar dengan kehendak Ilahi dan syariah Islam.

Tentera upahan jaga kepentingan AS di Iraq

Selamat membaca..........

Tentera upahan jaga kepentingan AS di Iraq

Oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA

JIKA kita berfikir Amerika Syarikat (AS) hanya mempunyai 160,000 tentera di Iraq, fikir sekali lagi.

Tanpa sebarang perbincangan di Kongres dan dengan kekurangan kesedaran kalangan orang awam AS, pentadbiran Presiden George W. Bush telah menambah bilangan tentera sebanyak dua kali ganda melalui syarikat-syarikat swasta.

Pembunuhan orang awam Iraq oleh kontraktor swasta Blackwater telah membuka selubung mengenai peranan tentera upahan di Iraq.

Ia melibatkan pembunuhan ke atas 21 penduduk Iraq dan mencederakan 27 lagi dalam tujuh kejadian berasingan termasuk satu kejadian tembakan rambang oleh seorang pegawai firma yang mabuk selepas satu parti Krismas pada 2006.

Anggaran sekarang ialah kira-kira 200,000 kakitangan kontraktor swasta berada di Iraq. Ini bermakna bilangan tentera upahan melebihi tentera kerajaan di Iraq. Gabungan korporat tentera upahan yang ditempatkan di Iraq ini tidak diawasi oleh mana-mana pihak kerajaan dan tindakan mereka tidak berada di bawah undang-undang.

Secara asasnya, pentadbiran Bush telah mewujudkan tentera ‘hantu’ yang digunakan bagi melancarkan peperangan secara senyap atas nama menjaga keselamatan di Iraq.

Sejak perang menentang keganasan dilancarkan seluruh dunia, pentadbiran Bush secara berperingkat-peringkat telah menyalurkan berbilion dolar dana awam kepada korporat-korporat seperti Blackwater USA, DynCorp, Triple Canopy, Erinys dan ArmorGroup.

Mereka telah menggunakan wang kerajaan itu bagi membina prasarana ketenteraan (dilengkapi dengan senjata canggih) dan mengupah tentera upahan yang kuat yang dapat menyaingi tentera mana-mana kerajaan di dunia termasuk tentera AS juga.

Apa yang berlaku di Iraq sekarang merupakan suatu perkembangan yang berbahaya kerana mana-mana korporat gergasi (atau kerajaan asing) yang beroperasi di negara sedang membangun sekarang dapat mengupah tentera upahan untuk menjalankan kerja-kerja kotor demi mempertahankan kepentingan mereka.

Persoalannya sekarang kepada siapakah mereka berkhidmat dan di mana mereka menaruh kesetiaannya? Kepada korporat yang membayar wang kepada mereka (harus diingati juga dana itu pun datangnya daripada kerajaan AS) atau kepada individu tertentu di White House?

Wartawan atau para pengawai AS juga masih tidak mempunyai data tepat mengenai perbelanjaan kerajaan AS ke atas perkhidmatan tentera upahan ini.

Tetapi maklumat di Internet melalui anggaran Kongres menyatakan pada kadaran 40 sen untuk setiap cukai sedolar yang dibelanjakan ke atas peperangan akan disalurkan kepada kontraktor korporat yang terlibat dalam peperangan.

Sehingga kini dianggarkan AS telah membelanjakan sebanyak AS$2 bilion seminggu bagi mengendalikan operasi di Iraq.

Tetapi di sebalik semua itu, sejak Mac 2003 dalam permainan di belakang tabir AS telah membawa bersama-samanya tentera upahan bagi menguruskan konflik di Iraq.

Semasa Perang Teluk pada 1991, purata tentera upahan adalah 1:60 tentera kerajaan tetapi sejak Julai 2007 terdapat lebih 630 syarikat kontraktor beroperasi di Iraq untuk kerajaan AS.

Ia terdiri daripada 180,000 kakitangan individu daripada 100 buah negara. Malah penempatan tentera upahan ini telah melebihi kehadiran jumlah tentera sebanyak 160,00 itu.

Terdapat laman web yang menyatakan anggaran sejumlah 400,000 tentera ‘hantu’ daripada lebih 170 buah kontraktor tentera yang beroperasi di Iraq.

Kebanyakan tentera upahan ini digunakan bagi melindungi projek-projek pembangunan semula Iraq dan mereka ditugaskan melindungi projek-projek berkenaan istimewanya berkaitan dengan projek penghasilan minyak.

Bayangkan kontrak AS terbesar untuk keselamatan persendirian di Iraq diberikan kepada firma British Aegis Defence Services, yang diketuai oleh seorang pesara tentera British Lt. Col. Tim Spicer, yang menghadapi tuduhan sebagai tentera upahan yang banyak terlibat dalam konflik di negara-negara Afrika.

Sebab itulah AS dan Britain tidak perlu risau dengan pengunduran tentera Britisah di Iraq kerana ia akan diambil alih oleh tentera upahan British.

Syarikat dari Texas, DynCorp International adalah sebuah lagi syarikat yang mendapat kontrak lebih AS$1 bilion bagi membekalkan kakitangan bagi melatih polis Iraq sementara Blackwater dari Amerika telah mendapat kontrak sebanyak AS$750 juta daripada kontrak Jabatan Negara AS untuk tujuan keselamatan diplomatik.

Kontraktor tentera ini pula akan memberikan subkontrak kepada syarikat-syarikat kecil yang lain bagi operasi peperangan dan keselamatan yang khusus.

Mereka juga menjalankan tugas menyiasat dan mendera tahanan, mendapat maklumat dan risikan, mengendalikan operasi udara, melindungi pegawai-pegawai penting korporat dan kerajaan malah pernah terlibat dalam peperangan terbuka di Iraq.

Masalahnya sekarang tidak ada undang-undang sama ada di Iraq atau AS malah di peringkat antarabangsa yang mengawasi pergerakan mereka.

Pergerakan mereka juga tidak terikat di bawah Perjanjian Geneva mengenai tatacara etika peperangan dan perlindungan orang awam. Tiada perbincangan di peringkat antarabangsa atau PBB mengenai peranan tentera upahan ini.

Mereka seolah-olah berada di luar undang-undang dan mudah bergerak secara tersembunyi dan di belakang tabir. Apa yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan AS secara terbuka dapat dilakukan oleh tentera upahan ini.

Jadi apa yang diperkatakan mengenai pengunduran tentera AS dari Iraq adalah suatu lakonan, cemuhan dan olok-olok sahaja.