Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

09 November 2007

Pedih hulu hati, ulser atau senak?

Selamat membaca..........

Pedih hulu hati, ulser atau senak?

Menurut Dr. Abd. Hamid, disebabkan gastritis merupakan salah satu daripada masalah pencernaan yang biasa dengan tanda-tanda dan simptom-simptom, agak mudah untuk kita berasa keliru dengan keadaan lain termasuklah:

* Gastroenteritis. Juga dikenali sebagai flu perut, gastroenteritis selalunya terjadi akibat jangkitan viral di dalam usus anda.

Tanda-tandanya termasuklah cirit-birit, kekejangan di abdomen, rasa mual atau muntah-muntah dan senak perut.

Simptom-simptom gastroenteritis kerap hilang dalam masa satu atau dua hari manakala ketidakselesaan gastritis akan berpanjangan.

* Pedih hulu hati. Rasa perit seakan terbakar di bahagian belakang tulang dada selalunya terjadi selepas anda makan.

Ia terjadi apabila asid perut memasuki esofagus – tiub yang menyambungkan kerongkong ke perut.

Rasa pedih hulu hati juga boleh meninggalkan rasa masam dan sensasi makanan seperti separuh hadam memasuki semula mulut anda.

* Ulser perut. Jika anda mengalami rasa sakit seakan terbakar yang amat perit di dalam perut secara kerap, anda mungkin menghidapi ulser.

Ulser perut (peptik) merupakan luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut anda. Simptom yang paling ketara adalah rasa sakit yang bertambah teruk di waktu malam atau apabila perut anda kosong.

Gastritis dan ulser perut berkongsi punca-

punca yang sama lebih-lebih lagi jangkitan H.pylori dan ia boleh terjadi mendahului penyakit yang satu lagi.

* Dispepsia bukan ulser. Dikenali sebagai senak, dispepsia bukan ulser merupakan satu gangguan fungsi dan tidak dikaitkan dengan mana-mana penyakit.

Punca yang sebenarnya tidak diketahui tetapi stres dan pengambilan makanan yang bergoreng, pedas atau berlemak secara berlebihan akan memburukkan atau mencetuskan rasa sakit di bahagian atas abdomen, kembung perut, sendawa dan rasa mual.

Merawat asid perut

Asid perut mengiritasikan tisu-tisu yang membengkak di dalam perut anda, menyebabkannya sakit dan membengkak.

Itulah sebabnya, untuk kebanyakan jenis gastritis, beberapa rawatan melibatkan pengambilan dadah untuk mengurangkan atau meneutralkan asid perut dicadangkan seperti:

* Antasid yang boleh didapati di kaunter dalam bentuk cecair atau pil merupakan rawatan biasa untuk gastritis yang biasa. Antasid meneutralkan asid perut dan boleh memberi kelegaan yang pantas.

* Apabila antasid tidak mampu memberi kelegaan yang secukupnya, doktor anda akan mencadangkan penghalang asid yang akan membantu mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan oleh perut anda.

* Satu cara yang lebih berkesan untuk mengurangkan asid perut adalah dengan menutup pam-pam asid di dalam sel-sel perut yang menghasilkan asid. Perencat pam proton ini mengurangkan asid dengan menghalang pam-pam ini daripada bertindak. Perencat pam proton ini juga seakan merencatkan aktiviti H.pylori.

* Agen cytoprotective pula direka untuk membantu melindungi tisu-tisu yang melapisi perut dan usus kecil anda. Jika anda mengambil NSAIDS secara kerap, doktor mungkin mencadangkan anda mengambil salah satu daripada medikasi ini untuk melindungi perut anda.

Merawat H.pylori

Doktor menggunakan beberapa rejimen untuk merawat jangkitan H.pylori. Kebanyakan doktor menggunakan kombinasi antara dua antibiotik dan perencat pam proton. Kadangkala, agen cytoprotective turut dicampurkan ke dalam campuran tersebut.

Antibiotik ini membantu memusnahkan bakteria dan penghalang asid atau perencat pam proton melegakan rasa kesakitan dan mual, menyembuhkan inflamasi dan mungkin meninggikan keberkesanan antibiotik tersebut.

Rawatan H.pylori tidak semestinya berjaya sepenuhnya – kadar pembasmiannya berbeza-beza, bergantung kepada rejimen – tetapi tiga kombinasi ubat akan lebih berkesan daripada kombinasi dadah yang hanya mengandungi dua jenis dadah.

Rawatan yang mengambil jangka masa yang lebih lama seperti dua minggu berbanding 10 hari juga meningkatkan keberkesanannya.

Pencegahan

Walaupun anda tidak akan selalu dapat menghalang jangkitan H.pylori, langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan risiko gastritis:

* Jika anda kerap mengalami rasa senak, makanlah dalam jumlah yang kecil dan makanlah dengan lebih kerap untuk menimbal rembesan asid perut. Elakkan makanan yang mendatangkan iritasi seperti makanan pedas, berasid, bergoreng atau berlemak.

* Jauhi alkohol. Pengambilan alkohol berlebihan akan mengiritasikan dan menghakis lapisan dalam perut anda, menyebabkannya membengkak dan berdarah.

* Berhenti merokok. Merokok mengganggu lapisan pelindung di dalam perut anda, menyebabkannya lebih mudah menghidapi gastritis dan ulser selain meningkatkan tahap asid perut, memperlahankan proses penyembuhan dan menjadi faktor risiko utama untuk kanser perut.

Walaupun untuk berhenti merokok agak sukar lebih-lebih lagi jika anda telah merokok untuk beberapa tahun. Berbincanglah dengan doktor anda tentang kaedah-kaedah yang akan membantu anda berhenti merokok.

* Tukar pil penahan sakit. Elakkan daripada mengambil NSAIDS. Ubat-ubatan yang boleh didapati di kaunter boleh menyebabkan inflamasi di perut atau memburukkan lagi iritasi yang telah sedia ada. Tukarlah kepada pil penahan sakit yang mengandungi acetaminophen.

* Patuhi nasihat doktor anda. Doktor mungkin mencadangkan agar anda mengambil antasid atau penghalang asid yang boleh didapati di kaunter untuk membantu menghalang gastritis yang berulang.

Penjagaan diri

Masalah pencernaan makanan – daripada ketidakselesaan dalam perut ke kanser perut boleh terjadi untuk pelbagai sebab termasuk pilihan cara kehidupan yang anda boleh kawal. Untuk memastikan sistem pencernaan anda sihat, para doktor mencadangkan:

* Amalkan tabiat pemakanan yang sihat. Seperti apa yang anda makan penting, begitu juga dengan cara anda makan. Makanlah secara sederhana, pada waktu yang ditetapkan dan makanlah dengan tenang.

* Kekalkan berat badan yang sihat. Masalah pencernaan boleh terjadi tidak kira berapa berat badan anda. Tetapi, pedih hulu hati, kembung dan sembelit lebih ketara di kalangan mereka yang terlebih berat badan.

* Senaman aerobik yang meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung juga merangsang aktiviti otot-otot usus, membantu untuk membuang sisa-sisa makanan melalui usus anda dengan lebih cepat. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti aerobik setiap hari.

* Kawal stres. Stres akan meningkatkan risiko anda menghidap sakit jantung dan strok, melemahkan sistem imun anda dan boleh mencetus atau memburukkan lagi masalah kulit yang dialami. Ia juga meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan sistem pencernaan.

Disebabkan stres merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan bagi kebanyakan orang, cara terbaik adalah untuk mengawalnya dengan berkesan – satu tugasan yang akan lebih mudah dilakukan dengan makan diet bernutrien, dapatkan rehat secukupnya, lakukan senaman dan rehat dengan cara-cara yang menyihatkan.

Jika anda bermasalah untuk berehat, anda boleh mengambil meditasi, yoga atau tai chi.

Disiplin-disiplin ini akan membantu anda memfokuskan minda anda, menenangkan rasa gelisah dan mengurangkan ketegangan fizikal. Urutan terapeutik juga boleh melonggarkan otot-otot dan menenangkan kegelisahan anda.

1 comment:

aquaregia said...

yoga mana boleh amalkan skang.tahun 2008 telah diumumkan oleh majlis fatwa kebangsaan yoga adalah HARAM di sisi Islam sbb orang islam yg jahil terikut2 fahaman hindu.apadaaa.bodoh betol orang2 moden zaman skg ni eh.tp bile orang nasehat, xnak pulak dengar.nah mmg sejak dari awal umat islam meleysia kene aware dah dengan yoga niii.