Selamat membaca..........
Sudirman atasi kekurangan diri dengan ilmu
Oleh ABD. AZIZ ITAR
HABSAH HASSAN (kiri) berkongsi pengalamannya mengenai Sudirman sambil disaksikan Mohd. Kamarulzaman Taib selaku moderator pada sesi syarahan bertajuk Sudirman: Penghibur Kecil Berjiwa Besar di Aswara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
ALLAHYARHAM Sudirman membuktikan bahawa rupa paras dan penampilan diri yang menarik bukanlah aset utama untuk seseorang itu mencipta nama sebagai seorang penyanyi yang berkaliber.
Sebaliknya, bakat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh penyanyi berasal dari Pahang itu dalam bidang nyanyian menjadi kunci utama hingga beliau dikenali sebagai anak seni yang disegani tersohor sehingga ke saat ini.
Bukan itu sahaja, malah kenalan rapat Allahyarham, Habsah Hassan turut menyifatkan Allahyarham berjaya dalam kariernya sebagai penghibur yang versatil kerana beliau terlebih dahulu telah melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
“Bagi saya, Allahyarham (Sudirman) tidaklah memiliki mutu suara yang terlalu bagus. Rupa parasnya pun sederhana sahaja. Malah, dia juga tidak tinggi dan saiz badannya pun kecil.
“Bagaimanapun, beliau cukup bijak apabila menampung segala kekurangan yang ada pada dirinya itu dengan ilmu pengetahuan,” katanya pada sesi syarahan Pesona Seni di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Sesi syarahan anjuran Aswara bertajuk Sudirman - Penghibur Kecil Berjiwa Besar itu disampaikannya sempena memperingati ulang tahun ke-16 pemergian penghibur tersebut ke rahmatullah pada 22 Februari 1992.
Seperti yang semua orang tahu, sebelum bergelar penyanyi dan muncul juara pertandingan Bintang RTM tahun 1976, Allahyarham merupakan seorang peguam lulusan dari Universiti Malaya.
Jelasnya, latar belakang pendidikan cemerlang yang dimiliki oleh Allahyarham banyak membantu mengembangkan lagi bakat serta kreativitinya dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Namun, minatnya yang mendalam terhadap bidang nyanyian menyebabkan Allahyarham nekad meninggalkan bidang guaman dan menumpukan sepenuh perhatiannya sebagai anak seni.
Bakat dan kreativiti Sudirman dalam bidang seni dapat dilihat apabila beliau mencurahkan segala idea, ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk muncul sebagai seorang penghibur yang diminati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
“Arwah amat bersungguh-sungguh kalau mahu mengadakan sesuatu persembahan pentas. Beliau contohnya, memberi idea dan mereka sendiri pakaian dan set hiasan pentas yang akan digunakan pada persembahannya.
“Saya juga difahamkan Allahyarham telah memohon sendiri permit polis ketika mahu mengadakan konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1986.
“Konsert itu mencipta sejarah kerana ia berjaya menarik jumlah penonton paling ramai iaitu lebih 100,000 orang,” ujar Habsah yang mula mengenali Sudirman sejak 1976.
Selain mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam mempamerkan pelbagai fesyen pakaian, set latar pentas dan gimik persembahan, Allahyarham juga memperlihatkan bakatnya dalam bidang penulisan lagu dan lirik.
Perkara itu dapat dilihat apabila anak seni yang dilahirkan pada 25 Mei 1954 itu banyak mencipta lirik lagu antaranya berjudul Ku Pandu Laju dan Kul It yang menampilkan mesej-mesej tertentu.
Kritikan sosial
Lagu Kul It misalnya, sarat dengan kritikan sosial beliau tentang konsep perpaduan yang perlu ada di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sudirman juga boleh dikategorikan penyanyi lagu-lagu kisah hidup masyarakat di negara ini apabila beliau misalnya, menyanyikan lagu-lagu seperti Punch Card yang mengisahkan tentang kerja makan gaji, Jamilah (kisah seorang jururawat), Mat Disko (tentang pengunjung disko), Toyol dan banyak lagi.
Malah kata Habsah, Sudirman juga mempelbagaikan tema pada lagu-lagu nyanyiannya termasuklah yang berada dari luar ruang lingkup unsur komersial.
“Beliau misalnya, banyak menampilkan lagu-lagu berunsur patriotik dalam album-albumnya. Sedangkan ketika itu, malah sehingga kini pun tidak ramai penyanyi yang mahu mengambil inisiatif seperti itu.
“Lagu-lagu patriotik yang dinyanyikannya tetap diminati ramai seperti lagu Tanggal 31 terus dimainkan setiap kali tibanya Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun,” katanya.
Selain bidang nyanyian, Allahyarham juga pernah menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan menerusi filem pertama lakonannya berjudul Kami di mana beliau melakonkan watak Tuku.
Sebagai salah seorang teman rapat, Allahyarham pernah memberitahu Habsah bahawa beliau semasa hayatnya bercita-cita mahu menjadi pengarah filem.
“Allahyarham merancang mahu mengarahkan filem berjudul Cikguku Sayang di mana beliau mahu Noorkumalasari melakonkan watak cikgu itu. Sayangnya, impian itu tidak sempat dilaksanakan,” ujarnya.
Selain bidang nyanyian dan lakonan, Allahyarham juga banyak mencurahkan bakatnya menerusi bidang penulisan dan melukis kartun di akhbar-akhbar dan majalah pada tahun 1980-an.
Dari Dalam Diri Sudirman merupakan antara siri tulisan Allahyarham yang pernah disiarkan menerusi sebuah akhbar tabloid tempatan yang mendapat sambutan para pembaca ketika itu.
Tulisan-tulisan Allahyarham itu bukan setakat menunjukkan bakat terpendamnya dalam bidang penulisan tetapi ia secara tidak langsung menggambarkan tentang perjalanan suka-duka dalam hidup beliau.
“Arwah antaranya menceritakan tentang pengalamannya bercinta dengan seorang gadis hinggakan beliau pernah menolak tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana gadis tersebut,” katanya.
Pada sesi syarahan yang disaksikan kira-kira 300 pelajar Aswara itu, Habsah menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mengatakan Penghibur Terbaik Asia 1989 itu meninggal dunia kerana menghidap penyakit AIDS.
Habsah yang banyak menulis lirik lagu nyanyian Allahyarham amat mengenali peribadi dan latar belakang penyanyi terbabit berasa terkilan dengan gosip liar seperti itu.
“Saya antara orang yang hadir memberi penghormatan terakhir sebelum Allahyarham dikebumikan. Saya lihat raut wajah beliau tenang dan bersih ketika dikafankan.
“Cuma saya terkilan apabila tidak diberitahu lebih awal ketika Allahyarham menghidap penyakit misteri. Apa pun saya hormati kerana itu semua adalah atas permintaan keluarga Allahyarham sendiri,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment