Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

17 March 2007

Amalan bid'ah berkaitan kematian

Selamat membaca..........

KEMATIAN suatu perkara yang pasti akan menimpa setiap manusia (Ali Imran:185, al-Anbiya’:35, al-‘Ankabut:57). Tiada makhluk di alam ini akan kekal melainkan Allah SWT yang Maha Hidup dan Kekal (al-Baqarah:255, Ali Imran:2, Taha:111, al-Qasas:88, al-Rahman:26-27). Oleh itu, setiap makhluk bernyawa perlu sentiasa bersedia menghadapi saat pasti tiba ini (al-Hijr:99). Mati salah satu fitrah makhluk yang bernyawa, sepatutnya ditangani dengan cara berhikmah bagi mengelak kezaliman tanpa sedar terhadap keluarga simati.

Pengaruh kejahilan, adat serta faktor pemikiran sempit menyebabkan amalan salah berkaitan kematian berleluasa dalam masyarakat. Kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

Budaya ini sebenarnya bertentangan sama sekali dengan roh Islam kerana Rasulullah SAW ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, Baginda bersabda: “Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan) – Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud. Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat menyediakan makanan untuk orang menziarahi keluarga si mati dan menyediakan bayaran tertentu untuk solat jenazah dan membaca al-Quran adalah salah dan perlu ditentang. Amalan ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam.

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim. Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan. (Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947. Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377)

Umat Islam seharusnya peka terhadap peringatan Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala”.

Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji yang berbunyi; “Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya” (jil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Secara jelas, anak si mati yang masih kecil lebih memerlukan sedekah itu untuk mengubat jiwa mereka yang kehilangan bapa tercinta dan menggunakan segala sedekah itu untuk membina hidup baru. Oleh itu, keluarga si mati perlu memainkan peranan utama untuk menghentikan budaya ini dan memahami tuntutan agama dalam menghadapi musibah kematian dengan bersandarkan kepada hadis Rasulullah yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya”.– Hadis Riwayat Muslim. Hadith ini menggalakkan ahli keluarga si mati untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan arwah sepanjang masa dan bukan hanya pada malam Jumaat atau malam tertentu saja.

Tidak kurang juga kepercayaan sesat sesetengah pihak mengatakan roh si mati akan pulang pada setiap malam Jumaat atau pada hari tertentu untuk mengharapkan sedekah amalan daripada keluarganya. Perlu diketahui persoalan roh adalah i antara rahsia Allah yang tidak boleh disandarkan kepada logik akal. (al-Isra’:85). Perjalanan roh manusia menempuh lima alam berbentuk sehala dan tidak boleh berpatah balik untuk setiap alam.

# Penulis adalah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments: