Selamat membaca..........
Profesion perguruan tagih kejujuran
Oleh Dr Rusinah Siron
SESI persekolahan 2008 sudah bermula. Tahun baru membawa azam baru bagi guru yang sudah tentu ingin memperkasakan diri bagi mempertingkatkan kejayaan dalam profesion perguruan. Laporan akhbar pada 2007 yang menunjukkan 200 aduan salah laku guru dengan pelbagai masalah etika kerja, disiplin dan moral serta rasuah perlu diberi perhatian serius oleh guru dan masyarakat.
Bagi guru, salah laku yang dilakukan oleh guru akan menjejaskan nama baik profesion perguruan di mata masyarakat dan bagi masyarakat pula, isu salah laku ini akan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap guru yang diamanahkan untuk mendidik anak mereka seperti kata pepatah �ketam mengajar anaknya berjalan betul sedangkan diri sendiri jalan bengkang bengkok�.
Guru perlu sedar bahawa segala tindak tanduk dan perlakuan mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat setempat, tambahan lagi jika guru itu bertugas di kawasan luar bandar yang penuh dengan peradaban hidup masyarakat kampung atau masyarakat yang sentiasa memandang tinggi kepada tatasusila kehidupan.
Guru perlu peka kepada persekitaran mereka seperti kata pepatah �di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung�. Dalam profesion perguruan pula seseorang guru yang memegang amanah untuk menjawat jawatan guru akan terikat dengan etika profesionalisme sebagai seorang guru yang mesti dijunjung dan dipatuhi selagi mana jawatan sebagai guru itu dipegang individu terbabit.
Sebagai seorang guru pula, segala etika tatasusila perguruan serta disiplin dan moral bagi seorang guru sudah dihafal dan dilaksanakan dalam kerjaya mereka sebagai guru.
Pada masa sama, guru juga perlu memahami bahawa etika profesionalisme itu bukan saja tertakluk kepada perundangan yang tertulis dalam buku, tetapi menjangkaui kehendak dan keperluan semasa dan masyarakat.
Seorang guru perlu mempunyai moral dan disiplin diri yang diterap dengan jelas dan jitu dalam membentuk diri menjadi seorang guru yang berakhlak mulia. Guru menjunjung amanah sebagai pendidik yang perlu bersikap jujur dan ikhlas terhadap pelajarnya, sekolah dan pentadbiran organisasi pendidikan secara keseluruhannya. Guru perlu amanah dalam menjalankan tugasnya.
Amanah dan jujur dalam tugas sangat dipandang tinggi dalam kerjaya perguruan, seseorang guru tidak boleh merungut, memberontak dalam diam dan secara terang dan mengutuk pihak berkaitan jika ditugaskan di sekolah di pedalaman atau negeri dan kawasan yang tidak mereka sukai.
Guru juga tidak boleh melakukan tugasan dan aktiviti seperti berikut yang menjejaskan etika profesionalisme, seperti:
l Datang lambat ke sekolah dengan pelbagai alasan tidak munasabah.
l Berpakaian selekeh dan tidak kemas dan tidak menunjukkan contoh sahsiah diri yang baik di mata pelajar.
l Berkomunikasi dengan bahasa yang buruk dan kasar, terutama terhadap pelajar yang boleh menjejaskan perhubungan yang baik antara guru dan pelajar.
l Berniaga dalam masa kerja dan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memberi manfaat kepada diri
l Mengajar yang tidak memberi kesan positif kepada pelajar seperti mengajar terlalu lambat, tidak membuat persediaan mengajar yang baik, tidak mengikut sukatan pelajaran, tidak memberi kerja rumah kerana malas hendak menanda kerja rumah pelajar, duduk semasa mengajar, membebel dan berborak dengan pelajar dalam waktu mengajar, marah dan memaki hamun pelajar dalam masa mengajar dan pelbagai lagi perkara yang boleh menjejaskan proses pembelajaran yang berkesan.
l Terlalu memanjakan pelajar sehingga membabitkan emosi dan perasaan pelajar terganggu, terutama pelajar atau guru yang berlainan jantina. Keadaan ini membuatkan ada pelajar yang memendam perasaan �cinta� kepada guru mereka dan disebabkan perhubungan mesra ini ada guru lelaki yang mengambil kesempatan terhadap pelajar perempuan seperti mencabul dan merogol pelajar berkaitan.
l Guru sepatutnya menjadi pelindung, pendorong dan pendidik kepada anak muridnya. Dalam keadaan ini guru perlu sentiasa mampu mempertingkatkan diri dan profesionalisme profesion perguruan dengan menjalankan aktiviti dan tanggungjawab terhadap diri, profesion perguruan dan terhadap agama, bangsa dan negara.
l Memajukan diri dengan membuat tugasan dan aktiviti yang relevan untuk mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu sentiasa membaca, membuat rujukan dan semakan terhadap hal semasa dan pelbagai aspek ilmuan yang boleh ditunjuk pakai kepada pelajarnya.
l Guru perlu terus mempertingkatkan diri sendiri dengan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi tujuan membina ilmuan dalam bidang yang menjadi kepakaran mereka.
l Guru perlu sentiasa menjaga sahsiah diri yang baik bagi mempertingkatkan reputasi dan maruah mereka sebagai guru dan profesion perguruan.
l Guru perlulah berterusan memberikan komitmen yang padu terhadap sekolah dan pentadbiran pendidikan dengan menghadiri kursus yang diperuntukkan untuk guru bagi mempertingkatkan lagi profesion perguruan dan keilmuan mereka.
l Guru perlulah setia dan amanah terhadap profesion perguruan dengan tidak berbelah bagi kepercayaan mereka terhadap tugasan terhadap guru. Janganlah guru sentiasa memikirkan kepentingan diri dengan menjalankan tugas sampingan seperti menjadi guru tuisyen dengan komited, tetapi tugas hakiki sebagai guru di sekolah tidak dilaksana dengan sempurna.
l Guru perlu konsisten dalam menjalankan tugas dan tidak dipengaruhi emosi yang tidak stabil disebabkan masalah peribadi dan masalah pentadbiran sekolah. Contohnya, jika guru ditegur pengetua kerana hal disiplin, guru melepaskan kemarahan itu kepada pelajarnya. Atau jika guru memohon pertukaran sekolah dan permohonan terbabit ditolak, guru membuat tindakan �mogok� secara senyap dalam tugas dengan tidak bertugas dengan baik, merungut dan sebagainya dengan tujuan untuk �tunjuk perasaan� kerana permohonan tukar sekolahnya ditolak. Ini adalah pelanggaran etika yang tidak boleh dilakukan.
l Guru tidak harus terbabit dengan isu sensitif yang berlaku dalam persekitaran mereka seperti isu politik, perkauman dan agama. Guru tidak boleh menghasut, mendorong dan menyemai semangat �pemberontakan kasar dan halus� secara langsung atau tidak langsung dalam jiwa dan perlakuan pelajarnya. Ada guru yang melakukan perkara ini secara sengaja menerusi soalan ujian, contoh tugasan ataupun perdebatan dalam kelas.
Jika guru melakukan perkara ini dengan tujuan untuk mengumpul sokongan dan mendapat �keahlian baru� dalam keadaan menyokong pendirian atau kumpulan yang diikuti guru terbabit, ia adalah perlanggaran etika profesionalisme perguruan.
Bukan mudah untuk menjadi guru yang mendokong etika profesionalisme perguruan tinggi, tetapi ia tidak juga susah untuk dilaksanakan dan dilaksanakan oleh seorang guru kerana pokok pangkalnya adalah kemahuan, kejujuran, komitmen dan kerjasama guru untuk bersama-sama masyarakat lain mempertingkatkan kejayaan anak bangsa demi agama, bangsa dan negara Malaysia tercinta.
Prof Madya Dr Rusinah Siron Pensyarah Utama Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakunan Universiti Tenaga Nasional
No comments:
Post a Comment