Selamat membaca.......... Copy dari MYKMU NET
Suara Hati Seorang Pemimpin UMNO Untuk Orang Melayu
Date: Saturday, December 29 @ 01:23:32 MYT
Topic: RENCANA
Eksklusif: Seorang pemimpin UMNO, memegang jawatan agak penting di sebuah negeri menyampaikan ucapan ini kepada orang Melayu dalam satu perjumpaan tertutup. Mykmu menyiarkan semula ucapan ini tanpa mendedahkan identiti pemimpin ini. Yang penting bukan siapa pengucapnya tapi hayatilah kandungannya.
Assalamualaikum warrahmatullah hi wabarakatuh. Izinkan saya membaca sajak Datuk Usman Awang ini terlebih dahulu.
MELAYU
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu.
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka
-Usman Awang
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Inilah watak bangsa kita dari pandangan seorang sasterawan negara Usman Awang.
Budi ditabur, tuba dibalas
Semua orang tahu baik Cina, India, benggali atau pun "Mat saleh" bahawa asal usul tanah ini milik Melayu. Hari ini ketuanan kita dipertikai, hak kita dipersoal.
Selama ini, budi baik yang bangsa ini tabur dan kesabaran orang Melayu bertolak ansur disalah erti seolah-olah kita penakut dan bacul.
Kata pantun pusaka:
Selagi nadi terus berdenyut
bakti ini tidak akan hilang
sedangkan bah, kapal tak hanyut
inikan pula kemarau panjang
Laju laju perahu laju
Laju sampai ke Gelang Patah
Banyak ranjau Melayu dah lalu
membujur lalu melintang patah
Tuan-tuan dan puan-puan
Semua yang bangsa ini korbankan, bukan penghargaan dan terima kasih yang kita terima atas budi baik kita berkongsi kuasa dan segalanya. Malah kita dibalas dengan caci dan nista seolah-olah tanah ini milik mereka.
Sungguh terlalu baik bangsa ini, orang yang kita beri laman tetapi akhirnya menikam kita dari belakang. Kadang-kadang manusia ini lupa dari mana ianya bermula, sdiberi betis hendak peha, bagai Belanda diberi tanah, beri sedikit hendak semua; Ibarat kaduk naik junjung lagaknya.
Tiada Jaminan Kekuasaan Melayu Akan Kekal
Wahai rakan pemuda yang akan mewaris segalanya,
Rama-rama si kumbang jati
anak raja pulang berkuda
patah tumbuh hilang berganti
pesaka bergilir pada yang muda.
Sedarlah dan insaflah kedudukan kita. Hari ini ktia tidak seperti dahulu lagi, keris bukan lagi menjadi lambang kekuatan dan ketuanan kita; kekuatan tenaga bukan lagi menjadi ukuran kekuasaan. Hari ini kekuatan akal mengatasi segalanya.
Melayu perlu bijaksana, melayu perlu bersatu kembali. Bersatu seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelumnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bukan niat saya mengajak bangsa ini menyinsing lengan, menghunus senjata menikam lawan. Bukan juga bermandi darah membunuh yang tidak berdosa.
Tetapi sekadar memberi ingatan pada yang muda agar kita jangan terlalu leka, dibuai mimpi seolah-olah segala-galanya kekal selamanya.
Orang lain mengatur rancangan, mengintai jika Melayu terleka, memuji Melayu hingga terlupa akhirnya ingin melihat Melayu terkubur selama-lamanya.
Dan ini bukan perkara mustahil. Sebab banyak kerajaan Melayu sudah menjadi lagenda. Ada Melayu masuk hutan lari entah ke mana, ada membawa diri sesal atas kehancuran bangsa.
Melaka pernah gemilang, Melayu pernah terbilang tetapi akhirnya runtuh kerajaan tersohor keranan Melayu mudah lupa.
Wahai orang muda,
Ambillah iktibar sejarah Melaka, semua ini mungkin berlaku semula jika bangsa ini tidak pernah belajar dari kesalahan orang tua-tua kita.
Marilah kita kukuhkan perpaduan yang telah kita bina selama ini. Anggaplah saudara Melayu segama sebagai adik, abang dan kakak kita. Anggaplah mereka ini keluarga kita, susah, senang, jatuh, bangun biarlah kita bersama.
Jika timbul, timbul kita semua, jika tenggelam, tenggelam kita semua, jangan ada di antara kita menjadi si Kitol yang derhaka kepada raja dan bangsanya.
Perpaduan Tidak Boleh Sebelah Pihak Sahaja
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Kita sedar, kita hidup dalam masyarakat berbilang bangsa. Kita juga tidak pernah mempersoalkan orang lain yang tinggal bersama kita selama ini. Orang Melayu terlalu baik dan kita rela berkongsi segalanya dengan orang lain walaupun acap kali orang lain lebih selesa dari kita. kita tidak pernah persoalkan semua itu.
Tetapi apa yang mengguris hati orang Melayu ialah, kenapakah orang lain mempertikaikan hak orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara yang mana janji yang diikat bersama?
Perlembagaan juga mengawal dan menghormati kedudukan Raja-raja Melayu dan hak kedaulatan baginda seperti perkara-perkara mengenai agama dan adat istiadat orang Melayu.
Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan menyatakan, "bahawa sebagai hasil daripada perjanjian asal dengan negeri-negeri Melayu yang ditegaskan dari semasa ke semasa, maka kedudukan istimewa orang Melayu ini senantiasalah diakui."
Ada empat perkara mengenai kedudukan istimewa orang Melayu yang diakui dan diberi perlindungan dalam Fasal 153 Perlembagaan Malaysia.
Perkara itu ialah tanah simpanan orang Melayu dalam negara, peruntukan khas (kuota) untuk kemasukan dalam jawatan kerajaan, peruntukan khas (kuota) mengenai pengeluaran permit dan lesen untuk menjalankan sesetengah perniagaan; dan akhir sekali pelbagai peringkat biasiswa, sama ada merupakan bantuan sepenuhnya atau sebahagian serta pelbagai rupa bantuan yang lain untuk tujuan pelajaran.
Namun, sebagaimana syarat Perlembagaan, kita tidak boleh melupakan kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Kita tidak pernah menyekat atau mempersoalkan bangsa lain yang kaya raya dan juga hak-hak mereka dalam perlembagaan mahu pun persetujuan kemerdekaan. Mengapa hak kita dipersoalkan dan dihina?
Wahai orang muda,
Orang India ada mother land mereka di India, orang Cina ada mother land mereka, tanah Besar Cina. Kita mahu ke mana?
Kita orang Melayu, di sini tempat kita dilahirkan, di sini kita dibesarkan dan di sini juga kita akan dikuburkan. Dan kita tidak punya pilihan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bukan tujuan dan niat saya untuk kita berperang engan kaum lain. Bukan niat kita nak semarakkan api kebencian kepada orang lain. Hanya sekadar ingatan kepada yang muda agar Melayu tidak mudah lupa.
Agama kita tidak mengajar kita sedemikian rupa. Agama Islam menganjurkan agar kita berlaku adil dan saksama dan berprasangka baik sesama manusia.
Jadilah Melayu Bijaksana
Bak kata Datuk Usman Awang, Jadilah bangsa yang bijaksana. Memegang tali pegang juga timbanya; memiliki ekonomi dan mencipta budaya supaya menjadi tuan di negara merdeka.
Sebelum saya mengakhiri rintihan ini, jadilah Melayu yang bijaksana, tidak perlu mengangkat senjata dan tidak perlu kita bersengketa, peganglah kata pusaka ini nescaya Melayu akan selamat:
Ibarat kita memalu ular, kayu jangan patah, tanah jangan berlekuk, tetapi ular mati dipalu.
1 comment:
kalau ada seribu orang cam ni..malaysia bangsa lain pon tak bangun//jangan jadi pak kodok bawah tempurung ada persatuan ..tapi makan tuan ..bersatulah ///cari kedamaian dihatidemi negara sebelum mati..allah hu akbar
Post a Comment