Selamat membaca..........
Helah pelan damai terbaru Bush
Oleh: AZMI HASSAN
MEMANG sukar untuk menafikan apa yang lazim diperkatakan mengenai era pemerintahan Presiden George W. Bush yang disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah moden Presiden Amerika Syarikat (AS).
Bayangkan bagaimana lawatan julung kali Bush ke Israel dan Palestin semenjak beliau menjawat jawatan Presiden pada tahun 2000 langsung tidak mendapat tempat bukan sahaja daripada media AS malah dari seluruh dunia.
Lawatan yang bermula pada Rabu lepas kurang mendapat perhatian tetapi sebaliknya media dan penganalisis lebih berminat dengan keputusan pemilihan calon Presiden AS. Malah berita kemenangan Hillary Clinton dari Parti Demokrat di pemilihan New Hampshire telah mengatasi laporan lawatan Bush di Baitulmaqdis dan Ramallah.
Masyarakat antarabangsa lebih berminat untuk mengetahui siapakah pengganti Bush menjelang Januari 2009 berbanding dengan apa yang sedang diusahakan oleh Bush mengenai penyelesaian persengketaan Palestin dan Israel.
Kenyataan Bush di Ramallah yang antara lain menggesa rejim Israel supaya berundur dari bumi Palestin yang dijajah sepatutnya membawa berita gembira kepada mereka yang mahu melihat persengketaan ini ditamatkan masih tidak mendapat perhatian.
Malah ramai penganalisis merasa sinis dengan kenyataan Bush yang begitu yakin penyelesaian dapat dicapai sebelum beliau meninggalkan White House pada awal tahun 2009.
Isu sempadan di antara negara Palestin yang berdaulat dan Israel adalah antara masalah utama yang membuatkan kemelut ini sukar diselesaikan. Kenyataan Bush yang dibuat di Ramallah tempoh hari pada dasarnya menghendaki rejim Israel berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, iaitu garis sempadan akan kembali seperti sebelum Perang Enam Hari pada tahun 1967.
Kenyataan Bush tersebut seolah-olah menggambarkan Washington telah mengubah dasar Asia Barat yang selama ini menyokong rejim Israel dalam apa jua keadaan sekalipun. Sememangnya rakyat Palestin sepatutnya bergembira dengan kenyataan Bush kerana rejim Israel pada ketika ini sedang menjajah lebih daripada 40 peratus Tebing Barat dan sebahagian besar Baitulmaqdis Timur.
Ini bermakna penempatan haram yang besar seperti Ariel, Maale Adumin dan Gush Etzion yang mempunyai seramai 430,000 peneroka haram Yahudi terpaksa dihapuskan dan diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.
Pada ketika ini status-quo Tebing Barat membebankan rakyat Palestin kerana jumlah penduduk lebih daripada dua juta orang terpaksa berkongsi dalam keluasan 60 peratus Tebing Barat sedangkan 400,000 peneroka haram Yahudi hidup dengan penuh selesa di kawasan paling subur yang merangkumi 40 peratus Tebing Barat.
Begitu juga dengan pendudukan haram di Baitulmaqdis Timur terpaksa ditamatkan sedangkan rakyat Yahudi menganggap keseluruhan Baitulmaqdis adalah milik mereka.
Tetapi jika diteliti kenyataan Bush dengan lebih halus, terlalu banyak kepincangan yang terkandung yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada penyelesaian konflik di Asia Barat.
Rupa-rupanya Bush ada mencelah bahawa berakhirnya penjajahan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur perlu dilakukan dengan beberapa pembetulan.
Tidak disuratkan apakah jenis pembetulan tersebut tetapi jika diteliti sekali lagi kenyataan Bush mengenai nasib pelarian Palestin yang ingin kembali ke tanah air mereka, nampak gayanya pembetulan yang terpaksa dilakukan besar kemungkinan merugikan Palestin.
Memang benar inisiatif Bush kali ini ada menyebut bahawa isu persempadanan dan Baitulmaqdis adalah antara agenda utama. Tetapi sanggupkah rejim Israel yang pada ketika ini mengawal penuh Baitulmaqdis Timur milik Palestin melepaskannya dengan begitu sahaja?
Persoalan yang tidak kurang kritikalnya pula ialah sanggupkah rejim Israel merobohkan penempatan haram di Tebing Barat dan berundur supaya sempadan negara Palestin yang merdeka adalah seperti mana sebelum berlakunya perang 1967?
Sudah tentu juga rakyat Israel tidak akan menerima kembali pelarian Palestin yang berjumlah hampir empat juta yang hari ini sedang merempat di negara lain dan sebab itulah juga Bush terus menutup ruang sebarang angan-angan pelarian Palestin untuk kembali ke tempat asal mereka.
Jika Bush telah menyatakan dengan jelas bahawa pelarian Palestin tidak akan dibenarkan kembali ke tempat asal mereka yang kini adalah negara Israel tetapi sebaliknya hanya akan diberi pampasan, maka sudah begitu jelas sekali rejim Israel tidak akan dipaksa melepaskan 40 peratus Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang sedang dijajah.
Sebaliknya Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah pimpinan Mahmoud Abbas akan dipulas tangan supaya menerima status quo seperti hari ini.
Sebab itulah White House begitu menyanjungi kepimpinan Mahmoud Abbas kerana Abbas begitu terhutang budi dengan Washington yang menyokong PA dengan segala bentuk bantuan.
Secara dasarnya PA di bawah Abbas tidak mendapat sokongan padu rakyat Palestin dan keputusan pilihan raya pada Januari 2006 yang menyaksikan kemenangan besar Hamas di Semenanjung Gaza adalah manifestasi betapa goyahnya kepimpinan Abbas.
Seperti mana juga Bush langsung tidak mahu berbicara dengan pemimpin PA sebelum Abbas iaitu Yasser Arafat, Bush juga tidak mahu berunding dengan pemimpin Hamas di Gaza iaitu Ismail Haniyeh kerana Haniyeh tidak semudah Abbas untuk dipujuk menerima terma perdamaian yang begitu berat sebelah.
Sudah tentu sekali rejim Israel tidak akan melepaskan apa yang sedang dimiliki sekarang terutama sekali Baitulmaqdis Timur dan 40 peratus tanah subur di Tebing Barat.
Ada pula yang mendalilkan jika Ariel Sharon sanggup melepaskan Semenanjung Gaza mengapa pula Tebing Barat perlu menjadi satu masalah kepada Ehud Olmert?
Tetapi perlu diingat pelan pengunduran Sharon tersebut hanyalah helah untuk menguasai keseluruhan Baitulmaqdis dan sebahagian Tebing Barat dan kenyataan dasar Bush di Ramallah telah mengiakan segala yang telah dirancang oleh pemimpin rejim Israel.
Kenyataan dasar Bush yang terbaru mengenai perdamaian di Asia Barat sebenarnya menentang arus dengan resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegaskan bahawa kawasan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dijajah oleh rejim Israel adalah menyalahi perundangan antarabangsa.
Begitu ironis sekali kerana AS adalah ahli tetap Majlis Keselamatan PBB tetapi secara terang memberi galakan kepada rejim Israel supaya mengingkari kehendak masyarakat antarabangsa.
Sebab itulah media antarabangsa tidak begitu memberi endah terhadap lawatan sulung Bush ke Asia Barat kerana tiada apa yang baru diketengahkan untuk menyelesaikan kemelut Palestin Israel.
Ramai yang mengharapkan menjelang akhir era pemerintahan Bush, beliau akan memaksa Israel melepaskan kawasan yang dijajah tetapi sudah nyata harapan tersebut jauh meleset daripada menjadi kenyataan.
Sebab itu juga media antarabangsa lebih memberi tumpuan kepada bakal Presiden yang akan menggantikan Bush kerana sudah pasti tidak kira sama ada Hillary, Barack Obama atau John McCain yang menjadi Presiden AS, pembaharuan terhadap penyelesaian konflik Asia Barat diharap menjadi lebih adil dan saksama.
- PROF. MADYA SR. DR. AZMI HASSAN ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
No comments:
Post a Comment