Selamat membaca..........
Bahasa Arab untuk semua
Tanpa mengira apa status anda, anda sangat perlu belajar bahasa Arab. Ini berlandaskan kepada hadis Nabi yang bermaksud, “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Ini bermakna, selagi anda berstatus manusia, anda perlu belajar bahasa Arab.
Hadis di atas cukup ringkas tetapi padat. Ia membawa pengertian yang cukup besar kepada kita khasnya umat Islam. Suruhan belajar bahasa Arab ini adalah dalam bentuk kata kerja arahan ataupun fi-il amar. Menurut kebanyakan ulama hadis ia membawa hukum wajib.
Dalam hadis ini terdapat dua arahan utama iaitu belajarlah dan ajarkanlah. Ini bererti, kita wajib belajar bahasa Arab. Jika kita sudah pandai bahasa Arab dan mampu menguasainya, kita diarahkan pula agar mengajarkannya kepada orang lain.
Sehubungan itu, terdapat dua golongan utama di sini iaitu sama ada sebagai pelajar atau guru. Anda pilih yang mana satu yang anda mahu. Jika berhadapan dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab, maka jadilah seorang pelajar yang mahu menuntut ilmu.
Sebaliknya jika bersama dengan orang yang tidak tahu berbahasa Arab, maka ajarkanlah mereka bahasa Arab. Jika sama-sama tidak tahu ajaklah rakan-rakan anda untuk mencari tempat yang sesuai untuk belajar.
Selain itu, hadis ini juga sebenarnya adalah merupakan suatu motivasi yang amat bermakna kepada guru-guru Bahasa Arab. Sekiranya kita perhatikan ungkapan “ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Kita dapati Nabi telah menyediakan suatu pasaran yang cukup luas.
Kita juga mungkin tertanya-tanya kenapa Nabi tidak menyebut “ajarkanlah kepada kaum Muslimin?” Sebaliknya dalam hadis ringkas ini, baginda menyebut “ajarkanlah kepada sekelian manusia”.
Jadi, pasaran pelanggan memang cukup luas. Bahasa Arab adalah untuk semua makhluk bergelar manusia. Selagi seseorang bergelar manusia, maka dia perlu belajar Bahasa Arab. Ini bukan arahan sebarangan. Ini arahan Nabi kepada kita semua.
Cuma persoalannya, bagaimana seseorang guru bahasa Arab dapat meyakinkan orang ramai betapa pentingnya bahasa Arab.
Dalam hal ini, mungkin terlalu ramai di kalangan kita masih belum mengetahui kepentingan bahasa Arab. Jika sudah mengetahui kepentingannya pula ramai juga yang diberitahu bahawa bahasa ini sangat sukar dipelajari. Tidak ramai yang didedahkan dengan kaedah mudah mempelajarinya.
Sehubungan itu, usaha mempromosi kepentingan bahasa Arab dan teknik mudah mempelajarinya perlu diuar-uarkan kepada umum.
Ringkasnya, setiap kita wajib belajar dan menguasai bahasa Arab. Di sini dinyatakan berbagai kepentingan dan keperluan menguasai bahasa Arab kepada pelbagai golongan. Antara golongan yang sangat memerlukan penguasaan bahasa Arab ialah umat Islam, jemaah haji, golongan profesional, tokoh korporat dan ahli akademik.
Golongan pertama yang wajib menguasai bahasa ini ialah umat Islam. Ini kerana panduan utama umat Islam adalah al-Quran dan al-hadis. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab. Bagaimana seseorang itu dapat menterjemahkan kehendak Allah dan rasul-Nya dalam kehidupan seharian tanpa memahami isi kandungannya.
Golongan kedua pula ialah jemaah haji. Sejumlah tiga juta umat Islam dari serata pelosok dunia berkumpul setiap tahun di bumi Mekah untuk menunaikan haji. Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit, budaya dan bahasa. Mereka adalah delegasi mewakili pelbagai negara untuk berbincang mengenai masa depan umat Islam di seluruh dunia. Sepatutnya, setiap mereka boleh berbahasa Arab untuk bermuzakarah ke arah menyelesaikan pelbagai masalah umat.
Persediaan
Malangnya, Bahasa Arab masih belum dikuasai oleh kebanyakan jemaah haji. Dalam konteks jemaah haji Malaysia, masih ramai yang tidak pernah mempelajari bahasa Arab untuk ke sana. Mari kita bandingkan antara pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran di negara Komanwel dengan jemaah haji kita.
Mereka belajar bahasa Inggeris selama 12 tahun (6 tahun di sekolah rendah, 5 tahun di sekolah menengah dan 1 tahun persediaan). Kebanyakan jemaah haji Malaysia tidak mampu membuat persediaan bahasa seperti pelajar tadi. Usahkan 12 tahun, atau 12 bulan, atau 12 minggu, atau 12 hari, 12 jam belajar pun belum tentu.
Jadi bagaimana mereka boleh mengadakan perbincangan, muzakarah, persidangan, seminar dan sebagainya dengan jemaah lain di Mekah dan Madinah?
Golongan ketiga pula ialah profesional. Mereka terdiri daripada para doktor, peguam, jurutera, akauntan, geologi, pegawai tadbir dan diplomatik dan lain-lain. Untuk berjaya dalam bidang yang diceburi, seseorang itu perlu memahami dan mengaplikasikan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Ini kerana al-Quran adalah panduan hidup yang lengkap. Di dalamnya terkandung pelbagai aspek seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan, perakaunan, alam sekitar, pengurusan dan lain-lain lagi. Sehubungan itu, amat rugi jika profesional kita tidak dapat merujuk al-Quran untuk meningkatkan mutu dalam kerjaya mereka.
Golongan keempat ialah golongan korporat. Perlu kita sedar bahawa negara Arab berjumlah 23 negara yang keluasannya lebih besar daripada kepulauan nusantara. Bilangan penduduknya juga lebih ramai. Beberapa negara tersebut kaya dengan hasil minyak. Antaranya ialah Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Libya, Algeria dan Emiriah Arab Bersatu. Untuk memudahkan kita menjalin hubungan perniagaan yang lebih erat dengan mereka, kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Arab amat diperlukan.
Sebagai contoh, berkat komunikasi yang baik, beberapa buah konsortium dan syarikat dari Malaysia telah berjaya mendapat tender pembinaan berjumlah RM3 bilion di Arab Saudi, baru-baru ini.
Seterusnya golongan akademik dalam pelbagai bidang sepatutnya menguasai bahasa Arab untuk membuat penyelidikan. Ini kerana al-Quran adalah sumber utama dalam rujukan penyelidikan ilmiah. Kegagalan merujuk al-Quran dalam bidang yang diceburi merupakan suatu kerugian besar dalam meningkatkan kualiti penyelidikan.
Dalam konteks negara, kita sebenarnya cukup bertuah kerana memiliki pemimpin yang memahami dan ingin melaksanakan usaha murni ini. Umpamanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun melancarkan konsep Islam Hadhari.
Antara prinsip penting tersebut ialah penguasaan ilmu pengetahuan yang setanding dengan negara-negara maju lain.
Beliau juga amat peka dengan perkembangan bahasa Arab. Sebaik sahaja, menerajui tampuk pemerintahan negara, J-QAF (Jawi-Quran-Arab-Fardu Ain) diperkenalkan pada tahun 2005 di sekolah-sekolah bermula di sekolah rendah lagi. Secara tidak langsung semua pelajar yang beragama Islam belajar bahasa Arab sejak tahun satu.
Sebelum ini mereka mula belajar ketika di tingkatan satu sekolah menengah. Itupun cuma segelintir pelajar di sekolah-sekolah yang menawarkan bahasa Arab sahaja.
Selain itu, beliau menyarankan nama Bahasa Arab Komunikasi digantikan dengan nama Bahasa Arab. Tujuan utamanya ialah agar tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab bukan sekadar untuk berkomunikasi, bahkan lebih daripada itu.
Antaranya untuk mengkaji dengan lebih terperinci ilmu-ilmu yang berteraskan wahyu, akal dan pengalaman yang dipelopori ulama silam yang terbilang.
Bak kata pepatah Melayu ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Dalam hal ini, alang-alang kita belajar jawi biarlah kita teruskan belajar bahasa Arab. Kalau orang Malaysia boleh menguasai bahasa Arab, secara tidak timbul masalah membaca tulisan jawi lagi.
1 comment:
Pelajari bahasa arab dengan cukup mudah dan senang ...melalui panduan yang telah disediakan oleh seorang yang pakar dalam pengajaran bahasa arab ini ...Rahsia belajar bahasa arab dengan mudah!
Post a Comment