Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

12 March 2008

Undi protes punca kalah di tiga kerusi DUN

Selamat membaca..........

Undi protes punca kalah di tiga kerusi DUN

Oleh Ahmad Naim Tahir


SIKAMAT, Ampangan dan Paroi – tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilabel sebagai kawasan majoriti Melayu bagi lokasi pinggir bandar Seremban, ibu negeri kepada Negeri Sembilan kerana jumlah penduduk Melayu yang ramai.

Ampangan yang mempunyai 15,286 pemilih berdaftar sudah lama menjadi kubu kuat Umno, manakala Sikamat dengan 15,491 pemilih dan Paroi yang menempatkan 23,060 pemilih pula terbentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004 dan turut dikuasai Umno.

Itu senario lalu, tetapi buat empat atau lima tahun selepas ini penduduk di tiga kawasan berkenaan mempunyai wakil rakyat baru, bukan lagi daripada Umno, sebaliknya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ampangan dan Sikamat, manakala Pas pula di Paroi.

Ia berikutan kekalahan Setiausaha Umno Bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Harmain Shah kepada calon PKR, Aminuddin Harun di Sikamat dan Naib Ketua Umno bahagian itu, Mohd Nor Awang kepada calon parti pembangkang sama, Rashid Latiff di Ampangan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota dari 1999 hingga 2004, Datuk Zaharudin Mohd Shariff yang juga bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains), pula tewas kepada Ketua Pemuda Pas Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani di Paroi.

Pada 2004, Md Yusop menang kerusi itu dengan majoriti tinggi sebanyak 3,701 undi, manakala Ampangan dimenangi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam dan Pembangunan Koperasi negeri, Datuk Zakaria Nordin dengan majoriti 4,065 undi.

Paroi yang pesat membangun sebagai pusat komersial dan perindustrian pula dimenangi Umno menerusi Penolong Setiausaha Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid dengan majoriti 4,107 undi menewaskan bekas Pesuruhjaya Pas negeri ketika itu, Dr Rosli Yaakop.

Namun, 8 Mac lalu menyaksikan Sikamat terlepas ke tangan pembangkang yang menang dengan majoriti kecil, iaitu 497 undi dan 203 undi rosak, manakala senario di Ampangan lebih menarik apabila undi rosak tercatat sebanyak 236, mengatasi kelebihan 165 undi yang memihak kepada PKR.

Sokongan untuk calon muda Pas di Paroi yang mempunyai pecahan 64.35 peratus pemilih Melayu, Cina (16.4 peratus) dan India (18.9 peratus) adalah lebih besar, iaitu kelebihan 1,107 undi, manakala undi rosak 209.

Persoalan yang timbul dari mana datangnya undi kepada calon pembangkang yang tidak mungkin dapat merampas kerusi itu jika hanya bergantung kepada undi ahli mereka atau sebahagian pemilih daripada kaum Cina dan India?

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Sapora Sipon, tidak menolak kemungkinan kekalahan Umno di tiga kerusi itu disebabkan oleh orang Umno sendiri.

“Jika itu jawapannya, sudah tentu ia berpunca daripada faktor kecewa... kecewa kerana calon pilihan pucuk pimpinan bukan daripada kalangan mereka, kerana pemimpin yang mereka sokong tidak dipilih atau kerana calon sememangnya tidak disukai mereka.

“Perkara ini jelas jika kita lihat keputusan di Ampangan... undi rosak lebih tinggi daripada undi majoriti. Siapa yang merosakkan undi kerana penyokong pembangkang sudah tentu tidak mahu merosakkan undi mereka. Dalam pilihan raya, undi rosak dikira sebagai tanda protes... siapa yang memprotes?,” katanya.

Senario sama juga mungkin berlaku di Sikamat dan Paroi, sama ada atas faktor tidak ‘sebulu’ dengan calon, tambahan pula calon Umno yang bertanding di Paroi adalah ‘orang luar.’

Dalam kes di Sikamat, surat layang diedarkan dua hari sebelum pembuangan undi bertajuk 8 Dalil Calon BN Ini Patut Disingkirkan Rakyat DUN Sikamat yang turut sampai ke pejabat media menjelaskan lapan sebab mengapa pengundi (gaya bahasanya seolah-olah ditujukan kepada ahli Umno) patut menolak Md Yusop.

Lebih menarik, Md Yusop ketika dihubungi media, seolah-olah tahu dalang yang menulis dan mengedarkan surat layang itu dan menganggapnya fitnah semata-mata, sekali gus turut menimbang kemungkinan mengambil tindakan saman terhadap pihak bertanggungjawab.

Tempoh dua hari sebelum pilihan raya tidak mencukupi untuk beliau membentangkan penjelasan kepada pengundi berhubung tuduhan yang dilemparkan, namun bukan rahsia lagi wujudnya perpecahan kesepakatan di kalangan ahli Umno kawasan itu.

Membicarakan soal kesepakatan, Dr Sapora berkata, aspek pemilihan calon adalah proses yang amat rumit bagi Umno kerana terlalu ramai yang berasakan mereka layak menjadi bakal Yang Berhormat, tetapi masalah yang timbul ialah jumlah kerusi yang tidak mencukupi untuk mencalonkan setiap daripada mereka.

“Masalah yang timbul ketika Umno memilih calon pada setiap kali pilihan raya menunjukkan semangat kepartian yang makin menipis di kalangan ahlinya. Penyandang kerusi yang sudah lama berada di atas enggan turun dan berasa masih layak memimpin yang jelas menunjukkan ada kepentingan peribadi daripada mendahulukan parti.

“Apabila digugurkan, timbul rasa tidak puas hati lalu berlaku cantas mencantas, yang digugurkan bukan orang si polan, calon baru orang Menteri Besar dan sebagainya. Tiada lagi semangat untuk parti, sebaliknya demi kepentingan peribadi. Sepatutnya, sesiapa dipilih pucuk pimpinan harus disokong supaya parti menang,” katanya.

Katanya, pembangkang biasanya akan tersenyum mendengar perbalahan seperti itu yang memberi mereka ruang untuk mengeksploitasi, sambil diselang seli dengan isu berkaitan sentimen agama atau kaum sehingga berjaya mempengaruhi pengundi.

Sapora berkata, BN serta Umno perlu melakukan muhasabah diri dan sepatutnya sudah mula menyuntik semangat baru untuk memenangi semula hati rakyat yang mungkin terpengaruh dengan janji pembangkang supaya memberi peluang sepenggal saja untuk mereka memerintah.

“Pemimpin dan ahli Umno kena kembali kepada asas perjuangan, ikhlas dan mendahulukan parti daripada kepentingan individu supaya tidak lagi berlaku pergolakan dalaman. Rajinlah mendampingi masyarakat untuk mendengar suara mereka,” katanya.

Beliau meninggalkan satu soalan kepada pengundi yang memilih pembangkang pada pilihan raya umum lalu – apakah itu yang sebenarnya dimahukan mereka serta adakah mereka gembira dan berpuas hati dengan pilihan yang dibuat?

No comments: