Selamat membaca..........
Rafidah Aziz idola Pengarah BPR Perak, apa yang peliknya? PDF Cetak Emel
Ahmad Lutfi Othman
Mon | Feb 12, 07 | 06:46:15 AM
Muka surat 1 dari 2
Samsiah Abu Bakar, 48, Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak yang dilantik 2 Februari lalu, terkenal kerana kritikan kerasnya terhadap ketua-ketua jabatan di negeri itu yang tidak mengambil tindakan tatatertib ke atas kakitangan awam yang menerima rasuah.
Kata Samsiah, sekurang-kurangnya 21 kes yang disyorkan oleh BPR supaya dikenakan tindakan, tidak diambil endah sejak 2001 lagi. Beliau juga mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Pengarah BPR Perak ke-14, pertama kali daripada kalangan wanita.
Sebelum itu, Samsiah turut menjadi wanita pertama memegang jawatan Pengarah Latihan BPR Malaysia. Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan wawancara Mingguan Malaysia, 11 Februari, dengannya.
Latar belakang ibu tunggal ini daripada keluarga miskin. "...Jadi apabila musim hujan ayah saya tidak boleh menoreh getah. Kami sekeluarga hanya mampu makan nasi dicampur jagung," ceritanya.
"Arwah emak saya tanam jagung tepi sungai. Dia ambil jagung itu lalu hiris nipis-nipis isinya untuk dicampur dengan beras agar nasi dimasak menjadi banyak. "Bila tak ada jagung, mak ambil pisang abu atau pisang emas potong kecil-kecil untuk dicampur dengan nasi. Tetapi kami adik beradik tidak pernah pernah mengeluh makan," ujarnya lagi.
Image Bagaimana boleh Rafidah menjadi idola?
Walaupun amalan rasuah membahayakan negara dan semua pihak, Samsiah mengakui ia sukar dibanteras kerana rasuah sebenarnya satu perbuatan yang menguntungkan orang yang beri dan turut menguntungkan orang yang menerima.
"Saya menyeru orang ramai jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah dan bekerjasamalah dengan BPR membanterasnya. Kita jadikan Malaysia sebuah negara yang 'Corrupt Free Society'," tegasnya ketika menjawab soalan ke-22 daripada wartawan Aggelina Sinyang.
Soalan seterusnya, yakni soalan terakhir, membuatkan saya tergerak untuk memberikan respons ringkas terhadap jawapan Samsiah.
Mingguan Malaysia: Di dunia ini termasuk Malaysia ada banyak wanita berjaya, siapakah kalangan mereka yang menjadi inspirasi tuan?
Samsiah: Saya orang Kuala Kangsar, jadi semestinya idola saya Datuk Seri Rafidah Aziz. Saya memang dari dulu lagi meminati beliau sebab ibu saya, Rahmah Mat Akit merupakan bekas Ketua Wanita Umno Ulu Kenas yang memang mengundi Rafidah.
Saya bila tengok Rafidah berkempen dan bercakap saya selalu kata aku nak jadi macam dia. Saya tengok beliau berani kerana menyuarakan perkara benar dan tidak nampak kredibilitinya boleh dipersoalkan. Beliau adalah contoh terbaik bagi wanita.
Nah! Saya pasti sebahagian pembaca sudah dapat menelah apa yang mahu saya sampaikan selepas ini.
Ia tidak ada kena mengena dengan latar belakang keluarga Samsiah daripada segi politik.
Soal sama ada arwah bapanya bekas ketua Umno Kampung Ulu Kenas, atau dia "selalu ikut ayah nak basikal pergi berkempen pilihan raya" juga adalah cerita biasa.
Bagaimanapun, apabila Samsiah meletakkan idolanya adalah Rafidah Aziz dan menyimpulkan bahawa Ketua Wanita Umno itu "tidak nampak kredibilitinya boleh dipersoalkan," dan Rafidah dianggap "contoh terbaik bagi wanita", maka saya agak terkedu dan berkerut dahi memikirkannya.
Dalam ramai-ramai orang, boleh orang seperti Rafidah menjadi idolanya?
Ranjau perit hidup rakyat bukan dongengan
Sengaja saya menukilkan semula cerita Samsiah tentang kehidupannya yang susah di waktu kecil bagi mengingatkannya bahawa sampai hari ini cerita ranjau perit hidup rakyat bawahan bukan dongeng, malah ada yang makin terjerut dengan kenaikan harga barangan asas dan kos hidup pula kian tinggi.
Jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar. Yang susah papa kedana, yang senang giat bina istana. Setinggan diusir mudah, tanah-tanah bernilai tinggi berlegar di kalangan elit pemerintah. Dan antara faktor yang mendorong hal ini berlaku adalah soal korupsi, salahguna kuasa dan penyakit sosial seumpamanya.
Image Namun, sungguh menyedihkan apabila seseorang pemimpin atau penjawat awam yang lahir daripada keluarga susah, sebahagiannya lebih miskin berbanding famili Samsiah, tetapi apabila diberikan kuasa, mereka langsung tidak terfikir atau cuba berusaha untuk membantu golongan tertindas itu.
Tapi jangan silap faham. Saya tidak menuduh Samsiah seperti itu, cuma mahu mengingatkan bahawa ramai pemimpin politik pemerintah dan juga pembuat polisi yang berpengalaman merasai sendiri keperitan hidup di masa lampau, apabila diberikan amanah, mereka pula yang merancang dan melaksanakan dasar yang lebih menguntungkan golongan kaya, serta menindas golongan tidak bernasib baik.
Usahlah bertanya saya siapa orangnya, masing-masing boleh meneliti sendiri.
Mengenai BPR, saya turut prihatin dengan kekangan pegawai-pegawai kanan badan yang sepatutnya bebas dan berwibawa itu. Pengalaman saya turun naik ibu pejabat BPR di Putrajaya dan BPR Selangor di Shah Alam, empat tahun lalu, khususnya ketika bersembang panjang dengan beberapa pegawai yang tidak lokek berkongsi cerita, sudah cukup untuk menggambarkan bahawa ada tangan-tangan ghaib mengongkong mereka.
Perang rasuah belum pun bermula
Faham benar saya dengan lingkungan yang menekan itu.
Apa pun, saya terkejut apabila membaca wawancara Samsiah kerana saya merasakan Pengarah BPR Perak itu sendiri telah meletakkan dirinya dalam kurungan.
Apa tidaknya? Bagaimana mungkin seorang pegawai tinggi badan siasatan terhadap penyakit yang begitu kronik dalam negara kita - rasuah - boleh meletakkan seorang menteri kanan yang terpalit teruk dengan dakwaan salahguna kuasa sebagai idolanya?
Dan yang membangkitkan soal rasuah Rafidah ini bukannya setakat pembangkang tetapi juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Benar, Rafidah tidak diheret ke mahkamah tetapi dokumen rahsia, bertarikh 14 Mac 1995, yang menyebabkan Ezam Mohd Nor dipenjarakan, jelas menunjukkan Jabatan Peguam Negara sudahpun menyiapkan lima pertuduhan rasuah terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Ia ada kaitan dengan peruntukan saham khas Bumiputera dua syarikat tersenarai Leader Universal Holdings Bhd (1,500,000 unit saham) dan First Allied Corporation Bhd (8,000,000 unit saham) kepada menantu Rafidah, Fazrin Azwar Md Nor. Nilainya tentulah tinggikan? Kisah terperinci kes rasuah Rafidah ini boleh kita butirkan di tenpat lain kerana mungkin ramai pembaca sudah maklum mengenainya.
Malah, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, apabila bercakap soal penyalahgunaan kuasa melambakkan permit import (AP) kereta kepada dua tiga kerat individu yang rapat dengan Miti, sebenarnya meletakkan sasaran kritikan tajamnya kepada Rafidah.
Secara tegas Dr Mahathir menegaskan, jika beliau masih menjadi Perdana Menteri, maka yang pasti dipecat sebagai menteri ialah Rafidah memandangkan kes salahguna kuasanya cukup menjolok mata.
Tup tup, Pengarah BPR Perak, meletakkan Rafidah sebagai idolanya, apa cerita ni cik puan ....
Secara peribadi, melihatkan kenyataan beraninya mengkritik sikap ketua-ketua jabatan Perak yang tidak mengambil tindakan atas syor BPR kepada kakitangan awam di negeri itu yang terbabit rasuah, saya beranggapan ia bagai 'cahaya di hujung terowong' tapi bila membaca perenggan terakhir wawancara Mingguan Malaysia dengan Samsiah semalam, saya kembali ke alam realiti.
Perang rasuah rupanya belum pun bermula.
No comments:
Post a Comment