Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

29 February 2008

Kita perlu berusaha mendapat syurga Allah

Selamat membaca..........

Kita perlu berusaha mendapat syurga Allah
SOALAN:
Baru-baru ini seorang penceramah menyatakan bahawa kedudukan setiap orang di akhirat, iaitu syurga atau neraka telah ditentukan dalam Loh Mahfuz.

Jika seseorang telah ditetapkan akan masuk neraka, dia tetap akan masuk neraka walaupun semasa hayatnya dia kuat beramal ibadat dan begitulah sebaliknya seorang yang banyak buat maksiat akan masuk syurga jika telah dicatatkan dalam Loh Mahfuz.

Saya jadi keliru. Kalau macam itu tak gunalah kita bersusah payah beramal ibadat?

JAWAPAN:
Sifat ilmu bagi Allah adalah sifat azaliah, ilmu Allah mendahului zaman. Lingkungan ilmu Allah s.w.t tiada had dan batasnya. Ini termasuklah kesudahan seseorang hamba di atas permukaan bumi ini. Kehidupan manusia adalah ujian baginya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat). (al-Mulk: 2).

Allah s.w.t mencatatkan yang baik bagi manusia tetapi manusia dengan kehendaknya sendiri menjadi kufur serta memilih neraka sebagai tempat tinggalnya melalui amalannya. Sementara ada di antara hamba-habanya yang berusaha untuk mendapatkan keredaannya dengan beramal soleh dengan harapan balasan akhir mereka ialah syurga.

Allah menjadikan syurga untuk menempatkan hambanya yang beriman dan beramal soleh. Justeru peluang untuk mengecapinya terbentang luas. Neraka dijadikan untuk membalas keingkaran dan kekufuran manusia. Allah s.w.t mencatat dalam suhuf balasan kesudahan hamba-hambanya berdasarkan kepada ilmunya yang mendahului perbuatan manusia. Namun manusia wajib berusaha untuk mendapatkan syurga dan bukan pula membiarkan takdirnya dengan neraka.

Semoga dengan usaha ingin mendapatkan syurga itu kita tergolong dalam golongan ahli syurga. Ini juga kerana tiada siapa yang mengetahui sama ada dia itu ahli syurga atau ahli neraka. Mana lebih baik membiarkan diri dihumban ke dalam lembah neraka atau berusaha dengan amalan ahli syurga sehingga berjaya memilikinya.

Kejayaan sebenarnya ialah apabila seseorang itu diputuskan di mahsyar sebagai ahli syurga. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud, Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang Yang berlaku zalim itu api neraka, Yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan Dengan air Yang seperti tembaga cair Yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (al-Kahfi: 29)

Siapa yang bakal menjadi ahli syurga? Dan untuk siapa Allah jadikan syurga itu?

Ajaran

Dr. Qahtan Abdul Rahman al-Aduriy menjelaskan bahawa, “Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjanjikan syurga kepada mereka yang beriman kepadanya, Rasul-rasulnya serta mereka yang melaksanakan ajaran agama Islam”.

Syurga itu akan dihuni oleh orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud, Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa, “Apakah Yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan.”

Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan Yang baik, dan Sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang Yang bertakwa. (Untuk mereka) syurga-syurga ‘Adn’, Yang mereka akan memasukinya, Yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa Yang mereka kehendaki; Demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa. (al-Nahl: 30-31).

Apa makna takwa? Takwa terhimpun dalam ungkapan yang diungkapkan oleh Saidina Ali r.a yang bermaksud, “kandungan takwa itu ada empat perkara iaitu; takut kepada Allah yang Maha Mulia, bersyukur kepada nikmat pemberian-Nya biarpun sedikit, beramal dengan al-Quran, sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah s.w.t”.

Jika diteliti akan ungkapan yang penuh hikmah ini dapat disimpulkan bahawa takwa itu maknanya beramal. Takut kepada Allah, ertinya menurut perintah Allah, tidak melakukan dan tidak menghampiri perkara atau perbuatan yang ditegah-Nya.

Bersyukur maknanya membentuk sifat qanaah iaitu rasa cukup dengan pemberian Allah biarpun pemberiannya itu sedikit. Sentiasa melihat kekurangan yang ada pada orang lain bukan mengukur keadaan kita dengan si kaya.

Beramal dengan al-Quran. Al-Quran diturunkan untuk dibaca ayat-ayatnya memahami makna dan tuntutannya kemudian direalisasikan dalam perbuatan yang merangkumi kehidupan seharian.

Yang terakhir bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah. Ini kerana ajal manusia tiada siapa yang tahu melainkan Allah s.w.t. Apabila diteliti kepada kalimah hikmah Saidina Ali r.a., akan kita fahami bahawa tidak ada orang yang akan masuk syurga dengan percuma. Walaupun tidak dinafikan bahawa Allah mampu memasukkan sesiapa yang dikehendakinya ke dalam syurga dan sesiapa yang dikehendakinya ke dalam neraka, itu hak Allah.

Namun kena ingat bahawa Allah s.w.t sama sekali tidak akan mungkir janji. Janji Allah, orang yang beramal soleh ini jelas dalam beberapa firman-Nya.

Antaranya yang bermaksud, (Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Yang demikian itulah kemenangan yang besar. (al-Thagabun: 9).

* Maksudnya: Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (al-Nisa’: 124)

* Maksudnya: Segala hukum Yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. (al-Nisa’: 13).

Akhirnya banyakkanlah doa dengan meminta supaya Allah memberi husnul khatimah (kesudahan yang baik)dan jauhkan diri kita daripada suul khatimah (kesudahan yang buruk).


* SEBARANG pertanyaan boleh dihantar ke alamat Kemusykilan Agama di Utusan Melayu (M) Bhd., 46M Jalan Lima of Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau faks ke 03-92224967 atau e-mel ke agama@utusan.com.my

No comments: