Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

25 January 2008

Tuntutan pembaharuan sektor binaan

Selamat membaca..........
Tuntutan pembaharuan sektor binaan
Oleh Zakaria Mohd Yusof


Suasana kerja selesa mampu tarik tenaga mahir tempatan, kikis imej kategori 3D


ALASAN yang sering diberikan majikan mengapa mereka terpaksa bergantung kepada pekerja asing ialah sikap pekerja tempatan itu sendiri tidak berminat bekerja di sektor pekerjaan dalam kategori 3D iaitu �Dirty, Dangerous dan Difficult�. Sektor yang jelas tergolong dalam kategori ini ialah sektor binaan.


Perkara ini tidak dapat dinafikan. Sindrom inilah yang dikatakan menjadi faktor utama kenapa belia tempatan tidak berminat memilih sektor binaan sebagai kerjaya mereka.


Justeru, usaha serius perlu difikirkan bagi meningkatkan imej sektor binaan ini agar suasana kerjanya lebih selesa dan mempunyai peluang memajukan diri dari semasa ke semasa. Prospek kerjaya yang jelas dan meyakinkan serta peluang yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki perlulah dirangka dengan pendekatan yang strategik berserta komitmen dari pelbagai peringkat masyarakat.


Ketika ini tiada dasar jelas mengenai masa depan belia yang menamatkan latihan di institusi latihan kemahiran awam. Majikan bebas mengambil sesiapa saja sebagai pekerja. Tentu sekali tanpa dasar jelas, pekerja asing yang menjadi pilihan utama kontraktor dan ini memberi gambaran seolah-olah sijil kemahiran yang dimiliki tidak mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka.


Justeru, usaha menggalakkan kontraktor supaya mengutamakan pekerja tempatan nampaknya gagal untuk mengubah ketagihan mereka daripada menggunakan khidmat pekerja asing. Ia harus diperkukuhkan dengan satu ketetapan yang jelas dan tegas.


Seterusnya, prosedur keselamatan di tempat kerja juga harus ditingkatkan. Sering kali sektor binaan dikaitkan dengan suasana kerja yang bahaya. Apa lagi, berdasarkan laporan, pada 2004 saja, binaan adalah sektor ketiga dari segi peratus kematian dan kemalangan di tempat kerja berbanding sektor lain.


Justeru, usaha mewujudkan suasana kerja yang bukan saja selesa, bahkan selamat adalah satu kemestian untuk difikirkan sekiranya imej yang negatif ini ingin dikikis di minda belia. Penguatkuasaan yang tegas dari segi prosedur keselamatan di tapak bina mampu mengubah persepsi negatif ini.


Ganjaran setimpal dengan bentuk kerja yang dilakukan bersesuaian dengan taraf mereka sebagai warga negara Malaysia, tentunya mampu mengubah persepsi negatif yang sering bermain di minda mereka dan menjanjikan kerja yang seronok walaupun kadangkala mereka terpaksa melakukan kerja sukar.


Tentu sekali tidak wajar untuk disamakan komitmen belia tempatan dengan pekerja asing. Kedatangan pekerja asing ke negara kita semata-mata kerana tuntutan hidup mereka. Kerana itulah mereka sentiasa sanggup melakukan apa saja, walaupun dibayar dengan kadar yang rendah.


Berlainan pula dengan belia tempatan, yang mana, mereka harus membina masa depan di tanah air mereka sendiri. Realiti keperluan hidup yang semakin hari semakin kritikal, seperti kediaman, kenderaan serta keinginan untuk hidup berkeluarga memerlukan persediaan yang rapi.


Justeru, ganjaran yang setimpal akan menimbulkan rasa seronok dan ini mendorong mereka untuk memilih sektor binaan ini sebagai sumber pencarian hidup. Ini dilengkapkan lagi dengan menyediakan program untuk menyuntik perasaan bangga dengan pembabitan kerja dalam sektor binaan.


Kita berkeyakinan sekiranya langkah ini dimasukkan dalam perancangan jangka panjang dalam usaha mewujudkan tenaga kerja mahir tempatan secara berperingkat seperti yang dirancangkan kerajaan, sindrom 3D yang menjadi persepsi umum belia tempatan mampu diubah menjadi 3S � selesa, selamat dan seronok.


Seterusnya, dengan beberapa polisi dan dasar tertentu, kecenderungan kebanyakan majikan untuk terlalu memberi keutamaan kepada pekerja asing turut berubah, walaupun ia berlaku peringkat demi peringkat. Dengan itu, negara bukan saja dapat mengelakkan kehilangan pendapatan berbilion ringgit setahun, tetapi juga mengelakkan berlaku pembaziran sumber tenaga berikutan belia terlatih tempatan tidak dimanfaatkan.


Justeru, bagi memastikan belia terlatih lulusan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) berada di pasaran pekerjaan, cadangan berikut diharap mampu mengimbangi kebergantungan kepada pekerja asing secara berterusan, iaitu:


# Mewujudkan dasar supaya semua majikan dimestikan mengambil pekerja binaan yang memiliki sijil kemahiran dari mana-mana ILKA yang disediakan kerajaan.


# Kerajaan hendaklah menubuhkan pusat tenaga kerja mahir tempatan. Semua lulusan ILKA hendaklah didaftarkan sebaik saja menamatkan latihan. Ia berfungsi sebagai bank pekerja mahir tempatan. Majikan yang memerlukan pekerja mesti mendapatkan tenaga kerja di pusat ini sebelum diberi keizinan mengambil pekerja dari sumber lain. Fungsinya sama dengan Pusat Pertukaran Pekerja Asing (CLAB) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Bezanya, CLAB adalah pusat pertukaran pekerja asing, manakala pusat ini khususnya untuk pertukaran pekerja mahir tempatan lulusan ILKA.


# Membuat penyelarasan ke atas semua ILKA yang menyediakan latihan berkaitan sektor binaan supaya fungsinya lebih bersepadu. Jawatankuasa penyelarasan peringkat kebangsaan dibentuk bagi memantau bilangan pekerja mahir yang mampu dilahirkan. Sasaran bilangan pekerja mahir yang perlu di sediakan oleh setiap ILKA haruslah bersesuaian dengan bilangan yang diperlukan negara. Untuk itu kajian berapakah keperluan sebenar tenaga kerja untuk sektor binaan, sekiranya belum ada, wajar dilaksanakan.


# Hubungan di antara ILKA dan industri juga harus diperkemaskan bagi memastikan lulusan yang dikeluarkan itu memenuhi kriteria yang diperlukan oleh pihak industri. Pengurusan ILKA harus dari semasa ke semasa menjemput kontraktor untuk membuat penilaian ke atas program yang dilaksanakan.


# Kerajaan, melalui CIDB dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) perlu meletakkan syarat tambahan kepada mana-mana kontraktor yang memperoleh tender kerajaan supaya menyenaraikan pekerja tempatan yang dilatih di ILKA sebelum urusan memberi atau membaharui lesen dibuat. Ini bagi memastikan pelatih merasakan sijil latihan yang diperoleh mempunyai nilai di pasaran pekerjaan.


# Wajibkan latihan industri dalam kurikulum pengajaran. Pelatih dikehendaki melalui proses latihan industri sebelum sijil tamat latihan dikeluarkan kepada mereka. Kerajaan hendaklah mengarahkan kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan menerima pelatih ini untuk mendapatkan pengalaman.


# Bagi menarik belia menceburkan diri dalam industri binaan, pelatih yang menamatkan latihan dengan jayanya dan didapati berkemampuan hendaklah diberi dorongan untuk memperoleh lesen binaan sendiri sebagai satu jalan melahirkan usahawan di sektor binaan.


# Sistem pendidikan dalam bidang pembinaan hendaklah dimulakan lebih awal. Pelajar didedahkan dengan prospek dan masa depan dalam industri binaan. Subjek mata pelajaran vokasional yang ditawarkan di sekolah boleh dijadikan landasan dan diperkasakan fungsinya.


# Laluan kerjaya perlu dirangka bagi membolehkan pelatih memahami dengan lebih jelas hala tuju mereka sebaik saja menamatkan latihan kemahiran.


# Kerajaan hendaklah memberi insentif tertentu kepada kontraktor yang memberi lebih keutamaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek mereka.


# Penghulu dan pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) juga harus berperanan dalam mengumpul data bilangan belia lepasan di lokasi masing-masing. Ini perlu bagi mengelakkan lepasan sekolah ini hilang begitu saja tanpa usaha memberi nilai tambah terutama mereka yang tahap akademik kurang cemerlang.


Sektor binaan negara masih mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh belia tempatan bagi mengimbangi lambakan pekerja asing dan sekali gus menjimatkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara. Perubahan sikap menjadi penentu dan ia mestilah datang dari semua pihak terbabit. Kontraktor juga harus berperanan memikirkan bagaimana mereka boleh membantu menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing secara berperingkat.


Usaha berterusan harus difikirkan agar kebergantungan kepada tenaga kerja asing ini dapat dikurangkan kalau pun tidak mencapai angka sifar. Jalan keluar bagaimana untuk menarik minat belia ke sektor binaan perlu diteliti lebih mendalam.


Prof Madya Zakaria Mohd Yusof ialah Pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM

No comments: