Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

13 March 2008

Jawatan MB bukan hak mutlak pemimpin

Selamat membaca..........

Jawatan MB bukan hak mutlak pemimpin

Pendapat
SETAKAT kelmarin, tujuh negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu belum melantik Menteri Besar (MB) masing-masing.

Sebabnya, selain belum ditentukan tarikh pelantikan dan angkat sumpah jawatan sesudah dimaklumkan kepada raja dan sultan di negeri-negeri berkenaan, ada juga negeri yang belum pun ditentukan siapa bakal menjadi MB kerana raja atau sultan belum memberi perkenan.

Ertinya, raja atau sultan di negeri terbabit masih belum memberi perkenan atau bersetuju dengan mereka yang pernah menjadi MB sebelum pilihan raya, untuk terus mengekalkan jawatan yang sudah disandang sebelum itu.

Ada beberapa negeri memang menghadapi masalah dalam pelantikan MB. Difahamkan ada sultan atau raja yang tidak mahu MB yang sedia ada dikekalkan.

Pelantikan seseorang MB selain mengikut Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mensyaratkan MB yang dilantik mestilah bangsa Melayu dan beragama Islam, mengikut tradisi ia hendaklah direstui oleh Perdana Menteri dan mendapat perkenan raja-raja.

Sebagai contoh, dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis (State Constitution of Perlis): Artikel 39(4) Raja boleh melantik sesiapa sahaja yang baginda fikirkan mendapat kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan jika baginda memikirkan perlu dalam keadaan tertentu baginda boleh mengetepikan apa juga sahaja syarat dan peruntukan terkandung demi mencapai matlamat undang-undang ini yang memberi hak keistimewaan (privilleges) dalam memelihara kedaulatan (sovereignty) seorang raja.

Ini disokong oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 71(1) menjamin apa juga hak keistimewaan dan kedaulatan raja yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan apa juga tindakan dan keputusan yang dibuat oleh raja. Maknanya, kuasa melantik MB adalah terletak dalam bidang kuasa raja-raja yang lazimnya sesudah mendapat nasihat Perdana Menteri.

Jawatan MB bukanlah milik mutlak seseorang yang menjawat jawatan itu meskipun ia memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri. Tidak ada undang-undang yang mensyaratkan jawatan itu akan diberi kepada mana-mana MB yang bertanding semula.

Katakanlah Datuk Seri Idris Jusoh, atau Datuk Seri Shahidan Kassim, atau Datuk Abdul Ghani Othman, adalah antara MB yang bertanding semula di peringkat negeri. Mereka boleh saja tidak dilantik semula sebagai MB selepas pilihan raya, lebih-lebih lagi jika raja atau sultan tidak memperkenankannya.

Yang salahnya adalah kita yang mengamalkan tradisi buruk ini hingga membuatkan seseorang Menteri Besar merasakan jawatan itu haknya selagi mereka memegang jawatan itu. Sedangkan jawatan itu boleh diganti bila-bila masa atas faktor kesihatan atau kemampuannya dipertikai.

Tetapi lazimnya Kerajaan Pusat akan terus mempertahankan mereka walaupun sesetengah mereka terbabit dengan kes di mahkamah. Mereka terus menjadi MB.

Alasannya, selagi mahkamah belum menjatuhkan hukuman mereka didapati bersalah, maka mereka tetap bersih dan tidak bersalah. Tradisi yang tidak menguntungkan ini sedikit sebanyak menjejaskan imej kerajaan.

Oleh yang demikian pelantikan seseorang MB itu tidak perlu dipertikai oleh mana-mana pihak. Parti yang mentadbir kerajaan negeri perlu akur dengan kemahuan raja-raja. MB yang dilantik mestilah boleh bekerjasama dengan istana. Kita tidak mahu ada krisis antara kedua-dua belah pihak.

Mereka yang hendak dilantik juga bukan saja kelihatan bersih dalam segala segi, tetapi diterima oleh segenap lapisan masyarakat, terutama mesti mendapat perkenan raja-raja.

Kita tidak mahu MB yang bermasalah dengan istana kerana ia boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan seperti yang berlaku di Pahang ketika Datuk Rahim Bakar menjadi MB.

Hubungan mesra perlu ada antara kedua-dua belah pihak iaitu MB dan raja-raja. Dengan demikian mudahlah bagi seseorang MB melaksanakan apa jua program bagi kepentingan rakyat dan negeri. Bayangkanlah jika MB dan raja bermasam muka!

– M. HANAFIAH A. SAMAD.

No comments: