Kami beli

harga emas

28 March 2008

Universiti Antarabangsa kejururawatan

Selamat membaca..........

Malaysia perlu Universiti Antarabangsa kejururawatan




�IMPIAN saya ialah satu hari nanti, Kementerian Pengajian Tinggi akan menubuhkan sebuah universiti bertaraf antarabangsa yang khusus menawarkan kursus pengajian kejururawatan.�


Demikian harapan Profesor Madya Rohani Arshad, penerima anugerah �Tokoh Jururawat Seri Zamrud 2008.


Anugerah itu, adalah yang pertama kali diadakan oleh Kementerian Kesihatan tahun lalu sebagai menghargai kerjaya kejururawatan di negara ini. Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican pada satu majlis yang diadakan di Hotel Santubong di Kuching, Sarawak, pada 13 Mac lalu.


Rohani, Ketua Jabatan Sains Kejururawatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), adalah Profesor Madya pertama dalam bidang sains kejururawatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.


Beliau berpendapat penubuhan universiti terbabit adalah langkah tepat ke arah meningkatkan lagi pembangunan aspek akademik dan kecekapan kerjaya jururawat.


Rohani berkata, , universiti itu boleh mengambil pelajar dan kakitangan akademik dari negara lain dan pada masa sama, ia juga boleh menjalankan program pertukaran pelajar dan kakitangan akademik dengan institusi luar negara.


Rohani berkata, Malaysia kini mempunyai 19 sekolah dan kolej kejururawatan awam serta 35 institusi swasta di bidang yang sama.


�Alangkah baik jika kita dapat satukan semua institusi kejururawatan ini di bawah satu bumbung. Ia boleh menawarkan kursus daripada peringkat diploma hinggalah ke sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah,� katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.


Pemilik ijazah Sarjana Sains Kejururawatan dan Pendidikan dari Universiti Edinburgh, United Kingdom, Rohani menyifatkan penubuhan universiti sedemikian amat sesuai dengan keadaan masa kini kerana negara mempunyai 75,000 jururawat yang aktif dalam perkhidmatan awam dan juga sektor swasta.


Kerajaan sudah melakukannya untuk guru, dengan mendirikan Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. �Kenapa tidak satu universiti yang khusus untuk jururawat, dikendalikan dan diurus oleh mereka daripada bidang kejururawatan turut diadakan,� katanya.


�Universiti itu boleh dikendalikan sepenuhnya oleh mereka daripada kerjaya kejururawatan. Ertinya semua jawatan daripada peringkat pengajar, pensyarah, ketua jabatan, dekan serta naib canselor adalah mereka di bidang kejururawatan,� kata Rohani lagi.


Beliau menjelaskan sebuah universiti kejururawatan akan dapat memusatkan semua pengajian kursus kejururawatan.


�Sudah tentu ia perlu sebuah hospital pengajar untuk kerja klinikal, tetapi masalah besar sekarang ialah tidak cukup pensyarah dalam bidang kejururawatan,� katanya.


Rohani berkata kementerian sudah mula mengambil langkah yang baik dengan melantik seorang jururawat sebagai pengarah sebuah hospital umum di negara ini, misalnya, Hospital Lanau di Sarawak yang kini mempunyai pengarah iaitu seorang jururawat.


�Ini adalah langkah positif kerana pihak Kementerian Kesihatan sudah bergerak ke arah memberi perhatian yang lebih terhadap jururawat. Tetapi kerjaya kejururawatan perlu lebih daripada itu dari segi pembangunan kerjaya terutama dalam sektor awam,� tegas beliau.


Rohani, yang dilahirkan pada 1952 di Pengadang Baru, Kuala Terengganu melakar sejarah hidup yang menarik dalam kerjaya kejururawatan.


Beliau memulakan persekolahan peringkat rendah di Oprah Estate Girls School, Singapura dan menamatkan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Menengah Teluk Kurau, juga di Singapura. Rohani kemudian memasuki bidang kejururawatan dan menerima sijil kejururawatan dari St George Hospital, New South Wales (NSW), Australia pada 1969.


Beliau turut menerima sijil kejururawatan pediatrik dari Royal Alexandra Children Hospital, NSW. Pencapaian beliau yang lain ialah sijil pengajaran klinikal (BCIT, Kanada), sijil lanjutan dalam pengurusan kejururawatan (UM) dan ijazah sarjana dalam kejururawatan dan pengajian (University of Edinburgh, United Kingdom).


Rohani mula bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (dulunya dikenali sebagai Hospital Universiti) pada 1973. Beliau kemudian menjadi pensyarah program sarjana muda kejururawatan, Fakulti Perubatan UM pada 1999, dan dilantik Profesor Madya pada 2003.


Kini, beliau sedang mengorak langkah untuk mendapat doktor falsafah dalam bidang pendidikan.


Hasil perkongsian hidup dengan Che Omar Ahmad, bendahari Universiti Terbuka Malaysia (OUM), beliau dianugerahkan empat anak dan enam cucu.


Menurut Rohani, sikap dan pandangan orang ramai terhadap jururawat sudah mula berubah dengan baiknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


�Pada zaman selepas Merdeka, ramai yang menganggap tugas jururawat sekadar memberi makan dan memandikan pesakit. Sekarang mereka tahu tugas dan tanggungjawab jururawat amat berat kerana jururawat bertanggungjawab dalam membuat diagnosis kejururawatan,� katanya.


�Jangan salah faham, diagnosis penyakit adalah tanggungjawab doktor. Jururawat adalah orang yang tahu mengenai apa yang perlu dibuat apabila pesakit mengalami keadaan kecemasan. Contohnya, jika tekanan darah seorang pesakit tiba-tiba melonjak dengan tinggi, jururawat yang bertugaslah yang perlu memberikan rawatan segera kerana ketika itu doktor mungkin tiada dalam wad,� kata Rohani.


Beliau menjelaskan di negara lain, jururawat diberi tugas lebih besar, misalnya di Botswana di selatan Afrika, Menteri Kesihatannya adalah seorang jururawat.


�Mungkin satu hari nanti, Malaysia akan menyaksikan seorang senator pertama dilantik daripada kalangan jururawat profesional,� kata Rohani.

1 comment:

pohon cinta berduri said...

peluang melanjutkan pelajaran semakin terbuka luas... ayuh semua jururawat... jangan persiakan masa. pedulikan hasad dengki dan iri hati "mereka" yang tidak pernah sedar yang "mereka" juga tidak mampu melakukan apa jua tanpa dirimu... jangan biarkan kerjaya jururawat dipandang rendah oleh golongan "mereka-mereka" ini...