Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

22 January 2008

Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah

Selamat membaca..........
Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah

DIHIASKAN (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). (Ali Imran: 14)

HURAIAN:
Secara fitrahnya manusia dijadikan suka kepada kesenangan hidup di dunia yang berupa wanita cantik, anak yang ramai dan kemewahan sama ada harta benda, binatang ternakan mahupun tanah ladang. Kesemuanya ini adalah ujian daripada Allah s.w.t. bagi mengukur tahap keimanan dan keikhlasan seseorang muslim. Kita perlu sedar bahawa segala kenikmatan ini adalah amanah Allah s.w.t. kepada kita dan akan dipersoalkan di akhirat nanti sejauh mana kita telah menunaikan amanah tersebut.

Hanya mereka yang sedar bahawa semuanya itu merupakan ujian dan amanah Allah sahajalah yang akan terselamat dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Bahkan mereka yang menjadikan segala kesenangan hidup di dunia sebagai wasilah meningkatkan keimanan dan menunaikan amanah Allah s.w.t. mereka ini akan dianugerahkan balasan syurga olah Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Itulah nikmat yang lebih besar dan tiada bandingannya dengan segala kesenangan dan nikmat di dunia, sebaliknya mereka yang lalai dan sibuk mengejar hiburan untuk mendapatkan habuan kesenangan dan kemewahan dunia akan sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai hasrat tersebut sekalipun menyalahi undang-undang syariat Islam. Mereka ini hanya mengecap nikmat yang sementara dunia dan di akhirat kelak terpaksa menanggung azab seksa buat selama-lamanya.

KESIMPULAN:
Segala kesenangan hidup di dunia adalah semata-mata ujian daripada Allah s.w.t. dan amanah-Nya. Mereka yang berjaya menunaikan amanah Allah s.w.t. akan menikmati ganjaran syurga di akhirat manakala mereka yang hanyut dengan keseronokan dunia dan gagal menunaikan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t. akan ditimpa azab seksa di akhirat. Sesungguhnya syurga adalah ganjaran dan nikmat yang lebih baik daripada segala kesenangan hidup di dunia.

No comments: