Selamat membaca..........
Tegas terhadap majikan utamakan pekerja asing
Pendapat
BAGI sesiapa yang menjejakkan kaki di Kuala Lumpur sepanjang musim cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini pasti merasakan diri berada seperti di Kathmandu, Hanoi, Dhaka, Yangon dan Jakarta.
Pendek kata, benarlah Malaysia ‘berjaya’ menampilkan wajah sebenar Asia. Namun, adakah perkembangan yang semakin ‘tenat’ ini menjamin keselamatan dan membanggakan kira-kira 26 juta rakyat negara ini?
Pendedahan oleh Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini bahawa sebanyak 30 peratus daripada 300,000 majikan di negara ini yang memohon untuk mendapatkan pekerja asing adalah jawapan kepada lambakan orang asing di tanah air kita.
Majikan sebegini langsung tidak mempunyai sensitiviti cintakan negara sendiri lantaran hanya mahu memenuhkan kantung semata-mata. Golongan kapitalis ini juga sama sekali tidak peduli akibat limpahan pekerja asing untuk jangka panjang terhadap masa depan dirinya sendiri, keluarga dan masyarakatnya.
Jika benar mereka masih memiliki sisa-sisa nilai patriotisme tentu anak-anak muda tempatan diutamakan sebagai tenaga kerja bagi menggerakkan sekian banyak projek mereka.
Pemerkasaan modal insan tempatan yang menjadi agenda kerajaan juga sia-sia dan kelihatan sedang digagalkan dengan terancang oleh majikan yang taksub dengan ‘modal insan’ dari luar. Kerana apa hendak meminimumkan kos dan boleh dikerah seperti abdi adalah penyebab utama mereka menatang penuh pekerja asing.
Sebelum ini, pekerja asing dibenarkan masuk bekerja di sektor pembinaan dan pertanian dengan anggapan popular bahawa anak tempatan kurang berminat untuk mengisi tempat. Namun, adakah alasan tersebut masih relevan apabila lapangan perindustrian lebih-lebih lagi perkhidmatan juga diserahkan kepada pekerja asing?
Malah, sudah sampai peringkat melampau apabila sektor-sektor strategik negara seperti perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) turut mengambil mereka bekerja.
Selain itu, tidakkah kita ibarat mempertaruhkan kualiti kesihatan rakyat apabila semakin hari semakin ramai pelayan dan tukang masak terdiri daripada orang asing? Lihatlah di beberapa tempat seperti sekitar Pasar Borong Selayang dan di perhentian bas berhampiran Pasar Seni.
Bekas kotoran seperti ludahan sirih serta sampah-sarap di sekitar pasar raya Mydin, Kotaraya dan di kawasan di mana mereka berkumpul, bukti sejauh mana tahap kebersihan sifar mereka.
Ternyata, pengambilan mereka untuk mengendalikan makanan bukan sekadar di gerai dan kedai makan murah malah telah merebak ke kantin sekolah, universiti dan agensi kerajaan serta resort, kelab golf, hotel dan restoran ‘berbintang’ tidak ubah seperti sengaja mencurah penyakit dan racun ke dalam makanan kita.
Tinggal premis makanan segera sahaja setakat ini yang masih memberi ruang kepada golongan muda tempatan untuk mencari sesuap rezeki.
Tidak kurang pentingnya, tidakkah kita seperti membiarkan keluarga dan masyarakat kita ‘diancam’ oleh pengawal-pengawal keselamatan asing? Kini, anggota keselamatan di institusi perbankan, premis-premis perniagaan malah sebahagian sekolah di seluruh tanah air sudah terdiri daripada orang asing? Apa sudah jadi? Kita sendiri seperti memberi ruang dan peluang yang cukup baik untuk dianiaya oleh orang luar.
Sedangkan kejujuran orang kita sendiri pun kadang kala dipertikai apatah lagi mereka yang datang dari luar yang langsung tidak mempunyai apa-apa ikatan dan tanggungjawab dengan kita. Benar mereka boleh dipercayai tetapi tidakkah kita terfikir dengan kelicikan dan kecanggihan modus operandi sindiket jenayah sekarang orang asing yang diamanahkan menjaga keselamatan diri dan harta kita begitu mudah dieksploitasi dan diperdaya?
Justeru, Kementerian Sumber Manusia mesti sentiasa konsisten tegas sebelum meluluskan sebarang permohonan untuk mendapatkan pekerja oleh para majikan di negara ini. Sesuai dengan nama kementerian sendiri, sumber manusia tempatan yang mesti diutamakan bukannya sumber manusia asing yang didahulukan!
Hanya dengan ketegasan dan integriti pihak kementerian dapat membendung lambakan pekerja asing di negara ini. Setelah begitu ramai rakyat Malaysia mengeluh malah menjadi mangsa kebiadapan moral dan jenayah pendatang asing, adakah wajar permohonan majikan yang masih menagih pekerja asing diluluskan?
Cukuplah ‘memanjakan’ majikan yang individualistik ini. Campakkan sahaja permohonan tebal mereka itu ke dalam bakul sampah sebelum nasib anak-anak tempatan dan kita sendiri kelak menjadi sampah!
– MOHD. ARIF ATAN,
Bukit Beruntung
No comments:
Post a Comment