Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

17 March 2007

Rampas hak secara batil juga rasuah

Selamat membaca..........

Rampas hak secara batil juga rasuah
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Umat Islam perlu faham istilah sogokan supaya tidak tanggung dosa


KITA berasa bangga dengan kesungguhan kerajaan yang cukup tegas dalam usaha membendung dan menghapuskan gejala rasuah yang sudah lama menular dalam masyarakat. Ia selari firman Allah Taala yang berfirman melalui surah al-Mukminun ayat 71 yang bermaksud: “Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, maka pasti binasalah langit dan bumi dan segala yang terdalam di dalamnya”.

Hari ini, perbuatan mengambil hak orang lain semakin banyak berlaku. Pelbagai cara dilakukan demi memenuhi impian untuk memperoleh sesuatu dihajati. Apabila tidak dapat diperoleh dengan cara lazim, maka ada segelintir di kalangan kita gemar menggunakan sesuatu sebagai perantara kerana tarikan kuat dari dalam diri untuk mendapatkan apa yang diimpikan.

Biarpun ramai menyedari perbuatan makan suap atau rasuah adalah haram dan dibenci Allah SWT dan undang-undang dunia, gejala ini terus berkembang di kalangan masyarakat, sama ada pada peringkat atasan atau bawahan.

Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini di kalangan masyarakat adalah kerana ketidakfahaman terhadap istilah rasuah itu sendiri dan kedua kerana kuatnya perasaan tamak dan haloba untuk memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat.

Perbuatan ‘tumbuk rusuk’ ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat masa kini. Justeru ia sudah dianggap sebagai suatu perbuatan biasa dan lazim dalam kehidupan seharian, maka gejala rasuah kini antara salah satu jenis penyakit sosial yang begitu sukar untuk diubati.

Dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara, rasuah menjadi ancaman yang cukup berbahaya. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan sesebuah negara yang bakal melahirkan sebuah masyarakat yang kucar-kacir dan akan menjadi penyumbang kepada keruntuhan sesebuah bangsa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang telah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih dari itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri."

Rasulullah SAW mengutuk sesiapa saja yang memperoleh harta dan wang ringgit melalui amalan rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar kepada pengamal rasuah.

Kekeliruan dan kejahilan seseorang individu mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman cetek terhadap kalimah rasuah sendiri yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata.

Rasuah bukan saja membabitkan penggunaan mata wang, malah merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng dalam melakukan sesuatu tindakan dan perbuatan.

Dalam hal pentadbiran pula, rasuah dipercayai merebak kerana ada pegawai atau pentadbir kurang bertanggungjawab terhadap amanah diberi atau menyalahgunakan kuasa dimiliki kerana ingin bermegah dengan jawatan yang disandang atau inginkan kehidupan mewah dan bergaya walaupun di luar kemampuan diri yang sebenar.

Pengamal rasuah biasanya akan lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan pelbagai bentuk sogokan. Sogokan itu mungkin dalam bentuk hamper, buah tangan, hadiah, cenderamata atau apa saja dianggap sebagai perantara dan pemangkin kepada tercapainya sesuatu keinginan seseorang individu.

Manusia yang mengamal rasuah ini jarang memikirkan segala tindak-tanduk mereka sebenarnya adalah salah bentuk penganiayaan yang sengaja mereka rancang untuk menindas orang lain. Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak sudah pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat untuk melaksanakan sesuatu amanah dan tanggungjawab tertentu.

Justeru, pengamal rasuah yang hidup saling tindas menindas ini semakin alpa dengan tuntutan agama. Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh telah menutup pintu hati mereka dari mengingati Allah SWT, bahkan mereka seperti sengaja menimbun dosa dan noda akibat daripada perbuatan sendiri.

Rasulullah SAW sering berpesan kepada pegawai dan pentadbir pada zaman Baginda agar tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada, terutama sewaktu berurusan dengan orang ramai.

Baginda pernah berkata kepada Muaz bin Jabal yang dilantik menjadi duta di Yaman. “Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu dari keadaan serba mewah kerana hamba Allah SWT yang setia bukanlah begitu sifatnya". Muaz telah mematuhi pesanan Rasulullah saw kerana tidak ingin menderhaka kepada Allah SWT dan tidak mahu tergolong dalam umat Muhammad sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Nanti akan ada di kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai beraneka jenis pakaian, dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku." – Riwayat al-Tabrani.

Seorang pegawai Rasulullah di bahagian perbendaharaan negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu Rasulullah saw untuk menyerahkan hasil kutipan cukai kepada baginda.

Kata pegawai itu, ‘Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk saya." Mendengar hal itu, air muka Rasulullah SAW segera berubah, lalu baginda berkata: ‘Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya dia akan mendapat hadiah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu di hari akhirat kelak".

Gejala rasuah terlalu banyak mencetuskan pelbagai kes jenayah seperti peras ugut, membunuh, dendam dan pelbagai gejala lain boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhannya.

Ini kerana pengamal rasuah tidak akan mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong dari landasan syariat yang sebenarnya.

No comments: