Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

12 March 2008

Dobi konsep baru pikat pelanggan

Selamat membaca..........

Dobi konsep baru pikat pelanggan

Oleh Minarni Mat Saad


PDS tawar keahlian percuma untuk nikmati khidmat istimewa dan ganjaran

KEDUA-DUANYA adalah lulusan dari universiti luar negara dan memiliki kerjaya yang hebat dalam bidang masing-masing. Namun, minat dalam dunia perniagaan membuatkan pasangan suami isteri ini memilih untuk membuka pusat dobi.

Buat permulaan, Hasnorliza Abu Hassan dan suami, Md Ariffin Mahmud membuka Pusat Dobi Sparkleen (PDS) di Taman Equine tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan sekitar kawasan itu, terutama penduduk di kawasan perumahan yang baru dibuka.

Ini membangkitkan semangat pasangan suami isteri itu untuk mengeluarkan modal lagi bagi membuka satu lagi cawangan di Kota Damansara pada Julai tahun yang sama.

“Sebagai pengguna yang sering mendapatkan khidmat pusat dobi, kami pernah berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan baju yang dihantar ke tempat dobi. Ada ketikanya baju yang dihantar untuk cucian kering rosak. Jadi, saya berhasrat untuk memperkenalkan konsep baru dalam perkhidmatan dobi yang menepati kehendak dan cita rasa pelanggan,” katanya yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi PDS.

Hasnorliza berkata, beliau dan suami membuat kajian selama enam bulan dan menjalankan percubaan selama setahun untuk mendapatkan maklumat balas dan melihat sambutan pelanggan.

“Selepas mendapati perkhidmatan dobi ini memang berpotensi untuk dijadikan perniagaan, kami terus membuka cawangan pertama di Taman Equine, diikuti Kota Damansara dan terbaru di Shah Alam,” katanya yang ditemui ketika pelancaran PDS cawangan Shah Alam di Seksyen 9.

Pelancaran disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nawawi Md Zin. Majlis dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi remaja, Dafi yang menyampaikan beberapa lagu popular.

Turut hadir bagi memberi sokongan ialah ayahanda Hasnorliza iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar yang juga penasihat PDS dan isteri, Puan Seri Wan Noor Daud.

Hasnorliza mengakui sebelum ini beliau sudah memiliki kerjaya yang mantap dengan pendapatan memuaskan di sebuah syarikat minyak antarabangsa, tetapi memilih untuk meletakkan jawatan kerana berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan suami, kami memilih untuk membuka perkhidmatan dobi memandangkan permintaannya tinggi, apatah lagi kurang Bumiputera menceburi perniagaan jenis ini,” katanya.

Hasnorliza berkata, beliau bermatlamat menjadikan jenama PDS sebagai pusat dobi cucian kering yang utama di Lembah Klang dan menjadikannya satu francais yang bukan saja berkembang di sekitar Lembah Klang, tetapi juga di setiap bandar besar di seluruh Malaysia.

“Kami berharap ia dapat serba sedikit membantu dan memberi peluang kepada golongan Bumiputera lain yang ingin menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, PDS berbeza daripada kedai dobi lain kerana memperkenalkan beberapa ciri perkhidmatan dan konsep yang ringkas, mudah dan berkualiti.

“PDS menyediakan servis eksklusif untuk pengambilan dan penghantaran percuma barangan dobi sama ada ke rumah atau pejabat pelanggan. Dengan hanya satu panggilan telefon 1-300-88-8585 atau layari laman web www.sparkleen.com.my keperluan dobi anda akan kami uruskan,” katanya yang pada uat masa ini menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran di sekitar Seri Kembangan, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kota Damansara.

Sekiranya mendapat permintaan, kata Hasnorliza, Sparkleen akan mengembangkan liputan itu ke lokasi lain. Malah, pihaknya berazam menawarkan perkhidmatan ekspres, mesra dan menyenangkan bagi setiap pelanggan yang selalu sibuk dengan tugas harian.

Bagaimanapun, harga yang dikenakan berpatutan, manakala ciri tempahan untuk pengambilan dan penghantaran melalui internet dan penyediaan laman web adalah kemudahan yang disediakan untuk pelanggan PDS.

Selain itu, PDS menawarkan program keahlian secara percuma yang mana setiap orang yang menjadi ahli akan menikmati perkhidmatan lebih istimewa dan akan diberi ganjaran pada setiap cucian di PDS yang boleh ditukar kepada diskaun baucar untuk cucian akan datang.

Hasnorliza bertuah kerana minatnya dalam bidang perniagaan dikongsi bersama Md Ariffin. Malah, suaminya juga sentiasa bersemangat untuk mempelbagaikan sektor perniagaan walaupun sebelum ini beliau terlebih dulu melangkah dalam dunia bisnes.

Arifin yang memiliki firma arkitek sendiri iaitu Arifin Arkitek dan Atelier AA Design Sdn Bhd, berkata beliau tidak mahu hanya tertumpu pada satu bidang saja dan berazam menyahut saranan kerajaan agar lebih ramai Bumiputera menyertai pelbagai sektor perniagaan khususnya di kawasan bandar.

“Saya lihat potensi membuka pusat dobi di beberapa kawasan pertumbuhan baru, khususnya di Shah Alam yang amat baik dan saya mahu meramaikan lagi jumlah usahawan Bumiputera di Shah Alam,” katanya.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, pasangan itu memperoleh enam cahaya mata berusia antara 15 hingga dua tahun iaitu Arifa Liyana, Arifa Hasheena, Arifa Ellini dan Arifa Ellina (kembar), Arifa Farhana dan Ariff Hassan.

“Buat masa ini, kami perlu memberi tumpuan penuh kepada perniagaan yang baru berkembang. Mujurlah anak-anak memahami kesibukan kami,” katanya.

INFO: Kelebihan Sparkleen

  • Menawarkan perkhidmatan penghantaran dan pengambilan terus kepada pelanggan.

  • Mewujudkan rangkaian pelanggan setia.

  • Memperkenalkan mata ganjaran bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.

  • Menawarkan promosi sepanjang tahun contohnya sempena Hari Bapa, Hari Ibu dan Syawal.

  • Kualiti cucian yang dijamin terbaik.

  • Menjadikan penggunaan teknologi maklumat sebagai cara hidup dengan menyediakan laman web membuat tempahan.

  • Menjadikan cucian kering pengalaman mudah.
  • 1 comment:

    Liew said...

    Please do not go to this dobi or dry cleaning place. If you are lucky, your clothes don't get ruined, but if your clothes is ruined, the manager will avoid seeing you, and will insist your clothes is not ruined at all. Furthermore, I am threathened that this shop is open by some Minister, and I was given this company's driver's number when I asked for the Manager number. Please I do not hope to see another victim. Beware and becareful.