Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

12 February 2008

Laba bukan matlamat peniaga Islam

Selamat membaca..........

Laba bukan matlamat peniaga Islam
Oleh Azrina Sobian


SIKAP yang salah selalunya membawa padah. Apabila padah mendatang, ada pula menjadi mangsa. Ini adalah hakikat. Hakikat itu berlaku di sekeliling manusia, namun kadangkala sering dilupakan.

Kegagalan manusia meletakkan sikap yang betul pada tempatnya adalah dinamakan sebagai kurang upaya sikap. Kegagalan itu akan membawa banyak keburukan dan akhirnya manusia akan menjadi mangsa kepada tindakan tersasar itu.

Berita yang disiarkan Berita Minggu pada minggu lalu mengenai pengusaha kosmetik yang boleh dipenjara atas kesalahan menjual barang kecantikan (kosmetik) beracun menunjukkan ada tiga sikap manusia yang boleh dikenal pasti.

Sikap itu membabitkan sikap peniaga (kosmetik), sikap penguat kuasa dan sikap pengguna sendiri.

Bagi peniaga, matlamat perniagaannya adalah untuk mencapai keuntungan. Ini memang wajar kerana perniagaan tanpa keuntungan tidak membawa apa-apa makna kepada sesiapa pun.

Bagaimanapun, pada masa sama, peniaga juga mempunyai tanggungjawab yang mesti dipenuhi, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada agama.

Konsep ‘tanggungjawab sosial korporat’ (CSR), bukan satu konsep baru. Kini, ia menjadi satu konsep yang diamalkan sebahagian besar peniaga. Konsep itu umumnya menjelaskan bahawa peniaga mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam bahasa ringkas, peniaga mestilah memulangkan semula keuntungan perniagaannya kepada masyarakat. Tindakan itu boleh berbentuk memulihara alam sekitar, membina rumah anak yatim, membantu orang kurang upaya (OKU), membina masjid, sekolah dan taman permainan.

Tanggungjawab sosial peniaga tidak hanya dilakukan selepas keuntungan diperoleh. Lebih penting lagi, tanggungjawab mesti bermula pada peringkat awal lagi seperti peringkat pengeluaran barang. Peniaga bertanggungjawab menyediakan barang dan perkhidmatan bermutu untuk pengguna.

Dalam kes peniaga kosmetik yang menjual barang beracun, tanggungjawab sosial peniaga ternyata sudah diabaikan. Dalam hal ini, keuntungan mengatasi tanggungjawab maka dengan itu berlaku kezaliman.

Menjual barang kecantikan beracun bukan saja membahayakan kesihatan pengguna tetapi menggalakkan pembaziran wang ringgit. Bayangkan pengguna yang membeli barang dengan harapan tinggi mungkin kehilangan ‘kecantikan, atau nyawa terancam dan pasti ini tidak berbaloi dengan wang ringgit yang sudah dilaburkan.

Bukan saja kepada sesama manusia, peniaga juga mempunyai tanggungjawab terhadap agamanya. Dengan merujuk kepada agama Islam, setiap peniaga Muslim mempunyai tanggungjawab besar dalam perniagaan berdasarkan tuntutan Islam.

Bagi pengeluar dan penjual barang kosmetik beracun, mereka melanggar tiga syarat perniagaan dalam Islam iaitu menghasil atau menjual barang diharamkan syarak, menipu pelanggan dan bersumpah dengan perkara palsu apabila menipu mengenai barang yang dijual.

Sikap penguat kuasa juga perlu disentuh kerana kesungguhan dan ketegasan melaksanakan hukum yang diperuntukkan atas sesuatu kesalahan amat diperlukan. Masyarakat umum tidak memerlukan sikap ‘berlembut’ yang tidak kena pada tempatnya.

Kenapa peniaga yang gagal mengikut peraturan perlu diberi peluang lepas daripada tindakan undang-undang sedangkan ramai pengguna tertipu dan mungkin terancam nyawa? Oleh itu, kuasa penguat kuasa perlulah dilaksanakan dengan sempurna.

Tidak perlu ada lagi sikap ‘tarik tali’ yang kelihatannya tegas tetapi sebenarnya tidak. Sikap beginilah yang membuatkan peniaga tidak beretika ‘naik tocang.’ Apatah lagi dalam keadaan hukuman berbentuk denda yang pasti boleh dibayar oleh peniaga ingkar.

Lihat pula kepada sikap pengguna. Dalam banyak keadaan, pengguna selalunya menjadi mangsa kerana lalai. Pengguna jahil, tidak peduli dan takut adalah antara ciri pengguna yang begitu mudah diperdaya. Kesannya, pengguna yang kerugian.

Berkait dengan barang kecantikan beracun, pasti yang selalu menjadi mangsa adalah pengguna wanita. Keinginan untuk cantik dan kekal cantik menjadikan mereka berlumba-lumba mencari barang kecantikan yang boleh memenuhi keinginan itu.

Ingin kelihatan cantik adalah sifat semula jadi wanita dan setiap insan bernama manusia. Namun, kecantikan bukan segala-galanya dalam hidup ini. Bagi wanita Muslim, ada kecantikan yang lebih penting selain kecantikan paras rupa iaitu kecantikan hati.

Ini lebih mulia dan dipandang tinggi. Lagipun, kecantikan setiap manusia adalah berbeza. Cantik pada mata seseorang tidak bermakna cantik pada mata orang lain. Oleh itu, tanggapan wanita terhadap kecantikan perlu diperbetulkan.

Mereka mesti diberitahu bahawa setiap manusia adalah cantik. Kita semua adalah ciptaan Allah dan semua ciptaan-Nya cantik. Oleh itu, siapakah antara kita yang layak untuk menyatakan seseorang itu tidak cantik atau hodoh.

Jika setiap pengguna wanita mempunyai tanggapan betul terhadap dirinya, maka tidak mudahlah dia tertipu dengan pujuk rayu iklan barang kecantikan.

Apa yang dipaparkan dalam iklan tidak semua betul.

Jika ini difahami pengguna wanita, maka dia akan membuat keputusan pembelian yang tepat terhadap sesuatu barang kecantikan atau barang lain. Untuk membuat keputusan tepat, ilmu pengetahuan amat diperlukan. Oleh itu, jadilah pengguna yang berpengetahuan.

Dalam menangani satu-satu masalah, tindakan bersepadu amat diperlukan bermula dengan mengubah sikap manusia atau pengguna sendiri.

Perubahan itu perlu meliputi semua kumpulan manusia.

Sikap pengguna penting bagi mengelak timbul banyak masalah.

Sikap yang betul adalah kuasa yang dimiliki pengguna. Oleh itu, pengguna mesti menggunakan kuasa itu sebijak mungkin. Pengguna bijak dapat melindungi dirinya daripada menjadi mangsa.



Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

No comments: